Sunday, December 19, 2021

Geografi Penduduk: Masalah Pembakaran Terbuka kepada Penduduk di sekitar Kg. Baru On Lok, Melaka

         Dalam kemajuan teknologi dan pembangunan negara menjelang tahun 2025, negara kita merupakan salah sebuah negara yang membangun dengan pesat seiring dengan negara-negara maju yang lain. Dengan pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit dan menaik taraf sistem perhubungan awam negara, sudah semestinya ada elemen yang perlu dikorbankan. Hal ini disebabkan oleh wujudnya satu interaksi ataupun hubungan antara manusia dan alam semula jadi bagi membenarkan aktiviti pembangunan tersebut untuk berlaku. Tambahan pula, aktiviti-aktiviti pembangunan dan kemajuan negara amatlah penting bagi menjana ekonomi dan pendapatan negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di sesebuah negara tersebut. Namun begitu, perkara ini telah menyebabkan kemerosotan dalam kualiti alam sekitar seperti sumber air serta flora dan fauna. Sebagai contoh, hutan semula jadi yang terdapat di sesebuah kawasan perlu ditebang dan dimusnahkan bagi membina sebuah bangunan. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa kerosakan alam semula jadi adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia.

     Di negara kita, Malaysia, kita mempunyai sebuah organisasi yang dikenali sebagai Jabatan Alam Sekitar. Jabatan ini bertugas untuk menguatkuasakan undang-undang alam sekitar seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memastikan alam sekitar dapat dilindungi dan diuruskan dengan baik. Akta ini dikaitkan dengan perkara mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling (Shamsuddin Suhor, 2003). Terdapat banyak perlakuan yang mendorong kemusnahan alam sekitar dan salah satunya ialah pembakaran terbuka.  Dengan lebih daripada 40 peratus sampah dunia dibakar, pembakaran terbuka merupakan sumber pencemaran atmosfera yang terbesar di seluruh dunia dan kekal sebagai salah satu isu alam sekitar dan kebimbangan kesihatan utama bagi kebanyakan negara yang membangun (Ariffin et. al., 2017).



No comments:

Post a Comment