Mambang Diawan adalah sebuah pekan kecil yang terletak tidak jauh dari bandar Kampar. Pekan Mambang Diawan ini tidak kelihatan dari luar jalan utama kerana ia adalah jalan dalam dari Kampar ke Tapah. Pekan kecil ini diwujudkan kerana aktiviti melombong bijih timah pada satu ketika dahulu. Setelah pekan kecil ini dikenali, terdapat banyak kilang yang dibangunkan di sini sehinggakan menjadi kawasan perindustrian. Perindustrian merupakan pendekatan yang dijalankan bagi memajukan sesebuah kawasan atau tempat. Terdapat dua kawasan perindustrian yang ditubuhkan di pekan ini. Antaranya ialah Kawasan Perindustrian Mambang Diawan 2 dan Kawasan Perindustrian Mambang Diawan 3.
Rajah 1: Pelan Lokasi Mambang Diawan, Kampar
Rajah 2: Pekan Mambang Diawan, Kampar
Rajah 3: Kawasan Perindustrian Mambang Diawan, Kampar
Apabila perindustrian ini dibangunkan, maka ia telah membuka ruang penduduk tempatan dan juga warga asing untuk mengambil peluang bekerja di kawasan-kawasan ini. Perkembangan dan kemajuan ekonomi sesebuah negara akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi kepada masyarakat luar (Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis & Saadon Awang, 2014). Rata-rata masyarakat muda pada masa kini kurang berminat dalam bidang pekerjaan perkilangan. Walaupun mereka sanggup bekerja di dalam bidang perindustrian, tetapi mereka lebih gemar ke bandar-bandar besar yang lebih maju untuk mencari pekerjaan daripada duduk di kawasan pekan kecil. Oleh itu, pihak perindustrian akan membawa masuk warga asing untuk bekerja di dalam industri mereka.
Rajah 4: Buruh Kilang Papan
Rajah 5: Buruh Kilang Quality Coils
Kemasukan warga asing ke pekan kecil ini telah menyebabkan berlakunya lambakan warga asing. Hal ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktornya adalah menerima hasil pendapatan yang tinggi. Hasil pendapatan yang tinggi telah menarik minat warga asing untuk menjadi seorang buruh di kawasan ini. Hal demikian kerana kadar penukaran wang negara Malaysia lebih tinggi berbanding negara-negara jiran dan menyebabkan warga asing ini menjadi buruh di dalam sektor perindustrian. Kebanyakan buruh asing yang bekerja di kawasan pekan kecil ini adalah dari negara Indonesia, Myanmar, Nepal, Bangladesh dan Pakistan. Kadar upah di sektor pembinaan di Malaysia secara umumnya adalah lebih tinggi daripada kebanyakan negara ASEAN dan kadar upah di Malaysia lebih 10 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan kadar upah di Indonesia. Fenomena penggajian pekerja asing berlaku disebabkan oleh faktor kestabilan ekonomi yang dialami oleh sesebuah negara (Nurina Awanis Mohamed, Mohd Na’eim Ajis & Zawiyah Md. Zain, 2019). Pembukaan kawasan perindustrian ini telah membuka peluang untuk mereka berhijrah ke sini dengan rela hati kerana kawasan-kawasan pekan kecil ini membolehkan mereka menyara hidup dengan sederhana. Hal ini kerana kos sara hidup di pekan kecil ini sangat sesuai untuk mereka berjimat dalam menggunakan wang hasil pendapatan dari pekerjaan mereka.
Faktor yang seterusnya adalah kerana peluang pekerjaan yang meluas. Peluang pekerjaan ini terbuka kepada masyarakat tempatan. Namun, hanya segelintir sahaja yang menyertai dalam bidang pekerjaan ini kerana mereka lebih suka bekerja di bandar yang maju daripada pekan kecil ini. Selain itu, bekerja di sektor perindustrian ini akan bekerja di dalam sektor 3D yang bermaksud Danger, Difficult, Dirty. Sesetengah masyarakat tempatan jarang untuk mengambil risiko sebegini. Oleh itu, peluang terbuka luas kepada buruh-buruh asing untuk bekerja di dalam bidang perindustrian ini. Mereka akan menetap di bidang perindustrian ini sehingga tamat kontrak pekerjaan sebagai buruh asing. Sekiranya mereka mempunyai peluang untuk meneruskan kontrak buruh asing, mereka akan melanjutkan tempoh tersebut. Hal ini kerana mereka akan merebut peluang yang masih ada supaya mereka dapat bekerja dengan lebih lama.
Selain itu, peluang pekerjaan yang rendah di negara asal juga menjadi salah satu faktor kepada lambakan warga asing. Krisis ekonomi Asia merupakan era penghijrahan berskala besar masyarakat dunia kerana kebanyakan dari mereka ini kehilangan punca rezeki, diberhentikan kerja dan muflis (Intan Suria Hamzah & Sity Daud, 2016). Kebanyakan buruh asing yang mencari rezeki di kawasan ini adalah dari negara jiran yang mana di negara mereka mempunyai peluang pekerjaan yang sangat rendah berbanding di negara ini. Tekanan yang dialami untuk mendapatkan pekerjaan di negara asal menyebabkan mereka sanggup untuk berhijrah ke kawasan ini. Di dalam kalangan buruh asing ini juga ada yang sanggup melanggar undang-undang antarabangsa dengan memasuki negara tanpa mempunyai dokumen yang sah bagi menyara hidup mereka.
Kesimpulannya, pembukaan kawasan-kawasan perindustrian ini telah menyebabkan berlakunya lambakan warga asing kerana pekan kecil ini telah membawa masuk buruh-buruh asing dari negara jiran bagi memenuhi kehendak dalam bidang perindustrian untuk dijadikan buruh asing. Hal ini kerana hanya segelintir masyarakat tempatan yang bekerja sebagai buruh dan mempunyai ruang dan peluang yang banyak dalam kekosongan pekerja. Faktor pendapatan yang lebih tinggi berbanding dari negara asal juga menjadi sebab kepada berlakunya warga asing untuk mencari rezeki di pekan kecil ini. Maka dengan itu berlakulah lambakan warga asing yang berada di pekan kecil ini bagi menyara hidup mereka dan keluarga yang berada di negara asal.
Disediakan oleh: Nurul Husna Binti Basiran
No. Matrik: D*******1320
Kumpulan Kuliah: C
Rujukan
Intan Suria Hamzah & Sity Daud. (2016). Implikasi kemasukan pekerja asing di Malaysia: Suatu tinjauan awal. Jurnal Sains Insani, 1(1), 69-77. Diperoleh daripada http://ddms.usim.edu.my/bitstream/123456789/16272/1/144-221-PB.pdf.
Nurina Awanis Mohamed, Mohd Na’eim Ajis & Zawiyah Md. Zain. (2019). Dilema majikan dalam isu menggaji pekerja tempatan atau pekerja asing di Malaysia: Perspektif majikan. Malaysian Journal of Society and Space, 15(3), 136-147. Diperoleh daripada http://repo.uum.edu.my/26615/1/GMJSS%2015%203%20136%20147.pdf.
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis & Saadon Awang. (2014). Permasalahan pendatang asing tanpa izin di Malaysia dari aspek sosial dan perundangan. Jurnal Undang-undang Malaysia, 26(2), 173-191. Diperoleh daripada http://repo.uum.edu.my/12869/1/Per.pdf.
No comments:
Post a Comment