Sunday, December 26, 2021

KEMUDAHAN AWAM UNTUK PENDUDUK DI KAMPUNG TITI GAJAH, ALOR SETAR.

1.0 Pengenalan

Kemudahan awam telah menjadi satu keperluan asas bagi sesetengah penduduk yang memerlukannya sesuai dengan situasi yang diperlukan. Oleh itu, kemudahan awam dapat ditakrifkan sebagai perkhidmatan dan infrastruktur yang telah disediakan oleh pihak kerajaan atau berkuasa yang dibina untuk memenuhi keperluan orang ramai (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017). Oleh hal yang demikian, setiap kawasan petempatan pastinya mempunyai kemudahan awam yang disediakan tidak terkecuali di Kampung Titi Gajah. Kampung Titi Gajah merupakan salah satu kampung yang terletak di daerah Alor Setar negeri Kedah. Rajah 1 menunjukkan kedudukan Kampung Titi Gajah. Sejarah awal asal perkataan Kedah adalah daripada Bahasa Siam iaitu perkataan 'Kedat' yang disebut sebagai 'Kradat' telah membawa makna kertas atau watikah. Ianya telah dikisahkan sebagai amanat yang dibawa oleh Sejarah Merong Mahawangsa ke Nusantara pada Ketika itu. Secara amnya, daerah Kota Setar daripada 12 daerah keseluruhannya telah meliputi keluasan 422Km2 dengan catatan peratusan keluasan daerah ke-7 tertinggi iaitu sebanyak 4.48% (Kerajaan Negeri Kedah, 2021).


Rajah 1: Kawasan Kampung Titi Gajah, Alor Setar

Sumber: Google Maps (2021)

Lazimnya, kemudahan awam yang terdapat di Kampung Titi Gajah tidaklah sebanyak dan selengkap di kawasan petempatan lain. Kemudahan awam yang terdapat di Kampung Titi Gajah seperti kemudahan awam yang asas untuk penduduk memanfaatkannya kekal digunakan sehingga kini. Meskipun kemudahan awam secara umumnya masih tidak lengkap, kemudahan awam yang pelbagai masih boleh didapati di kawasan petempatan yang berhampiran untuk digunakan secara bersama. Walau bagaimanapun, keperluan kemudahan untuk penduduk di Kampung Titi Gajah ini akan lebih memudahkan jika ditambah atau memperbaiki prasarana yang boleh memberi kesenangan dengan sebaiknya.

2.0 Kemudahan Awam yang Tersedia

Kemudahan awam yang utama tersedia di Kampung Titi Gajah ini adalah masjid yang merupakan tempat ibadah untuk orang Islam. Masjid ini telah dinamakan sebagai Masjid Tuan Hussin terletak di kawasan yang strategik iaitu di tengah kawasan Kampung Titi Gajah ini (Rajah 2). Pelbagai aktiviti gotong-royong dapat dilakukan oleh para penduduk di Kampung Titi Gajah sebagai satu langkah yang boleh merapatkan hubungan silaturrahim. Tapak meletakkan kenderaan bagi masjid yang luas ini seringkali menjadi kawasan untuk mengadakan kenduri kahwin mahupun kesyukuran oleh para penduduk (Rajah 3). Tambahan lagi, perayaan seperti Hari Raya Aidiladha yang sering memerlukan para penduduk berkumpul juga dapat mengeratkan ukhwah dan kesejahteraan penduduk. Oleh itu, mempunyai hubungan kejiranan yang kuat dapat meningkatkan kepercayaan dan kefahaman antara satu sama lain di samping meningkatkan rasa hormat-menghormati sesama sendiri (Yusof Hussain, Shaharudin Samsurijan, Ishak, & Hair Awang, 2011).

Rajah 2: Masjid Tuan Hussin, Titi Gajah

Sumber: Kajian Lapangan Sendiri


Rajah 3: Kawasan Hadapan Masjid Tuan Hussin

Sumber: Kajian Lapangan Sendiri

Seterusnya, terdapat 6 tempat perhentian bas (Rajah 4) yang tersedia di Kampung Titi Gajah untuk kegunaan dan kemudahan penduduk menunggu bas, teksi atau kereta sewa untuk bergerak ke sesuatu tempat. Kemudahan yang disediakan ini juga bukan sahaja dapat memberi kemudahan kepada penduduk setempat, malah kepada pembonceng motosikal dan kumpulan berbasikal yang kehujanan atau menjadi tempat rehat. Secara umumnya, pembonceng motosikal akan berteduh di perhentian bas untuk mengelakkan daripada kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kabur pandangan dan jalan yang licin. Sementara itu, telefon awam juga terdapat berhampiran dengan salah satu tempat perhentian bas seperti di rajah 4 telah memudahkan individu yang dalam kecemasan untuk menggunakannya. Perkara ini dapat diulaskan meskipun teknologi moden yang sememangnya telefon bimbit telah menjadi satu keperluan, akan tetapi waktu kecemasan boleh terjadi seperti kehabisan bateri dan sebagainya.

Rajah 4: Tempat Perhentian Bas dan Telefon Awam, Titi Gajah

Sumber: Kajian Lapangan Sendiri

            Selain itu, di Kampung Titi Gajah juga terdapat sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Titi Gajah (Rajah 5) bagi memberikan peluang kepada kanak-kanak di kawasan atau persekitaran yang berdekatan untuk mendapatkan pendidikan. Satu perkaitan dapat diulaskan di mana, jika peluang pendidikan dapat diberikan dengan baik kesannya taraf hidup juga dapat ditingkatkan dalam mendapatkan peluang pekerjaan oleh disebabkan pendidikan yang diterima. Di samping itu, sekolah juga dapat dijadikan sebagai tempat untuk kanak-kanak membentuk peribadi yang baik melalui segala aktiviti kokurikulum mahupun kurikulum yang telah disediakan dengan sistematik. Tambahan lagi, jika berlakunya banjir di kawasan Kampung Titi Gajah sekolah rendah ini akan dijadikan sebagai pusat pemindahan mangsa-mangsa banjir. Hal ini demikian kerana pembinaan sekolah yang tinggi dan mempunyai bangunan bertingkat mampu untuk memberi perlindungan kepada mangsa banjir.

Rajah 5: Sekolah Kebangsaan Titi Gajah

Sumber: Kajian Lapangan Sendiri

3.0 Isu/Masalah Kemudahan Awam

Isu yang timbul menyebabkan penggunaan jejantas ini perlu dibina di kawasan kampung ini adalah disebabkan oleh terdapatnya sebuah sekolah rendah yang hanya mempunyai laluan pejalan kaki yang dikawal. Perkara ini merujuk kepada laluan lintasan belang di hadapan sekolah yang terdapat lampu isyarat bagi mengawal pergerakan pelajar dan kenderaan bermotor melintas jalan. Walaupun begitu, masih terdapat banyak kes kemalangan telah berlaku terutamanya pada waktu kemuncak iaitu awal sesi persekolahan bermula dan tamat persekolahan. Terdapat satu kajian yang dijalankan di bandar dan luar bandar terhadap tahap keselamatan pejalan kaki untuk ke sekolah oleh Kamarudin, Marzuki, Rosmiza, dan Mapjabil, (2020) yang mendapati bahawa tahap keselamatan berada pada tahap yang tidak memuaskan. Hal ini demikian berkaitan dengan tingkah laku pelajar, tingkah laku pengguna jalan raya, persekitaran sekolah, dan kemudahan bagi pejalan kaki.

Dengan ini, umum mengetahui bahawa kemudahan jejantas yang dikhaskan untuk pejalan kaki menyeberang dari atas jalan raya yang berbentuk seperti jambatan lebih selamat berbanding penggunaan lampu isyarat. Hal ini terjadi kerana pengguna jalan raya yang lebih terburu-buru mengejar lampu isyarat hijau telah memecut dengan laju meskipun warna lampu isyarat telah bertukar kuning atau merah. Kesannya kemalangan seringkali berlaku terhadap para pelajar mahupun para waris pelajar. Tambahan lagi, statistik kematian yang disebabkan kemalangan melibatkan pejalan kaki adalah berada pada kumpulan ketiga tertinggi setelah statistik motosikal dan kereta penumpang (Kementerian Pengangkutan Malaysia, 2021). Oleh itu, jelaslah bahawa isu pejalan kaki ke sekolah di Kampung Titi Gajah ini perlu diberi perhatian yang serius untuk mengelakkan kemalangan terjadi pada kadar yang lebih tinggi. Rajah 6 menunjukkan kawasan melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah yang sering terjadi kemalangan.

 

Rajah 6: Kawasan Melintas Jalan Hadapan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah

Sumber: Kajian Lapangan Sendiri

Isu kemudahan seterusnya yang tidak tersedia di kawasan Kampung Titi Gajah adalah gelanggang sukan awam untuk penduduk melakukan aktiviti riadah. Sehingga ke hari ini, dapat dilihat bahawa gelanggang sukan awam tidak banyak dibangunkan. Berpandukan rajah 7, pada tahun 2015 telah menunjukkan bahawa hanya terdapat 1 gelanggang sukan awam di kawasan Kota Setar yang mempunyai keluasan sehingga 423km2. Data yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (2018) merupakan data pada tahun 2015 yang jelas menunjukkan bahawa kurangnya terdapat kemudahan awam pada ketika itu. Hal ini demikian telah mengurangkan galakan kepada para penduduk untuk mengamalkan gaya hidup sihat yang berpanjangan. Dalam konteks ini, penyediaan gelanggang sukan awam yang semestinya penggunaan peralatan atau ruang yang disediakan adalah percuma dan perlu dikongsi secara bersama mampu untuk menggalakkan para remaja mahupun golongan dewasa untuk keluar beriadah pada waktu yang sesuai iaitu biasanya pagi dan petang.

Rajah 7: Senarai Kemudahan Awam di Kota Setar, Kedah Pada Tahun 2015

Sumber: Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (2018)

Tambahan lagi, seperti yang seia ketahui bahawa para remaja mahupun kanak-kanak sangat suka atau gemar untuk meluangkan masa bermain atau beriadah pada waktu petang bersama rakan-rakan. Pada waktu malam juga merupakan waktu yang dihabiskan oleh remaja kini untuk beriadah. Selain aktiviti riadah untuk penduduk sangat baik dalam mengekalkan kesihatan badan, aktiviti yang melibatkan fizikal ini juga mampu untuk meningkatkan kemahiran kognitif seperti daya tumpuan yang tinggi, ingatan yang kuat dan tingkah laku (Syed Chear, Mohd, & Hamzah, 2018). Oleh itu, jika gelanggang sukan awam dapat ditambah di kawasan Kampung Titi Gajah ini dapat memberi impak yang positif kepada peningkatan penduduk sekitar malah dapat meningkatkan tahap kesihatan penduduk.

4.0 Impak Kemudahan Awam Terhadap Penduduk

Mempunyai kemudahan awam yang menyenangkan di sesuatu tempat seharusnya dapat menarik perhatian manusia untuk bermigrasi dan menambahkan populasi sesuatu kawasan. Walaupun demikian, data yang telah diperoleh dari Jabatan Perangkaan Malaysia bagi negeri Kedah telah menunjukkan sebaliknya. Secara pemerhatian umum, kawasan Kampung Titi Gajah kini telah membangun dengan lebih pesat dengan adanya pembinaan hotel, kedai-kedai runcit berdekatan, klinik kesihatan swasta, dan kedai-kedai makan yang mampu menarik perhatian penempatan penduduk. Segala kemudahan yang berada pada jarak dekat masih tidak mampu untuk meningkatkan kadar pertumbuhan penduduk.

Meskipun pembinaan kemudahan dan prasarana di kawasan Kampung Titi Gajah mahupun di daerah Kota Setar semakin giat membangun peratusan pertumbuhan penduduk tahunan di negeri Kedah adalah menurun (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020). Merujuk pada rajah 8 yang menunjukkan kadar pertumbuhan penduduk bermula dari tahun 2017 hingga tahun 2019 telah menurun sehingga 0.8 peratus telah dicatatkan di negeri Kedah. Telah difahamkan faktor penurunan ini adalah disebabkan oleh kadar kesuburan bagi penduduk di negeri Kedah yang merosot. Rajah 9 menunjukkan kadar kesuburan bagi wanita di kedah yang berumur 15 hingga 49 tahun menurun dari tahun 2015. Sementara itu, bagi jangka hayat penduduk telah meningkat dari tahun ke tahun membuktikan warga tua yang lebih banyak tinggal di kawasan ini berbanding golongan remaja (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020).  


Rajah 8: Kadar Pertumbuhan Penduduk di Negeri Kedah

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (2020)

Rajah 9: Kadar Kesuburan bagi Wanita di Kedah pada tahun 2010-2018

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (2020)

5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, beberapa kemudahan awam yang terdapat di Kampung Titi Gajah masih kekal dan boleh digunakan sehingga ke hari ini seperti masjid, sekolah, telefon awam, dan tempat perhentian bas. Kemudahan awam yang disediakan ini dapat memudahkan bukan sahaja penduduk setempat malah kepada para musafir untuk menggunakannya dengan baik. Walaupun begitu, terdapat juga beberapa masalah yang timbul berkaitan dengan kemudahan yang dibekalkan seperti kawasan melintas jalan di hadapan sekolah yang sering berlaku kemalangan jalan raya. Perkara ini sangat perlu dipandang serius yang melibatkan isu keselamatan pelajar terutamanya dengan mencari langkah yang baik dalam menyelesaikan isu tersebut. Tambahan lagi, pelbagai faktor perlu diteliti dalam menyelesaikan isu ini dengan baik dan telus. Akhir sekali, meskipun sudah menjelang tahun 2021 dimana segala kemudahan telah banyak dibina tetapi pertambahan penduduk secara umumnya di negeri Kedah adalah menurun. Hal ini demikian disebabkan oleh penurunan kadar kesuburan bagi wanita manakala peningkatan jangka hayat bagi warga tua yang majoritinya mendiami di kawasan penempatan ini.

 6.0 Rujukan 

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2017). Carian Umum. Diperoleh Disember 5, 2021, daripada Pusat Rujukan Persuratan Melayu website: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kemudahan+awam

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia. (2018, Julai 4). Statistik kemudahan awam mengikut negeri bagi tahun 2015. Tableau Software. https://tabsoft.co/32hG2et

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). Kependudukan Negeri Kedah. Diperoleh daripada https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter 2020/DOSM-DOSM-KEDAH-1.2020-Siri-79.pdf

Kamarudin, N. H., Marzuki, M., Rosmiza, M. Z., & Mapjabil, J. (2020). Tahap keselamatan pejalan kaki untuk perjalanan ke sekolah. Journal of Society and Space, 16(4), 197–212. https://doi.org/10.17576/geo-2020-1604-14

Kementerian Pengangkutan Malaysia. (2021). Keselamatan Pejalan kaki. Ministry of Transport Malaysia Official Portal Home. Diperoleh Disember 24, 2021, daripada https://www.mot.gov.my/my/land/safety/pedestrian-safety

Kerajaan Negeri Kedah. (2021, February 17). Pecahan Keluasan Negeri Kedah mengikut Daerah . Diperoleh Disember 5, 2021, Daripada https://www.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/maklumat-umum-negeri-kedah

Syed Chear, S. L., Mohd, M. I., & Hamzah, S. H. (2018). Kepentingan aktiviti fizikal dalam membina personaliti dan meningkatkan prestasi akademik. Jurnal Sains Sukan & Pendidikan Jasmani, 7(1), 21–33. https://doi.org/10.37134/JSSPJ.VOL7.1.3.2018

Yusof Hussain, M., Shaharudin Samsurijan, M., Ishak, S., & Hair Awang, A. (2011). Hubungan kejiranan dalam membentuk kesejahteraan hidup masyarakat "kampung bandar": Kes Kampung Berjaya dan Kampung Mempelam, Alor Setar, Malaysia. Malaysia Journal of Society and Space, 7(3), 36–44. Diperoleh daripada https://www.ukm.my/geografia/images/upload/5.2011-3-Yusof dkk ukm-melayu-ed-katiman-2.pdf

NAMA: ANIS ATHIRAH BINTI ZAKARIA

NO. MATRIK: D20191088296

KUMPULAN KULIAH: B

No comments:

Post a Comment