Thursday, December 23, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: MASALAH JARINGAN INTERNET YANG LEMAH DI KAMPUNG MOHIMBOYON, RANAU, SABAH.

Pada 8 Disember yang lalu, pengkaji telah menjalankan satu kajian lapangan di Kampung Mohimboyon, Ranau, Sabah. Pada hari tersebut, pengkaji telah membuat pemerhatian di lokasi kajian, mengadakan temubual dengan penduduk serta mengedarkan borang soal selidik kepada penduduk Kampung Mohimboyon.

      Kampung Mohimboyon merupakan sebuah kampung yang termasuk di dalam daerah Ranau yang mana ianya terletak 6 km dari Pekan Kundasang dan 13 km dari Pekan Ranau. Disebabkan oleh lokasi kampung ini yang berada di kawasan yang agak jauh dari pekan, ia menyebabkan kampung ini tidak mempunyai banyak kemudahan seperti tiada kemudahan bekalan air kerajaan, mempunyai masalah jaringan internet yang lemah dan masalah bekalan elektrik yang sering terputus. Dalam hal ini, masalah jaringan internet yang lemah di kampung ini sangat membimbangkan penduduk di kampung ini yang mana jaringan internet sering kali hilang dan hanya sim Celcom sahaja yang boleh digunakan pada waktu tertentu.

       Seperti yang kita sedia maklum, internet merupakan sesuatu yang penting lebih-lebih lagi pada masa ini dimana ia dikatakan penting bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh negara di dunia terutama dalam mengendalikan pekerjaan dan pembelajaran secara atas talian. Internet merupakan wadah komunikasi yang berupaya mempercepatkan, memudahkan perhubungan dan mencari maklumat secara meluas dengan mudah (Nur Ain Md Lukmanul Hakim, Nur Aisyah Junaidun, Nurul Syazwani Mohamad Fadzil & Mohd Izzuan Mohd Israr, 2021). Berdasarkan statistik, penggunaan internet dilihat semakin meningkat dengan ketara pada tahun 2020 bagi beberapa perkhidmatan seperti e-Pembelajaran, e-Kesihatan, e-Kerajaan, e-Dagang dan e-Hiburan disebabkan oleh pandemik yang melanda dunia (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2021). Namun, adakah jaringan internet di Malaysia pada masa ini yang merupakan salah satu aspek penting dalam pengendalian kegiatan tersebut sudah cukup kuat? Itulah yang menjadi persoalannya. Kajian yang dijalankan ini adalah berkaitan tentang masalah jaringan internet yang lemah dan berfokus di Kampung Mohimboyon, Ranau, Sabah.

      Dalam hal ini, dengan menggunakan internet untuk menjalankan aktiviti seharian, ia akan dapat memudahkan kerja kita. Kita hanya perlu melakukan semua kerja dan aktiviti dari rumah sahaja namun masalah jaringan internet yang lemah akan menyekat kemudahan tersebut dan akan menambahkan lagi kesulitan kepada kita. Sebagai contoh, apabila seseorang itu perlu menghadiri temuduga atau mesyuarat secara atas talian namun talian internet tiba-tiba terputus maka ia akan memberi kesan kepada individu tersebut. Selain itu, guru dan pelajar juga turut terkesan dimana ia akan menyukarkan guru untuk menjalankan proses PDPR (Berita Harian, 21 Januari 2021). Jelaslah bahawa jaringan internet yang baik dan kuat sangat diperlukan bagi memastikan semua kerja secara atas talian dapat dijalankan dengan lancar.

     Menurut Saifuddin Abdullah (dalam Utusan Malaysia, 21 September 2020), kerajaan berhasrat untuk mempertingkatkan capaian internet termasuklah di Sabah. Dalam hal ini, bukan hanya negeri Sabah sahaja yang menghadapi masalah jaringan internet yang lemah malah Sarawak dan Semenanjung juga turut mengalami masalah yang sama di beberapa kawasan.

Gambar 1: Kampung Mohimboyon, Ranau, Sabah

            Gambar 2: Peta Kampung Mohimboyon, Ranau, Sabah


Masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Mohimboyon?

Masalah jaringan internet di Kampung Mohimboyon ini merupakan masalah yang sudah berlarutan agak lama. Pada 23 Mei 2016, “Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan] minta MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA menyatakan apakah perancangan pihak Kementerian dalam meluaskan lagi liputan rangkaian telefon di kawasan luar bandar serta bilakah liputan rangkaian 4G dapat dilaksanakan secara menyeluruh yang mampu setanding dengan negara-negara maju” (Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, 2016). Dalam hal ini, pemancar telekomunikasi telah didirikan di Kampung Mohimboyon pada tahun 2017. Berdasarkan temubual yang dibuat dengan responden pertama, iaitu Encik Mumtaz (bukan nama sebenar), menjelaskan bahawa sebelum pemancar tersebut dibina, Kampung Mohimboyon sama sekali tidak mempunyai rangkaian telefon, selepas ia dibina, talian Celcom telah ada namun bagi talian telefon selain Celcom masih tiada rangkaian di kampung ini. Dalam hal ini, terdapat masalah rangkaian yang jelas dilihat apabila hanya rangkaian Celcom sahaja yang berfungsi dengan agak baik. Walau bagaimanapun, kadang kala talian telefon akan hilang sepenuhnya atau hanya ada satu hingga dua bar sahaja. Hal ini terjadi hampir setiap hari dan akan mengambil masa beberapa jam. Kadang kala ia mengambil masa lebih daripada satu hari untuk rangkaian telefon kembali pulih. Hal inilah yang menyukarkan urusan penduduk Kampung Mohimboyon terutama dalam urusan pengendalian pekerjaan serta pembelajaran atas talian.

Gambar 3: Pemancar telekomunikasi di Kampung Mohimboyon, Ranau, Sabah


Apakah faktor yang mendorong kepada masalah ini?

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya masalah jaringan internet yang lemah di Kampung Mohimboyon termasuklah pemancar telekomunikasi yang belum siap sepenuhnya dan ia berada di kawasan luar bandar. Walaupun pemancar ini telah dibuat hampir 5 tahun namun ia masih belum boleh berfungsi dengan baik. Berdasarkan temubual yang dibuat dengan responden kedua, iaitu Encik Hakeme (bukan nama sebenar) pula mengatakan bahawa punca elektrik yang digunakan oleh pemancar adalah dari salah sebuah rumah penduduk Kampung Mohimboyon yang berhampiran dengan pemancar tersebut sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam hal ini, ia mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan. Selain itu, keberadaan Kampung Mohimboyon juga mempengaruhi pemancar tersebut dimana rangkaian selular di kawasan bandar dan kawasan luar bandar adalah berbeza. Rangkaian selular di kawasan luar bandar atau pedalaman sering kali mengalami masalah liputan kerana tidak banyak pemancar di kawasan tersebut seperti di Kampung Mohimboyon yang hanya mempunyai satu pemancar dan beberapa kampung yang berhampiran dengan kampung ini masih tidak mempunyai pemancar telekomunikasi.

      Selain itu, ia juga disebabkan oleh masalah elektrik yang sering terputus di Kampung Mohimboyon. Menurut Datuk Zahidi Zainul Abidin (dalam Sinar Harian, 12 Disember 2020), gangguan bekalan elektrik juga menjadi salah satu daripada penyebab pemancar telekomunikasi di sesebuah kawasan tidak dapat berfungsi dengan baik seterusnya menyebabkan rangkaian di kawasan tersebut terganggu. Dalam hal ini, bekalan elektrik di kampung ini sering terputus yang disebabkan oleh angin yang kuat dan hujan yang menyebabkan pokok di tepi jalan tumbang kemudian menimpa tiang dan kabel elektrik sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus. Untuk membaiki tiang elektrik tersebut biasanya akan mengambil masa yang agak lama disebabkan oleh faktor lokasi kampung ini yang berada jauh dari pekan. Kadang kala, bekalan elektrik juga akan tiba-tiba terputus walaupun tiang elektrik tidak terganggu dengan cuaca. Dalam hal ini, biasanya jika bekalan elektrik terputus, ia akan menyebabkan pemancar telekomunikasi tidak berfungsi dengan baik seterusnya merencatkan kerja-kerja yang melibatkan penggunaan internet di kampung ini.


Kesan yang timbul disebabkan oleh hal ini?

Secara umumnya, masalah jaringan internet yang lemah di Kampung Mohimboyon ini telah mendatangkan kesan kepada penduduk di kampung ini terutama bagi pelajar dan pekerja yang bekerja atas talian. Melalui soal selidik yang dibuat, terdapat beberapa kesan daripada masalah jaringan internet yang lemah ini kepada penduduk di Kampung Mohimboyon.

         Antara kesannya kepada pelajar termasuklah mereka akan ketinggalan dalam pelajaran. Sebagai contoh, pelajar tidak dapat mengikuti kelas secara atas talian kerana jaringan internet yang lemah tidak dapat menampung kekuatan internet yang diperlukan untuk masuk ke dalam sesuatu aplikasi seperti Webex dan Google meet. Selain itu, pelajar juga susah untuk mencari dan mendapatkan maklumat yang mana hal ini akan melambatkan kerja seseorang pelajar kerana terpaksa menunggu jaringan internet kembali pulih. Masalah jaringan internet yang lemah diumpamakan seperti tidak berkesudahan kerana ia sukar ditangani terutama di kawasan luar bandar dan ceruk kampung. Pelajar terpaksa keluar dari rumah untuk mencari rangkaian internet yang lebih kuat sebagai alternatif dan hal ini juga secara tidak langsung akan menyusahkan ibu bapa kepada pelajar tersebut sekiranya mereka memerlukan bantuan ibu bapa untuk mencari talian internet yang kuat di sesebuah kawasan. Seperti di kampung ini, terdapat beberapa tempat yang biasanya menjadi tumpuan pelajar sekiranya rangkaian internet tiba-tiba hilang semasa mereka menggunakannya. 

Gambar 4: Antara kawasan tumpuan untuk mencari rangkaian internet

          Kesannya kepada pekerja pula sama seperti pelajar di mana mereka terpaksa pergi ke sesuatu tempat untuk mencari rangkaian internet yang lebih kuat atau terpaksa pergi ke pekan. Hal inilah yang menyukarkan kerja-kerja penduduk kampung ini kerana lokasi Kampung Mohimboyon yang berada agak jauh dari pekan. Berdasarkan hasil kajian yang dibuat oleh Firma Penyelidikan Pengguna dalam talian, 35% pekerja menyatakan bahawa internet yang tidak stabil merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh pekerja semasa bekerja dari rumah (Sinar Harian, 02 Disember 2021). Sebagai contoh, seseorang pekerja yang perlu menghadiri mesyuarat secara atas talian akan tiba-tiba terkeluar daripada mesyuarat tersebut kerana talian terputus. Hal ini akan menyusahkan pekerja tersebut kerana keadaan tersebut tidak terjangka dan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Selain itu, pekerja juga perlu hadir mesyuarat pada waktu yang ditetapkan. Oleh itu, bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, mereka perlu pergi ke tempat yang mempunyai rangkaian internet yang kuat. Bukan itu sahaja, ia juga menyebabkan penduduk kampung susah untuk berhubung dengan sesiapa sahaja terutama apabila ada hal-hal kecemasan yang berlaku.


Kesimpulan

Masalah jaringan internet yang lemah khususnya di kawasan luar bandar atau ceruk kampung seperti Kampung Mohimboyon ini perlu diatasi dengan kadar yang segera bagi memudahkan urusan penduduk terutama dalam pengendalian pembelajaran dan pekerjaan secara atas talian. Beberapa pihak termasuklah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) perlu memainkan peranan mereka untuk mencari alternatif bagi menambahbaik dan memantapkan lagi kelajuan internet di Malaysia dalam usaha melancarkan urusan-urusan yang perlu dijalankan secara dalam talian. Dalam hal ini, KKMM sedang berusaha untuk mempertingkatkan lagi jaringan internet dengan memastikan setiap kawasan yang mempunyai penduduk mempunyai capaian internet sekurang-kurangnya 4G bagi menampung aktiviti seharian mereka secara atas talian (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, 2020).

        Dengan adanya jaringan Internet yang kuat di Kampung Mohimboyon maka ia secara tidak langsung akan dapat mengurangkan beban penduduk kampung kerana dapat mengendalikan urusan pekerjaan serta pembelajaran secara atas talian dengan selesa dari rumah sahaja. Tuntasnya, ia dapat memudahkan urusan mereka sekali gus mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu ini dimana semua urusan perlu dijalankan secara atas talian sahaja.


RUJUKAN

Berita harian. (21 Januari 2021). Capaian internet yang lemah sukarkan guru laksana PDPR.    Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/778560/capaian-internet-lemah-sukarkan-guru-laksana-pdpr

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2021). Kenyataan media. Penggunaan dan capaian ICT oleh individu dan isi rumah 2020. Diperoleh daripada    https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-   Press_Statement/2021/20210412-Kenyataan_Media   Penggunaan_dan_Capaian_ICT_oleh_Individu_dan_Isi_Rumah_2020.pdf    

Nur Ain Md Lukmanul Hakim, Nur Aisyah Junaidun, Nurul Syazwani Mohamad Fadzil & Mohd Izzuan Mohd Israr. (2021). Persepsi Pengguna Internet di Malaysia Semasa Pandemik COVID-19. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH)6(4), 117-      125.

Portal Rasmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. (2016). Dewan Rakyat: Infrastruktur Komunikasi 2016. Diperoleh daripada https://www.kkmm.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=10499:&catid=524&showall=1&limitstart=&lang=ms

Sinar harian. (2020). KKMM pastikan rangkaian telekomunikasi lebih baik di luar bandar. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/114497/BERITA/Nasional/KKMM-pastikan rangkaian-telekomunikasi-lebih-baik-di-luar-bandar

Sinar Harian. (2021). Internet sering terputus sukarkan proses bekerja dari rumah. Diperoleh daripada  https://www.sinarharian.com.my/article/108703/SUARA-SINAR/Pojok/Internet-     sering-terputus-sukarkan-proses-bekerja-dari-rumah

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. (2020). KKMM komited pertingkatkan jaringan Internet. Diperoleh daripada https://www.mcmc.gov.my/ms/media/press-clippings/kkmm-komited-pertingkatkan-jaringan-internet

Utusan Malaysia. (21 September 2020). Menara, Geografi faktor masalah internet. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/778560/capaian-internet-      lemah-sukarkan-guru-laksana-pdpr


LAMPIRAN

Link soal selidik:

https://docs.google.com/forms/d/1fHtcIwdKK6vGc6FGyKtJdcntewfgO9zkA8QiE2co7gI/edit


Penulis             : Hazwin Naja binti Hambyah

No. Matrik        :  Dxxxxxx91298

Kumpulan        : C

Berita




No comments:

Post a Comment