Tuesday, December 28, 2021

KESAN GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK DI KAMPUNG RAHMAN, SEMPORNA SABAH

KESAN GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK DI KAMPUNG RAHMAN, SEMPORNA SABAH. 

Pengenalan

Daerah Semporna adalah salah satu daerah yang terletak di Pantai Timur Sabah dan terletak berhampiran dengan sempadan perairan antarabangsa iaitu Filipina dan Indonesia. Semporna merupakan sebuah pekan kecil dimana asalnya dikenali sebagai Simporna yang bermaksud tempat untuk berehat atau kawasan yang tenang. Nama tersebut diberikan oleh seorang Gabenor Inggeris; W. M. Crocker dan beberapa orang rakannya semasa menemukan daerah ini pada tahun 1887. (Majlis Daerah Semporna, 2021) Selain itu, daerah ini juga dikenali dengan nama 'Tong Talun' iaitu yang bermaksud 'Hujung Hutan' yang diambil daripada bahasa Bajau. Nama Tong Talun ini diberi oleh masyarakat Bajau Semporna yang merupakan suku kaum utama di kawasan Semporna. Daerah ini terdiri daripada gabungan tanah besar Semporna dan beberapa buah pulau antaranya pulau terbesar iaitu Pulau Bum-bum. Terdapat banyak pulau-pulau yang terkenal di kalangan pelancong-pelancong yang hendak melakukan aktiviti laut.

Gambar 1 : Peta Daerah Semporna.

Sumber : Google maps


Selain itu, daerah Semporna ini mempunyai lebih kurang beratus buah kampung telah wujud di sana termasuklah kampung Rahman yang pengkaji pilih untuk blog ini. Terdapat sebuah Masjid Inabah Kamal, sebuah Sekolah Agama Tun Sakaran (SATS) dan sebuah Tadika Islamiyyah Tun Sakaran serta sebuah Muzium Tun Sakaran. Kampung ini terletak ditengah-tengah antara pekan Semporna dan kawasan darat (utara) Semporna. Jarak antara pekan Semporna dengan kampung Rahman hanya 2.5 KM. Terdapat pelbagai aktiviti penduduk yang dijalankan untuk menampung sara hidup mereka. Selain itu, terdapat ciri-ciri fizikal di kampung ini seperti dikelilingi oleh kawasan paya bakau, jenis tanih becah, pelbagai spesis flora dan fauna dan sebagainya. Berdasarkan peta di bawah, kawasan yang berada di dalam bulatan merah tersebut adalah kawasan Kampung Rahman.

Gambar 2 : Peta Kampung Rahman.

Sumber : Google maps


Di kampung Rahman ini seringkali menghadapi masalah gangguan dan terputus bekalan elektrik secara tiba-tiba tidak kira pada waktu siang atau malam. Perkara ini sudah tentu menimbulkan banyak masalah kepada penduduk dan menyukarkan aktiviti seharian dijalankan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah ini sering kali berlaku sehingga para penduduk terpaksa mencari cara alternatif lain untuk memastikan bekalan elektrik tidak terputus terutamanya para peniaga sekiranya bekalan elektrik terputus begitu juga dengan Majlis Daerah Semporna mengambil Tindakan sewajarnya. Oleh itu, blog ini adalah untuk mengetahui dan mengenal pasti faktor yang menyebabkan bekalan elektrik terputus dan kesan negatifnya serta langkah yang seharusnya diambil secepat mungkin di Kampung Rahman. Selain itu, agar dapat memupuk semangat prihatin terhadap kesejahteraan penduduk di kampung tersebut.

 

Faktor Berlakunya Bekalan Elektrik Terputus

Masalah gangguan bekalan elektrik adalah merupakan keadaan terputusnya bekalan elektrik dalam jangka masa panjang ataupun dalam jangka masa pendek di sesebuah kawasan. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan bekalan elektrik di kampung Rahman terputus selama beberapa jam sehingga menjejaskan aktiviti seharian penduduk. Antaranya disebabkan oleh kerosakan pada tiang elektrik, litar pintas dan kes pengusikan meter elektrik serta faktor semula jadi.

Faktor yang pertama adalah kerosakan pada tiang elektrik. Tiang elektrik kawasan kampung Rahman adalah tiang elektrik yang agak lama dan terlalu banyak sambungan elektrik dari rumah-rumah kediaman di satu tiang elektrik. Perkara ini menyebabkan terlalu berat dan banyak voltan elektrik yang disalurkan daripada satu tiang elektrik dalam satu-satu masa sehingga menyebabkan bekalan elektrik di kawasan tersebut terputus.

Selain itu bekalan elektrik terputus juga disebabkan oleh kejadian litar pintas yang sering berlaku. Menurut Makweeng 2021, litar pintas ialah percantuman di antara litar hidup dengan litar neutral bagi pendawaian tinggi dan juga diantara fasa hidup dengan litar neutral bagi pendawaian tiga fasa dan juga diantara fasa hidup dengan litar neutral bagi pendawaian satu fasa. Litar pintas ini berlaku apabila penebat kabel litar rosak biasanya disebabkan oleh gigitan oleh binatang seperti tikus atau anai-anai, kemudian juga berlaku apabila sambungan kabel yang longgar disebabkan oleh kecuaian juruelektrik semasa menyambung kabel elektrik dan juga boleh berlaku litar pintas apabila penghuni menggunakan soket yang rosak yang mengeluarkan bunyi "buzz buzz" serta dapat dilihat percikan api (spark) di soket tersebut.

Disamping itu, gangguan elektrik ini juga berlaku disebabkan sikap tidak bertanggungjawab para penduduk. Bekalan elektrik kerap terputus salah satunya disebabkan oleh kes pengusikan meter elektrik. Para penduduk ramai yang melakukan pengusikan meter elektrik ini bagi mengurangkan jumlah meter elektrik yang digunakan dan untuk mengelakkan daripada membayar bil elektrik yang tinggi. Mereka mencabut meter elektrik yang asal kemudian menukarkannya dengan alat lain bagi mengelakkan mereka daripada membayar bil elektrik yang tinggi. Sekiranya perkara ini berterusan dalam jangka masa yang panjang dan ramai penduduk yang melakukannya secara tidak langsung masalah bekalan elektrik akan kerap terputus serta memberi masalah kepada penduduk di kampung tersebut.

            Faktor yang terakhir yang menyebabkan bekalan elektrik terputus adalah disebabkan oleh faktor semulajadi seperti ribut dan angin kencang yang kadangkala dihadapi oleh kampung Rahman. Angin yang sangat kencang biasanya akan meniup pokok-pokok sehingga dahan pokok terjatuh dan menyebabkan wayar elektrik terputus dan bekalan elektrik pun terganggu. Sekiranya perkara ini terjadi, masa yang diambil oleh Lembaga Elektrik Daerah Semporna untuk membaiki wayar yang terputus itu memakan masa yang agak lama sehingga menyebabkan pelbagai aktiviti harian tergendala.

 

Kesan Negatif Apabila Bekalan Elektrik Terputus

Antara kesan negatif apabila berlakunya kejadian bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba adalah menyebabkan kerosakan pelbagai peralatan elektrik yang sedang digunakan dalam kalangan para penduduk. Perkara ini sangat merunsingkan para penduduk apabila bekalan elektrik terputus. Hal ini kerana, pernah berlaku kerosakan peti sejuk penduduk apabila bekalan elektrik terputus dalam tempoh masa yang agak panjang kemudian apabila adanya kembali bekalan elektrik tersebut bekalan elektrik berlebihan telah masuk. sekiranya kejadian ini kerap berlaku akan menyebabkan system penyejukan dalam peti sejuk akan mengalami kerosakan sehingga tidak dapat menyejukkan dan membekukan ais. Perkara ini juga secara tidak langsung merugikan penduduk apabila mereka terpaksa membaiki kerosakan tersebut dengan kos yang boleh mencecah sehingga RM350 selain terpaksa menunggu lama peralatan tersebut dibaiki dan disiapkan. Bukan peralatan peti sejuk sahaja yang terjejas, namun banyak lagi peralatan elektrik lain yang juga mengalami kerosakan contohnya televisyen, mesin basuh, penyaman udara dan lain-lain.

Gambar 3 : Peti sejuk rosak


Gambar 4 : Mesin basuh tergendala

 

Di samping itu, kerosakan makanan yang telah disimpan juga semakin rosak akibat ketiadaan bekalan elektrik. Sangat berkait dengan kesan negatif yang pertama tadi iaitu apabila berlaku kerosakan peti sejuk secara tidak langsung makanan yang disimpan dalam peti sejuk juga akan rosak dan tidak dapat dimakan sekiranya bekalan elektrik terputus dalam jangka masa yang panjang. Terutamanya makanan mentah seperti daging, ikan, sayur, dan lain-lain. Bagi masalah makanan yang rosak ini sangat memberi kesan kepada para peniaga restoran makanan dan para peniaga-peniaga runcit. Hal ini kerana makanan yang mereka hendak gunakan untuk berniaga telah rosak dan banyak  merugikan mereka selain mereka terpaksa menanggung kerugian dalam memperbaiki peralatan elektrik yang telah rosak. Sekaligus menjejaskan dan melambatkan aktiviti harian para penduduk di kampung Rahman.

Gambar 5 : Bahan-bahan perniagaan rosak

 

Selain itu, segala aktiviti perniagaan juga terjejas akibat bekalan elektrik terputus dalam jangka masa yang agak panjang. Aktiviti perniagaan seperti kilang ais batu dan kilang kayu yang terdapat di kampung tersebut. Kilang pembuatan ais batu paling terjejas teruk apabila elektrik terputus secara tiba-tiba kerana sudah tentu ais-ais akan mencair sekiranya alat pembekuan dan penyejukan tidak berfungsi ketika itu. Banyak kerugian yang terpaksa peniaga tanggung apabila masalah ini berlaku dan tiada alat sokongan lain digunakan. Begitu juga dengan perniagaan kilang kayu di kampung tersebut, terpaksa berhenti beroperasi untuk memotong kayu-kayu dan papan kerana ketiadaan elektrik. Dalam jangka masa panjang ia merugikan para peniaga kerana terpaksa membeli peralatan baru sekiranya peralatan yang digunakan rosak akibat kekerapan gangguan elektrik yang berlaku di kampung tersebut. Segala perancangan aktiviti dan kegiatan pada waktu tersebut juga tergendala dan memberi kesan negatif kepada penduduk kampung.

Keselesaan penduduk terganggu apabila elektrik terputus. contohnya, masjid tidak dapat berfungsi dengan baik dan didengari laungan azannya oleh para penduduk. Sekolah tadika yang terdapat di kampung tersebut menjadi lebih panas dan tidak selesa kepada kanak-kanak untuk belajar. Kemudian keadaan rumah yang panas dan tidak selesa terutamanya pada waktu tengahari dan malam kerana keadaan yang panas dan pada waktu malam terpaksa bergelap pada ketika itu lebih-lebih sekiranya ada anak-anak kecil sudah pasti sangat susah dan sukar bagi penduduk tersebut sepanjang ketiadaan elektrik. Bagi seorang pelajar pula, mereka terganggu untuk menyiapkan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran apabila bekalan elektrik terputus pada waktu malam.

Seterusnya tahap keselamatan penduduk juga kurang terjamin pada waktu malam sekiranya bekalan elektrik masih tidak pulih sehingga waktu malam. Penggunaan bahan api seperti lilin atau pelita sebagai alat pencahayaan sangat berisiko. Kejadian kebakaran rumah boleh berlaku sekiranya para penduduk cuai akan menyebabkan kebakaran berlaku. Masalah kecurian juga tinggi pada waktu malam terutamanya bekalan elektrik terputus. Keadaan yang gelap dan sunyi menyukarkan lagi untuk menangkap dan membendung perkara ini daripada berlaku. Keselamatan penduduk juga pada ketika itu kurang terjamin sekiranya tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa secepat mungkin.

 

Langkah Mengatasi Masalah Gangguan Bekalan Elektrik

            Antara langkah atau jalan penyelesaian yang boleh diambil dalam mengatasi masalah ini adalah sentiasa menyemak pengumuman atau notis gangguan bekalan elektrik di portal rasmi daerah iaitu Sabah Electricity Sdn Bhd bagi bersedia menghadapi gangguan elektrik dan juga untuk mengelakkan daripada kerugian yang lebih besar berlaku. Para penduduk boleh memeriksanya samada di portal rasmi, facebook, atau notis yang ditampal oleh pihak bertanggungjawab. Perkara ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos dan penduduk dapat bersedia dengan bantuan alternatif lain bagi mengatasi masalah gangguan elektrik di kampung tersebut.

            Selain itu, pihak bertanggungjawab iaitu Sabah Electricity Sdn Bhd perlu sentiasa melakukan pemeriksaan tiang-tiang secara berkala bagi memastikan masalah mencuri elektrik atau menyambung bekalan elektrik secara haram dapat dielakkan. Perlu memastikan semua rumah-rumah kediaman mempunyai dan memasang wayar bekalan elektrik yang betul dan tidak mencuri daripada mana-mana tiang elektrik. Hal ini kerana, perkara ini sangat penting bagi memastikan tidak wujud masalah litar pintas sehingga boleh menyebabkan kebakaran dan wayar elektrik terputus. Kos membaik pulih dan peralatan-peralatan elektrik juga dapat dikurangkan oleh para penduduk.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor-faktor yang menyebabkan gangguan elektrik ini berlaku di kampung Rahman samaada disebabkan oleh kecuaian para penduduk atau faktor semulajadi yang menyebabkan kekerapan ketiadaan bekalan elektrik. Masyarakat hendaklah sentiasa cakna dan prihatin terhadap masalah gangguan bekalan elektrik yang sering berlaku. Pihak bertanggungjawab juga harus sentiasa melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan tiada masalah di pencawang elektrik dan masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di kampung Rahman juga semakin berkurang. Oleh itu, bekalan elektrik ini sangatlah penting dalam membantu kita menjalani aktiviti harian dengan lebih baik tidak kira samaada sebagai peniaga, rumah kediaman atau sekolah sekalipun adalah sangat penting untuk kita memastikan bekalan elektrik sentiasa ada dan tidak terputus.

 

Rujukan

Makweeng. (2021). 3 Punca litar pintas berlaku. Diperolehi daripada https://makweengineering.com/2021/04/30/3-punca-litar-pintas-berlaku/


Laman Web Rasmi Majlis Daerah Semporna. (2021). Indahnya Semporna. Diperolehi daripada 

https://www.sabah.gov.my/md.sprn/semporna.html


Satellite Google Maps. (20 Dis 2021). Map of Semporna/Peta Daerah SempornaDiperolehi daripada

https://www.google.com/maps/d/u/0/viewer?mid=1W-Hi2jzPYEuBzm3VK2WT7hVCPRU&hl=en&ll=4.475443749461501%2C118.6041185787816&z=17


Satellite Google Maps. (20 Dis 2021). Peta kampung RahmanDiperolehi daripada 

https://www.google.com/maps/place/Jalan+Inabah+Kamal,+Pekan+Semporna,+91308+Semporna,+Sabah/@4.4744037,118.601343,781m/data=!3m2!1e3!4b1!4m5!3m4!1s0x323ffe5d7be55767:0xdaaafed2a1b7bfd0!8m2!3d4.4743984!4d118.6035317?hl=en


NAMA : HAISAH BINTI MOHD HASAN

NO.MATRIK : DXXXXX083401

KUMPULAN : A

No comments:

Post a Comment