Thursday, December 23, 2021

Isu dan Permasalahan Bencana Banjir di Kampung Pengkalan Kakap, Merbok, Kedah

 

Kedudukan Malaysia yang terletak di kawasan beriklim tropika umumnya akan menerima hujan yang tinggi setiap tahun. Purata hujan tahunan bagi Semenanjuang Malaysia adalah sebanyak 2500 mm. Manakala bagi Sabah dan Sarawak sebanyak 3,500 mm. Walaubagaimanapun terdapat keadaan di mana hujan turun terlalu lebat di merata-rata tempat terutamanya pada musim tengkujuh yang boleh menyebabkan banjir besar berlaku. Terdapat beberapa jenis dan kategori bencana banjir yang berlaku di muka bumi ini seperti banjir pantai, banjir sungai, banjir kilat, banjir air bawah tanah, dan banjir pembentungan (Web Portal Environment Law Organization)(Rosalind, 1989) (Edmund and Handmer, 1988). Negeri-negeri di semenanjung Malaysia kerap kali berhadapan dengan bencana banjir pada setiap tahun. Antaranya adalah negeri Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur yang sering mengalami banjir kilat akibat peningkatan paras air sungai yang cepat dengan hujan lebat pada waktu yang singkat.

Di Kedah, banjir kilat sering berlaku di Daerah Kuala Muda/Yan terutamanya Kampung Pengkalan Kakap iaitu sebuah kampung yang terletak di Merbok di mana kedudukannya yang terletak di pantai barat semenanjung Malaysia dan menghadap Selat Melaka. Kampung Pengkalan Kakap juga terletak berhampiran dengan Sungai Merbok di mana sungai ini merupakan punca bekalan air utama bagi loji rawatan air Tupah yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada peduduk sekeliling. Selain itu, Kampung Pengkalan Kakap merupakan sebuah kampung yang terletak di kawasan tanah pamah yang rendah dan sering mengakibatkan kampung ini kerap ditimpa bencana banjir kerana ciri geografi tersebut iaitu kira-kira dua hingga ke tiga kali setahun.

Melalui sebuah tinjauan yang dilakukan di Kampung Pengkalan Kakap, pada 18 Ogos 2021, telah berlaku banjir kali pertama bagi tahun 2021 yang melibatkan hampir 30 buah rumah yang terkesan akibat bencana ini. Bukan itu sahaja, malahan pada 28 September 2021 juga telah berlaku sekali lagi banjir buat kali kedua di kampung tersebut.  Isu bencana banjir di Kampung Pengkalan Kakap ini bukanlah isu yang terasing lagi bagi penduduk setempat kerana ia kerap kali terjadi namun tiada penyelesaian yang efektif bagi mengelakkan bencana ini daripada berterusan berlaku. Kebiasaannya, bencana banjir yang berlaku di Kampung Pengkalan Kakap adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang merangkumi faktor semula jadi dan aktiviti manusia. Antara faktor yang menyebabkan bencana banjir di kampung tersebut adalah seperti berikut.

 Hujan yang berterusan di kawasan Merbok

Kejadian serentak yang melibatkan hujan lebat dan angin kencang yang berterusan telah menyebabkan Kampung Pengkalan Kakap dilanda banjir sebanyak dua kali pada tahun 2021. Hujan lebat yang berterusan selama hampir 5 jam tanpa henti pada 18 Ogos 2021 akibat fenomena cuaca seperti musim monsun dan jumlah hujan yang luar biasa telah menyebabkan penduduk di sekitar Kampung Pengkalan Kakap dan kawasan berdekatan dengannya dilanda banjir. Dimaklumkan bahawa kampung tersebut merupakan kawasan yang rendah di samping kedudukannya yang berada di tengah-tengah antara sawah padi dan sungai. Lazimnya, air hujan akan mengalir ke dalam sungai, namun apabila sungai dipenuhi air, ia akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan sekeliling dipenuhi air terutamanya kawasan yang rendah seperti Kampung Pengkalan Kakap. Ini merupakan faktor utama berlakunya bencana banjir yang kerap di kawasan kampung tersebut kerana kedudukannya di kawasan yang rendah serta dikelilingi oleh sawah padi dan sungai telah menyebabkan ia tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak pada suatu masa tertentu.


Gambar 1: Kawasan Kampung Pengkalan Kakap

Pemendapan dan hakisan Sungai Merbok

Hakisan dan pemendapan Sungai Merbok berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu hakisan yang berlaku secara semula jadi dan juga pembuangan sisa domestik oleh manusia. Di Kampung Pengkalan Kakap, hakisan dan pemendapan Sungai Merbok berlaku adalah disebabkan oleh faktor semulajadi di mana jika hujan turun dengan lebat, tebing-tebing sungai akan terhakis oleh air deras yang mengalir.  Hal ini secara langsung telah menyebabkan terbentuknya satu mendapan di dasar sungai akibat tanah tebing yang runtuh dan perkara ini akan mendorong sungai untuk menjadi semakin cetek. Tambahan lagi, terdapat segelintir masyarakat yang masih mengamalkan perbuatan membuang sisa domestik seperti sampah sarap ke dalam sungai. Perkara ini telah menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Akhirnya, apabila hujan turun dengan lebat di kawasan tersebut, sungai yang cetek kesan daripada hakisan semula jadi atau pencemaran tidak berupaya untuk menampung atau mengalirkan air hujan yang banyak. Oleh itu, air sungai akan melimpah ke tebing dan mendorong kepada berlakunya bencana banjir di Kampung Pengkalan Kakap pada setiap tahun.

Gambar 2: Sungai Merbok

Sistem Perparitan Yang Tidak Terancang di Kampung Pengkalan Kakap

Selain itu, masalah perparitan yang tidak terancang juga merupakan antara faktor utama banjir sering berlaku di kawasan Kampung Pengkalan Kakap. Hal ini disebabkan oleh kekurangan sistem perparitan dan saliran yang baik di mana sistem perparitan yang dibina tidak bersifat menyeluruh dan hanya terdapat di kawasan tertentu sahaja. Kebiasaanya longkang hanya dibina di kawasan kampung perumahan yang berdekatan dengan jalan raya besar sahaja. Oleh itu, kesan daripada kekurangan sistem perparitan ini menyebabkan banjir berlaku dengan kerap apabila hujan turun dengan lebat pada jangka masa tertentu. Di samping itu, titi di Sungai Merbok sering mengalami masalah tersumbat semasa hujan turun dengan lebat. Hal ini kerana, batang-batang pokok yang ditebang di sekeliling sungai tidak diselenggara dengan baik, akhirnya dibawa oleh arus deras air hujan dan mengalir ke dalam longkang serta sungai. Semasa hujan lebat, batang-batang pokok yang dibawa oleh air hujan serta sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai akan menyebabkan titi sungai tersumbat sehingga mengganggu sistem saliran sungai tersebut. Aliran air sungai yang tersumbat akibat pembuangan sampah ke dalam sungai serta batang-batang pokok yang besar ini akhirnya mendorong kepada berlakunya banjir terhadap penduduk di sekeliling kampung tersebut.


Gambar 3: Keadaan longkang di Kampung Pengkalan Kakap


Gambar 4: Keadaan titi Sungai Merbok

Kejadian banjir yang teruk berlaku pada setiap tahun sememangnya memberi impak negatif terhadap masyarakat dari sudut mental mahu pun fizikal. Antara kesan banjir yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Pengkalan Kakap adalah seperti berikut

Kemusnahan harta benda penduduk






Bencana banjir yang berlaku hampir setiap tahun di Kampung Pengkalan Kakap sangat meninggalkan kesan yang buruk terhadap penduduk akibat kemusnahan harta benda yang teruk. Melalui temu bual, menurut penduduk kampung tersebut yang dikenali sebagai Pak Mat, 58, beliau berkata bahawa banjir yang berlaku pada 18 Ogos 2021 merupakan banjir yang paling teruk berbanding banjir-banjir yang berlaku pada sebelum ini dengan mencatatkan kerugian yang agak besar terhadap penduduk. Keadaan yang melibatkan arus deras air hujan memasuki kediaman penduduk pada waktu malam menyebabkan penduduk tidak sempat membuat persediaan dan penysuaian terhadap bencana ini. Aras air banjir sehingga mencecah ke paras pinggang mengakibatkan banyak harta benda penduduk di kampung tersebut mengalami kerosakan kerana arus yang terlalu deras sehingga tiada harta benda yang sempat untuk diselamatkan. Menurut Pak Mat lagi, beliau berkata hanya dokumen penting dan kenderaan sahaja yang sempat diselamatkan. Kerosakan harta benda yang melibatkan barangan elektrik, perabot, dan harta benda yang lain terpaksa dibuang kerana tidak dapat digunakan lagi. Terdapat juga kerosakan jalan raya yang berlaku di kampung tersebut di mana titi yang menghubungkan jalan kampung ke pekan mengalami keretakan akibat arus deras banjir.


 

 

Gambar 5: Keadaan banjir salah satu rumah di Kampung Pengkalan Kakap

 

 Gambar 6: Keadaan selepas banjir salah satu rumah di Kampung Pengkalan Kakap

 

Menyebabkan kerugian kepada peniaga dan penternak binatang

Selain itu, banjir yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan kerugian kepada peniaga kedai runcit di Kampung Pengkalan Kakap. Terdapat beberapa peniaga barangan runcit di kampung tersebut mengalami kerugian kerana pendapatan mereka sebagai peniaga terjejas selepas kedai runcit digenangi air. Menurut salah seorang pemilik kedai runcit yang bernama Amer, 38, kebanyakan barangan yang rosak adalah stok barangan yang baharu memasuki kedai. Stok barangan tersebut tidak sempat disusun di rak dan terkena air banjir. Hal ini kerana, banjir yang berlaku adalah pada waktu malam dan ketika itu kedainya telah pun tutup. Justeru perkara ini amat memberi kesan terhadapnya di mana beliau terpaksa menanggung kerugian hampir mencecah RM5000 akibat kerosakan barangan runcit kerana banjir. Tidak kurang juga penduduk lain yang menternak haiwan seperti lembu, kambing, ayam dan itik, mereka juga mengalami kerugian apabila hasil ternakan mereka mati dan hilang kerana tidak sempat diselamatkan sehingga ada yang dibawa arus yang deras semasa banjir berlaku di kampung tersebut. Menurut penduduk kampung tersebut yang dikenali sebagai Encik Fadzilah, 64, beliau mengalami kerugian yang agak besar apabila hasil ternakan ayam beliau mati hampir 80 ekor akibat banjir dan diserangi penyakit selepas banjir tersebut. Terdapat juga penduduk yang mengalami kemusnahan hasil pertanian, namun tidak ketara kerana mereka hanya menanam hasil tanaman seperti sayurn untuk kegunaan sendiri sahaja.


Gambar 7: Keadaan reban ayam selepas banjir


Gambar 8: Keadaan ayam yang tinggal selepas banjir

Menjejaskan kesihatan penduduk akibat bekalan air bersih sukar dicari

Semasa hujan lebat berlaku di kawasan Merbok tempoh hari, penduduk di sekitarnya mengalami gangguan bekalan air kerana pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) sedang menjalankan kerja pembaikan paip yang bocor di loji rawatan air Tupah. Paip tersebut mengalami kebocoran kerana fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai yang mengakibatkan banyak kerosakan berlaku terutamanya di kawasan sistem saliran air. Oleh itu, bekalan air yang ditutup selama 7 hari menyebabkan penduduk di sekitar Merbok termasuklah Kampung Pengkalan Kakap sukar untuk memperoleh bekalan air yang bersih. Selain itu, kebiasaannya penduduk kampung menyediakan kemudahan sistem pelupusan kumbahan sendiri di belakang rumah masing-masing. Namun begitu, di samping kekurangan bekalan air bersih digabungkan pula dengan air pelupusan kumbahan penduduk kampung yang tidak terancang bersama air banjir dapat menimbulkan risiko penyakit air  seperti kolera, demam kepialu dan juga penyakit-penyakit lain bergantung kepada lokasi banjir tersebut. Oleh itu, ketiadaan rawatan air minuman dan bekalan air yang terputus selama 7 hari di Kampung Pengkalan Kakap ini telah menyebabkan penduduk sukar untuk memperoleh sumber air bersih sehingga memberi kesan yang tidak baik seperti menjejaskan kesihatan penduduk setempat. Menurut penduduk di kampung itu, mereka berkata bahawa bekalan air hanya dibuka pada waktu pagi di antara pukul 12 pagi hingga 4 pagi sahaja. Bekalan air tersebut sangat perlahan dan terhad serta hanya sedikit sahaja air tadahan dapat dibekalkan. Ada juga penduduk yang terpaksa menadah air hujan kerana kawasan perumahan mereka tidak menerima sebarang bekalan air bersih akibat penutupan loji rawatan air.

Setip masalah yang berlaku semestinya mempunyai jalan penyelesaiannya tersendiri termasuklah bencana banjir ini. Oleh itu, antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini antaranya termasuklah:

Projek pendalaman Sungai Merbok

Kebanyakkan bencana banjir berlaku adalah disebabkan oleh kecetekan sungai. Oleh itu, usaha utama yang harus dilakukan sebagai salah satu langkah untuk mengatasi masalah banjir adalah projek pendalaman sungai. Ketika dahulu, sungai mampu untuk mengalirkan air dalam jumlah yang banyak, namun pada masa kini pengaliran air telah pun berkurangan dan terbatas kerana berlakunya proses pemendapan serta pembuangan sampah sarap ke dalam sungai. Justeru, bagi menangani masalah ini, proses pendalaman sungai haruslah dijalankan dengan mengorek semua pasir, lumpur dan kekotoran yang terdapat di dalam sungai bagi membolehkan sungai berupaya untuk mengalirkan air dalam jumlah yang lebih banyak.

Mengawal aktiviti manusia

Banjir kilat yang berlaku adalah berpunca daripada aktiviti segelintir manusia yang kurang bertanggungjawab. Bagi menangani masalah ini, setiap inidvidu masyarakat haruslah mempunyai kesedaran tentang kepentingan sungai sebagai sistem saliran di kawasan tempat tinggal masing-masing. Sebagai contoh, sebuah kempen “Cintai Sungai Kita” haruslah diadakan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti kerajaan supaya dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang aktiviti yang bersifat negatif dapat mendatangkan keburukan kepada alam sekitar dan juga penduduk. Selain itu, pihak-pihak lain yang bertanggungjawab juga haruslah memastikan sungai sentiasa bersih dan tidak menjadi tempat pembuangan sampah sarap oleh penduduk. Walaupun banjir sering kali terjadi akibat hujan lebat, namun masyarakat juga haruslah peka dan berwaspada dengan mengawal aktiviti yang tidak sepatutnya agar masalah banjir ini dapat dielakkan.

Secara kesimpulannya, isu permasalahan banjir di Kampung Pengkalan Kakap terjadi disebabkan beberapa faktor seperti hujan yang berterusan, pemendapan dan hakisan sungai serta sistem perparitan yang tidak terancang. Faktor-faktor ini telah memberi impak negatif terhadap penduduk di kampung tersebut kerana mereka terpaksa berhadapan dengan masalah bencana banjir pada setiap tahun. Bencana banjir ini memberi kesan dari segi kerosakan harta benda, kerugian kepada peniaga barangan runcit dan hasil ternakan serta kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akibat bekalan air yang terputus. Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, terdapat beberapa langkah yang harus diambil oleh pihak yang bertanggungjawab seperti mengadakan kempen cintai sungai, proses pendalaman sungai dan masyarakat itu sendiri haruslah bertanggungjawab serta sedar atas segala tindakan yang mereka lakukan terhadap alam sekitar

Rujukan:

Edmund C Penning-Rowsell, John W Handmer (1988) Managing Flood Risk in The UK. The Geographical

Journal 154 (2), 209-220.

Rosalind S (February 01, 1989) Living With Floods In Bangladesh. Anthropology Today 5 (1), 11-13.

Web Portal World Meteorological Organization (n.d). Water – Flood Management. Available from: http://www.apfm.info/

Sumber air Dan Ketamadunan Sungai Batu Di Lembah Merbok, Kedah. (2017, May 2). ResearchGate. https://www.researchgate.net/publication/303653946_Sumber_Air_dan_Ketamadunan_Sungai_Batu_di_Lembah_Merbok_Kedah

UM Students' Repository. https://studentsrepo.um.edu.my/688/3/BAB2.pdf

 

Nama: ILHAM AULIA BINTI FADZILAH

No. Matrik: D******88257

Kumpulan: C

 

No comments:

Post a Comment