Monday, December 27, 2021

Kemudahan infrastruktur riadah di Taman Awam Changkat, Batu Gajah : Isu dan kesan kepada penduduk sekitar

 NAMA: ARIF ASYRAF BIN MOHD YUSOFF

NO MATRIKS: D20182086146


                                                           Konsep Taman Rekreasi

           



    Taman Awam Changkat terletak di pinggir pekan Batu Gajah. Di sana terdapat beberapa taman perumahan  dan pusat pentadbiran seperti Majlis Daerah Batu Gajah dan Pejabat Tanah Kinta. Penduduk berhampiran kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu dan majoriti merupakan penjawat awam dan swasta. Hubungan kejiranan di situ juga agak baik dan harmoni. Isu yang akan dikupaskan di sini adalah melibatkan kemudahan riadah yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Padang sukan dan rekreasi awam adalah merupakan satu kawasan untuk tujuan rekreasi aktif yang mengandungi berbagai padang sukan. Ianya disediakan untuk memberi kemudahan kepada golongan pelajar dan belia untuk bersukan. Kemudahan ini selalunya di sediakan di peringkat bandar dan kawasan kejiranan. Menurut Jubenville (1976), penyedian taman rekreasi awam mampu meningkatkan semangat kekitaan. Semangat kekitaan yang wujud boleh menghasilkan persekitaran yang selamat dan kondusif. Menyediakan satu suasana yang boleh membantu masyarakat bandar dalam menentukan gaya hidup sihat, kreatif dan kebebasan dalam memenuhi aspek fizikal dan spiritual. Rekreasi pula merupakan satu aktiviti yang dijalankan pada masa lapang yang mana dapat memberikan keseronokan, menghindari stress dan sebagainya. Banyak jenis aktiviti yang boleh dikaitkan dengan rekreasi seperti berenang, berbasikal dan bersenam. Di Taman Awam Changkat, laluan pejalan kaki dan berbasikal ada disediakan oleh pihak PBT. Ini seterusnya menggalakkan penduduk sekitar untuk bersukan.

Isu-isu di Taman Rekreasi

Kemalangan kanan-kanak

Penyelenggaran taman sepatutnya dilakukan dengan kerap agar peralatan yang ada dapat digunakan dengan baik. Sekiranya peralatan tidak diselenggara dengan baik, sudah tentu peralatan tersebut akan mudah rosak seterusnya memberi kesan kepada pengguna. Antara peralatan yang kerap dikaitkan dengan kemalangan adalah papan jongkit, buaian dan gelunsur. Oleh yang demikian, pihak PBT seharusnya membuat pengawasan secara berkala agar kemalangan di Taman Awam Changkat tidak berlaku. Pihak PBT juga perlu menyediakan papan tanda had umur yang boleh menggunakan perlatan tersebut. Ibu bapa juga perlu sentiasa memantau anak-anak ketika berada di situ.

Vandalisme

Menurut Kamus Dewan (2005) vandalism merujuk kepada perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Sebagai contoh adalah menconteng atau merosakkan peralatan yang disediakan. Isu ini sememangnya agak kurang berlaku di taman rekreasi Changkat. Namun begitu aktiviti Vandalisme tidak mengira masa dan tempat. Sebelum ini antara tempat yang kerap dilakukan aktiviti vandalisme adalah tandas awam yang di sediakan di taman tersebut. Terdapat banyak contengan di dinding dengan perkataan lucah dan kotor. Selepas taman tersebut dinaiktaraf makan aktiviti vandalisme juga agak kurang berlaku. Apa yang lebih teruk adalah apabila terdapat juga batang besi peralatan yang disediakan telah dicuri. Ini sekaligus hanya akan menyebabkan kerugian dan membahayakan penduduk yang menggunakan peralatan.

Pembuangan sampah

Pembuangan sampah antara isu yang berlaku di Taman Awam Changkat. Kedatangan ramai pengunjung ke situ membawa bungkus makanan dan air telah menyebabkan isu ini berlaku. Pembuangan bungkusan tersebut mampu mengundang serangga berbisa. Selain itu hujan yang kerap berlaku pula akan menyebabkan air bertakung seterusnya akan menyebabkan nyamuk membiak di kawasan tersebut. Walaupun isu ini masih tidak sampai ke tahap yang teruk namun kesedaran awam amat perlu ditekankan oleh pelbagai pihak. Sekiranya isu ini berterusan di Taman Awam Changkat maka ianya hanya akan mencacatkan pemandangan dan menyebabkan persepsi yang buruk daripada orang luar. Langkah yang dibuat Majlis Daerah Batu Gajah adalah menyediakan tong-tong sampah serta papan tanda larangan membuang sampah.

 

Kesesakan lalu lintas

Antara isu utama yang berlaku di sana adalah kerap berlaku kekesakan di jalan utama iaitu Jalan Pandak Akhat. Tempat untuk meletak kenderaan yang terhad menyebabkan berlakunya kesesakan. Ini ditambah pula dengan ruang parkir yang terhad. Sekiranya isu ini dibiarkan begitu saja maka orang awam atau penduduk sekitar akan beralih ke tempat lain untuk beriadah.Isu ini akan kerap berlaku apabila menjelang cuti sekolah atau hujung minggu manakala pada hari biasa jarang berlaku.

 

Kesan-kesan kemudahan riadah kepada penduduk sekitar

 Memupuk semangat perpaduan

Kewujudan taman awam itu sebenarnya turut memberi kesan kepada perpaduan. Sebagai contoh, masyarakat Cina kebiasaanya akan melakukan senamrobik atau Zumba di awal pagi sekitar 7-8 pagi. Ini turut disertai oleh masyarakat Melayu dan India. Oleh yang demikian, berlakulah komunikasi diantara mereka seterusnya memupuk semangat perpaduan. Ini juga sebenarnya meningkatkan semangat kejiranan kerana kebiasaannya mereka adalah dari kalangan penduduk di situ. Pembentukan komuniti yang baik akan menyebabkan persekitaran yang sihat dan selamat.

 

Menyihatkan tubuh badan

Aktiviti rekreasi yang dijalankan mampu meningkatkan kesihatan. Kemudahan yang telah disediakan pihak PBT akan menggalakkan lagi penduduk sekitar untuk beriadah dan melakukan senaman. Kebiasaanya, penduduk akan meluangkan masa sekali dalam seminggu untuk bersenam. Antara tarikan yang ada disitu adalah kemudahan laluan pejalan kaki dan berbasikal. Aktiviti tersebut boleh mengeluarkan peluh dan menyihatkan tubuh badan. Terdapat juga beberapa alat senaman yang disediakan di situ. Kekerapan beriadah dan bersenam akan melancarkan tekanan darah. Seterusnya kesihatan fizikal dan mental yang baik sudah tentu akan meningkatkan produktiviti seseorang sekaligus memberi kesan kepada presatasi kerja.

 Menjana pendapatan

Sebelum ini Taman Awam Changkat tidak dibenarkan untuk sesiapa berniaga di situ namun terdapat beberapa perubahan yang dilakukan. Terdapat beberapa orang penjaja yang dibenarkan untuk berniaga. Sekaligus mampu menjana pendapatan. Ini kerana disebabkan oleh jumlah pengunjung Taman Awam Changkat yang semakin ramai. Selain itu, penambahbaikan yang telah dilakukan PBT sejak 2018 telah berjaya mengubah beberapa landskap di Taman Awam Changkat.

Rumusan

Taman Awam Changkat sememangnya antara kawasan tumpuan Kawasan perumahan berdekatan. Lokasinya yang terletak berdekatan dengan pekan dan pusat pentadbiran membolehkan penduduk meluangkan masa untuk beriadah. Pihak PBT yang peka dengan peningkatan penduduk sekitar telah membuat keputusan untuk menambahbaik fungsi taman rekreasi tersebut. Kewujudan trek berbasikal dan Lorong pejalan kaki telah memudahkan urusan penduduk untuk bersenam. Terdapat begitu banyak manfaat yang telah dicatatkan. Selain itu juga, timbul beberapa isu yang mungkin kerap berlaku dan jarang berlaku telah disenaraikan. Pihak PBT boleh menambahbaik taman rekresi agar dapat terus memberi manfaat kepada penduduk sekitar. Ini kerana landskap yang cantik akan menarik lebih ramai pengunjung ke taman rekreasi.

 

Rujukan

1. Piawaian Perancangan Tanah Lapang dan Rekreasi. 1997.Jabatan Perancangan Bandar dan Desa

2. Siti Fauzani Md Salleh & Bushroh Basiron. 2017. Vandalisme dalam kalangan Remaja dan Kaedah Menanganinya.


No comments:

Post a Comment