Pengenalan
Seni dan kraf adalah suatu identiti yang
melambangkan budaya sesebuah masyarakat. Penciptaan yang indah dan teliti
menggabungkan unsur budaya adalah simbol ketukangan Malaysia. Pada zaman dahulu,
kraftangan sebegini hanya digelar industri tradisional, yang mana hanya
dilakukan bagi mengisi masa lapang dan hobi. Namun, bagi mereka yang mempunyai
banyak masa terluang, aktiviti ini boleh dijadikan sebagai alternatif bagi menambah
sumber pendapatan. Kebiasaannya kraftangan yang telah dihasilkan adalah
menggunakan teknik yang diturunkan secara turun-temurun tetapi masih memelihara
bentuk serta objek kraftangan tersebut. Berikutan itu, aktiviti ini telah melangkau
ke hadapan dan menukar mod ke arah pengeluaran secara komersial.
Kuala Kangsar
Di Malaysia, Perak adalah salah sebuah
negeri yang terkenal dengan hasil seni warisannya. Rajah 1 menunjukkan daerah
Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai Bandar Diraja dan Bandar Warisan yang
mana memiliki tarikan pelancong dalam warisan sejarah dan budaya yang
tersendiri. Kuala Kangsar merupakan sebuah daerah berkeluasan 256,360.54 hektar
yang mempunyai 41,356 jumlah penduduk yang mana terdiri daripada 21,234
penduduk lelaki dan 20,122 penduduk perempuan. Terdapat 9 mukim yang berada di
Kuala Kangsar iaitu Chegar Galah, Kota Lama Kiri, Kota Lama Kanan, Lubok
Menghobo, Kampung Buaya, Senggang, Sayong, Sungai Siput dan Pulau Kemiri.
Rajah 1. Peta lokasi daerah Kuala Kangsar
Labu Sayong
Dalam sektor pelancongan, daerah ini terkenal dengan perusahaan kraf tempatan terutamanya produk Labu Sayong yang menjadi lambang ketamadunan zaman silam yang masih kekal dipelihara hingga kini. Menurut Institut Kraf Negara (2016), labu sayong adalah gabungan daripada perkataan labu dan sayong. Labu merupakan sejenis buyong, kendi atau lakar tembikar yang mempunyai rupa yang senonim dengan labu, manakala sayong pula merupakan tempat asal usul pembuatan labu itu sendiri. Pada zaman dahulu, Labu Sayong atau dikenali sebagai labu picit ini merupakan satu simbol intelektual bagi masyarakat melayu dan sering digunakan dalam kehidupan seharian.
Secara amnya, Labu Sayong adalah sejenis tembikar berwarna hitam yang diprodukkan dari Kampung Kepala Bendang yang terletak di mukim Sayong iaitu kira-kira 14 Kilometer dari Bandar Kuala Kangsar. Kraftangan ini diperbuat daripada sumber bahan mentah iaitu tanah liat yang diperoleh khas daripada kampung tersebut. Motif ukiran tempat penyimpanan air ini lebih menjurus kepada unsur tradisional terutamanya dalam aspek bunga seperti padi, cengkih, bunga tanjong, pucuk rebung dan lawang (Rajah 2). Seramik ini telah mengalami revolusi di mana kaedah penghasilannya telah direvolusikan daripada kaedah tradisional kepada kaedah moden.
Rajah 2. Ukiran yang terdapat pada Labu Sayong
Melalui temubual yang dijalankan bersama pengusaha Labu Sayong iaitu Encik Harun, 62 (Rajah 3). Beliau mengatakan bahawa proses pembuatan Labu Sayong ini dilakukan secara berperingkat iaitu dimulakan dengan pengambilan tanah yang sesuai seperti tanah liat, tanah pasir dan tanah biasa. Seterusnya, tanah tersebut perlu dijemur dibawah cahaya matahari selama dua atau tiga hari untuk mengeringkan tanah-tanah tersebut sebelum digunakan. Tanah yang telah dikeringkan akan ditumbuk dengan menggunakan lesung kaki (Rajah 4). Seterusnya, proses ini diteruskan lagi dengan mengayak tanah tersebut untuk mengasingkan bahan lain yang tidak hancur bagi memudahkan proses pembancuhan tanah dengan air untuk dibentuk menjadi labu.
Rajah 3. Pengusaha Labu Sayong (sebelah kiri)
Rajah 4. Lesung kaki yang digunakan untuk menumbuk tanah yang telah dikeringkan
Menurut pengusaha ini juga, proses bancuhan yang dilakukan perlu disukat dengan betul mengikut kuantiti air yang sesuai agar bahan yang dibancuh tidak terlalu lembik dan mudah untuk dibentukkan. Hal ini kerana proses membentuk labu ini merupakan asas yang penting dalam menentukan kekuatan dan keindahan labu itu sendiri. Tanah berbentuk silinder akan dilingkari menjadi bulatan dan lingkaran tanah dipicit sambil memusingkan pinggan (Rajah 5). Proses ini dilakukan bertujuan untuk menaikkan tanah sehingga membentuk badan, leher, kepala dan muncung labu. Akhirnya, labu yang siap dibentuk akan dihias dengan menggunakan motif-motif khusus mengikut citarasa pembuat labu sayong sebelum ia dibakar dengan menggunakan alat pembakar khas seperti yang ditunjukkan pada Rajah 6. Namun begitu, penghasilan labu sayong ini juga boleh dihasilkan melalui penggunaan acuan yang telah disediakan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 7 dan 8. Tanah yang dibancuh akan dituang ke dalam acuan setelah itu diukir dan dikeringkan sebelum dibakar selama lapan jam. Labu yang telah dibakar akan dibiarkan seketika sebelum dipamerkan untuk tujuan penjualan.
Rajah 5. Pinggan yang digunakan
Rajah 6. Tempat pembakaran labu
untuk membentuk labu
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Zurina,
Habibah dan Hamzah (2020), kunjungan pelancong domestik pada pusat pembuatan dan
penjualan kraf tangan di perusahawan tembikar dan seramik yang dilaksanakan
hampir 30 usahawan di Bandar Diraja Kuala Kangsar mengalami kunjungan yang
sedikit. Pernyataan ini disokong oleh pengusaha labu sayong itu sendiri, yang
mana beliau mengatakan bahawa pengunjung yang hadir sama ada untuk membeli atau
melawati penjualan kraf tangan adalah semakin kurang saban tahun terutamanya
semenjak pandemic Covid-19 ini melanda seluruh dunia. Bahkan dengan ini, bagi menstabilkan
kembali sumber pendapatan dalam penjualan seramik ini. Terdapat beberapa cara
yang dilakukan oleh Encik Harun dalam menarik minat pelancong terhadap
perusahaannya. Rajah 9 menunjukkan bengkel pembuatan labu sayong dan kedai
perusahaan yang mempamerkan tembikar yang telah dihasilkan.
Antaranya ialah dengan melakukan Jejak Kraf yang bertujuan untuk mempromosikan seni tembikar ini kepada pelancongan yang mana terdiri daripada pelancong tempatan dan juga luar negara. Menerusi program ini, pelacongan bukan sahaja dapat mengenali kraf tangan yang terdapat di Kuala Kangsar, namun mereka juga dapat mengetahui susur galur serta menikmati cara memproses labu sayong ini dengan sendirinya. Seterusnya, pengusaha tembikar ini juga turut menyediakan muzium Labu Sayong untuk kunjungan para pelancong disana. Harga tiket yang ditawarkan adalah amat berpatutan iaitu RM1.00. Muzium ini mempamerkan replika mengenai pemprosesan pembuatan labu sayong yang dilakukan secara tradisional (Rajah 10 dan 11)
Pada pendapat saya, melalui pendekatan
yang dilakukan oleh Encik Harun, ia sedikit sebanyak membantu dalam memberi
pendedahan kepada pelancong luar mengenai seni tembikar yang dihasilkan di
samping membantu pengusaha tempatan dalam menstabilkan serta meningkatkan
kembali sumber pendapatan mereka. Secara kesimpulannya, Bandar Diraja merupakan
produk pelancongan yang penting dalam sesuatu pembangunan dan pertumbuhan pelancongan
di Malaysia. Hal ini kerana Bandar Warisan merupakan satu destinasi yang wajib
dikunjungi oleh para pelancong bagi mengurangkan aliran keluar mata wang di
samping memperkenalkan produk-produk tempatan kepada pelancong luar dan domestik
serta memperkenalkan warisan seni budaya yang terdapat di Malaysia kepada generasi
muda agar warisan seni industri yang wujud sejak 200 tahun dahulu ini kekal
digunakan agar tidak luput ditelan zaman. Bak kata pepatah “tak lapuk dek
hujan, tak lekang dek panas”.
Rujukan:
1. Fazliana Omar, & Tajul Shuhaizam Said. (2018). Asimilasi Tembikar Sayong sebagai Produk Seramik Kontemporari di Malaysia. Jurnal Seni dan Pendidikan Seni, 6, 11-21.
2. Institut Kraf Negara. (2016).
3. Zurina Ahmad Saidi, Habibah Ahmad, & Hamzah Jusoh. (2020).
Pelancongan Bandar Diraja: Satu Pola Kunjungan Pelancong Domestik di Kuala
Kangsar. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities, 5(1),
15-31.
Penulis: Nur Natrah Natasha Binti Mustapa Ayub
No. matrik: D20182085846
Kumpulan: A
No comments:
Post a Comment