TAJUK:
ISU PEMBUANGAN SAMPAH SARAP DI TAMAN DESA PERMAI, JUASSEH, NEGERI SEMBILAN.
Isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat bukanlah satu isu yang baru di negara Malaysia, malah merupakan isu yang semakin serius sejak dahulu lagi. Isu ini boleh menganggu keharmonian dan keselesaan manusia jika tidak dibendung dengan segera. Sampah sarap dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang faedah, malah boleh mendatangkan mudarat jika tidak diurus dengan baik. “Sampah sarap boleh didefinisikan sebagai bahan yang dilupuskan kerana ia tidak dapat digunakan ataupun tidak diperlukan lagi oleh manusia ataupun tidak mempunyai nilai dari segi ekonomi yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti harian manusia” (Chamhuri, 2000).
“Sampah boleh dikategorikan kepada dua, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik” (Ridwan Lubis, 1994). Sampah domestik merupakan bahan buangan yang dibuang dari rumah seperti botol, kaca, kertas, beg plastik dan sisa-sisa makanan. Manakala, sampah bukan domestik pula adalah bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan dan juga di pejabat yang mana bahan-bahan buangan ini terdiri daripada pelbagai jenis termasuklah sisa-sisa daripada proses pengilangan.
Rajah 1: Papan tanda Taman Desa Permai, Juasseh, Negeri Sembilan
Pembuangan sampah boleh ditakrifkan sebagai pembuangan sesuatu benda atau bahan-bahan hasil daripada perbuatan manusia itu sendiri ke atas alam sekitar. Kebiasaannya, sisa-sisa sampah tersebut akan dibuang dan dilonggokkan di tempat-tempat pembuangan sampah sama ada dengan menggunakan teknik pembuangan yang betul atau sebaliknya. Isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat ini masih berlaku di Taman Desa Permai, Juasseh sehingga kini. Walaubagaimanapun, jenis-jenis sampah yang sering dibuang merata-rata tempat di kawasan Taman Desa Permai ini berdasarkan kepada pemerhatian adalah kebanyakannya sampah yang terdiri daripada bahan-bahan bungkusan makanan dan minuman. Hal ini didapati kerana terdapat segelintir penduduk di Taman Desa Permai ini membuang sampah di merata-rata tidak kira tempat dan waktu asalkan mempunyai peluang untuk membuangnya terutama di simpang-simpang jalan dan juga di dalam longkang yang tidak dapat dilihat dengan jelas oleh penduduk yang lain.
Rajah 2 : Sampah sarap di tepi-tepi jalan Taman Desa Permai, Juasseh, Negeri Sembilan
Isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat masih berlaku di Taman Desa Permai seperti mana yang dapat dilihat dalam Rajah 2. Oleh itu, terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti disebabkan oleh berlakunya isu pembuangan sampah ini. Punca yang pertama adalah disebabkan oleh sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Hal ini berlaku kerana penduduk di Taman Desa Permai ini tidak peka terhadap isu yang berkaitan dengan pembuangan sampah sarap serta kurangnya ilmu pengetahuan tentang amalan pengurusan sampah sarap yang betul. Penduduk yang tidak mempunyai kesedaran sivik dalam diri untuk menjaga alam sekitar juga mendorong mereka untuk membuang sampah sarap di merata-rata tempat tanpa menghiraukan kesan terhadap kawasan persekitarannya. Contohnya, terdapat segelintir penduduk di Taman Desa Permai ini yang mengambil jalan mudah dengan hanya melontarkan atau membuang sampah di tepi tong sampah dan bukannya ke dalam tong sampah yang telah disediakan. Sikap penduduk sebeginilah yang menjadi sukar untuk membendung isu pembuangan sampah sarap di atas muka bumi ini. Tambahan pula, isu pembuangan sampah ini merupakan salah satu punca pencemaran yang semakin serius. Oleh itu, penduduk di Taman Desa Permai ini perlulah sentiasa cakna dengan isu alam sekitar.
Rajah 3 : Jadual kutipan sampah dan pembersihan awam di Taman Desa Permai, Juasseh, Negeri Sembilan
Selain itu, kutipan sampah yang tidak menepati masa juga merupakan salah satu punca yang berlakunya masalah pembuangan sampah di Taman Desa Permai. Hal ini berlaku disebabkan oleh ketidakcekapan syarikat- syarikat swasta yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengutip sampah sarap ini gagal menjalankan tugas mereka mengikut jadual yang telah ditetapkan sehingga menyebabkan sampah sarap tersebut semakin bertambah dan berselerak terutamanya di kawasan sekitar tong sampah. Hal ini juga berlaku disebabkan oleh sampah sarap tersebut telah terkumpul dalam tempoh masa yang agak lama sehingga tidak mempunyai ruang untuk membuang sampah dan akhirnya menimbulkan masalah pembuangan sampah merata-rata di kawasan tersebut.
Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga menyebabkan isu pembuangan sampah ini tidak berkesudahan, malah semakin menjadi-jadi. Hal ini kerana peranan pihak berkuasa dilihat semakin merosot dan pemantauan yang tidak konsisten telah menyebabkan lahirnya penduduk yang tidak mempedulikan atau mengendahkan tentang isu ini. Walaupun kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu mengandungi peruntukan untuk mencegah, menghapus, mengawal serta memperbaiki kualiti alam sekitar, namun jika melakukan kerja secara sambil lewa akan menyebabkan masalah pembuangan sampah ini juga tidak dapat dibendung. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat perlulah dilaksanakan agar masalah pembuangan sampah ini dapat dikurangkan serta dapat membuka mata penduduk untuk menjaga alam sekitar.
Masalah pembuangan sampah sarap yang tidak sistematik dan tidak diurus dengan baik akan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar dan juga manusia. Oleh itu, kesan-kesan masalah pembuangan sampah sarap di Taman Desa Permai ini antaranya adalah akan menjejaskan kesihatan penduduk sekeliling. Hal ini kerana pengurusan sampah sarap yang tidak diurus dengan baik akan menarik perhatian vektor-vektor pembawa penyakit seperti nyamuk aedes, tikus dan lipas untuk membiak di kawasan yang tercemar tersebut. Tambahan pula, longgokan sampah sarap yang dibiarkan dalam tempoh yang lama juga akan mengakibatkan jumlah haiwan dan serangga meningkat. Kesannya, persekitaran fizikal akan menjadi tidak sihat bukan sahaja dari pandangan luar, malah mewujudkan kesan sampingan lain seperti mendatangkan penyakit dan juga menganggu kesihatan manusia seperti demam denggi, kencing tikus dan keracunan makanan yang boleh membawa maut.
Rajah 4 : Sampah sarap berselerakan di sekitar tong sampah di Taman Desa Permai, Juasseh, Negeri Sembilan
Kesan pembuangan sampah sarap yang seterusnya adalah boleh menyebabkan berlakunya masalah pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran bau. Perkara ini berlaku disebabkan oleh pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat atau tidak diurus dengan baik. Tambahan pula, sisa sampah yang terlalu lama di kawasan tersebut akan menghasilkan bau yang busuk kerana ada sesetengah sisa sampah yang dibuang tersebut boleh menyebabkan basi terutamanya bungkusan makanan dan minuman yang dibuang oleh penduduk di sini. Selain itu, kehadiran haiwan-haiwan perosak di kawasan ini juga telah menyebabkan haiwan tersebut mati dan akhirnya akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan. Kesannya, pencemaran bau akan terhasil serta akan menjejaskan kehidupan penduduk di sekeliling.
Seterusnya, masalah pembuangan sampah sarap juga boleh mengundang kepada berlakunya fenomena banjir kilat. Hal ini dikatakan demikian kerana perbuatan membuang sampah sarap di merata-rata tempat terutamanya ke dalam longkang telah menyebabkan longkang menjadi tersumbat kerana dipenuhi dengan sampah-sarap. Oleh itu, longkang yang tersumbat tersebut akan menyekat atau menghalang pengaliran air dan menyebabkan air bertakung sehingga membolehkan kawasan ini banjir terutamanya ketika berlakunya hujan lebat. Perkara ini juga berlaku disebabkan oleh pembuangan sampah yang tidak diselia dengan baik oleh pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya masalah longkang tersumbat akibat daripada pembuangan sampah-sarap tersebut.
Mengamalkan kitar semula “3R” iaitu Reduce, Reuse dan Recycle adalah langkah yang terbaik untuk mengatasi masalah pembuangan sampah sekaligus dapat meminimumkan penghasilan sampah di kawasan Taman Desa Permai. Kitar semula ialah proses bahan buangan untuk menghasilkan barangan baharu supaya boleh digunakan lagi. Perkataan ‘Reduce’ membawa maksud usaha untuk mengurangkan penggunaan sumber bahan yang terhad manakala ‘Reuse’ pula ialah usaha untuk menggunakan semula bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah suai bahan tersebut dengan mereka cipta barangan baru. Perkara ini dilakukan untuk menjimatkan sesuatu barangan yang boleh dikitar semula dan juga dapat meminimumkan sampah yang boleh menyebabkan berlakunya masalah pencemaran alam sekitar. Contohnya, bekas Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng telah melancarkan ‘Hari tiada beg plastik’ pada setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu di seluruh negeri Pulau Pinang bagi mengurangkan kadar pembuangan sampah terutamanya sampah jenis plastik, malah dapat mengurangkan kos pengendalian sampah dan juga dapat memelihara alam sekitar dengan baik. Ini juga merupakan salah satu langkah yang efektif dalam mengurangkan jumlah sampah yang akan dilupuskan dan juga boleh mendatangkan keuntungan. Contohnya, seseorang individu juga boleh menjual surat khabar atau majalah lama untuk dikitar semula atau bekas-bekas plastik yang tidak digunakan lagi boleh dijadikan tempat untuk menanam bunga-bungaan dan sebagainya.
Selain itu, menyediakan lebih banyak tong kitar semula. Hal ini dapat dilihat bahawa kelemahan yang masih ketara pada masa ini ialah kekurangan tong kitar semula di kawasan Taman Desa Permai. Oleh yang demikian, pihak-pihak yang bertanggungjawab sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Syarikat Alam Flora dan agensi pengurusan sampah yang lain perlulah menyediakan tong kitar semula khususnya di kawasan-kawasan perumahan, bangunan-bangunan pejabat, restoran dan pusat-pusat komersil. Hal ini kerana kawasan-kawasan tersebut merupakan kawasan yang menjadi tumpuan masyarakat untuk membuang sampah. Apabila wujudnya lebih banyak tong kitar semula akan memudahkan penduduk atau masyarakat untuk mengurus sisa-sisa sampah yang lebih sistematik tanpa membuang di merata-rata tempat. Hal ini sekaligus dapat mengurangkan berlakunya masalah pembuangan sampah pada masa akan datang.
Ibubapa juga memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pembuangan sampah di Taman Desa Permai ini. Hal ini dikatakan demikian kerana ibubapa merupakan agen sosialisasi yang paling penting. Oleh yang demikian, ibubapa perlulah mendidik anak-anak mereka tentang pentingnya mengurus sampah-sarap dengan efisien serta menjaga alam sekitar dengan baik. Hal ini kerana ibubapa merupakan orang yang terdekat dengan anak-anak selain daripada guru dan rakan-rakan. Justeru itu, ibubapa perlulah mendidik anak-anak mereka untuk menghargai dan mencintai alam sekitar sejak dari kecil lagi bagi memastikan mereka mendapat kesedaran dan pendidikan terhadap alam sekitar dengan lebih awal. Hal ini akan membolehkan anak-anak ini akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap isu pembuangan sampah ini apabila mereka dewasa kelak. Seterusnya, ibubapa juga haruslah sentiasa mendedahkan kepada anak-anak tentang kesan-kesan yang akan dihadapi apabila isu pembuangan sampah yang tidak sistematik ini tidak dibendung dengan segera. Anak-anak ini akan mendapat pengetahuan serta kesedaran tentang kepentingan untuk menjaga alam sekitar. Mendidik sahaja tidak mencukupi, malah ibubapa juga haruslah menjadi teladan kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak ini menjadi insan yang bermoral dan berakhlak mulia. Contohnya, ibubapa tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat kerana ibubapa menjadi teladan kepada anak-anak yang mana anak-anak ini akan terpengaruh atau terikut-ikut dengan sikap yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka sendiri.
Kesimpulannya, isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat ini adalah isu yang tiada pengakhiran, malah berlaku secara berterusan dalam kehidupan. Isu pembuangan sampah sarap ini boleh mengancam kehidupan manusia dan haiwan serta menjejaskan kesejahteraan alam sekitar jika dibiarkan tanpa adanya kerjasama dari semua pihak. Isu ini tidak dapat dibendung secara drastik, namun pihak yang bertanggungjawab perlulah sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kadar pembuangan sampah di merata-rata tempat ini. Oleh itu, penduduk di Taman Desa Permai ini haruslah sentiasa peka dan prihatin terhadap isu pembuangan sampah dan perlulah memberikan kerjasama antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama. Tambahan pula, penjagaan alam sekitar adalah sangat penting kerana ia merupakan aset penting kepada kesejahteraan hidup manusia di muka bumi ini.
RUJUKAN
Haslinda Mohd Anuar & Harlida Abdul Wahab. (2015). Sisa pepejal dan pembersihan awam: Pengurusan dan perundangan. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/319090214_Sisa_Pepejal_dan_Pembersihan_Awam_Pengurusan_dan_Perundangan.
Hasnah Ali, Dody Dermawan, Noraziah Ali, Maznah Ibrahim & Sarifah Yaacob. (2017). Masyarakat dan amalan pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti: Kes isi rumah wanita di Bandar Baru Bangi, Malaysia. Journal of Society and Space, 8(5), 64-75. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/5515/1/artikel6.pdf.
Hasnah Ali, Nur Dyah Fatikhah Ekowati, Sanep Ahmad, Lyndon, N. & AR Ahmad. (2017). Tingkahlaku isi rumah dan pengurusan sisa pepejal kawasan perumahan di Jakarta, Indonesia. Journal of Society and Space, 8(6), 184- 194. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/5610/1/16.geografia- sept%25202012-hasnah-si-ppspp-ed%2520am1.pdf.
Khairunnisa Kasnoon. (2021). Tahap kesedaran rendah punca isu sampah plastik tidak terurus terus meruncing. Diperoleh daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tahap-kesedaran-rendah-punca- isu-sampah-plastik-tidak-terurus-terus-meruncing-288008.
Mohd Hariri Ariffin & Nur Shahazira Izzati Shahaziran. (2021). Kaedah terbaik lupus sampah. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/rencana/2021/06/715955/kaedah-terbaik-lupus- sampah.
Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah longgokan sampah kawasan perumahan berteres kajian kes: Taman Universiti, Skudai, Johor (Doctoral dissertation, Universiti Teknologi Malaysia. Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriM FGHT2015.pdf.
Nur Ain Abd Muin. (2018). Pengurusan sampah di Kuala Lumpur, 1974-2004: Peranan pihak kerajaan dan pihak awam. Asian Journal of Environment, History and Heritage, 2(1), 123-140. Diperoleh daripada http://spaj.ukm.my/ajehh/index.php/ajehh/article/view/54/80.
Nurul Adilah Mah Hassan & Faisal Zulhumadi. (2017). Kitar semula: Pengetahuan dan sikap mahasiswa Universiti Utara Malaysia terhadap pengurusan sisa pepejal. Diperoleh daripada http://repo.uum.edu.my/22722/1/STML%E2%80%93Go%20Green%202016% 201211%201220.pdf.
Siti Zubaidah Zakaraya. (2020). Kesan beberapa lokasi tapak buang sampah haram. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/87006/EDISI/Utara/Kesan-beberapa- lokasi-tapak-buang-sampah-haram.
Wan Zuhairi Wan Yaacob. (n.d.). Penyediaan tapak pembuangan sisa: Peranan ahli Geosains dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar. Diperoleh daripada http://www.ukm.my/geologi/geopena/mag%20bumi_landfill.pdf.
PENULIS: SITI BALKIS SAMSINA BINTI MAHMAD RASEH
NOMBOR MATRIK: DXXXXXX91299
KUMPULAN KULIAH: KUMPULAN C
No comments:
Post a Comment