Menurut Shamsuri, M.F.A.(2015),masalah pencemaran sampah sudah lama wujud di negara ini. Dalam era pembangunan yang pesat ini, kewujudan masalah pembuangan sampah masih lagi aktif di seluruh negara kita dan sedunia. Sampah atau sisa pepejal dikatakan sebagai hasil sampingan daripada aktiviti manusia yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Jikalau kita lihat dalam konteks dunia , terutamanya negara kurang maju, kaedah pelupusan sisa pepejal secara terbuka masih digunakan. Kebanyakan negara membangun menggunakan kaedah yang tidak cekap dan ketinggalan zaman untuk pengumpulan dan pelupusan sisa. Malah di bandar-bandar telah membangun, tapak pelupusan sisa pepejal ditempatkan di pinggir bandar dan juga dalam kawasan perumahan. Jumlah sisa pepejal telah meningkat dengan peningkatan permintaan untuk makanan dan keperluan lain disebabkan oleh pertumbuhan penduduk. Jumlah sisa yang semakin meningkat ini akhirnya dibuang ke tapak pelupusan terbuka perbandaran dan sekitar kawasan perumahan. Tempat pembuangan sampah terbuka dan tidak wajar ini menjadi sumber risiko alam sekitar, kesihatan dan kewangan kepada penduduk yang tinggal di sekitar tempat pembuangan sampah tersebut.
Sampah atau solid waste dilihat sebagai bahan tidak berguna yang tidak memberi manfaat dan jika disimpan boleh mendatangkan kemudaratan. Akibatnya, bahan buangan kerap dibuang dan disimpan di tapak pelupusan, sama ada dengan teknik pelupusan atau kaedah lain. Sampah terbahagi kepada dua jenis iaitu sisa kediaman dan sisa bukan domestik. Sisa domestik merujuk kepada sisa yang dibuang di rumah atau dapur. Botol, kaca, tin logam, beg plastik, kertas, pakaian sampah, dan juga sisa makanan adalah contoh. Sisa bukan domestik merujuk kepada sisa yang dihasilkan oleh industri, tapak bangunan, peruncit, pasar, dan pejabat. Bahan buangan ini terdapat dalam pelbagai bentuk, termasuk sisa jualan, sampah pelupusan dan sisa pembuatan. Menurut Berita Harian,(2020), penghasilan sampah harian dalam kalangan rakyat di negara ini mencatat peningkatan 100.75 peratus kepada 38,142 tan pada tahun 2018, berbanding 19,000 tan pada 2005.Berdasarkan angka dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), seorang rakyat dianggar menghasilkan 1.17 kilogram (kg) sampah sehari pada 2018, berbanding 0.8kg (2005).Menurut Mapa, M. T., Haris, L. M., Geogre, F., Dinggai, M. S., Japar, A., & Gulasan, A. (2019),daripada keseluruhan jumlah sisa baki iaitu seberat 339.39 kg, 141.72 kg atau 42.0% adalah sisa dapur, 82.97 kg (24.0%) adalah bahan kotor, sisa makanan pula adalah sebanyak 62.25 kg (18.0%) manakala lampin pakai buang adalah sebanyak 52.45 kg (16.0%) (Rajah 1).
Dalam konteks ini, kawasan yang telah dikaji
adalah Buntong. Kawasan ini merupakan salah satu kawasan perumahan di negeri
Ipoh. Pada 1/12/2021 sehingga 8/12/2021,
pengkaji telah menjalankan satu kajian lapangan di kawasan perumahan tersebut.
Kajian ini dijalakan untuk memenuhi kursus HGM 3033 Geografi Penduduk. Buntong terletak di kawasan persekutuan Ipoh Barat. Kebanyakan penduduk terdiri daripada kaum India,Cina dan Melayu dan lain-lain.Suhu di kawasan ini mencecah 30 °C sehingga 31 °C
sehari terutamanya pada waktu tengahari dan petang. Di kawasan perumahan saya,
kebanyakan rumah penduduk dibina menggunakan batu dan juga simen dan kedudukan
setiap rumah di kawasan tersebut berbeza mengikut taman yang meliputi kawasan
tersebut. Suasana kawasan perumahan saya agak selesa kerana mempunyai rangkaian
perhubungan yang baik. Oleh hal yang demikian penduduk di kawasan saya hidup
secara selesa. Hal ini menyebabkan mereka dapat berhubung dengan baik dengan
keluarga dan juga rakan kenalan mereka. Di kawasan Buntong, terdapat pelbagai
kemudahan dan perkhidmatan yang sediakan seperti sekolah, balai polis, masjid
dan sebagainya serta kemudahan gerai – gerai makanan, pasar sangat mudah untuk ditemui
di kawasan saya. Tambahan pula, kawasan ini mempunyai nama lain iaitu kampung
kacang putih kerana ia merupakan lokasi pembekal dan penjual kacang putih yang
terkenal di Perak.
Rajah 2: Kawasan kajian-Buntong
Kajian yang saya jalankan ini adalah untuk
mengetahui masalah longgokan sampah di yang berlaku di kawasan perumahan
Buntong. Hasil pemerhatian telah mendapati penduduk di kawasan ini mengalami
gangguan disebabkan oleh masalah longgokan sampah di sekitar perumahan
tersebut. Hal ini dikatakan kerana perumahan di sekitar Buntong yang dibina ini
merupakan perumahan yang lama dan penduduk di sekitar kawasan ini agak padat
dan keperluan dan kehendak penduduk meningkat secara drastik selaras dengan
taraf hidup setiap penduduk. Dengan peningkatan ini, kuantiti sampah domestik
harian yang dikeluarkan oleh penduduk juga meningkat secara drastik juga setiap
hari. Ketiadaan sebarang komuniti di kawasan ini telah menyebabkan isu ini
tidak dipandang orang ramai atau penduduk di kawasan tersebut. Pelbagai jenis
sampah telah dibuang dan dilonggokan di pinggir jalan atau gerbang masuk
perumahan di kawasan ini. Masalah longgokan sampah ini telah menjadi semakin
meruncing. Selain itu hasil longgokan sampah ini bukan sahaja menjejaskan
pemandangan, tetapi menyebabkan sampah bertaburan di atas jalan raya akibat digeledah
oleh anjing liar. Keadaan ini pastinya mengundang bahaya kepada para pengguna
jalan raya yang mengunakan jalan tersebut terutamanya pemandu motosikal.
Longgokan di susur masuk ke kawasan perumahan itu menimbun sehingga menyukarkan
orang ramai melalui kawasan tersebut. Isu longgokan sampah ini juga bukan satu
isu yang baru di kawasan tersebut malah isu ini telah menjadi satu agenda
harian penduduk di sekitar Buntong namun masalah ini masih belum mendapat
penyelesaiannya.
Rajah 3: Longgokan sampah di susur masuk kawasan
Rajah 4: Longgokan sampah di tepi jalan kawasan
Berdasarkan
pemerhatian,punca masalah ini berlaku akibat ketiadaan penyediaan tong sampah
yang disediakan di kawasan perumahan mereka. Sebagai penduduk di Buntong,
pengurusan tong sampah di setiap perumahan tidak sistematik kerana setiap rumah
tidak disediakan tong sampah dan ada segelintir sahaja yang membeli serta
menyediakan tong sampah tersendiri di depan rumah mereka. Kebanyakan penduduk
masih melonggokkan sampah di pinggir jalan atau susur masuk perumahan. Ini juga
boleh dikaitkan dengan sikap penduduk tempatan yang tidak bertanggungjawab
mengambil jalan mudah dengan membuang sampah ditepi jalan. Keadaan ini dilihat
sehingga sampah yang berlonggokan di situ telah dijadikan sebagai kawasan
pembuangan sampah rasmi penduduk di setiap lorong kawasan tersebut. Hal ini
kerana setiap lorong perumahan telah dilonggokkan dengan sampah berdasarkan
pemerhatian pengkaji. Di samping itu, sikap masyarakat yang tidak ada
kesedaran akan pentingnya menjaga alam sekitar dengan membuang bahan buangan
domestik sewenang-wenangnya turut menyebabkan masalah longgokan sampahyang
tidak terkawal. Contohnya, penggunaan lampin pakai
buang yang menjadi gaya hidup masyarakat moden pada hari ini telah
memburukkan lagi masalah longgokan sampah di Buntong.
Selain itu, masalah pembuangan sampah di Buntong juga disebabkan oleh pengendalian pemungutan sampah yang tidak mengikut jadual seperti yang telah ditetapkan. Semasa pemerhatian selama seminggu, pihak pungutan sampah hanya datang dua kali dalam satu minggu untuk memungut sampah di sekitar kawasan Buntong. Walaupun pihak memungut sampah, namun pungutan sampah itu tidak begitu sempurna kerana perabot lama, kayu ataupun benda-benda yang boleh dikitar semula tidak dipungut oleh mereka. Akhirnya, benda-benda tersebut dibiarkan di tempat longgokan sampah ataupun di tepi jalan.Hal ini adalah disebabkan oleh pihak berkuasa yang telah dipertanggungajwabkan dalam menguruskan perkara ini tidak menjalankan tugas mereka secara sepenuhnya. Dengan situasi ini, para penduduk mengambil kesempatan untuk terus melonggokkan sampah sarap di tempat yang mereka rasa mudah seperti tepi jalan rumah mereka dan tidak mengambil inisiatif untuk membuang di tempat pembuangan yang disediakan.
Berdasarkan
pemerhatian selama satu minggu,isu ini masih lembab untuk dilihat sebagai
perkara yang sangat serius. Amalan penggunaan pinggan,mangkuk dan bungkusan
pakai buang seperti polisterin dan beg plastik semakin berleluasa pada masa
ini turut menjadi penyumbang kepada longgokan sampah sarap di kawasan perumahan
dan sekitar bandar juga. Tambahan pula,pembelian dalam talian dan banyak
plastik telah digunakan untuk membalut produk terutama barangan mudah pecah
juga turut menyumbang kepada isu. Namun, sikap manusia yang malas akan membuang
bahan plastik tersebut tanpa pengasingan untuk tujuan kitar semula. Apabila
lori sampah datang memungut sampah, mereka tidak akan mengikut pengasingan
jenis sampah kerana sampah-sampah tersebut akan terus dihantar ke tempat
pelupusan sampah. Hal ini kerana penduduk tidak peduli akan sistem pengasingan
sampah untuk kitar semula. Kadar kitar semula Malaysia masih berada dalam
peratus rendah sahaja. Kajian telah mencatatkan bahawa pelbagai langkah akan
diusahakan agar kadar tersebut meningkat secara drastik. Namun demikian, tanpa
disedari bahan pembungkusan barangan atau sisa pepejal yang dibuang begitu
sahaja boleh menyebabkan longgokkan sampah semakin bertambah serta
menjadi semakin serius.
Antara kesan masalah pembuangan sampah di
sekitar Buntong, imej penduduk perumahan di kawasan tersebut boleh tercemar akibat
daripada sistem pengurusan sampah yang tidak sistematik dan tidak teratur
menyebabkan kawasan perumahan tersebut kelihatan kotor. Keadaan kawasan
perumahan ini yang telah terjejas kebersihannya akan menyebabkan keindahan alam
sekitar di sekeliling kawasan tersebut tidak akan lagi sedap dipandang oleh
penduduk dalam kawasan dan luar kawasan juga. Ia boleh memberikan persepsi yang
negatif terhadap penduduk di kawasan perkampungan tersebut. Pihak luar mungkin
akan menganggap masyarakat Buntong ini sebagai masyarakat yang kurang tahap
kesedaran mengenai penjagaan kebersihan. Justeru, pembuangan sampah sarap dan
longgokan di merata-rata tempat juga akan menjejaskan tahap kedatangan bakal
penduduk di kawasan perumahan di Buntong. Kependudukan di kawasan tersebut juga
boleh berkurangan kerana penduduk akan tidak berasa selesa dengan pemandangan
yang kotor dan berkemungkinan akan pindah ke kawasan perumahan yang baru.
Rajah 5: Pemungutan sampah yang tidak terurus
di kawasan perumahan Buntong.
Pengurusan
sampah sarap yang tidak teratur di kawasan Buntong telah menjejaskan
keseimbangan ekosistem persekitaran kawasan tersebut. Perkara ini dapat
dijelaskan apabila penduduk melonggokkan sampah di sekitar jambatan sungai
Buntong atau memburukkan keadaan dengan membuang sampah ke dalam sungai. Sampah
yang mengandungi bahan kimia atau bahan organik seperti sisa-sisa makanan dan
najis yang dibuang ke dalam sungai boleh menyebabkan air sungai itu mendapat
jumlah nutrien yang berlebihan. Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya proses
“eutrophication” seperti nutrien-nutrien tersebut menyebabkan pertumbuhan alga
secara berlebihan yang menjurus kepada penggunaan jumlah oksigen yang banyak hingga menyebabkan
hidupan air yang lain tidak dapat hidup kerana kekurangan oksigen. Di samping
itu, sungai Buntong telah menjadi keruh dan agak berbau busuk akibat pembuangan
sampah sarap yang keterlaluan. Kesan ini juga telah mengganggu keselesaan
penduduk Buntong yang terpaksa menghadapi masalah pencemaran bau busuk bangkai
hidupan akuatik yang mati di sungai Buntong.
Rajah 6: Pemandangan sungai Buntong yang keruh dan berbau.
Rajah 7: Longgokan sampah sarap di sekitar sungai Buntong
Pembuangan
sampah-sarap di merata-rata tempat dan tiada pengurusan yang sistematik di Buntong
juga boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Perkara ini berlaku
disebabkan bau yang busuk terhasil daripada sampah sarap ini akan menyebabkan
wujudnya pencemaran bau dan menjurus kepada pencemaran udara. Penularan bau dan
kotoran akan menjejaskan suasana kehidupan sekeliling kawasan perumahan yang
terlibat. Tambahan pula, ada segelintir penduduk di kawasan perkampungan
tersebut yang mengambil jalan mudah dengan melakukan pembakaran sampah kononya
ingin membersihkan kotoran dari kediaman mereka. Hal ini demikian pembakaran
sampah akan menyebabkan berlakunya pencemaran udara yang teruk. Kebanyakkan
sampah domestik kawasan perumahan mengandungi kandungan plastik yang tinggi dan
ini berkemungkinan dalam meningkatkan pembebasan bahan-bahan pencemar atau
gas-gas yang berbahaya seperti karbon dioksida, sulphur, nitrogen dan
sebagainya dari barangan plastik tersebut apabila dibakar. Pencemaran udara
yang teruk serta dapat menjejaskan kualiti udara yang bersih dan menjejaskan
kesihatan penduduk akibat daripada pembakaran terbuka yang dilakukan oleh
sesetengah masyarakat Buntong untuk menyelesaikan masalah sampah sarap di
kediaman mereka.
Antara langkah
mengatasi yang pengkaji boleh cadangkan adalah penduduk di kawasan Buntong
harus mempratikkan program 3R dalam kehidupan harian mereka iaitu program yang
dikenali sebagai program pengurangan (Reduce),
penggunaan semula (Reuse) dan kitar semula
(Recycle). Pengurangan ialah usaha
mengurangkan penggunaan sumber-sumber bahan yang terhad di mana penduduk boleh
mengurangkan pembelian dan penggunaan barang-barang baru seperti bahan-bahan
pakai buang. Penggunaan semula ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan yang
tidak terpakai ataupun buangan dengan mengubah fungsi bahan tersebut ataupun
menggunakan secara terus tanpa membeli barang baru. Akhir sekali, kitar semula perlu
dipraktikkan oleh setiap penduduk di kawasan ini. Dengan ini, kuantiti sampah
yang dikeluarkan dalam seharian akan berkurang serta longgokan sampah akan
berkurangan.
Secara umumnya, pihak pengurusan sampah di kawasan Buntong ini boleh menyediakan tong-tong sampah bagi setiap kediaman di kawasan tersebut atau mengadakan satu tempat kitar semula di kawasan perumahan tersebut. Hal ini akan menjadi satu penyelesaian kepada masalah pembuangan sampah ini. Penjadualan pungutan sampah yang lebih sistematik boleh mengurangkan longgokan sampah di merata tempat di kawasan tersebut serta ia tidak lagi menjejaskan imej kawasan Buntong. Dalam situasi ini, peranan pihak berkuasa amat penting dalam memastikan pihak pengurusan sampah akan menjalankan tugas mengikut ketetapan serta menyediakan tong-tong sampah dan kemudahan yang berkaitan bagi memudahkan proses pelupusan sampah harian penduduk di Buntong. Sebagai contoh, penguatkuasaan undang-undang dengan memberikan denda yang bercorak wang ringgit kepada kawasan-kawasan yang sangat kotor dan penduduk yang tertangkap semasa membuang sampah di merata tempat. Dengan ini, penduduk menjadi lebih prihatin terhadap masalah ini, ia juga dapat memastikan masyarakat bekerjasama sebagai satu komuniti dalam membendung isu dalam kawasan ini.
Justeru,
kewujudan kempen kesedaran juga merupakan salah satu cara yang dapat diambil
bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di Buntong. Dengan kewujudan kempen,
penduduk akan belajar dan akan sedar dengan cara-cara serta kepentingan
pengurusan sampah kepada manusia serta alam sekitar. Oleh yang demikian,
penduduk dapat mengaplikasikan cara pengurusan sampah dengan betul dalam
kehidupan seharian mereka dan secara tidak langsung juga penduduk dapat
mengurangkan masalah pembuangan sampah di kawasan perumahan mereka. Kempen kesedaran
yang dilaksanakan patut dijalankan secara mingguan agar kesedaran itu sentiasa
berada dalam kalangan penduduk serta ia
terlaksana dengan lebih berkesan dalam jangka masa panjang. Tambahan pula,
peranan media massa juga memainkan peranan penting dalam menyiarkan kata-kata
kesedaran kepada masyarakat secara nasional dan penduduk di Buntong.
Kesimpulannya,
masalah pembuangan sampah di Buntong telah mendatangkan pelbagai impak kepada
penduduk di kawasan perumahan dan persekitaran fizikal. Masalah sikap penduduk
di Buntong yang sering melonggokkan sampah di tepi jalan perlulah ditangani
dengan segera dan usaha ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Setiap
penduduk dan pihak yang berwajib perlulah saling bekerjasama antara satu sama
lain dan tidak saling bergantung harap kepada satu pihak sahaja tetapi
masing-masing mempunyai sikap yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap kebersihan
kawasan kediaman mereka masing-masing.Dengan adanya pengurusan yang lebih
sistematik, masalah pembuangan sampah di Buntong dapat diatasi dan persekitaran
kampung yang bersih dapat diwujudkan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan
penduduk.
RUJUKAN
Mapa, M. T., Haris, L. M., Geogre, F., Dinggai, M. S., Japar, A., & Gulasan, A. (2019). Kajian komposisi dan pengasingan sisa pepejal di kawasan perumahan. Geografia-Malaysian Journal of Society and Space, 15(2).Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/14182/1/30975-101670-1-PB.pdf
Muhammad Yusri Muzamir(2020, Jan 2). Pembuangan sampah negara meningkat 100.75
peratus. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/643354/pembuangan-sampah-negara-meningkat-10075-peratus
Shamsuri, M. F. A. (2015). Masalah longgokan sampah kawasan perumahan berteres kajian kes: Taman Universiti, Skudai, Johor (Doctoral dissertation, Universiti Teknologi Malaysia). Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/
NAMA: NANTHINI A/P SELVARATNAM
NO. MATRIK: DXXXXX85770
KUMPULAN KULIAH: C
No comments:
Post a Comment