Wednesday, December 22, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: PUNCA PENINGKATAN KES COVID-19 DALAM KALANGAN PENDUDUK KLANG, SELANGOR

 

Pada 25 Januari 2020, Malaysia dikejutkan dengan berlakunya penularan wabak Covid-19 yang melibatkan penduduk tempatan. Sehubungan dengan penularan wabak ini, pihak kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. Perlaksanaan PKP telah memberi impak yang sangat besar kepada semua pihak termasuk rakyat Malaysia itu sendiri, sektor ekonomi, sektor pelancongan dan sistem pendidikan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi menangani peningkatan kes Covid-19 seperti rakyat dikehendaki untuk sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah, mengamalkan penjarakan sosial semasa di tempat awam, mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pensanitasi dan membuat kawalan sempadan daerah dan negeri. Sehubungan dengan itu, pada bulan Julai 2020 kes Covid-19 mulai turun menjadi satu angka. Justeru, Malaysia juga pernah mencatatkan sifar penularan tempatan pada bulan tersebut. Namun begitu, setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan di Sabah kes mulai meningkat dengan mendadak. Hal ini juga turut diakui oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Dalam pada itu, rakyat juga mulai bergerak bebas setelah mendapatkan suntikan Imunisasi Covid-19 sehingga tiada lagi penjarakan sosial di antara mereka dan menyebabkan kes tempatan Covid-19 mulai meningkat dan telah mencecah sehingga lima angka pada bulan Ogos 2021. Kes di negeri Selangor sahaja telah mencatat lebih daripada 8000 kes melebihi negeri-negeri lain.




Antara puncanya ialah kegiatan aktiviti perindustrian dan aktiviti pembinaan yang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Klang merupakan antara kawasan yang giat menjalankan aktiviti perindustrian dan aktiviti pembinaan. Oleh hal yang demikian, Klang telah menjadi tempat tumpuan orang ramai semasa penularan wabak Covid-19 sedang meningkat. Setelah membuat ujian saringan didapati tercetusnya kluster baharu bermula daripada kontak rapat dari pekerja kilang dan di tempat kerja. Hal ini demikian berlaku kerana pihak pengurusan kilang tidak mengambil berat tentang pekerja mereka dan hanya memikirkan keuntungan sahaja. Seharusnya, pihak pengurusan kilang menjelaskan mengenai SOP yang perlu diikut sepanjang waktu bekerja bagi mengelakkan tercetusnya kluster baharu. Tambahan pula, meskipun terdapat pekerja kilang yang telah dijangkiti virus Covid-19 ini, pihak pengurusan kilang tetap meminta pekerja mereka untuk datang bekerja dan mengugut untuk berhentikan mereka jika mereka meminta cuti. Pihak pengurusan kilang juga tidak menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 bagi pekerja mereka yang mana menjadi antara faktor meningkatnya kes Covid-19 di Klang. Selain itu, tempat kerja yang sempit seperti pejabat juga akan mengundang pada tercetusnya kluster baharu. Hal ini kerana ruang yang tertutup dan sempit akan memudahkan berlakunya jangkitan wabak Covid-19 antara pekerja. Majikan mahupun pihak pengurusan tempat kerja tidak seharusnya mempunyai sikap mementingkan diri sendiri, mereka seharusnya peka dan bertanggungjawab akan kebajikan setiap pekerja mereka.

Selain itu, pekerja dari sektor perindustrian dan pembinaan banyak melibatkan warga asing. Kebanyakan warga asing mempunyai tempat tinggal yang dihuni secara beramai-ramai yang sektor pekerjaan mereka adalah pelbagai. Hal ini akan menjadi punca meningkatnya kes Covid-19 kerana ada di kalangan mereka yang tidak menjaga penjarakan sosial semasa di tempat kerja dan akan menyebabkan berlakunya jangkitan Covid-19 setelah mereka pulang ke rumah. Tambahan pula, pihak pengurusan kilang dan majikan mereka tidak memantau aktiviti pekerja mereka semasa di tempat kerja dan hanya memikirkan keuntungan sahaja. Seharusnya pihak yang bertanggungjawab memberikan penerangan yang terperinci kepada pekerja warga asing mengenai penjarakan sosial yang perlu dipatuhi semasa di tempat kerja dan di tempat awam. Dalam pada itu, semasa kes Covid-19 telah meningkat secara drastik di Klang, pihak kerajaan pula masih tidak mengambil tindakan sama ada meminta kilang untuk berhenti beroperasi mahupun mengenakan denda ke atas kecuaian mereka dan ini telah menjadi punca berlakunya peningkatan kes Covid-19.


Seterusnya, peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Klang adalah berpunca daripada kepadatan penduduk terutamanya di kawasan bandar. Penempatan warga asing, pergerakan yang tinggi dalam komuniti dan juga banyak berlaku pergerakan penduduk keluar masuk menyebabkan penularan Covid-19 meningkat di Klang. Apabila jumlah penduduk terlalu ramai di sesuatu kawasan, ia akan menjadikan kawasan itu sebagai kawasan tumpuan orang ramai. Tatkala berada di tempat awam masyarakat mulai lalai dan tidak patuh pada SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.


Kesimpulannya, semua pihak perlulah memainkan peranan masing-masing dalam menangani penularan wabak Covid-19. Pihak kerajaan telah menjelaskan SOP yang perlu dipatuhi oleh setiap rakyat tanpa mengira darjat seperti sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah, mengamalkan penjarakan sosial semasa di tempat awam, mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pensanitasi dan membuat kawalan sempadan daerah dan negeri. Maka, rakyat juga perlulah menjadi seorang yang bertanggungjawab dengan mematuhi SOP yang dinyatakan. Walaupun sukar tetapi rakyat perlu membiasakan diri dengan norma baharu dan perlu menerima hakikat bahawa tiada lagi sentuhan fizikal dibenarkan. Jika rakyat mahupun pihak kerajaan sendiri yang ingkar akan arahan tersebut, pihak kerajaan perlu mengenakan denda agar mereka tidak mengambil mudah akan isu penularan wabak Covid-19 ini. Hal ini perlulah dilaksanakan secara adil tanpa mengira pangkat atau darjat individu tersebut. Bagi sektor pekerjaan pula, majikan perlulah laksanakan ujian saringan bagi pekerja mereka secara mingguan agar tiada lagi kluster bahara yang akan wujud di tempat kerja. Jika setiap pihak memainkan peranan masing-masing dengan baik, pasti penularan wabak Covid-19 dapat ditangani jayanya.


NAMA: NUR SYAFIQA BT MAHAMUD SAYUTI
NO MATRIK: D*****085928
KUMPULAN: A



No comments:

Post a Comment