Sunday, December 26, 2021

MASALAH PEMBUANGAN SISA PEPEJAL DI TAMAN CAHAYA, HUTAN KAMPUNG, ALOR SETAR, KEDAH.

 

Masalah pembuangan sisa pepejal di Taman Cahaya, Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah.

 

1.0 PENGENALAN

Masalah pembuangan sisa pepejal merupakan isu yang tidak ada penghujungnya dan sering dibangkitkan di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia. Masalah ini juga bukanlah isu baru yang hendak diperkenalkan kepada rakyat di negara ini. Masalah ini juga masih berlaku secara global di seluruh dunia walaupun dunia semakin canggih dengan perkembangan teknologi yang pesat. Sisa pepejal secara umumnya merujuk kepada sampah sarap atau bahan buangan yang bukan dalam bentuk cecair dan juga gas yang tidak dihendaki oleh manusia. Sisa pepejal yang dibuang kerana rosak, pecah, lusuh, tidak boleh digunakan lagi dan sebagainya. Menurut Mohmadisa Hashim, Khalizul Khalid dan Rosmini Upsi (2011) menjelaskan bahawa sisa pepejal atau sampah dan segala jenis bahan buangan yang terjana oleh aktiviti manusia merujuk kepada bahan yang tidak berguna dan tidak diperlukan lagi. Selain itu, sisa pepejal merupakan segala jenis sisa terkawal dalam bentuk pepejal yang dihasilkan dan dibuangkan oleh mana-mana premis. Terdapat beberapa jenis sisa pepejal yang terkawal seperti sisa pepejal isi rumah, sisa pepejal import, sisa pepejal komersial, sisa pepejal keindustrian, sisa pepejal pembinaan, sisa pepejal perindutrian dan juga sisa pepejal awam. Berdasarkan tajuk yang dipilih iaitu masalah pembuangan sisa pepejal di Taman Cahaya, Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah, masalah pembuangan sisa pepejal ini menjadi telah isu utama di kawasan perumahan tersebut. 

Taman Cahaya merupakan sebuah taman yang terletak di mukim Hutan Kampung yang terdapat dalam daerah Kota Setar. Kawasan perumahan ini masih berhadapan dengan masalah pembuangan sisa pepejal walaupun semakin pesat membangun dengan mewujudnya pelbagai aktiviti pembinaan. Masalah pembuangan sisa pepejal adalah isu yang penting kerana melibatkan ia aspek kehidupan penduduk kerana memberikan kesan kepada ketidakselesaan, masalah kesihatan, menurunkan kualiti serta kesejahteraan penduduk. Sampah seperti sisa makanan jika dibiarkan akan menyebabkan kawasan perumahan berbau busuk dan menjadi tempat pembiakan haiwan pengotor seperti tikus dan lalat yang mana merupakan pembawa penyakit yang berbahaya kepada manusia.  Selain itu, sisa pepejal yang tidak diurus dan tidak dibuang dengan betul juga selalunya akan menyebabkan gangguan atau perubahan ke atas keseimbangan alam sekitar fizikal seperti wujudnya pencemaran air, udara, tanah, marin dan juga bau. Oleh hal yang demikian, masalah pembuangan sisa pepejal ini perlulah ditangani segera dengan mengenal pasti faktor serta mengkaji langkah-langkah yang lebih efisien yang perlu diambil untuk menangani masalah ini daripada terus berlaku dalam di Taman Cahaya.


Foto 1: Taman Cahaya


Sumber: Google Maps

 

2.0 ISI KANDUNGAN

Masalah pembuangan sisa pepejal di Taman Cahaya, Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah dibincangkan dengan membahagikan kepada 2 bahagian utama iaitu faktor dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pembuangan sisa pepejal.

 2.1 Faktor Pembuangan Sisa Pepejal di Taman Cahaya, Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah.

Antara faktor yang menyumbang berlakunya masalah pembuangan sisa pepejal di Taman Cahaya adalah pertambahan penduduk. Pertambahan jumlah penduduk mendorong kepada peningkatan jumlah sisa pepejal di kawasan perumahan Taman Cahaya. Hal ini selari dengan pendapat Abdul Rashid & Hasnah, dalam Hasnah Ali, Dody Dermawan, Noraziah Ali, Maznah Ibrahim dan Sarifah Yaacob (2012) yang menegaskan bahawa kuantiti sisa pepejal yang dihasilkan setanding dengan jumlah penduduk yang menduduki sesuatu kawasan. Ini kerana sebanyak 215 kilogram sisa makanan dibuang oleh setiap isi rumah setiap tahun dan jumlahnya akan meningkat selari dengan perningkatan jumlah penduduk (Tan, 2016). Tong sampah utama yang disediakan oleh pihak pengurusan sisa pepejal tidak mencukupi untuk menampung jumlah sisa pepejal dalam satu masa. Masalah ini terus meningkat dari semasa ke semasa dan secara tidak langsung jumlah sampah yang banyak telah menyebabkan tong sampah yang disediakan di mampu menampung sampah. Jumlah penduduk dan kepadatan penduduk yang begitu tinggi menimbulkan permasalahan untuk memenuhi prasarana dan dasar perbandaran yang kurang mencukupi (Nur Dyah Ekowati, Hasnah Ali Dan Sanep Ahmad, 2010). Oleh itu, berlakunya pembiaran longgokan sisa pepejal di kawasan perumahan.

Masalah pembuangan sisa pepejal ini juga terjadi disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang dilakukan secara kurang cekap dan tidak berkesan. Taman Cahaya merupakan salah sebuah kawasan perumahan yang sedang membangun di Alor Setar tetapi masih berhadapan dengan masalah pengurusan sisa pepejal yang kurang cekap dan berkesan. Pemungutan sampah yang tidak mengikut masa yang ditetapkan akan menyebabkan tong sampah yang disediakan oleh pihak pengurusan menjadi penuh dan sampah yang terkumpul lama akan melimpah keluar serta membusuk. Masalah sisa pepejal yang tidak diuruskan dengan baik akan mengundang pelbagai masalah lain seperti menjejaskan kualiti alam sekitar seperti masalah pencemaran air sungai, air bawah tanah, udara dan bau. Hal ini selari dengan penyataan yang dibuat oleh Haslinda Mohd Anuar dan Harlida Abdul Wahab (2015) yang menyatakan bahawa  aspek pelupusan, pengutipan sisa pepejal, pembuangan dan pelupusan sampah sarap atau sisa pepejal memerlukan satu sistem pengurusan yang baik dan mapan demi kelestarian alam sekitar. Keadaan ini membuktikan perkhidmatan kutipan sisa dan pembersihan awam tidak dilakukan dengan sempurna kerana terdapat bukti iaitu persekitaran kawasan perumahan yang tidak bersih dan kotor.

        Faktor seterusnya menyebabkan berlakunya masalah pembuangan sisa pepejal di Taman Cahaya adalah sikap masyarakat dan tahap kesedaran masyarakat masih rendah terhadap isu alam sekitar. Sikap masyarakat merupakan antara punca utama berlakunya maslah pembuangan sisa pepejal ini. Penyertaan penduduk Taman Cahaya dalam aspek berkaitan dengan alam sekitar umumnya masih pada tahap yang rendah. Kebanyakkan penduduk masih tidak menyedari tentang kepentingan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal walaupun telah disediakan tong kitar semula di kawasan perumahan. Penduduk kawasan perumahan Taman Cahaya ini sepatutnya perlu sedar mengambil inisiatif untuk tidak menggunakan bahan yang tidak boleh dikitar semula, asingkan sampah terlebih dahulu dan sebagainya. Situasi ini sama dengan pendapat Zaini Sakawi, Sofia Ayup dan Mohd Fauzi Sukimi (2017), yang menegaskan bahawa kurangnya penyertaan masyarakat, komitmen, kesedaran sivik dan tahap pendidikan yang rendah terhadap isu alam sekitar menyebabkan isu pengurusan sisa pepejal masih belum dapat diselesaikan. Didapati juga ada penduduk yang tidak mempunyai nilai tanggungjawab, membuang sampah ke sungai, sawah padi, longkang-longkang, hutan dan kawasan lapang yang lain yang tidak sepatutnya dibuang. Ada juga yang membuang sampah di luar tong sampah dan bukannya dalam tong sampah.

 


Foto 2: Tong kitar semula yang tidak diguna dengan betul

Foto 3: Sampah yang tidak dibuang dengan betul 


Foto 4
: Sampah yang dibuang ke dalam sungai

 

2.2 Langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani masalah pembuangan sisa pepejal di Taman Cahaya, Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah.

Bagi mengatasi masalah pembuangan sisa pepejal di Taman Cahaya, ia memerlukan penglibatan daripada semua pihak termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerajaan negeri dan masyarakat. Hal ini selari dengan pendapat Zuroni Md Jusoh, Syuhaily Osman, Afida Mastura Muhammad Arif, Roslina Mat Salleh dan Nurul Aini A Kadir (2018) yang menyatakan kejayaan pengurusan sisa pepejal bukan sahaja tertakluk kepada pelaksanaan dan aplikasi hierarki pengurusan sisa pepejal secara bersepadu, tetapi meliputi penglibatan semua pihak yang terdiri daripada organisasi, masyarakat dan individu. Tanpa kerjasama daripada semua pihak, langkah yang hendak dilakukan dalam mengatasi masalah pembuangan sisa pepejal ini tidak sampai ke jalan penamat. Tong sampah di kawasan pembuangan sampah mendapati tidak banyak disediakan menyebabkan sampah yang dibuang melimpah ke luar tong sampah sedia ada. Oleh itu, pihak bertangungjawab perlu memperbanyakkan tong sampah bagi menjaga kebersihan kawasan perumahan ini. Papan-papan tanda untuk membuang sampah ke dalam tong sampah juga perlu diletakkan sebagai peringatan kepada penduduk setempat. Selain itu, pemungutan sampah perlulah mengikut masa yang ditetapkan untuk mengatasi sampah menjadi penuh dan melimpah keluar dari tong sampah. Jika terdapat aduan daripada penduduk terhadap isu sampah yang melimpah kerana tidak menjalankan tugas seperti jadual yang ditetapkan, pihak atasan perlulah mengambil tindakan yang sepatutnya agar perkara tidak berlaku lagi dan menjejaskan kehidupan penduduk di Taman Cahaya. Pemantauan juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya semua pihak yang bertanggungjawab akan terus kekal menjalankan prosedur pengurusan sisa yang ditetapkan secara tepat dan mematuhi peraturan (Khairul Baharudin dan Sarah Aziz, 2019).

     Di samping itu, kempen kesedaran tentang pembuangan sisa pepejal dan pentingnya amalan kitar semula perlulah dilakukan. Kempen kesedaran perlulah dipertingkatkan dan dijalankan secara berterusan untuk mengingatkan penduduk betapa pentingnya amalan kitar semula demi mencapai kelestarian dan menjaga persekitaran. Ini kerana, manusia mempunyai sifat lupa dalam dirinya dan selalu merosakkan alam sekitar tanpa rasa bersalah. Kempen kesedaran di luar dan dalam media massa perlu diperbanyakkan dengan melibatkan semua rakyat Malaysia dan bukan hanya kepada penduduk Taman Cahaya. Kempen kesedaran ini juga boleh digerakkan melalui poster atau papan tanda bagi tujuan pendidikan kepada semua untuk memastikan masalah pembuangan sisa pepejal dapat diatasi. Cadangan ini boleh digunakan dengan mendedahkan kepada semua tahap lapisan umur dan tidak perlu membezakan tahap umur. Hal ini kerana pengurusan sisa pepejal setiap lapisan umur akan terlibat kerana ia sering dilakukan tanpa mengira waktu dan tempat. Usaha yang berterusan dari semua pihak diperlukan untuk meningkatkan penglibatan komuniti dalam pengurusan sisa pepejal khususnya dalam melakukan pengasingan sisa di rumah masing-masing. Penglibatan komuniti bermaksud bahawa komuniti terlibat secara langsung dalam aktiviti pemisahan, penyimpanan, pemungutan dan pemulihan sumber sisa pepejal (Zaini Sakawi, Sofia Ayup dan Mohd Fauzi Sukimi, 2019). Amalan kitar semula dalam kalangan penduduk bagi sesuatu program pengurangan sisa pepejal adalah penting dan menjadi faktor penting yang boleh mengurangkan kuantiti pembuangan sisa pepejal. Ini kerana, amalan kitar semula di Taman Cahaya menunjukkan masih di tahap yang sangat rendah kerana tong-tong kitar semula yang disediakan oleh pihak pengurusan tidak digunakan secara betul dan tidak mendapat perhatian penduduk. Amalan kitar semula perlulah diamalkan bagi setiap individu agar ia menjadi satu tabiat biasa dalam diri. Apabila sudah biasa dengan aktiviti kitar semula sejak kecil, tiada masalah untuk terus melakukan pengasingan dan pengurangan sisa apabila sudah dewasa. (Zuroni Md Jusoh et al., 2018).

     Amalan bergotong royong juga perlu dilakukan oleh penduduk Taman Cahaya. Amalan ini boleh dilakukan oleh ketua kawasan perumahan seperti Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dalam kerja-kerja pembersihan dan mengutip sampah di kawasan yang mempunyai sampah seperti sungai, longkang-longkang, tepi jalan raya dan sebagainya. Keadaan ini sangat baik dilakukan selang beberapa bulan dan mengingatkan kepada semua pihak untuk bertanggungjawab memelihara alam semulajadi agar tidak terus tercemar dengan sisa pepejal.


3.0 KESIMPULAN

Taman Cahaya merupakan salah satu kawasan perumahan yang semakin maju yang terletak di mukim Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah. Ia juga menjadi tarikan kepada penduduk di seluruh Alor Setar terutamanya penduduk Hutan Kampung untuk mendapat perkhidmatan dan membeli barangan keperluan. Imej baik Taman Cahaya pada hari ini mungkin berubah jika tiada sebarang tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah pembuangan sisa pepejal yang dianggap isu yang agak serius pada masa kini. Bagi mengatasi masalah ini langkah-langkah mengatasi masalah sisa pepejal di sekitar kawasan perumahan ini perlu disegerakan. Penduduk di sekitar Taman Cahaya khususnya tidak mahu pemandangan kawasan perumahan mereka dicacatkan dengan longgokan sisa pepejal dan tidak mahu sisa pepejal ini meninggalkan kesan yang berbahaya kepada mereka. Dalam pada masa yang sama, penduduk Taman Cahaya perlulah mempunyai kesedaran untuk tidak membuang sisa pepejal di merata-rata tempat dan melakukan kitar semula dengan betul. Semua pihak diharapkan memberi kerjasama dan tanggungjawab dalam menjadikan kawasan perumahan Taman Cahaya sentiasa bersih daripada sisa pepejal. Pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh amat penting dan perlu dilaksanakan segera oleh pihak yang bertanggungjawab. Dengan peningkatan berterusan sisa pepejal yang dihasilkan oleh penduduk, pengurusan sisa pepejal jenis ini telah mengalami perubahan yang sangat serius, dan perhatian yang sewajarnya perlu diberikan. Pengurusan sisa pepejal bersepadu bukan sahaja untuk mengawal sisa pepejal yang dihasilkan, tetapi yang lebih penting, bagaimana sistem itu dapat menyediakan tahap tertentu persekitaran yang bersih dan kesihatan yang baik untuk masyarakat setempat.

 

 RUJUKAN

 Adi Japar dan Aliakbar Gulasan. (2019). Kajian Komposisi Dan Pengasingan Sisa Pepejal Di Kawasan Perumahan, Malaysian Journal Of Society And Space,15(2), 117-128. 

Haslinda Mohd Anuar1, Harlida Abdul Wahab. (2015). Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam: Pengurusan Dan Perundangan, Solid Waste Solution Journal, Vol. 1.

Khairul Baharudin* & Sarah Aziz. (2020). Menganjak Ke Satu Pengurusan Sisa Pepejal Secara Lestari Di Kampus Ukm Bangi, Selangor: Pertimbangan Awal, Jurnal Personalia Pelajar, 23(2), 155-164.

Mohammad Tahir Mapa, Lokman Mohd Haris, Fionna Geogre, Molia Sebi Dinggai,Mohmadisa Hashim, Khalizul Khalid Dan Rosmini Upsi. (2011). Isu Dan Pengurusan Sisa Pepejal Di Pulau Pangkor, Perak (Issues And Solid Waste Management In Pulau Pangkor, Perak), Jurnal Perspektif, Bil. 1, 78-94.

Nur Dyah Ekowati, Hasnah Ali Dan Sanep Ahmad. (2010, Oktober). Analisis Pengurusan Sisa Pepejal Di Pemukiman Berpendapatan Tinggi Dan Rendah: Kajian Kes Di Kelapa Gading Dan Warakas, Jakarta, Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke V (Perkem V), Inovasi Dan Pertumbuhan Ekonomi, Port Dickson, Negeri Sembilan. 

Zaini Sakawi1, Sofia Ayup2, Mohd Fauzi Sukimi. (2017). Pengetahuan Komuniti Dan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal Di Negeri Sembilan, Malaysian Journal Of Society And Space, 13(4), 126-137.

Zuroni Md Jusoh, Syuhaily Osman, Afida Mastura Muhammad Arif, Roslina Mat Salleh dan Nurul Aini A Kadir. (2018). Pola Pembuangan Sisa Pepejal Isi Rumah di Malaysia, Jurnal Pengguna Malaysia. Diperolehi daripada http://macfea.com.my/wp-content/uploads/2020/03/JPM-31-Dis-2018-article-3.pdf.

 

Penulis: NURFARAH ADIBAH BINTI AZMI

No Matriks: Dxxxxx091289

Kumpulan: C

No comments:

Post a Comment