Sunday, December 26, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: KESAN PEMBUANGAN SISA DOMESTIK TERHADAP PENDUDUK DI KAMPUNG AIR SEMPORNA SABAH.

 

GEOGRAFI PENDUDUK: KESAN PEMBUANGAN SISA DOMESTIK TERHADAP PENDUDUK DI KAMPUNG AIR SEMPORNA SABAH.

PENGENALAN

Sisa domestik boleh diklasifikasikan kepada 2 jenis iaitu sisa buangan pepejal dan sisa buangan cecair.. Sisa pepejal merupakan sampah yang dihasilkan oleh sesuatu isi rumah yang terdiri daripada Sampah pepejal terdiri daripada sisa plastik, sisa kertas, kaca, logam dan sebagainya.  Biasanya sisa cecair terdiri daripada air kotoran, air kumbahan, cecair organik, air basuhan dan sebagainya.  Sampah-sampah dibuang secara terus ke dalam laut menyebabkan berlakunya pencemaran yang memberi kesan kepada penduduk.   Pembuangan sisa domestik merupakan isu yang sekian lama yang telah menjadi perbualan dan permasalahan bagi penduduk di kampung  Air Semporna Sabah. Walaupun terdapat pelbagai inisiatif yang telah dilakukan namun ianya tetap menjadi masalah utama yang telah menyumbang kepada pelbagai kesan negatif kepada penduduk. Sampah pepejal dan sampah cecair merupakan sampah yang biasa ditemui khususnya di kawasan persekitaran kampung Air Semporna Sabah. Hal ini telah memberi kesan yang negatif kepada penduduk di kawasan tersebut.

LOKASI KAJIAN

Kampung Air Semporna Sabah terletak di pinggir bandar Semporna. Kampung ini merupakan salah satu perkampungan atas air yang telah dibuka sejak dahulu lagi dan telah menjadi sebuah petempatan bagi penduduk di kawasan semporna sabah. Perkampungan atas air merupakan kawasan perkampungan setinggan yang kebanyakannya didiami oleh penduduk berbangsa Bajau dan Suluk. Penempatan di atas air yang padat ini sudah sinonim dengan  perkampungan setinggan yang berselerak, kedudukan rumah yang dibina rapat dan menyebabkan banyak sisa domestik tidak dapat diurus dengan baik.


Rajah 1: Peta kawasan Kampung Air Semporna Sabah

 

KESAN PEMBUANGAN SISA DOMESTIK TERHADAP PENDUDUK DI KAMPUNG AIR SEMPORNA  

MENJEJASKAN KESIHATAN

Kawasan penempatan di kampung Air Semporna menghadapi keadaan yang sangat kotor kerana dipenuhi dengan sisa domestik yang dibuang oleh penduduk.  Pembuangan sisa domestik yang tidak sistematik dan tidak terurus dengan baik di kampung Air Semporna telah menyebabkan kesihatan penduduk di kawasan tersebut telah terjejas. Sisa domestic yang dibuang secara terus kedalam laut telah menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit. Sisa pepejal dan sisa kumbahan yang dibuang terus ke dalam air akan menggalakkan bakteria untuk terus membiak dan menjadi masalah kepada kepada penduduk di kawasan tersebut. Pembuangan sampah di dalam air boleh menyebabkan nyamuk aedes membiak. Sampah sarap yang dibuang boleh menyebabkan air bertakung yang akan menggalakkan lagi pembiakan nyamuk aedes. Oleh itu, penduduk di kawasan persekitaran akan terdedah kepada penyakit demam denggi yang boleh membawa maut.

Selain itu juga, pembuangan sisa domestik ke dalam laut akan menyebabkan penduduk menghidapi penyakit taun atau kolera. Penyakit ini merupakan penyakit bawaan air dan makanan yang berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria. Penyakit ini merebak disebabkan oleh pengambilan air yang tercemar hasil daripada pembuangan sisa domestik. Akibatnya, penduduk yang dijangkiti akan mengalami cirit birit serta gejala yang teruk juga boleh membawa maut kerana dehidrasi yang teruk. Oleh hal yang demikian, pembuangan sisa domestik di kampung Air Semporna telah menyebabkan penduduk dijangkiti pelbagai penyakit yang sangat serius dan boleh membawa maut.


Rajah 2: Persekitaran yang yang kotor akan menjejaskan kesihatan

 

PENCEMARAN AIR/KUALITI AIR TERJEJAS

Pembuangan sisa domestik di kawasan petempatan ini juga telah menyebabkan berlakunya pencemaran air.  Pencemaran air adalah perubahan yang berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai di gunakan dan memberi kesan kepada manusia apabila digunakan. Sampah sarap dan sisa kumbahan daripada setiap isi rumah akan dibuang secara terus ke dalam laut yang akan menyebabkan air laut terjejas. Pembuangan sisa domestik yang berlebihan akan mengakibatkan air laut bertukar menjadi warna kehitam-hitaman. Pembuangan sisa domestik ke dalam laut akan menyebabkan sampah-sampah akan terampai di permukaan laut, kotor dan tidak selamat untuk digunakan. Keadaan ini boleh memberikan kesan yang buruk terhadap keselesaan penduduk setempat kerana kualiti air laut yang telah terjejas. Oleh hal yang demikian, pencemaran air di kampung Air Semporna telah memberi yang negatif bukan sahaja kepada penduduk malahan terhadap ekosistem lautan.


Rajah 3: Pembuangan sisa domestik menyebabkan kualiti air terjejas dan berlaku pencemaran udara/bau

 

PENCEMARAN UDARA/BAU BUSUK

Pembuangan sisa kumbahan di kampung Air Semporna telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Pencemaran udara ini berlaku apabila terdapat bendasing dalam kepekatan yang akan mengganggu dan membahayakan manusia Bendasing ini wujud dalam bentuk asap, habuk, wap dan sebagainya.  Pembuangan sisa domestiK ini telah menyebabkan wujudnya bau busuk yang yang menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk. Masalah bau busuk ini merupakan terhasil daripada sisa domestik yang dibuang oleh isi rumah terus ke dalam laut. Bukan itu sahaja, longgokan sampah yang dibuang oleh penduduk juga mengundang kepada bau busuk yang melampau. Kelemahan pengurusan merupakan punca utama masalah ini berlarutan. Bau busuk daripada sampah sarap dan sisa kumbahan yang menjijikan akan menyukarkan pernafasan. Pengaruh daripada bau busuk ini telah memberi impak ke atas keselesaan penduduk.

Di samping itu, bau busuk hasil daripada pembuangan sisa domestik ini akan menyebabkan aktiviti harian penduduk di kawasan kampung Air Semporna terganggu. Penduduk tidak dapat melakukan aktiviti harian mereka dengan lancar.  Pembangunan dan pengurusan yang tidak terancang boleh membawa kesan yang negatif terhadap kehidupan penduduk. Oleh hal yang demikian, pembuangan sisa domestik ini telah menyebabkan penduduk di kawasan kampung Air Semporna telah terdedah kepada pencemaran udara yang memberi ketidakselesaan kepada penduduk.

 

MENJADI TEMPAT PEMBIAKAN HAIWAN PEROSAK

Pembuangan sisa domestik di kampung Air Semporna telah menjadi tempat pembiakan haiwan perosak. Bahan buangan daripada sisa pepejal khususnya telah menyebabkan wujudnya haiwan perosak seperti tikus, nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Longgokan sampah yang tidak diurus dengan baik akan menggalakkan kewujudan haiwan perosak ini. Pembuangan sisa plastik, sisa makanan dan sebagainya telah menjadi punca meningkatnya populasi haiwan perosak seperti tikus dalam skala yang membimbangkan. Kehadiran haiwan perosak ini telah memberi impak yang negatif kepada penduduk di kawasan ini. Hal ini kerana, haiwan perosak ini akan masuk kedalam kawasan rumah penduduk dan akan menyebarkan wabak yang berbahaya. Oleh hal yang demikian, pembuangan sisa domestik akan mengundang kepada pembiakan haiwan perosak yang akan memberi kesan buruk kepada manusia.



 

Rajah 4: Longgokan sampah yang banyak akan menjadi tempat pembiakan haiwan perosak dan akan mencemarkan keindahan alam sekitar.

 

MENCEMARKAN KEINDAHAN ALAM SEKITAR

Pembuangan sisa domestik di kampung  Air  Semporna telah mencemarkan keindahan alam sekitar di kawasan tersebut. Hal ini kerana, sisa pepejal yang dibuang secara terus ke dalam laut akan menyebabkan kawasan  laut  dipenuhi dengan sampah sarap. Sisa pepejal seperti plastik, botol air dan sebagainya akan terapung di atas laut. Bukan itu sahaja, longgokan sampah yang dibuang oleh penduduk akan menyebabkan kawasan persekitaran menjadi kotor. Pembuangan sisa domestik secara berlebihan juga akan memberi kesan visual yang negatif. Ianya boleh menjejaskan imej di kawasan persekitaran dan juga boleh memberikan gambaran bahawa penduduk di kawasan tersebut pengotor dan tidak bertanggungjawab dalam menjaga keindahan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, pembuangan sisa domestik akan merosakkan imej kawasan tersebut serta kan mencemarkan alam sekitar.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pembuangan sisa kumbahan di kampung Air Semporna adalah berpunca daripada sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan kawasan persekitaran kediaman mereka. sikap penduduk ini haruslah diubah bagi menangani masalah pembuangan sisa domestik ini. Sebilangan penduduk di kawasan ini tidak mempunyai kesedaran dan pengetahuan yang mencukupi  untuk menguruskan sampah dengan langkah yang sistematik. Mereka malas berjalan jauh untuk membuang sampah di kawasan pelupusan sampah menyebabkan sisa pepejal khususnya saban hari semakin tertimbus dan menjadi semakin banyak sehingga sukar untuk dilupuskan. Bukan itu sahaja, pengurusan sisa domestik ini haruslah dilakukan secara terurus dengan sebaiknya bagi mengurangkan masalah pembuangan sisa domestik yang akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada manusia malahan terhadap alam sekitar. Oleh hal yang demikian, setiap masyarakat haruslah menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi mengatasi masalah ini bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan kawasan persekitaran bebas sampah.

 

RUJUKAN

Haslinda Anuar & Harlida Wahab. (2015). Sisa Pepejal dan Pembersihan: Pengurusan dan

Perundangan. Solid Waste Solution Journal, Vol 1. Diperolehi daripada https://www.researchgate.net/publication/31909214_Sisa_Pepejal_dan_Pembersihan_Awam_Pengurusan_dan_Perundangan

Sani Salleh. (2009). Profile & Sejarah Kampung Air Semporna 1887-2009. Diperolehi daripada

 https://www.scribd.com/doc/24321722/Profile-Sejarah-Kampung-Air-Semporna-1887-2009

Tahir Mapa. (2019). Kajian Komposisi dan Pengasiangan Sisa Pepejal di Kawasan Perumahan.

Malaysian Journal of Society and Space, 15(2), 117-128. Diperolehi daripada https://www.researchgate.net/publication/333090807­_Kajian_Komposisi_dan_pengasingan_sisa_pepejal_di_kawasan_perumahan

Zuroni Jusoh, Syuhaily Osman, Afida Arif, Roslina Salleh & Ain Kadir. (2018). Pola Pembuangan Sisa

Pepejal Isi Rumah di Malaysia. Jurnal Pengguna Malaysia. Jilid 31. Diperolehi daripada https://macfea.com.my/wp-content/uploads/2020/03/JPM-31-Dis-2018-aarticle-3.pdf

 

PENULIS: NOOR SHAFIKAH HAKIAH BINTI NUL HUSSIN

NO. MATRIK: D20192091292

KUMPULAN: B

 

No comments:

Post a Comment