Saturday, December 25, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: PENGETAHUAN DAN AMALAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL DI TAMAN DESA KEMUMIN, PENGKALAN CHEPA, KELANTAN.

1.0 PENGENALAN

Sisa pepejal dapat merupakan hasil buangan daripada aktiviti sosio-ekonomi manusia yang mempunyai sifat kotor dan dianggap tidak berguna dan pengurusan sisa pepejal adalah antara masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan bandar di negara membangun (Hasnah, et.al, 2012). Selain itu, sisa pepejal juga dianggap sebagai suatu bahan atau sumber yang tidak lagi digunakan kerana tidak mempunyai nilai ekonomi sebelum ia melalui proses akhir (Soew dan Indera, 2016). Dalam erti kata lain juga, sisa pepejal dapat ditakrifkan sebagai bahan buangan daripada manusia kerana dianggap sudah tiada nilainya lagi.

Seiring dengan pertambahan penduduk, perkembangan kawasan persekitaran dan perindustrian yang kian berkembang pesat dari semasa ke semasa menyebabkan bertambahnya sisa pepejal yang dijana oleh masyarakat terutama oleh penduduk di sesuatu kawasan tersebut. Pertambahan jumlah sisa pepejal boleh dikatakan sentiasa meningkat saban hari. Sehubungan dengan itu, pada 2001, jumlah sisa pepejal yang dijana di Semenanjung Malaysia dicatat meningkat daripada 16 200 tan metrik sehari manakala pada tahun 2005 didapati meningkat kepada 19 100 tan metrik sehari. Menurut Pengarah Institut Lautan dan Sains Bumi, Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sumiani Yusoff (2021), anggaran penjanaan sisa pepejal di Malaysia pada tahun 2020 direkodkan sebanyak 38,081 tan sehari dan terus meningkat sehingga tahun 2021 sebanyak 38,699 tan sehari. Menurut Harian Metro (2021), dianggarkan 14 juta tan sampah setahun akan dikutip menjelang 2022. Hal ini demikian telah menunjukkan betapa pentingnya terhadap pengetahuan dan amalan pengurusan sisa pepejal dalam kalangan masyarakat khususnya masyarakat setempat.

2.0 KAWASAN KAJIAN- Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Pada 20 dan 21 Disember 2021, pengkaji telah menjalankan suatu kajian lapangan di Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan. Kajian yang telah dilakukan ini adalah bagi memenuhi kursus HGM3033 Geografi Penduduk. Seterusnya, kajian yang dijalankan adalah berkaitan dengan pengetahuan dan amalan pengurusan sisa pepejal di kawasan sekitar Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan.



Rajah 1: Peta kawasan kajian- Taman Desa Kemumin.

Taman Desa Kemumin merupakan suatu kawasan perumahan yang terletak di Pengkalan Chepa, negeri Kelantan. Taman Desa Kemumin juga terbahagi kepada tiga kawasan iaitu Taman Desa Kemumin Fasa I, II dan III. Rumah saya terletak di kawasan perumahan Taman Desa Kemumin Fasa III. Namun begitu, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin Fasa I dan II juga terletak berhampiran dengan kawasan perumahan tempat tinggal saya. Seterusnya, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin juga dikelilingi dengan kawasan penempatan yang lain seperti Perumahan Lama JPN, Taman Profil Impian, Taman Wira (perumahan askar), kuarters polis dan Taman Teluk Puteri. Seterusnya, secara umumnya, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini terletak di Pengkalan Chepa di mana Pengkalan Chepa merupakan sebuah subbandar yang terletak di daerah Kemumin. Di samping itu, Taman Desa Kemumin juga terletak kira-kira 5 km dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. Kawasan Taman Desa Kemumin juga merupakan kawasan yang strategik yang dikelilingi dengan kawasan perindustrian, sekolah rendah dan menengah, sekolah berasrama penuh, pusat pengajian tinggi, masjid, kedai runcit dan kedai makan. Hal ini demikian telah menyebabkan kawasan persekitaran Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa ini mempunyai penduduk yang padat dan dianggarkan kapasiti kependudukan sebanyak 6768 orang penduduk dengan jumlah purata isi rumah adalah sebanyak 5 orang bagi setiap isi rumah mengikut pegawai penggawa Padang Tembak. Sehubungan dengan itu, majoriti penduduk di kawasan Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa ini terdiri daripada kaum Melayu.

3.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN PENINGKATAN SISA PEPEJAL DI TAMAN DESA KEMUMIN.

Menurut pemerhatian saya, masalah pengurusan sisa pepejal di kawasan Taman Desa Kemumin ini agak membimbangkan. Hal ini demikian kerana, jumlah penduduk yang semakin ramai dan padat saban tahun menyumbang terhadap masalah pengurusan sisa pepejal di kawasan ini. Tambahan pula, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini juga sering didatangi warga Bangladesh untuk tinggal di kawasan perumahan ini saban tahun. Tambahan pula, kedatangan mereka ke kawasan perumahan ini adalah berkelompok. Hal ini demikian kerana, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini merupakan kawasan perumahan yang paling terdekat dengan sektor perindustrian. Maka, kawasan ini dianggap strategik bagi mereka untuk didiami kerana dekat untuk mereka pergi bekerja. Kesannya, kawasan perumahan di sini sentiasa bertambah dengan penduduk dan memberi kesan terhadap peningkatan jumlah sisa pepejal.

Selain itu juga, masalah peningkatan sisa pepejal di kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini adalah disebabkan amalan penggunaan pembungkusan makanan dan barangan daripada plastik, polisterin dan bahan berasaskan kayu. Tambahan pula, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini berdekatan dengan pasar malam yang beroperasi setiap hari Isnin dan Rabu, bermula kira-kira daripada pukul tiga petang hingga sembilan malam. Pasar malam ini akan berhenti beroperasi sebentar pada waktu Maghrib bagi menghormati waktu tersebut. Sehubungan dengan itu, setiap hari Isnin dan Rabu, ramai yang akan berkunjung dan membeli makanan dan pakaian di pasar malam tersebut terutama penduduk di kawasan Taman Desa Kemumin. Saya dapati, masih lagi ramai yang kurang sedar akan keburukan membuang sisa pepejal di merata tempat. Sebagai contoh, sebahagian penjual yang akan meninggalkan atau membuang sisa pepejal di tapak jualan mereka setelah tamat beroperasi, manakala sebahagian pembeli pula ada yang membuang bekas air yang diperbuat daripada plastik ke merata tempat di tapak pasar malam tersebut. Hal ini sungguh menduka citakan saya sebagai penduduk di sini. Ini juga menujukkan bahawa pengetahuan dan amalan penduduk di sini dalam mengurus sisa pepejal adalah sangat lemah.




Rajah 2: Penjual di pasar malam kawasan Taman Desa Kemumin menggunakan polisterin untuk membungkus makanan.


Rajah 3: Pembeli yang membuang bekas minuman di merata tempat di pasar malam kawasan Taman Desa Kemumin.

Seterusnya, berdasarkan pemerhatian saya, antara faktor yang menyebabkan peningkatan pembuangan sisa pepejal di kawasan Taman Desa Kemumin adalah kerana terdapat banyak kedai makan yang beroperasi di sekitar perumahan Taman Desa Kemumin ini. Kebanyakan penduduk di sini membuka kedai makan di hadapan rumah mereka. Hampir setiap hari mereka membuka kedai makan tersebut untuk pekerja-pekerja kilang di sekitar kawasan perumahan di sini. Secara tidak langsung, sisa pepejal yang dijana melalui jualan mereka menyumbang kepada jumlah peningkatan sisa pepejal yang dihasilkan. Namun begitu, hal yang menyebabkan isu adalah tahap pengetahuan dan amalan mereka dalam mengurus sisa pepejal tersebut. Sisa pepejal seperti sisa makanan dan pembungkus makanan tidak dibuang terus ke dalam tong sampah yang disediakan oleh pihak Majlis Pembandaran Kota Bharu (MPKB), malah mereka meninggalkan sampah mereka di tepi kedai mereka. Hal ini demikian telah merosakkan pemandangan persekitaran di kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini.



Rajah 4: Longgokan sampah yang ditinggalkan oleh penjual kedai makan di sekitar kawasan Taman Desa Kemumin.



Rajah 5: Buangan sisa pepejal di tepi kedai makan di sekitar Taman Desa Kemumin

Di samping itu, amalan segelintir penduduk di sekitar Taman Desa Kemumin terhadap pembuangan sampah seperti bahan yang berasaskan plastik di merata tempat seperti di dalam semak dan longkang juga telah menyumbang kepada kegagalan penduduk untuk mengurus sisa pepejal dengan baik. Berdasarkan pemerhatian saya, saya dapati penduduk di kawasan kajian yang telah saya pilih ini, rata-rata kawasan belakang rumah mereka dipenuhi dengan sampah sarap. Mereka kurang menitik beratkan akan kebersihan belakang rumah mereka. Bahan buangan daripada plastik sangat mudah untuk dijumpai. Selain itu, ada juga yang membuang topeng pelitup muka di merata tempat. Secara tidak langsung, tanpa disedari, ini juga merupakan amalan yang tidak baik dan akan menjejaskan alam sekitar.



Rajah 6: Sisa pepejal yang dibuang ke dalam longkang di perumahan Taman Desa Kemumin.



Rajah 7: Pemandangan di belakang sebuah rumah di perumahan Taman Desa Kemumin.



Rajah 8: Keadaan belakang rumah di kawasan Taman Desa Kemumin.

4.0 KESAN DARIPADA PEMBUANGAN SISA PEPEJAL DI TAMAN DESA KEMUMIN.

Terdapat beberapa kesan terhadap persekitaran mahupun manusia apabila tahap pengetahuan dan amalan pengurusan sisa pepejal di Taman Desa Kemumin ini diambil ringan. Ghalibnya, kesan ini saling berkait dan memberi mudarat kepada manusia mahupun alam sekitar.

Antara kesan yang berlaku disebabkan kurangnya tahap pengetahuan dan amalan terhadap pengurusan sisa pepejal ini adalah menyebabkan imej di persekitaran perumahan Taman Desa Kemumin ini terjejas. Hal ini demikian kerana, longgokan sampah dan pembuangan sampah di merata tempat telah menyebabkan penduduk sekeliling mahupun orang luar yang datang ke kawasan perumahan ini kurang selesa. Pemandangan yang kurang baik seharusnya dielakkan kerana ini juga sekali gus merosakkan reputasi penduduk di kawasan perumahan Taman Desa Kemumin. Orang luar yang melihat perkara ini akan menganggap penduduk di sini tidak mempunyai tahap kebersihan yang optimum.

Seterusnya, berdasarkan pemerhatian saya sepanjang kajian, saya dapati bahawa bilangan tikus di kawasan perumahan Taman Desa Kemumin juga banyak. Banyak tikus yang berkeliaran terutama pada waktu malam untuk mencari makanan. Hal ini demikian kerana, ada segelintir penduduk yang kurang peka akan pentingnya membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan. Kelalaian ini menyebabkan kehadiran binatang yang tidak diingini datang. Tambahan pula, kehadiran tikus ini dapat membawa kepada penyakit terhadap manusia.

5.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH SISA PEPEJAL DI TAMAN DESA KEMUMIN.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah sisa pepejal di Taman Desa Kemumin ini. Antaranya adalah menyediakan subjek alam sekitar di sekolah rendah mahupun menengah. Hal ini demikian kerana, melalui subjek ini, pendedahan terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dapat dipupuk di usia muda lagi. Secara tidak langsung juga, melalui subjek ini, tahap pengetahuan dan amalan dalam mengurus sisa pepejal juga dapat ditingkatkan. Seperti kata orang bijak pandai, melentur biarlah dari rebungnya. Maka, pihak kerajaan seharusnya mewajibkan agar semua pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk mengambil subjek alam sekitar ini. Menurut Aslina dan Haliza (2015), langkah ini perlu dilakukan bagi menanam sikap dan amalan masyarakat pada usia dalam usaha memahami dan memelihara alam sekitar.

Seterusnya, meningkatkan bilangan tong sampah khas khususnya kepada peniaga-peniaga kedai makan merupakan suatu langkah yang dapat diambil oleh pihak yang bertanggungjawab seperti pihak Majlis Pembandaran Kota Bharu (MPKB). Menurut pendapat saya, menyediakan tong sampah khas yang mencukupi dan berdekatan perumahan ini merupakan suatu inisiatif yang patut dilakukan. Hal ini demikian supaya tiada lagi alasan bagi peniaga-peniaga kedai makan di kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini untuk meninggalkan sisa pepejal mereka di tepi kedai. Tambahan pula, pembuangan sisa pepejal yang tidak sistematik juga dapat boleh menyebabkan nilai estetika kawasan persekitaran terganggu atau buruk pada pandangan mata (Aslina & Haliza,2015). Oleh yang demikian, diharapkan pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan susulan atas permasalahan yang berlaku.

Lantaran itu, semua penduduk di sekitar Taman Desa Kemumin juga tidak ketinggalan untuk melakukan tanggungjawab mereka dalam mengawal pengurusan sisa pepejal secara sistematik. Antara langkah yang dapat dilakukan oleh penduduk adalah tidak membuang sebarang sisa pepejal di merata tempat terutama di longkang. Hal ini demikian kerana, saya dapati bahawa kawasan perumahan saya sering kali mempunyai masalah air bertakung apabila hujan lebat turun akibat daripada pembuangan sisa pepejal ke dalam longkang. Sehubungan dengan itu, apabila longkang dipenuhi sampah sarap, sistem saliran juga terganggu dan boleh menyebabkan banjir. Oleh yang demikian, setiap penduduk seharusnya meningkatkan pengetahuan dan mengubah amalan ini demi kebaikan bersama iaitu kelestarian alam sekitar dan juga keselesaan semua penduduk.

6.0 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, pengetahuan dan amalan pengurusan terhadap sisa pepejal oleh penduduk di Taman Desa Kemumin perlu dipertingkatkan. Hal ini demikian kerana, pembuangan sisa pepejal yang tidak sistematik dan terurus ini akan mendatangkan isu serta kesan suatu jangka panjang. Sehubungan dengan itu, setiap penduduk tidak mengira umur yang muda mahupun tua seharusnya sedar akan tanggungjawab menjaga alam sekitar ini. Tambahan pula, pengurusan sisa pepejal bukan lagi pilihan bagi masyarakat malah merupakan suatu keperluan dalam usaha untuk melindungi alam sekitar, menjamin kelestarian serta kualiti hidup masyarakat setempat. Oleh yang demikian, sebagai seorang masyarakat kita tidak seharusnya menunding jari kepada mana-mana pihak untuk memulakan langkah bagi mengatasi masalah pengurusan sisa pepejal ini. Kita seharusnya berganding bahu dalam bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal kita demi kesejahteraan bersama.

Rujukan

Hasnah Ali, D. D. (2012). Masyarakat dan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal ke arah Kelestarian Komuniti: Kes Isi Rumah Wanita di Bandar Baru bangi, Malaysia. Malaysia Journal of Sosiety and Space , 64-75.

Hayin, N. '. (2017, Disember 27). My Metro. Retrieved from My Metro: https://www.hmetro.com.my/nuansa/2017/12/297254/tenaga-daripada-sisa-pepejal

Lin, T. S. (2016, Mei 20). Astro Awani. Retrieved from Astro Awani.com: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/5-perkara-anda-perlu-tahu-mengenai-pengasingan-sisa-pepejal-di-punca-105825

Manzor, L. R. (2021, Julai 21). Kosmo Online. Retrieved from Kosmo Online: https://www.kosmo.com.my/2021/07/21/urus-2400-tan-sisa-pepejal-sehari/

Mohammad Tahir Mapa, L. M. (2019). Kajian komposisi dan Pengasingan Sisa Pepejal di Kawasan Perumahan. Journal of Society and Space, (117-128).

Muhammad Saufi Hassan, N. '. (2021, Julai 20). My Metro. Retrieved from My Metro: https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/732770/14-juta-tan-sampah-pada-2022

Radzuan, S. T. (2016). Sikap Masyarakat terhadap Program Kitar Semula: Kajian Kes di Daerah Batu Pahat, Johor. Journal of Techno-Social, 75-86.

Rahman, A. I. (2015). Pengetahuan dan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal dalam Kalangan Masyarakat di Taman Mesra dan Taman Bakti Kota Bharu, Kelantan. Geografi, 15-27.

Siti Khatijah Zamhari, N. A. (2014). Komuniti Bandar dan Pengurusan Sisa Pepejal: Kajian Kes di Bandaraya Kuching. Malaysian Journal of Society and Space, 126-137.

 

WAN SITI HAJAR NADZIRAH BINTI WAN MOHD ZAID

D20201093816

KUMPULAN B 

 

No comments:

Post a Comment