Saturday, December 25, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK : ISU PEMBUANGAN SISA DOMESTIK DI KAMPUNG SELAMAT, SEMPORNA, SABAH.


Semporna merupakan sebuah daerah kecil yang terletak di pantai timur, Sabah. Daerah ini terbahagi kepada dua kawasan yang luas, iaitu kawasan daratan dan kawasan kepulauan. Kawasan tanah besar atau daratan Semporna berkeluasan 442 batu persegi atau 113,412 hektar. Pada zaman dahulu masyarakat setempat menamakan kawasan tanah besar ini sebagai Tong Talun, yang bermaksud ‘hujung hutan’ manakala kawasan kepulauan terdiri dari 49 buah pulau yang tersebar ke sekitar Laut Sulu dan Sulawesi dengan keluasan 23,486 hektar. Semasa zaman Kesultanan Sulu, kawasan kepulauan ini dikenal sebagai lingkungan wilayah Omadal atau digelar lingkungan wilayah Kubang oleh masyarakat Kesultanan Bolongan, Kalimantan. Semasa pendudukan British North Borneo Chartered (BNBC), daerah ini diletakkan di bawah pemerintahan daerah Magindora yang merangkumi daerah Kinabatangan, Sabahan, Madai, Giong, Tidong dan Omadal sendiri (Warren, 1981). Seiring dengan peredaran zaman, aktiviti sosiekonomi dan landskap daerah ini turut berubah dan menunjukkan banyak kemajuan dari segi ekonomi terutama dalam sektor pelancongan dan perhotelan, namun sesuai dengan kenyataa Imura et al. (2005), pertumbuhan penduduk yang tinggi dan digabungkan dengan pertumbuhan pesat penduduk telah meningkatkan penghasilan sisa pepejal dan perubahan dalam komposisi sisa. Isu pengurusan sisa pepejal yang tidak terkawal menjadi isu utama yang dihadapi oleh daerah ini sehingga menjadi buah mulut banyak akhbar tempatan meskipun sering dijolok dengan gelaran ‘Syurga Pelancongan’.

(Rajah 1 : Pekan Semporna)

            Aktiviti sosioekonomi manusia yang tidak sistematik dan bersifat kotor adalah antara masalah utama yang di hadapi oleh kebanyakan negara membangun dalam menangani isu sisa pepejal. Hal ini kerana, kuantiti sisa pepejal yang dijana setanding dengan jumlah penduduk yang menghuni sesuatu kawasan (Abdul Rashid & Hasnah, 2001). Jadi pertambahan penduduk, peningkatan taraf sosioekonomi dan perubahan gaya hidup  yang menjadi semakin canggih dan diikuti oleh peningkatan bahan buangan domestik , perniagaan dan kilang, merupakan faktor utama dalam peningkatan bahan sisa pepejal. Pada masa yang sama kapasiti bagi tapak pelupusan adalah amat terhad. Keluasaan tapak pelupusan di Malaysia biasanya 5 – 36 hektar (20 -150 ekar) bergantung kepada lokasi dan jumlah penjanaan (Liew Yin Fen, 2005). Di kawasan bandar di Malaysia purata sisa pepejal yang dihasilkan adalah 760,000 tan per hari berbanding sisa pepejal keseluruhan 1.8 juta tan per hari pada tahun (Zamali Tarmudi et al., 2009). Secara purata, sebanyak 0.8 kilogram sampah dihasilkan oleh rakyat Malaysia setiap hari (Azrina, 2016). Berdasarkan trend pungutan sampah setiap hari di seluruh negara yang merekodkan peningkatan sejak 2012 sehingga tahun lalu (lihat Rajah 1), dianggarkan 14 juta tan sampah setahun akan dikutip menjelang tahun 2022. Kegagalan mengawal isu ini memberi impak yang teruk terhadap alam sekitar dan keselesaan sosial penduduk. Oleh itu, tajuk ‘ Isu Pembuangan Sisa Domestik di Kampung Selamat, Semporna, Sabah“ , dipilih untuk melihat masalah pengurusan sampah domestik yang dihadapi oleh penduduk Kampung Selamat khasnya, dan di kawasan sekitar daerah Semporna amnya.

( Rajah 2 : Data Penjanaan Kutipan Sampah 2012-2022)

Sumber : Berita Harian Metro

Kampung Selamat terletak kira-kira 500 m dari pekan Semporna dan merupakan salah sebuah perkampungan yang padat dengan penduduk. Kampung ini terletak di persisiran menghadap ke laut di mana kebanyakan rumah yang di bina berada di atas air yang dikenali sebagai perumahan bagan. Walaupun terkenal dengan perkampungan pelarian, namun ianya bukan hanya didiami oleh masyarakat pelarian bahkan majoriti penduduknya  memegang status Warganegara. Selain itu, keunikan kampung tersebut adalah penduduk kampung tidak membataskan status kewarganegaraan, masyarakatnya hidup dengan harmoni tanpa mengira bangsa dan keturunan bahkan semangat kejiranan menjadi pegangan utama dalam hidup bermasyarakat. Kampung yang didirikan seawal 80-an ini mengalami perubahan yang ketara atas faktor pertambahan penduduk serta perubahan bentuk muka bumi. Dari segi ekonomi, majoriti penduduk di sini menjalankan aktiviti nelayan dan selainnya berniaga secara kecil-kecilan samada di rumah mahupun di pekan Semporna. Kepadatan penduduk Kampung Selamat telah membimbangkan pihak bertanggungjawab tempatan kerana terdapat rumah-rumah yang didirikan tanpa kebenaran pihak penempatan dan berisiko menimbulkan isu-isu perkampungan seperti masalah jenayah, lambakan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PTI) dan masalah pembuangan sampah yang banyak dan tidak sistematik.

 

(Rajah 3 : Masjid As-Salam, Kampung Selamat, Semporna)

      Penulisan artikel ini akan membincangkan isu pembuangan sisa domestik penduduk sekitar Kampung Selamat, Semporan berdasarkan hasil pengutipan data melalui kaedah pemerhatian di kawasan lapangan untuk mendapat gambaran yang jelas tentang kehidupan harian penduduk Kampung Selamat dan melalui hasil temu bual dengan penduduk kampung secara tidak formal dan rawak. Isu ini akan dipecahkan pada faktor dan kesan yang berlaku disebabkan isu pembuangan sisa domestik yang tidak sistematik. 

Faktor masalah pembuangan sisa domestik tidak terkawal

Faktor pertama adalah pemerintah tempatan tidak menyediakan sistem pengurusan sampah di Kampung Selamat sesuai dengan landskapnya sebagai sebuah perkampungan atas air. Hasil temu bual saya dengan penduduk kampung menyatakan bahawa sekiranya mereka mematuhi cara-cara pembuangan sampah yang telah ditetapkan oleh pemerintah tempatan maka perkara itu sangatlah membebankan mereka kerana jarak tapak pembuangan sampah dengan kediaman mereka yang jauh. Responden yang dikenali sebagai puan Ema berkata, beliau terpaksa berjalan kaki lebih kurang jarak satu kilometer untuk membuang sampah setiap hari. Beliau pada awalnya merasa terbeban dan sangat marah. Beliau merasa tidak masuk akal baginya untuk berbuat demikian setiap hari. Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk membuang sampah terus ke laut sahaja kerana menurut beliau cara itu lebih menjimatkan masa dan memudahkan kerja harian.

 

(Rajah 4 : Pusat Pembuangan Sampah Kampung Selamat, Semporna)

Berdasarkan daripada hasil pemerhatian, faktor isu pembuangan sisa pepejal ini adalah bertitik tolak dengan maklum balas yang telah diberikan iaitu berpunca daripada sikap penduduk kampung itu sendiri. Tidak dinafikan, jika dilihat dari realiti perspektif masyarakat luar, sikap membuang sampah merata-rata oleh penduduk kampung Selamat ini adalah mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab. Kesan perbuatan ini akhirnya  menyebabkan lambakan pembuangan sisa domestik yang tidak lestari dan menjejaskan alam sekitar sekali gus membawa kepada masalah pencemaran. Namun faktor ini juga perlu dipertimbang dari aspek Pendidikan dan Kawasan perumahan mereka. Masyarakat tidak seharusnya meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada penduduk kampung sahaja.

 

(Rajah 5 : Pembuangan Sisa Domestik tidak dikawal)

       Faktor tahap pendidikan. Berdasarkan hasil temu bual dan pemerhatian, masih terdapat masyarakat kampung yang buta huruf terutama bagi golongan yang berusia. Terdapat juga golongan dewasa yang mempunyai tahap Pendidikan setakat sijil Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dengan alasan tidak lagi berminat untuk melanjutkan pembelajaran dan keadaan ekonomi keluarga yang sempit. Rendahnya tahap Pendidikan dan kurangnya pendedahan ilmu-ilmu tentang kelestarian alam juga mendorong pada faktor isu ini berlaku. Penduduk kampung hanya memikirkan kebajikan mereka sesama komuniti dan manusia dan tidak sedar akan hak alam sekeliling yang juga perlu dipelihara dan dijaga. Oleh itu, sebarang arahan kepentingan pengurusan pembuangan sisa domestik  dipandang ringan dan hanya dianggap sebagai helah poltik pemerintah tempatan sahaja. Kesannya, alam terus teraniaya dan manusia terus bermaharajalela.

Kesan Pembuangan Sisa Domestik di Kampung Selamat, Semporna.

Berdasarkan pemerhatian kesan masalah pembuangan sampah yang tidak sistematik ini menyebabkan pencemaran bau berlaku. Ketika pertama kali menjejakkan kaki ke kawasan lapangan kajian, perkara pertama yang timbul adalah keadaan bau yang kurang menyenangkan sehingga menimbulkan ketidakselesaan pengunjung. Ketika menemu bual penduduk asal kampung ini, mereka anggap perkara ini biasa-biasa sahaja dan mereka sudah hidup sebati dengan bau yang sedemikian. Longgokan sisa domestik yang tidak dilupuskan dengan baik dan sempurna menghasilkan pelbagai bau yang busuk sekali gus mengundang kotoran dan kadar sanitasi yang rendah dalam persekitaran kampung.


(Rajah 6 : Pencemaran Bau di Kawasan Kampung Selamat)

      Seterusnya, pemandangan atau imej kampung terjejas. Disebabkan tapak pembuangan sampah yang disediakan terletak di bahagian hadapan di kawasan darat Kampung Selamat maka gambaran imej tentang kampung Selamat oleh masyarakat luar menjadi terjejas. Daripada pemerhatian sisa domestik memenuhi ruang perkampungan air tersebut dan mencacatkan pemandangan air laut yang dahulunya bersih. Terdapat berbagai jenis sampah yang dapat dilihat dengan jelas di bawah perumahan kampung seperti lampin pakai buang bayi, botol plastik, tin kosong, kaca, besi dan sebagainya. Semua ini mempengaruhi tanggapan negatif masyarakat terhadap kampung Selamat. Kesannya, penduduk kampung dianggap tidak maju, tidak bertamadun dan pengotor.

 

 

(Rajah 7 : Pencemaran habitat hidupan marin di kawasan kampung)

      Habitat hidupan marin terganggu. Kawasan laut yang didiami oleh masyarakat perkampungan air akan mencemarkan kualiti air laut dengan pembuangan sisa domestik yang berterusan. Hidupan akuatik seperti ikan-ikan akan kehilangan makanan dan berisiko mati disebabkan lambakan sampah yang ada di dalam laut. Kualiti air laut yang dahulunya jernih semakin merosot dan bertukar menjadi keruh disebabkan sampah sarap yang dibuang ke dalamnya. kesannya, ekosistem hidupan akuatik jadi terjejas dan mengganggu habitat asal hidupan marin. Penduduk yang bekerja sebagai nelayan juga terganggu sumber mata pencarian kerana mereka bergantung sepenuhnya dengan hasil tangkapan ikan dan hidupan laut yang lain. Sekiranya terdapat hasil tangkapan, jumlah yang diperoleh adalah sedikit dan pembeli berisiko dilanda penyakit kerana kualiti ikan yang diperoleh tidak dijamin kebersihannya.


Penutup

    Masyarakat seringkali sukar untuk melihat sebuah permasalahan dari akar umbi. Lebih menyedihkan lagi kebanyakan NGO-NGO dan pemerintah juga bersikap sedemikian. Ramai mengatakan masalah sampah di perkampungan atas air ini adalah masalah kesedaran, masalah mentaliti, masalah sikap dan sebagainya. Berdasarkan pemerhatian, kutukan-kutukan dan kecaman diberikan terhadap masyarakat perkampungan atas air tanpa mereka diberi peluang untuk membela diri dan difahami keadaan hidup mereka. Di media sosial mereka dihentam oleh masyarakat, NGO dan pemerintah dan melabel komuniti ini dengan mentaliti kelas rendah lalu diadakan program-program kesedaran tentang alam sekitar. Puluhan tahun kempen kesedaran disuap tanpa ada satu sistem yang mendukung agar mereka tidak membuang sampah ke laut. Akhirnya, kempen kesedaran sekadar retorik pihak NGO dan pemerintah sahaja tanpa menyelesaikan masalah ini secara konkrit dengan penganjuran sistem yang baik.

         Kesimpulannya, arus kemodenan hari ini cuba menolak dan memaksa orang yang tinggal di atas air untuk berpindah ke darat. Ini sangatlah melampau. Persekutuan Negara Malaysia baru wujud sekitar 50 tahun yang lalu sedangkan perkampungan atas air dan etnik-etnik maritim ini sudah wujud ratusan tahun yang lalu di sempadan ini. Sepatutnya pembangunan negara kita mengambil kira aspirasi semua pihak, bukan mengejar pembangunan hanya untuk tujuan kemodenan tanpa memikirkan pembangunan moral, kebudayaan, sosioekonomi dan sebagainya. Bagaimanakah orang-orang di atas air boleh tinggal di rumah-rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) sedangkan mereka ada kebudayaan dan sumber ekonomi di laut?. Pembangunan negara bangsa kita hari ini terlalu mendesak masyarakat keluar dari komuniti asal usul mereka. Hal yang sama juga berlaku kepada golongan etnik orang asli yang tinggal di hutan yang hendak dipaksa tinggal di kawasan bandar sedangkan hutan adalah sumber kehidupan mereka.

 

RUJUKAN

Ali, H., Dermawan, D., Ali, N., Ibrahim, M., & Yaacob, S. (2017). Masyarakat dan amalan

pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti: Kes isi rumah wanita di Bandar

Baru Bangi, Malaysia (Society and the practise of solid waste management towards

sustainable community: The case of female households in Bandar Baru Bangi,

Malaysia). Geografia-Malaysian Journal of Society and Space8(5).

http://ejournal.ukm.my/gmjss/article/view/18242

 

Mapa, M. T., Haris, L. M., Geogre, F., Dinggai, M. S., Japar, A., & Gulasan, A. (2019). Kajian

komposisi dan pengasingan sisa pepejal di kawasan perumahan. Geografia-Malaysian

Journal of Society and Space15(2). http://ejournal.ukm.my/gmjss/article/view/30975

 

Muhammad Saufi Hassan, Nor ‘Asyikin Mat Hayin, Muhammad Razis Ismail & Nurul Husna

Mahmud. (2021, 20 Julai). 14 juta tan sampah pada 2020. myMetro. Bahan di Akses

Pada 18 Disember 2021, daripada

https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/732770/14-juta-tan-sampah-pada-2022

 

Semporna. (n.d.). Dlm Wikipedia. Diperoleh 18 Disember 2021 daripada

https://ms.wikipedia.org/wiki/Semporna


NAMA :AZIZAH BINTI LIGASPI

NO. MATRIK : DXXXXX085074

KUMPULAN KULIAH : B

No comments:

Post a Comment