Sunday, December 19, 2021

Geografi Penduduk: Masalah Pembakaran Terbuka kepada Penduduk di sekitar Kg. Baru On Lok, Melaka

1.0       PENGENALAN

            Dalam kemajuan teknologi dan pembangunan negara menjelang tahun 2025, negara kita merupakan salah sebuah negara yang membangun dengan pesat seiring dengan negara-negara maju yang lain. Dengan pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit dan menaik taraf sistem perhubungan awam negara, sudah semestinya ada elemen yang perlu dikorbankan. Hal ini disebabkan oleh wujudnya satu interaksi ataupun hubungan antara manusia dan alam semula jadi bagi membenarkan aktiviti pembangunan tersebut untuk berlaku. Tambahan pula, aktiviti-aktiviti pembangunan dan kemajuan negara amatlah penting bagi menjana ekonomi dan pendapatan negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di sesebuah negara tersebut. Namun begitu, perkara ini telah menyebabkan kemerosotan dalam kualiti alam sekitar seperti sumber air serta flora dan fauna. Sebagai contoh, hutan semula jadi yang terdapat di sesebuah kawasan perlu ditebang dan dimusnahkan bagi membina sebuah bangunan. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa kerosakan alam semula jadi adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia.

Di negara kita, Malaysia, kita mempunyai sebuah organisasi yang dikenali sebagai Jabatan Alam Sekitar. Jabatan ini bertugas untuk menguatkuasakan undang-undang alam sekitar seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memastikan alam sekitar dapat dilindungi dan diuruskan dengan baik. Akta ini dikaitkan dengan perkara mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling (Shamsuddin Suhor, 2003). Terdapat banyak perlakuan yang mendorong kemusnahan alam sekitar dan salah satunya ialah pembakaran terbuka.  Dengan lebih daripada 40 peratus sampah dunia dibakar, pembakaran terbuka merupakan sumber pencemaran atmosfera yang terbesar di seluruh dunia dan kekal sebagai salah satu isu alam sekitar dan kebimbangan kesihatan utama bagi kebanyakan negara yang membangun (Ariffin et. al., 2017).


2.0       DEFINISI PEMBAKARAN TERBUKA

Rajah 1: Pembakaran terbuka

Sumber: Jabatan Alam Sekitar

            Apa itu pembakaran terbuka? Berdasarkan penyataan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, definisi sebenar bagi pembakaran terbuka ialah sebarang kebakaran, pembakaran atau pembaraan yang berlaku di udara bebas dan tidak dihalakan melalui cerobong atau serombong kecuali aktiviti-aktiviti yang ditetapkan oleh menteri melalui perintah yang disiarkan oleh warta. Pembakaran terbuka menghasilkan asap yang mengandungi gas-gas yang berbahaya kepada manusia serta alam sekitar. Disebabkan itulah, negara kita telah mewujudkan satu akta bagi memastikan kesemua penduduk di negara kita tidak melakukan perbuatan tersebut. Namun begitu, menurut Ariffin (2017), Malaysia mengalami peningkatan trend dalam insiden pembakaran terbuka walaupun negara kita telah melaksanakan hukuman jenayah yang ketat kepada sesiapa yang melakukan pembakaran terbuka secara haram. Oleh itu, dapat kita lihat bahawa penduduk di negara kita tidak berasa gentar dengan hukuman yang akan dikenakan dan menganggap bahawa perbuatan ini adalah perkara yang biasa.

 

3.0       LATAR BELAKANG KAWASAN KAJIAN 

  

Rajah 2: Peta Lokasi Kampung Baru On Lok, Batang Melaka

Sumber: Google Maps (2021)

            Bagi perbincangan kali ini, saya telah menjalankan kajian di Kampung Baru On Lok. Kampung ini terletak di Selandar, Jasin, Melaka. Ianya merupakan sebuah perkampungan di pedalaman kawasan Batang Melaka dan penduduk di kampung ini terdiri daripada bangsa Cina, India dan Melayu. Saya menggunakan kawasan kediaman saya sebagai lokasi kajian kerana banyak aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh penduduk di kawasan ini.


3.0       DAPATAN KAJIAN

            3.1 Faktor Pembakaran Terbuka

            Seperti yang kita tahu, suatu masalah pasti ada puncanya, bak kata pepatah melayu, tidak ada asap jika tiada apinya. Oleh itu, banyak faktor yang boleh disenaraikan yang menjadi punca kepada berlakunya pembakaran terbuka. Antara punca pembakaran terbuka ialah pembersihan kawasan pertanian. Menurut Adibah (2019), antara sebab pembakaran hutan adalah untuk tujuan pembersihan tanah sebelum aktiviti pertanian dijalankan. Apabila telah selesai musim untuk mana-mana penanaman, petani biasanya akan membakar tanaman tersebut untuk digantikan dengan penanaman baharu. Sebagai contoh, petani yang mengusahakan penanaman padi akan membakar residu jerami padi apabila musim padi telah selesai.

            Namun begitu, penyataan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mana telah memberikan sedikit kelonggaran kepada pengusaha pertanian sawah padi demi memastikan sektor pertanian negara tidak terganggu. Tambahan pula, situasi ini turut terjadi di Kampung Baru On Lok apabila penduduk di kawasan ini membakar kawasan pertanian mereka untuk menanam tanaman baharu. Perkara ini diamalkan oleh penduduk di kawasan ini kerana mereka ingin mengawal perosak tanaman sekali gus menguruskan sisa tanaman mereka yang telah mati. Perkara ini amatlah membimbangkan kerana pengusaha kawasan pertanian akan menggunakan alasan ini untuk melakukan aktiviti pembakaran terbuka tanpa rasa bersalah kerana telah merosakkan kualiti udara di negara kita.

Rajah 3: Pembakaran Terbuka dilakukan oleh penduduk Kg. On Lok

            Yang terakhir namun tidak kurang pentingnya, perbuatan pembakaran terbuka sering kali dikaitkan dengan sikap segelintir manusia yang tidak menghiraukan kesan perbuatan tersebut kepada alam sekitar dan mengambil jalan yang mudah untuk melupuskan sampah atau daun-daun kering. Menurut Jatmiko (2019), pembakaran sampah secara terbuka merupakan salah satu alternatif pengelolaan sampah yang banyak dipilih oleh masyarakat khususnya perkampungan. Berdasarkan rajah di atas, penduduk di sekitar Kg. On Lok telah melakukan pembakaran terbuka pada waktu tengah hari menyebabkan suhu di persekitaran menjadi lebih panas. Tambahan pula, asap yang dikeluarkan dari pembakaran tersebut amat tebal dan mewujudkan bau yang kurang menyenangkan di udara. Perbuatan tersebut telah merosakkan kualiti udara di atmosfera kerana asap dari pembakaran tersebut mengandungi gas-gas yang berbahaya kepada manusia dan juga haiwan.

            3.2 Kesan Pembakaran Terbuka

            a) Jangka Masa Panjang

                       i.          Fenomena Jerebu

Rajah 4: Jerebu di Menara Kuala Lumpur

Sumber: Berita Harian (2019)

Antara kesan pembakaran terbuka ialah penghasilan jerebu yang tebal. Secara umumnya, definisi bagi jerebu menurut kamus dewan ialah kabut yang disertai debu yang terapung-apung di atmosfera dan menyebabkan keadaan sekeliling kelihatan kabur, berjerebu atau diliputi jerebu. Dalam erti kata yang lain, kita boleh klasifikasikan jerebu sebagai suatu asap tebal yang mengandungi partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar manusia berapungan di udara persekitaran kita. Fenomena jerebu ini berkait rapat dengan aktiviti pembakaran terbuka dan pelepasan gas-gas berbahaya daripada asap kenderaan bermotor. Hal ini telah menyebabkan pelbagai masalah kronik khususnya kepada kesihatan pelbagai kehidupan yang berada di persekitaran. Sebagai contoh, asap jerebu menyebabkan kesesakan nafas kepada manusia dan perasaan tidak senang apabila menyedut udara di atmosfera.

Fenomena jerebu di negara kita adalah berpunca daripada aktiviti pembakaran hutan dan kawasan ladang di negara jiran kita iaitu Indonesia yang dilakukan pada skala yang amat besar. Insiden jerebu pada 2015 direkodkan sebagai salah satu episod terburuk yang berlaku di Malaysia selepas insiden pada 1997, 2005, 2006, 2010 dan 2013 apabila dianggarkan kira-kira 206 juta hektar hutan dan ladang di Indonesia telah dibakar antara bulan Jun dan Oktober tahun tersebut (Anis dan Maizatun, 2019). Aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan bukanlah menjadi punca utama kepada permasalahan ini. Namun begitu pembakaran terbuka masih lagi dianggap sebagai salah satu punca kepada penghasilan jerebu oleh aktivis-aktivis atau Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia. OIeh sebab itulah, Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dilaksanakan iaitu mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

ii.          Fenomena Gas Rumah Hijau

Kesan daripada pembakaran terbuka yang seterusnya ialah fenomena gas rumah hijau. Satu lagi impak daripada pembakaran terbuka ini terhadap atmosfera ialah perubahan iklim kerana penggunaan gas aerosol serta pelbagai gas rumah hijau dan gas toksik (Saiful & Ikhwan, 2014). Hal ini telah menyebabkan pelepasan gas-gas yang berbahaya seperti karbon dioksida dan nitrogen dioksida ke atmosfera bumi. Seterusnya, gas-gas rumah hijau tersebut akan menyebabkan kualiti udara semakin teruk dan menyukarkan hidupan di bumi menjadi lebih sukar untuk bernafas.

Menurut Saiful & Ikhwan (2014), pengeluaran gas rumah hijau bukan sahaja mengancam persekitaran tetapi juga iklim yang sedang mengalami perubahan pada tahap serantau atau global. Ini kerana, gas-gas yang terperangkap di atmosfera bumi telah menyebabkan peningkatan suhu yang mendadak. Hal ini telah menyebabkan berlakunya perubahan iklim dan turut menjejaskan alam sekitar di beberapa negara. Sebagai contoh, di benua Antartika, kadar pencairan ais dan glasier semakin hari semakin laju disebabkan peningkatan suhu bumi yang semakin meningkat hari demi hari. Dengan ini, dapat kita katakan bahawa pembakaran terbuka turut menyumbang kepada pelepasan gas-gas yang berbahaya kepada atmosfera kita.

            b) Jangka Masa Pendek

                         i.          Bau yang busuk pada baju

Rajah 5: Baju yang dijemur oleh penduduk kampung

Kesan jangka masa pendek bagi pembakaran terbuka ialah menyebabkan bau asap pembakaran melekat pada pakaian yang dijemur. Seperti yang dilakukan oleh semua orang, kita pasti akan membasuh baju yang telah dipakai lalu menjemurnya di bawah matahari ataupun di luar perkarangan rumah kita. Namun begitu, apabila pembakaran terbuka dilakukan oleh mana-mana individu di kawasan tersebut, asap yang terhasil daripada pembakaran tersebut akan berlegar-legar di udara menyebabkan pakaian yang dijemur akan menjadi berbau asap yang busuk. Ibaratnya, pakaian yang dibasuh menjadi sia-sia bagai melepaskan batu di tangga, kerana masih berbau akibat daripada asap pembakaran terbuka yang dilakukan. Perkara ini turut terjadi di Kampung Baru On Lok yang telah menyebabkan ramai penduduk berasa tidak puas hati sebaik sahaja melihat mana-mana pembakaran terbuka dilakukan. Sebilangan penduduk telah membuat aduan kepada Ketua Kampung namun begitu tindakan seterusnya tidak diambil menyebabkan masalah ini masih berlanjutan.

                    ii.     Penduduk berasa kurang selesa untuk bernafas

Selain daripada itu, kesan jangka masa pendek ialah penduduk Kampung Baru On Lok berasa kurang selesa untuk bernafas disebabkan bau asap yang terhasil daripada pembakaran terbuka yang dilakukan di kampung ini. Seperti yang telah dikupas pada isi Fenomena Jerebu, bau asap yang busuk akan menyukarkan penduduk untuk bernafas lebih-lebih lagi warga tua ataupun penduduk yang mempunyai masalah pernafasan dan masalah jantung. Tindakan yang sama telah diambil oleh penduduk kampung ini namun jalan penyelesaian tetap diendahkan dan tidak diambil. Mungkin pihak tertentu berasa bahawa masalah ini merupakan masalah yang kecil. Namun begitu, sekiranya masalah kecil ini berlarutan, pasti akan menyebabkan masalah yang besar akan timbul pada masa akan datang. Oleh itu, kita dapat lihat bahawa masalah pembakaran terbuka ini pasti akan membawa kesan yang lebih teruk kepada orang awam.

3.3 Cadangan Cara mengatasi

Setiap masalah yang berlaku, pasti ada jalan penyelesaiannya. Banyak langkah yang telah diambil atau dijalankan oleh pelbagai pihak bagi membendung masalah ini. Salah satu langkah tersebut adalah dengan meningkatkan lagi tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap bahaya pembakaran terbuka dan kepentingan menjaga alam sekitar kita dengan lebih efektif. Hal ini demikian kerana, terdapat segelintir rakyat Malaysia yang tidak mendapat pendedahan yang secukupnya terhadap pendidikan alam sekitar. Oleh itu, pihak yang berkuasa haruslah meningkatkan kesedaran dengan menggiatkan lagi penyebaran ilmu tentang pendidikan alam sekitar. Ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada pendidikan berfungsi sebagai tunjang utama dalam melahirkan manusia yang berfikiran terbuka, kritis dan celik pengetahuan bagi memastikan kualiti alam sekitar kekal terpelihara (Saiyidatina Balkhis et. al., 2021). Dengan ini, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap penjagaan alam sekitar.

Rajah 6: Kempen Kesedaran Alam Sekitar yang dijalankan bersama generasi muda

Sumber: Berita Harian (2017)

Selain itu, cadangan saya untuk mengatasi masalah pembakaran terbuka ini adalah dengan mengadakan program kitar semula. Program ini telah dijalankan untuk jangka masa yang lama tetapi rakyat kurang menurut serta dalam program kitar semula yang dijalankan. Ini mungkin kerana mereka kurang berminat dengan program tersebut dan merasakan bahawa tiada manfaat untuk mereka. Oleh itu, kerajaan atau persatuan yang terlibat boleh mengadakan program kitar semula dengan meletakkan ganjaran kepada rakyat yang mengitar semula dengan jumlah yang banyak berdasarkan berat bahan kitar semula mereka. Dengan ini, rakyat akan lebih tertarik untuk menyertai program kitar semula dan lebih bersemangat untuk mengumpul kesemua bahan terpakai mereka yang berada di rumah.


4.0       KESIMPULAN

Sebagai penutup, aktiviti pembakaran terbuka ini merupakan salah satu aktiviti atau langkah yang masih lagi popular dalam kalangan warga Malaysia disebabkan langkah ini merupakan langkah yang paling mudah dan pantas untuk melupuskan sampah sarap ataupun daun-daun kering yang berjatuhan dari pokok. Walaupun agak sukar untuk dicapai, aktiviti ini haruslah diselesaikan dengan pantas oleh semua pihak bagi mengelakkan masalah atau kesan yang lebih teruk kepada semua hidupan di atas bumi ini. Bak kata pepatah Melayu, 'mencegah lebih baik daripada mengubati'. Semua pihak haruslah bekerjasama dalam membendung masalah ini dan tidak hanya berharap kepada satu pihak sahaja untuk menyelesaikan perkara ini. Bagi pihak berkuasa pula, tindakan yang sepatutnya diambil perlu dilaksanakan dengan segera sebaik sahaja menerima laporan daripada penduduk setempat. Sikap memandang enteng kepada masalah ini harus dihapuskan kerana aktiviti pembakaran terbuka ini mampu untuk membawa masalah yang lebih kronik sekiranya tidak dicegah dari awal.


5.0       RUJUKAN

Idris, R. (2021, March 14). Tingkat kesedaran, tanggungjawab pulihara Alam sekitar. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/796037/tingkat-kesedaran-tanggungjawab-pulihara-alam-sekitar

Kamaruddin, H., Ahmad, R. A., & Shapien, R. M. (2017). JEREBU MERENTAS SEMPADAN: PERUNDANGAN DAN PENGUATKUASAANNYA DI MALAYSIA DAN SINGAPURA. http://jurnalkanun.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2017/02/Jerebu-27_1_17-4.16.57-PM.pdf

Kamaruddin, S. B. (2015, April 24). Ancaman Semakin Teruk Kepada Kesihatan Akibat Pembakaran Terbuka. UKM News Portal. https://www.ukm.my/news/arkib-berita/year-2014/jun-2014/ancaman-semakin-teruk-kepada-kesihatan-akibat-pembakaran-terbuka/

Mat Seman, N. A., & Mustafa, M. (2019). Jerebu Rentas Sempadan: Isu dan Cabaran Undang-Undang di Malaysia dalam Mengekalkan Kualiti Udara Yang Baik. SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH, 6(1). http://journal.kuis.edu.my/jsass/images/vol6bil1/jsass_vol6bil1_001_nurulnabila.pdf

Mutalib, Z. A. (2020, January 9). Tindakan tegas terhadap pelaku pembakaran terbuka. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/645282/tindakan-tegas-terhadap-pelaku-pembakaran-terbuka

Norkhaidi, S. B., Mahat, H., Hashim, M., Saleh, Y., & Nayan, N. (2021). Penerokaan Indeks Pengetahuan Kelestarian Alam Sekitar Fizikal dalam Kalangan Belia Malaysia. Techno Social, 12(2), 48-59. https://doi.org/10.30880/jts.2021.12.02.006


Disediakan oleh: Mohd Nur Hazran Bin Sani

No. Matrik: D20182085033

Kumpulan Kuliah: B

No comments:

Post a Comment