Friday, December 24, 2021

PENINGKATAN JUMLAH PENDUDUK DI KAMPUNG TANAH LIAT MEMBAWA KESAN KESESAKAN LALU LINTAS DI JALAN RAYA

PENINGKATAN JUMLAH PENDUDUK DI KAMPUNG TANAH LIAT MEMBAWA KESAN KESESAKAN LALU LINTAS DI JALAN RAYA

Kampung Tanah Liat ialah salah satu kawasan perkampungan yang terletak di utara tanah air. Kedudukan kampung ini berada tepat di Seberang Prai Tengah iaitu negeri Pulau Pinang atau dikenali juga sebagai Pulau Mutiara dalam kalangan 'mamu dan mami' di sini (gelaran masyarakat tempatan di Pulau Pinang). Sejarah pembukaan kampung ini bermula daripada seorang cina yang dikenali sebagai Tan Ah Liat. Pembukaan tanah baru memerlukan nama daerah bagi membezakan sempadan masing-masing. Berikutan hal itu, berlaku kata sepakat untuk menamakan kampung ini sebagai tanah liat. Kampung-kampung yang berdekatan dengan kawasan kajian terdiri daripada Kampung Tok Elong, dan Kampung Uma manakala pekan yang berdekatan pula terdiri daripada Penanti, Bukit Mertajam dan Bandar Perda.          

    

Rajah 1: Peta kawasan kajian (Mukim 9, Kampung Tanah Liat, Pulau Pinang)

Cara hidup penduduk di perkampungan ini tidak jauh ketinggalan seperti kawasan pekan kerana kedudukannya yang hampir dengan kawasan bandar. Tambahan pula, status negeri Pulau Pinang sendiri yang dilihat sebagai negeri sedang membangun dan maju menyebabkan kawasan sekitarnya turut dibangunkan serentak. Tempias proses pembandaran ini menyebabkan kampung Tanah Liat menghadapi isu kependudukan iaitu kesesakan lalu lintas akibat lambakan kenderaan di jalan raya. Berdasarkan pemerhatian, pengkaji mendapati setiap keluarga di sini mempunyai jumlah kenderaan melibihi 3 buah untuk satu-satu kediaman. Satu keluarga mampu memiliki sebanyak 5 hingga 6 buah kenderaan bermotor. Kenderaan awam seperti bas, van pekerja, lori sampah, kereta polis, ambulans, dan kereta bomba juga kerap melalui jalan raya di kawasan kajian. Hal ini menyebabkan jumlah kenderaan di kampung Tanah Liat meningkat dari masa ke masa.

Suhu sekitar kampung Tanah Liat antara 27 hingga 32 celcius. Kebisaannya suhu mula mencatat kenaikkan pada waktu tengah hari kerana litupan awan yang kurang dan kedudukan matahari yang lebih dekat dengan permukaan bumi. Selain itu, faktor pengeluaran asap kenderaan dan pembebasan asap beracun dari sektor industri dan kilang yang sudah mula beroperasi pada waktu ini juga menyebabkan kadar karbon meningkat di udara, seterusnya berlaku pemanasan setempat. Kekerapan hujan di kampung Tanah Liat lebih tinggi berbanding kawasan lain kerana keluasan kampung yang besar berbanding kampung-kampung sekitar. Tambahan pula, titisan hujan juga turun dalam lingkaran kawasan tertentu menyebabkan ada kawasan kampung yang tidak menerima hujan. Kelembapan udara di kawasan kajian adalah 83% dengan halaju angin hampir 13 km/j.

Permukaan bumi di kawasan kajian terdiri daripada kawasan berbukit, tanah beralun, tanah pamah, kawasan hutan dan semak samun. Kawasan tanah pamah diusahakan sebagai kawasan tanaman padi. Selain itu, terdapat juga pembinaan kawasan perumahan, kedai runcit, sekolah, surau, masjid dan bangunan-bangunan lain. Kawasan berbukit pula menjadi kawasan tanaman pokok durian dan turut dibangunkan menjadi trek mendaki.

Rajah 2: Pengkaji di lapangan kajian

Ciri-ciri alam sekitar manusia yang boleh dikenalpasti di kawasan kajian boleh dilihat pada kemudahan awam dan prasarana yang dibangunkan di sini. Selain itu, terdapat pembinaan kawasan penempatan dan kemajuan sektor-sektor ekonomi yang giat berlaku di kampung Tanah Liat ini. Antara sektor ekonomi yang diusahakan di kampung Tanah Liat adalah sektor ekonomi primer, sekunder dan tertier. Misalnya, pertanian padi, perniagaan runcit dan pasaraya besar, industri kraf tangan, perniagaan kuih-muih tempatan dan penjualan jeruk madu "Pak Ali' yang cukup terkenal di sini.

Rajah 3: Alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia

Jaringan pengangkutan dan perhubungan di kampung Tanah Liat dalam situasi terkawal kerana sering diselenggara secara berkala oleh majlis pembandaran di sini. Walaupun kawasan kajian mengalami risiko banjir setiap kali tiba musim tengkujuh, namun begitu jalan raya dan sistem rangkaian internet masih lagi mampu beroperasi dengan baik. Jalan raya yang bertar, memiliki garisan pemisah dan lengkap dengan lampu trafik serta papan tanda mampu membantu pemandu dan orang awam di sini untuk berurusan di atas jalan raya. Kes kemalangan juga jarang direkodkan berlaku di sepanjang laluan jalan raya di kampung Tanah Liat kerana penyelenggaraan yang baik. Namun begitu, orang ramai tetap dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan diri kerana risiko kemalangan yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja jika terleka.

Kadar pendapatan perkapita (KPDNKK) penduduk yang tinggi menyebabkan peratus pemilikan kenderaan sendiri meningkat dengan mendadak. Keperluan penduduk untuk menggunakan kenderaan juga memaksa sebilangan besar daripada mereka untuk membeli kereta atau motor. Pemilikan kenderaan persendirian tidak terhad kepada golongan dewasa yang bekerja semata-mata, namun begitu pelajar yang menyambung pengajian di universiti tempatan turut menggunakan promosi pelajar untuk mendapatkan kenderaan sendiri. Pembayaran dibuat secara bulanan dengan wang hasil kerja sambilan yang dilakukan. Bak kata pepatah 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'.

Lambakan promosi, diskaun dan plan bayaran secara ansuran oleh jurujual menyebabkan orang ramai mudah dimanipulasi oleh syarikat jualan kereta. Tidak lupa juga, terdapat syarikat jualan kenderaan terpakai yang menawarkan harga jauh lebih rendah kepada orang ramai. Kemudahan untuk mendapatkan kenderaan dengan modal yang kecil ini menggalakkan orang awam untuk mendapatkan kenderaan sendiri. Secara tidak langsung, peningkatan jumlah kenderaan yang ketara ini berpunca daripada sikap pengguna jalan raya sendiri.

Kemudahan untuk mendapatkan barang gantian kereta- dan motor di kawasan kajian turut menyumbang kepada isu yang sedang melanda kawasan kajian. Lambakan kenderaan ini berpunca daripada faktor kemudahan orang ramai untuk membaiki kenderaan mereka di sepanjang jalan kampung Tanah Liat. Kerosakan akibat kemalangan atau kerosakan pada kereta yang sudah lama dikendalikan mudah dibaiki oleh tenaga pakar yang menawarkan perkhidmatan membaiki kenderaan di sini. Kilang pengeluaran alat gantian kereta dan motor yang mudah didapatkan di kawasan kajian menyebabkan masalah kerosakan kenderaan ini diselesaikan dengan mudah. Deretan kedai membaiki kereta dan motor di Tanah Liat yang tumbuh bak cendawan selepas hujan menyebabkan isu lambakan kenderaan di jalan raya menjadi sulit untuk diselesaikan. Tambahan pula, jumlah kenderaan awam yang kurang berbanding ibu kota negara menyebabkan kenderaan persendirian meningkat di jalan raya. Jika tiada usaha atau kempen untuk menggunakan kenderaan awam, tidak dapat dinafikan lagi pada masa akan datang berlaku trend peningkatan jumlah kenderaan dan kesesakan lalu lintas yang luar biasa berlaku di sini.

Rajah 4: Pusat servis kereta di kawasan kajian

Pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di kebanyakan kawasan. Isu ini turut berlaku di kampung Tanah Liat berikutan pertumbuhan penduduk yang positif. Tambahan pula, peluang pekerjaan yang pelbagai ditawarkan di kawasan bandar. Kampung Tanah Liat menjadi salah satu jalan alternatif untuk sampai ke destinasi pekerjaan. Selain itu, jalan raya di kampung Tanah Liat juga menjadi titik tengah yang menyambung kawasan pekan dan bandar dengan kawasan kampung. Oleh yang demikian, orang awam menggunakan jalan ini untuk bergerak ke destinasi seperti kawasan bandar, sekolah, klinik kesihatan dan sebagainya. Pergerakan penduduk ini menyebabkan berlaku kesesakan kenderaan di jalan raya terutamanya semasa waktu-waktu puncak. Orang ramai kebanyakkannya keluar di waktu pagi antara 7 hingga 9 pagi dan pulang kira-kira 5 ke 7 petang. Dua waktu puncak ini sering mencatatkan situasi kesesakan lalu lintas di kampung Tanah Liat. Rata-rata kenderaan yang dipandu datang dari arah bandar dan pekan.

Rajah 5: Graf bar jumlah kenderaan di jalan raya Kampung Tanah Liat 

mengikut waktu (pagi, tengah hari, petang dan malam)


Jalan raya di kampung Tanah Liat adalah jenis dua hala. Jalan raya kerap digunakan oleh orang awam untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial. Berdasarkan pemerhatian, pengkaji dapati masyarakat menggunakan laluan dari arah pekan Bukit Mertajam ke Penanti untuk melalui lebuhraya berdekatan. Selain itu, laluan dari arah Penanti ke Bukit Mertajam pula digunakan oleh orang awam untuk berkunjung ke pasar awam pada setiap pagi bagi mendapatkan barangan basah yang segar.

Faktor pembinaan bangunan sekolah berdekatan jalan raya utama sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada kesesakan jalan raya di kampung Tanah Liat. Misalnya, sekolah rendah kebangsaan Tanah Liat dan tadika kemas yang dibina di tepi jalan raya besar. Setiap pagi berlaku senario kesesakan lalu lintas di hadapan sekolah kerana kenderaan ibu bapa dan guru yang berhenti di persimpangan jalan untuk menghantar anak ke sekolah.

Jika terdapat kesesakan dari Bukit Mertajam ke Penanti, jalan raya yang menghala ke Bukit Mertajam dari Penanti turut mengalami kesesakan yang sama. Lambakan kenderaan dapat dilihat dari kawasan hadapan sekolah hingga ke kawasan pekan Bukit Mertajam. Hal ini demikian kerana terdapat bangunan sekolah yang terletak di tepi jalan besar. Memang tidak dapat dinafikan kelemahan daripada pembinaan bangunan sekolah di tepi jalan besar mampu memberi kesan negatif seperti kesesakan jalan raya dan risiko keselamatan murid yang ulang-alik ke sekolah. Dari sudut positif, ibu bapa dapat menghantar dan mengambil anak-anak dengan lebih mudah dan cepat. Namun begitu, perkara ini perlu diteliti dengan lebih mendalam lagi dengan mengambil langkah-langkah pencegahan agar kemalangan jiwa tidak berlaku pada masa akan datang. Langkah pembinaan jejantas perlu dilihat semula agar masalah ini tidak berlanjutan. Justeru, lambakan kenderaan sehingga berlaku kesesakan jalan raya dapat diatasi dengan bijak.

Rajah 6: Jalan raya di kawasan kajian

Sebagai rumusan, terdapat banyak faktor yang menyebabkan isu kependudukan di kampung Tanah Liat ini berlanjutan dan tidak dapat diselesaikan hingga sekarang. Masalah lambakan kenderaan di jalan raya sehingga berlaku kesesakan ini berpunca daripada taburan iklim dan cuaca yang tidak menentu. Buktinya, pada musim hujan terdapat deretan kenderaan orang awam yang meletakkan kereta masing-masing di persimpangan jalan raya bagi menggelakkan air banjir daripada memasuki kenderaan mereka. Kadar serapan tanih di kawasan tersebut yang sudah tepu dengan air takungan menyebabkan kawasan taman perumahan yang rendah ditenggelami oleh air banjir. Penduduk yang terjejas terpaksa mengambil keputusan untuk meletakkan kenderaan di kawasan tinggi iaitu jalan raya utama. Selain itu, pada musim hujan atau musim kemarau yang terlampau panas, penduduk lebih memilih kereta sebagai alat pengangkutan mereka. Hal ini untuk mengelakkan diri daripada basah ditimpa hujan atau panas disinari cahaya matahari. Secara tidak langsung, isu kependudukan yang dibahaskan ini wujud disebabkan pengaruh iklim dan cuaca serta sistem perparitan dan saliran penduduk yang terganggu.

Pengaruh konfigurasi muka bumi turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di kampung Tanah Liat. Kawasan tanah pamah yang landai dan sedikit kawasan beralun menyebabkan pembinaan jalan raya di kawasan kajian dilaksanakan dengan mudah. Peningkatan kenderaan di jalan raya menyebabkan pihak berkuasa tempatan membangunkan jalan raya yang selamat dan mudah dikawal selia. Jika berlaku kerosakan jalan seperti jalan raya berlubang atau lampu jalan tidak berfungsi, terdapat arahan untuk membaiki kelemahan tersebut secara segera. Perkara ini dipandang serius oleh semua pihak kerana jalan raya di kampung Tanah Liat merupakan laluan utama kepada penduduk tempatan dan orang luar untuk bergerak ke destinasi masing-masing. Tambahan pula terdapat pelbagai aktiviti harian masyarakat awam seperti pergerakan ulang-alik ke tempat kerja, pengangkutan barang mentah, penghantaran barangan pos, menghantar dan mengambil anak ke sekolah, mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital serta pelbagai lagi aktiviti lain. Hal ini menjadi faktor utama jalan raya di sini dibangunkan dengan strategik. Tegasnya, kesan kesesakan lalu lintas di kampung Tanah Liat berpunca daripada faktor aktiviti manusia dan bentuk muka bumi kawasan kajian yang landai.


Rujukan

Jabatan Mateorologi Malaysia. (2021). Cuaca dan Iklim di Tanah Liat, Pulau Pinang.

Kementerian Alam Sekitar dan Air. Diperoleh daripada https://www.met.gov.my/.

Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Peta daerah Seberang Prai Tengah, Pulau

Pinang. Diperoleh daripada https://www.penang.gov.my/.

Roslee Uyob, Nurul Shahira Mohd Nazari, Nur Ashikin Ahmad & Shaveeman Chelom. (2016).

Faktor penggunaan kenderaan persendirian, tempat letak kenderaan dan struktur

jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan Politeknik Sultan Abdul Halim

Muadzam Shah. Journal on Technical and Vocational Education, 2(1), 3-8. 


Penulis blog: Fatimah Hamizah Binti Abdul Shukor

No. matrik: D20181083523

Kumpulan: B

No comments:

Post a Comment