Sunday, December 26, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: Kesan COVID-19 terhadap sektor perniagaan di Pekan Rabu, Kedah.

Satu kajian lapangan di Pekan Rabu pada 27 November 2021 telah dijalankan dengan menggunakan kaedah temu bual dan pemerhatian. Kajian ini adalah bertujuan untuk memenuhi kursus HGM3033 Geografi Penduduk. Virus COVID-19 telah menggemparkan seluruh dunia dari segi kesihatan, keselamatan, ekonomi dan sosial penduduk setempat. Pandemik COVID-19 telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 11 Mac 2020. Perdagangan global menguncup sebanyak 9.6% pada tahun 2020 berbanding 1.0% pada tahun 2019 menjadikan kemerosotan pada tahun 2020 adalah yang terburuk sejak Kemelesetan Besar pada tahun 1930-an. (Tabung Kewangan Antarabangsa, 2021). Pekan rabu sebelum ini merupakan lokasi popular dan tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa kerana terdapat pelbagai jenis barangan seperti baju, perkakasan rumah dan makanan. Pekan Rabu juga merupakan ikonik pelancongan di negeri Kedah yang terdiri daripada 300 orang peniaga daripada kalangan peniaga kecil dan sederhana. Kedudukan Pekan Rabu yang strategik yang terletak di pekan Alor Setar menjadikannya kawasan tumpuan orang ramai. Kawasan ini dipilih kerana dilihat perniagaan di Pekan Rabu terkesan dan tidak lagi menjadi tumpuan orang ramai seperti sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

Rajah 1: Kedudukan Pekan Rabu

Sumber: Google Maps

 

Pelbagai langkah pembendungan penularan wabak penyakit berjangkit ini yang menyebabkan berlakunya kemerosotan mendadak dalam pertumbuhan ekonomi. Antara langkah-langkah tersebut adalah seperti larangan pergerakan merentasi negeri, larangan operasi perniagaan dan larangan perhimpunan beramai-ramai. Langkah-langkah pembendungan yang ketat untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 telah menyebabkan kejatuhan yang teruk terhadap pengeluaran dan permintaan pengguna. Sektor perniagaan merudum teruk kerana penutupan operasi kedai semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan usahawan yang terlibat bertungkus-lumus menyelamatkan syarikat yang sudah lama beroperasi. Impak daripada pandemik COVID-19 telah memberi kesan terhadap aspek sosial penduduk dalam sektor pekerjaan dan perniagaan seperti berlakunya kehilangan sumber pendapatan, permintaan dan jualan berkurang, perniagaan terpaksa ditutup dan potongan gaji (Datin Rozita Talha, 2020). Pandemik COVID-19 tidak kurangnya telah memberikan impak yang besar terhadap sektor perniagaan di kompleks Pekan Rabu. Pada fasa PKP, banyak premis perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Penutupan premis perniagaan ini telah menyebabkan ramai pemilik kedai yang terkesan dan ada juga yang terpaksa menggulung tikar. Oleh itu, penulisan ini akan bertujuan untuk mengkaji kesan COVID-19 terhadap sektor perniagaan di Pekan Rabu yang terletak di negeri Kedah.

Pekan rabu bukan sahaja tumpuan pelancong antarabangsa malah warga tempatan juga turut membeli-belah pelbagai barangan yang menarik untuk dibawa pulang. Namun tidak dinafikan bahawa punca utama yang menyebabkan kegiatan perniagan di Pekan Rabu terjejas teruk adalah disebabkan oleh sekatan aktiviti merentas negeri semasa PKP. Kebanyakan pelanggan di Pekan Rabu merupakan penduduk tempatan yang datang daripada Pantai Timur dan Selatan. Susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara kita, kegiatan perniagaan di Pekan Rabu tidak lagi meriah seperti sebelum pandemik kerana tiada pelancong daripada luar. Hal ini telah memberikan kesan yang buruk terhadap kegiatan perniagaan di Pekan Rabu. Kesan yang dapat dilihat akibat daripada wabak penyakit COVID-19 ini terhadap premis perniagaan adalah banyak kedai yang telah ditutup sepenuhnya. Antara kedai yang ditutup adalah seperti kedai pakaian dan perkakasan rumah. Peniaga-peniaga di situ mengakui bahawa wabak ini telah menjejaskan perniagaan mereka apabila kedai tidak dapat beroperasi semasa pandemik COVID-19. Hasil soal selidik yang telah dijalankan mendapati, kebanyakan peniaga terpaksa membayar sewa bulanan secara penuh pada awalnya dan mendapat potongan sebanyak 50 peratus semasa PKPD. Peniaga terpaksa menanggung kos sewa yang tinggi tetapi tidak mendapat keuntungan kerana kekurangan pelanggan. Hal ini telah menyebabkan peniaga tidak dapat menampung kerugian dan ada di antara mereka yang terpaksa gulung tikar.

Rajah 2: Keadaan Pekan Rabu yang suram

Rajah 3: Kedai perkakasan dapur yang ditutup

Ketiadaan pelancong daripada luar ini juga telah menyebabkan penurunan jumlah jualan peniaga. Setiap kali menjelang musim perayaan jualan akan melonjak tinggi dan mendapat keuntungan yang banyak. Namun, segala-galanya telah berubah pada musim perayaan tahun lepas iaitu pada tahun 2020 kerana orang awam tidak dapat menyambut perayaan Aidilfitri. Peniaga terpaksa menanggung kerugian atas barang yang telah ditambah stok tetapi tiada pembeli. Antara perniagaan yang terjejas adalah perniagaan pakaian, makanan, perkakasan rumah dan kraftangan. Peniaga Kraftangan, Rodziah Osman, 41, berkata ada juga orang tempatan yang datang membeli tudung saji tetapi pendapatannya terjejas kerana majoriti produk yang dijual sebelum ini dibeli oleh pelancong.

Rajah 4: Keadaan kedai kraftangan

Bagi penjual kuih-muih tradisional seperti kuih bangkit, karas dan bahulu juga turut terjejas akibat ketiadaan pelancong. Menurut Jamaludin Osman, 53, setiap kali menjelang musim perayaan, kuih tradisional akan mendapat tempahan yang banyak dan tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan yang tidak pernah putus, namun akibat pandemik COVID-19, segala-galanya berubah. Sebaliknya, peniaga kuih bahulu ini terpaksa mengehadkan penghasilan kuih kerana kuih ini mempunyai tarikh luput dan untuk mengelakkan berlaku kerugian. Jelaslah, ketiadaan pelancong di Pekan Rabu telah menyebabkan jumlah jualan peniaga berkurang daripada sebelum berlakunya pandemik.

Kompleks Pekan Rabu mempunyai 300 kedai yang menjual pelbagai barang namun dapat dilihat sekarang hanya beberapa kedai sahaja yang dibuka dan kebanyakannya telah gulung tikar. Peniaga mengalami kesukaran untuk mendapat pelanggan yang mengunjungi dan membeli di kedai. Peniaga juga kebanyakannya telah beralih kepada perniagaan secara atas talian dengan membuat siaran lansung di aplikasi Shopee, Facebook dan Tiktok. Peniaga-peniaga di situ turut mengambil inisiatif dengan mewujudkan "Pekan Rabu Store" (Abd Hadi Che Awang, 2021). Mereka akan mengumpul pesanan selama sehari atau dua hari sebelum membuat pengeposan di pejabat kurier EasyParcel. Menurut pengerusi koperasi Pekan Rabu, Ridhwan Mustafa, 51 Tahun, "Jualan dahulu boleh mencecah ribuan ringgit sehari tetapi sekarang hanya puluhan ringgit. Ramai yang telah berniaga secara atas talian".  Peniaga Pekan Rabu tidak lagi berharap dengan jualan seperti biasa tetapi mereka mencari alternatif lain iaitu dengan menggunakan platform media sosial untuk menjual produk mereka. Jika kita lihat, terdapat pelbagai servis penghantaran barang yang disediakan untuk memudahkan urusan jual beli secara atas talian. Perkhidmatan ini telah menaikkan permintaan dalam aktiviti kurier di Malaysia. Hasil EasyParcel menunjukkan kenaikan 40% apabila PKP dilaksanakan di Malaysia (Dzul, 2021) Hal ini jelas menunjukkan bahawa ramai peniaga termasuk peniaga di Pekan Rabu telah beralih kepada perniagaan secara atas talian semasa PKP dilaksanakan. Selain berniaga secara atas talian, ada juga yang menjalankan perniagaan di rumah seperti perniagaan Osman Songkok. Menurut Mas Mardiana, 26, Pekerja Osman Songkok, penjualan songkok tidak lagi bergantung sepenuhnya penjualan di kedai tetapi mereka turut menyimpan stok di rumah. Disebabkan oleh PKP, waktu pengoperasian kedai tidak lagi sama seperti dahulu jadi mereka menyimpan stok di rumah dan pelanggan boleh membeli daripada rumah juga selain di kedai.

Rajah 5: Kedai Songkok Osman

Akhir sekali, penutupan operasi kedai semasa pandemik turut memberi kesan kepada pekerja-pekerja di Pekan Rabu. Majikan terpaksa mengurangkan jumlah pekerja semasa pandemik untuk mengurangkan kos operasi. Menurut Nur Amiera, 23 tahun, "Dahulu pekerja ada dua orang tetapi sekarang saya seorang sahaja".  Jumlah tenaga kerja terpaksa dikurangkan bagi memastikan perniagaan kekal bertahan. Pekerja-pekerja di Pekan Rabu juga tidak dapat bekerja lebih masa disebabkan oleh penutupan operasi kedai seawal 8 malam semasa PKP dilaksanakan. Jika dibandingkan dengan sebelum berlakunya pandemik, kedai dibuka sehingga lewat malam yang membolehkan mereka mendapat elaun lebih masa. Kos perbelanjaan terpaksa dikurangkan bagi memastikan majikan dapat membuat pusingan modal dan perniagaan kekal aktif. Hal ini menunjukkan bahawa COVID-19 bukan sahaja krisis kesihatan awam tetapi ia juga krisis pengangguran.

Secara keseluruhannya, hasil kajian mendapati bahawa pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang buruk terhadap peniaga-peniaga di Pekan Rabu semasa PKP dilaksanakan. Antara punca yang dapat dikenal pasti adalah penutupan operasi kedai, menanggung kerugian stok, ketiadaan pelancong dan menanggung kos sewa kedai. Hal ini telah memberi kesan yang teruk kepada peniaga-peniaga seperti ada yang terpaksa gulung tikar, penurunan jumlah jualan dan berniaga secara atas talian sebagai alternatif untuk mencari pendapatan. Oleh itu, diharapkan agar kerajaan negeri Kedah dapat mengambil langkah yang proaktif untuk membantu peniaga-peniaga kecil di Pekan Rabu yang terjejas teruk akibat penularan wabak penyakit COVID-19. Antara langkah yang dilihat boleh diambil bagi membantu peniaga-peniaga kecil ini adalah dengan mempromosikan pelancongan di negeri Kedah. Kehadiran pelancong daripada negeri-negeri lain sedikit sebanyak dapat meningkatkan jumlah jualan barangan di Pekan Rabu. Akhir kata, penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Kem kerana memberi peluang untuk mengkaji tentang keadaan perniagaan di Pekan Rabu semasa pandemik COVID-19.

Rajah 6: Gambar kenangan menjalankan kajian di Pekan Rabu

Rujukan

Abd Hadi Che Awang. (2021). Peniaga Pekan Rabu mula jual barang secara online. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/peniaga-pekan-rabu-mula-jual-barang-secara-online-283990

Datin Rozita Talha. (2020). Kajian Kes Impak Perintah Kawalan Pergerakan Kepada Penduduk Malaysia. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202020/DOSM_BPPD_1-2020_Siri-17.pdf

Dzul. (2021, January 25). Delivery services a booming industry. The Malaysian Reserve. https://themalaysianreserve.com/2021/01/25/delivery-services-a-booming-industry/

Google. (n.d.). Kedudukan Pekan Rabu. https://www.google.com/maps/search/pekan+rabu/@6.146878,100.3222033,12.02z/data=!3m1!4b1

Tabung Kewangan Anatarabangsa. (2021, January 26). World economic outlook update, January 2021: Policy support and vaccines expected to lift activity. IMF. https://www.imf.org/en/Publications/WEO/Issues/2021/01/26/2021-world-economic-outlook-update

 

 

 

1 comment:

  1. Nama: Nasyrah binti Fazail
    No Matrik: D*****88295
    Kumpulan: C

    ReplyDelete