Saturday, December 25, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK : MASALAH BANJIR DAN KESANNYA KEPADA PENDUDUK DI KAWASAN FELDA JENGKA 10, PAHANG

Pengenalan

Felda Jengka 10 merupakan sebuah kawasan dibawah pentadbiran daerah Maran di Negeri Pahang. Felda Jengka 10 ini, merupakan antara sebuah kawasan penempatan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Wilayah Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya yang meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut, dan Maran. Wilayah Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan Felda (Jengka 1 sehingga Jengka 25) yang menjadi pengeluar bagi hasil sawit dan getah. Felda Jengka 10 merupakan salah sebuah penempatan yang wujud dalam 25 buah rancangan Felda tersebut.

Felda Jengka 10 juga lebih dikenali sebagai Felda Mawar Jengka 10 yang mana menempatkan beribu orang penduduk yang terdiri dari pelbagai negeri, selain daripada anak jati Pahang sendiri. Hampir keseluruhan penduduk atau peneroka di Felda ini menjana pendapatan mereka melalui hasil pertanian sawit. Hal ini demikian kerana, Felda Jengka 10 merupakan antara pengeluar hasil sawit di Jengka. Rajah 1 menunjukkan kawasan terletaknya pertempatan Felda Jengka 10 di Daerah Maran, Pahang.

Rajah 1 : Peta Kawasan Petempatan Felda Jengka 10

Sejak beberapa tahun yang lalu, terdapat beberapa kawasan perumahan penduduk di Felda Jengka 10 sudah mula dimasuki air apabila hujan kerap berlaku terutamanya ketika musim tengkujuh iaitu pada akhir tahun. Menurut Mohd Zulhafiz Said et.al (2013), banjir merupakan antara fenomena yang yang berlaku akibat dari perubahan iklim yang berlaku di Malaysia. Menurut beliau lagi, banjir yang berlaku di Malaysia kebanyakkannya sering berlaku di kawasan sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada ketika musim tengkujuh. Manakala menurut kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (2011), banjir merujuk kepada badan air yang melimpah keluar dari tebing-tebing sungai, tasik atau sistem perparitan akibat daripada hujan yang lebat, pencairan ais, air pasang dan terdapat beberapa halangan pada saluran. Hal ini jelaslah dengan kesemua definisi banjir ini kita dapat menyimpulkan bahawa banjir merupakan keadaan dimana sesebuah kawasan tersebut menerima hujan yang sangat banyak berbanding hari biasa sehingga ianya tidak lagi mampu ditampung sehinga melimpah ke kawasan-kawasan lain.

 

Punca Masalah Banjir

Terdapat beberapa masalah yang dapat dikenalpasti menjadi punca kepada kejadian banjir di kawasan penempatan Felda Jengka 10 ini. Antaranya ialah, pembinaan rumah di kawasan rendah menurut Noorazuan et al., 2011 (dalam Siti Nurul Annisa Temrin dan Azahan Awang, 2017). Hal ini demikian kerana, di kawasan Felda Jengka 10, terdapat beberapa kawasan perumahan yang sering dinaiki air ketika hujan lebat secara berterusan berlaku. Namun begitu, dalam kebanyakkan rumah yang dimasuki air ini, terdapat sebuah rumah yang paling kerap dimasuki air sekiranya hujan turun secara berterusan. Hal ini kerana, rumah ini dibina di kawasan yang sedikit rendah berbanding kawasan perumahan yang lain. Jika rumah-rumah yang berdekatan akan dimasuki air apabila hujan lebat turun secara berterusan dalam jangka masa yang lama, rumah yang satu ini akan dimasuki air tidak kira musim. Situasi ini sememangnya menyukarkan pemilik rumah tersebut kerana perlu memindahkan peralatan rumah ke tempat tinggi dan juga bersiap-sedia untuk keluar dari rumah sekiranya rumah mereka terus dimasuki air. Rajah 2 menunjukkan kawasan perumahan tersebut.

Rajah 2 : Kawasan Perumahan Penduduk yang Sering Dinaiki Air


Punca seterusnya ialah disebabkan oleh hujan lebat yang berterusan. Menurut Siti Nurul Annisa Temrin dan Azahan Awang (2017), keadaan dimana hujan lebat yang berlaku pada jangka masa yang panjang secara berterusan dan berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan kuantiti air yang lebih besar daripada biasa. Sebagai contoh, paras air di dalam sungai, longkang, parit dan sebagainya mengalami peningkatan sehingga melimpah ke kawasan-kawasan persekitaran yang terdekat kerana sudah tidak mampu menampung kuantiti air yang sangat banyak itu. Tambahan pula, di kawasan perumahan kajian saya ini pula terdapat lorong-lorong anak sungai yang mengairi kawasan pertanian kelapa sawit penduduk. Anak-anak sungai yang kecil ini juga berada berdekatan dengan kawasan perumahan penduduk. Oleh disebabkan itu, apabila hujan turun tidak berhenti-henti maka sungai-sungai ini akan dilimpahi dengan air. Rajah 3 menunjukkan jalan-jalan di kawasan perumahan yang sudah dinaiki air.

Rajah 3 : Kawasan Jalan yang dinaiki Air Banjir


Disamping itu juga, sistem perparitan yang tidak sempurna juga menjadi punca kepada masalah banjir di kawasan ini. Menurut Munirah Che Hassan et al. (2020), sistem saliran yang tidak dibina dengan betul akan mengakibatkan sistem saliran tersebut tidak boleh menampung jumlah kuantiti air yang banyak. Demikian juga dengan kawasan di Felda Jengka 10 ini, jika dilihat kepada Rajah 4, berikut merupakan gambar kawasan anak sungai yang dibina untuk memudahkan laluan air. Jika dilihat  kepada gambar tersebut, sungai tersebut tidaklah memiliki kedalaman yang sangat dalam untuk menyekat air supaya tidak melimpah ke atas jalan raya. Oleh itu, apabila hujan lebat dan sebagainya, sungai tersebut akan menjadi penuh dan sebahagian daripada pelepah-pelepah pokok sawit, kayu-kayu akan turut hanyut ke dalam sungai tersebut. Hal ini kemudiannya akan menyebabkan aliran air di sungai tersebut terhalang dan menyebabkan limpahan air ke jalan raya. 

Rajah 4 : Anak Sungai yang Berdekatan dengan Jalanraya

Kesan Banjir kepada Penduduk

Kesan yang paling ketara apabila banjir berlaku di kawasan Felda Jengka 10 ini ialah, kerosakkan harta benda. Pada tahun ini (2021), kawasan perumahan di kawasan Felda Jengka 10 ini sahaja sudah beberapa kali dinaiki air akibat daripada hujan yang berlanjutan. Kesannya, pemilik rumah di kawasan yang berkenaan terpaksa mengalami kehilangan serta kerosakkan harta benda di rumah mereka. Hal ini demikian kerana, pada setiap kali banjir melanda kawasan tersebut, ianya akan turut memasuki kawasan di dalam rumah mereka. Oleh itu, terdapat barang-barang berharga yang masih boleh diselamatkan dan sudah tidak boleh diselamatkan. Jika dilihat pada awal tahun 2021, seluruh isi rumah yang sudah dimasuki air diarahkan untuk mereka berpindah ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Jengka 10 sementara menunggu air surut. Dan pada ketika ini juga, beberapa hari yang lalu, sekali lagi beberapa kawasan perumahan sudah pun dinaiki air. Kejadian ini berlaku disebabkan oleh situasi hujan yang turun secara berterusan dan lebat. Namun begitu, kesemua keluarga masih selamat dan mereka telah berpindah ke rumah-rumah keluarga yang terdekat dan tiada PPS yang dibuka berdasarkan kepada arahan pihak berkuasa.  Jika dilihat kepada Rajah 5, berikut merupakan antara kawasan rumah penduduk yang sering dinaiki air banjir. 

Rajah 5 : Kawasan Rumah Penduduk

Kesan yang seterusnya apabila banjir berlaku di Felda Jengka 10 ialah, ekonomi penduduk akan terjejas. Hal ini demikian kerana, rata-rata penduduk di kawasan ini merupakan pekerja-pekerja di ladang sawit dan apabila berlakunya banjir pastinya kawasan-kawasan rendah di kawasan ladang kelapa sawit terebut akan turut sama dinaiki banjir. Sehubungan dengan itu, penduduk-penduduk tidak dapat untuk masuk ke ladang kerana kesemua laluan sudah dibanjiri dengan air banjir. Selain itu juga, terdapat juga penduduk kampung yang tidak boleh keluar dari kawasan ini untuk keluar bekerja atas sebab laluan masuk-keluar sudah ditenggelami air banjir. Kejadian ini pernah berlaku pada awal tahun ini, dimana hampir beberapa hari penduduk di kawasan Jengka 10 tidak boleh untuk bergerak keluar daripada kawasan ini ke bandar. Hal ini kerana, jalan masuk utama di Rajah 4, sudah dinaiki oleh air sungai tersebut dan ianya sangat berbahaya kepada penduduk kampung untuk melintasinya kerana air yang mengalir adalah sangat deras. Maka dengan itu, terdapat penduduk yang terpaksa bercuti dari berkerja untuk beberapa hari. Manakala, perniaga-perniaga juga tidak dapat menjual hasil perniagaan mereka kerana laluan tersebut sudah terputus hubungan. Hal ini sangat memberikan impak kepada hasil ekonomi penduduk. Rajah 6 menunjukkan paras air di laluan masuk utama pada beberapa hari yang lalu.

Rajah 6 : Keadaan Air Sungai di Laluan Utama

Seterusnya ialah, kesan daripada banjir ini juga turut menyebabkan penduduk mengalami gangguan air bersih. Hal ini demikian kerana, disebabkan oleh masalah banjir yang berlaku di kawasan Jengka 10 sendiri dan juga di beberapa kawasan lain yang berdekatan dengan kawasan ini pihak berkaitan telah memutuskan bekalan air bagi mengelakkkan sebarang risiko kepada beberapa kawasan. Hal ini sering berlaku dikawasan petempatan Felda Jengka 10 sehinggakan air yang sampai ke rumah-rumah adalah dalam keadaan yang sangat kotor seperti air tanah. Dan situasi ketiadaan air ini akan berlanjutan sehingga ke beberapa hari. Sekiranya kejadian ini berlanjutan sehingga ke beberapa hari dengan keadaan penduduk yang perlu menerima air dalam keadaan yang sangat kotor ianya mungkin boleh memberi kesan kepada masalah kesihatan penduduk. Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil misalnya, mereka perlu bergantung sepenuhnya kepada air bersih bagi memastikan kesihatan kanak-kanak tidak terjejas seperti cirit-birit dan sebagainya. Oleh itu, ianya sangat penting bagi penduduk untuk mendapatkan bekalan air bersih terutamanya bagi tujuan mandi, memasak, dan minuman.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, masalah banjir yang berlaku di Felda Jengka 10 ini berlaku antaranya adalah disebabkan oleh pembinaan kawasan perumahan di kawasan yang rendah, penerimaan hujan lebat yang berterusan, dan masalah sistem perparittan yang tidak deselengarakan dengan baik. Sehubungan dengan itu ianya telah memberikan kesan kepada penduduk sekitar, antaranya ialah kepada ekonomi penduduk, kerosakkan harta benda, dan penjejasan kepada sumber air bersih penduduk. Sekiranya dilihat kepada masalah dan kesan yang berlaku di petempatan Felda Jengka 10 ini, pihak berkuasa khususnya perlulah mencari jalan penyelesaian yang sebaiknya bagi membantu meringankan sedikit bebanan yang telah dirasai oleh penduduk kampung yang terjejas. Pelbagai langkah strategik perlu dilakukan untuk membantu mengurangkan masalah banjir teruk kepada penduduk. Usaha pemulihan yang dilakukan oleh penduduk-penduduk kampung dalam membantu keluarga-keluarga yang terkesan dengan banjir ini amatlah perlu dicontohi apabila hidup berjiran dan sekampung.



Rujukan  

Che Hassan, M., Shareh Musa, S. M., Zainal, R., & Kasim, N. (2020). Kajian Permasalahan Pembinaan Sistem Saliran Yang Menjadi Punca Kepada Masalah Banjir Di Kawasan Perumahan. Research in Management of Technology and Business1(1), 588-605. Retrieved from https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmtb/article/view/553

Jabatan Pengairan dan Saliran (2011) Pengurusan banjir: Program dan aktiviti [Cited 19 May 2016]. Available from: www.water.gov.my

Said, M. Z., Gapor, S. A., & Samian, M. N. (2017). Konflik di pusat pemindahan banjir: Kajian Kes di Daerah Padang Terap, Kedah (Conflicts in flood relief shelter: A case study of Padang Terap District, Kedah). Geografia-Malaysian Journal of Society and Space9(1).

Temrin, S. N. A., & Awang, A. (2017). Bencana Banjir dan Tahap Pengetahuan Penduduk Terhadap Pengurusan Banjir di Serian Sarawak. Malaysian Journal of Society and Space13(4), 22-36.


NAMA : SYMIM IWANI BINTI AZMAN 

NO. MATRIK : DXXXXX083510

KUMPULAN KULIAH : A

No comments:

Post a Comment