Saturday, December 25, 2021

MASALAH LAMBAKAN SISA PEPEJAL DI KAMPUNG PENGKALAN, SUNGAI BAKAP


MASALAH LAMBAKAN SISA PEPEJAL DI KAMPUNG PENGKALAN, SUNGAI BAKAP


Lambakan dalam perkataan inggeris yang berasal dari istilah “to dump” dikenali sebagai dumping yang dalam bahasa Sepanyol bermaksud “untuk memuat turun” atau “untuk menuangkan”. Sisa merupakan bahan buangan yang terhasil daripada sesuatu aktiviti seperti perindustrian, perbandaran, penternakan, pertanian dan sebagainya atau proses yang dilakukan oleh manusia, tumbuhan dan haiwan. Sisa-sisa boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu pepejal, cecair dan gas atau radioaktif. Sisa pepejal boleh dikelaskan termasuk dalam jenis sisa domestik. Ia dipecahkan seperti sisa plastik, sisa kertas, kalung dan logam, kaca dan seramik dan lain-lain. Sisa cecair pula salah satu jenis sisa domestik di kawasan perumahan seperti air kotoran, air kumbahan, cecair organik, air basuhan dan sebagainya. Manakala sisa gas atau radioaktif adalah terhasil daripada sebarang aktiviti yang melibatkan kuasa nuklear atau bukan kuasa nuklear termasuklah perlombongan dan pemprosesan mineral. Lambakan sisa pepejal ialah cara membuang sampah kering. Dalam proses ini, sisa pepejal dibuang di kawasan rendah dan akibat tindakan bakteria sampah berkurangan dengan ketara dalam jumlah dan ditukar secara beransur-ansur menjadi humus. Lambakan sisa pepejal menjadi masalah utama di beberapa kawasan dan ia juga berlaku di Kampung Pengkalan, Sungai Bakap.


KAMPUNG PENGKALAN, SUNGAI BAKAP

Kampung Pengkalan merupakan sebuah kawasan perkampungan yang terletak di Sungai Bakap, Pulau Pinang yang berdekatan dengan Jalan Stesen,Sungai Bakap. Kampung Pengkalan terkenal dengan aktiviti penternakan seperti kambing, lembu, kerbau, khinzir, arnab, itik,ayam dan sebagainya. Selain daripada aktiviti penternakan, aktiviti pertanian serta perniagaan gerai sayur dan gerai makanan juga merupakan aktiviti ekonomi sampingan. Penduduk di kawasan ini memiliki taraf hidup sederhana di mana bekerja sendiri seperti menternak, menanam dan lain-lain ada juga penduduk bekerja di kilang. Di Kampung Pengkalan juga terdapat sungai yang bernama Sungai Titi hitam. Penduduk di kawasan ini terdiri daripada berbilang kaum seperti Melayu, India, Cina dan kaum lain. Majoriti kaum yang tinggal di kawasan ini ialah kaum melayu. Walaupun penduduknya terdiri daripada kaum yang berbeza mereka hidup bersatu padu dan menyambut perayaan masing-masing dengan bersama.

 

Peta 1: Kedudukan Kampung Pengkalan, Sungai Bakap

  

Masalah lambakan sisa pepejal sehingga kini tidak ada penghujungnya dan manusia adalah faktor utama dalam menghasilkan dan membuang sisa pepejal tidak kira di mana mereka berada. Kajian ini dilakukan di kawasan Kampung Pengkalan memandangkan kawasan ini merupakan kawasan perumahan dan berlaku masalah lambakan sisa pepejal. Kawasan perumahan merupakan punca penjanaan sisa pepejal domestik berbanding dengan kawasan lain. Perkara ini diakui oleh ramai pengkaji termasuk Pillay (1986), Young (1991), Afrizal (1995) dan Zulkiflee (1997) dalam jurnal yang bertajuk “Masyarakat dan amalan pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti: Kes isi rumah wanita di Bandar Baru Bangi, Malaysia”. Masalah lambakan sisa pepejal masih lagi menjadi isu utama yang berlaku di kawasan ini. Proses pembangunan ekonomi dan pertambahan jumlah penduduk mendorong kepada peningkatan jumlah sisa pepejal di kawasan ini. Kuantiti sisa pepejal yang dijana setanding dengan jumlah penduduk yang menghuni di sesuatu kawasan (Abdul Rashid & Hasnah, 2001)

 


                                  Rajah 1: lambakan sisa pepejal di Kampung Pengkalan


 
                                   Rajah 2: lambakan sisa pepejal di Kampung Pengkalan

 

                                     Rajah 3: lambakan sisa pepejal di Kampung Pengkalan

 

MASALAH LAMBAKAN SISA PEPEJAL

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya masalah lambakan sisa pepejal di Kampung Pengkalan adalah seperti berikut.

Pertambahan jumlah penduduk

Jumlah penduduk yang semakin bertambah di Kampung Pengkalan menyebabkan berlakunya penambahan penghasilan sisa pepejal. Menurut Bertita Harian, mengetahui bahawa rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 37,890 tan sisa setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram(kg) dijana bagi setiap individu. Jumlah penghasilan sisa juga dianggarkan terus meningkat seiring pertambahan populasi penduduk. Kenyataan ini membuktikan bahawa pertambahan penduduk menjadi salah satu punca terbesar dalam penjanaan sisa.

Kutipan sisa yang tidak tepat pada masa

Masalah lambakan sisa pepejal ini berlaku apabila pihak berkuasa yang bertanggungajawab gagal menjalankan tugas mereka mengikut jadual yang ditetapkan untuk melakukan kutipan sisa ini dari rumah ke rumah telah menyebabkan sisa bertimbun di persekitaran kawasan Kampung Pengkalan. Sisa pepejal di kawasan perumahan lambat dikutip oleh pihak berkenaan dan menyebabkan sisa pepejal semakin bertambah dan berselarakan di jalanan dan mencatatkan pemandangan kawasan ini. Tindakan yang tidak bertanggungjawab pihak berkenaan ini memudaratkan kesihatan penduduk di kawasan ini. Hal ini kerana, sampah yang bertimbun mendatangkan banyak wabak penyakit dan pembiakan haaiwan perosak seperti nyamuk Aedes dan tikus. Kebanyakan sisa-sisa ini, jika tidak dibersihkan akan terus berada di tempat tercemar itu tanpa mampu terurai hingga beratus tahun lagi.

Sikap kurang prihatin segelintir penduduk

Sikap penduduk yang tidak ambil peduli terhadap alam sekitar dan kawasan setempat menyebabkan mereka membuang sampah sesuka hati tanpa berfikir tentang kesan yang bakal ditimpul. Sepertimana yang telah diperhatikan, jenis sisa yang sering dibuang merata-rata tempat adalah sisa yang terdiri daripada benda-benda tajam seperti besi juga akan menyebabkan kawasan yang dikotori itu berbahaya kepada keselamatan. Dari apa yang diperhatikan juga, benda utama sisa-sisa yang dibuang merata-rata tempat adalah benda-benda plastik terutamanya beg plastik dan botol plastik. Perbuatan tidak bertanggungjawab membuang sisa pepejal di bahu jalan dan juga di tempat tidak sepatutnya yang dilakukan oleh sebilangan penduduk mengakibatkan pencemaran bau dan menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes.

Pengurusan sisa yang tidak sistematik

Kaedah pengurusan sisa yang sering dilakukan ialah “open dumping”. Kaedah “open dumping” ini ialah kaedah di mana semua pepejal yang telah dikutip daripada kawasan perumahan akan dilepaskan di sesuatu kawasan pelupusan sampah secara terbuka. Kaedah ini tidak teratur dan terdedah kepada pencemaran bau. Pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti penyakit kulit disebabkan oleh sentuhan secara fizikal dengan sisa. Jangkitan mata dan pernafasan juga terjadi apabila terdedah kepada debu dan udara dari tapak pelupusan. Semasa proses penguraian berlaku, beberapa jenis gas terhasil seperti sulfur dioksida, sulfur, karbon dioksida, amonia dan gas lain-lain. Sekiranya, gas-gas seperti ini masuk ke dalam tubuh badan mabusia ia akan bertindakbalas dan menghasilkan toksin yang berbahaya kepada kesihatan serta menyebabkan penyakit kronik seperti kerosakan hati, kerosakan ginjal, kerosokan peparu dan sebagainya.

Kegiatan ekonomi, pendidikan dan gaya hidup penduduk Kampung Pengkalan

Komposisi sisa pepejal dijana daripada aktiviti perniagaan, aktiviti pertanian, perindustrian, perbuatan, pembinaan, penternakan dan lain-lain aktiviti yang dijalankan di kawasan Kampung Pengkalan juga menyebabkan pertambahan sisa pepejal. Kebanyakan penduduk di kawasan ini memiliki pendapatan di tahap sederhana dan memiliki taraf hidup yang semakin baik. Oleh itu, setiap keluarga di kawasan ini memliki kediaman rumah masing-masing. Apabila banyak penghuni yang tinggal di kawasan ini maka penghasilan sisa domestik juga semakin bertambah. Gaya hidup masyarakat yang suka membazir seperti membuang bahan buangan daripada mengitar semula atau menggunakan semula barang tersebut. Contohnya, botol kicap, kotak dan sebagainya akan dibuang selepas bahan tersebut habis dimakan. Seterusnya, penduduk kini tiada masa untuk mengasingkan sisa pepejal di rumah mereka dan sibuk di tempat kerja juga menyumbang ke arah pertambahan sisa pepejal. Selain itu, penduduk di kawasan ini juga kebanyakkan penghuni tiada pendidikan yang tinggi disebabkan faktor usia yang tua. Hal ini menyebabkan, penduduk kurang mempunyai pendedahan terhadap pengurusan sisa.

Ketidakcukupan tong kitar semula

Masalah yang seterusnya ialah ketidakcukupan tong kitar semula di kawasan perumahan Kampung Pengkalan. Seperti yang diperhatikan di kawasan ini, tong kitar semula diletakkan jauh dari kawasan perumahan ke tempat tong kitar semula. Penduduk di kawasan tersebut perlu berjalan kaki untuk membuang sisa ke tong kitar semula dan ia mengambil masa yang lama. Hal ini menyukarkan penduduk untuk membuang sisa pada setiap hari atau berselang-seli dan akhirnya ia meningkatkan kuantiti sampah di rumah. Ketidakcukupan tong kitar semula juga menyebabkan penduduk setempat tidak mengasingkan sisa mengikut komposisi sisa pepejal dan ia juga menyukarkan pihak berkuasa untuk mengutip sisa mengikut masa. Keadaan ini bertambah teruk apabila terdapatnya kepincangan dalam sistem pengurusan dan kekurangan tenaga kerja dalam melaksanakan setiap tugas yang telah diamanahkan. di kawasan

 

PENYELESAIAN BAGI MASALAH LAMBAKAN SISA PEPEJAL

Terdapat beberapa jalan penyelesaian yang boleh diambil dalam mengurangkan dan membasmi masalah lambakan sisa pepejal yang memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia serta alam sekitar.

Menyediakan lebih banyak tong kitar semula

Penyediaan tong kitar semula dapat memudahkan penduduk kawasan setempat ini membantu pihak berkuasa untuk mengitar semula atau mengagihkan sisa dengan cara yang betul. Pembuangan kertas dan botol minuman merata-rata tempat telah meningkatkan kos pembersihan dan pelupusan sisa yang merugikan. Oleh itu, tong-tong kitar semula perlu diwujudkan di setiap kawasan perumahan untuk pembuangan kertas, botol, tin aluminium dan sebagainya supaya bahan-bahan tersebut diproses dan dikeluarkan semula. Langkah ini secara langsung dapat mengurangkan kos pembersihan dan pelupusan sisa. Bagi memudahkan urusan ini, penduduk setempat perlu mengasingkan sisa pepejal kepada sisa yang boleh dikitar semula dan sisa baki yang akan dihantar ke tapak pelupusan. Sisa pepejal di rumah perlu diasingkan mengikut komposisi sisa pepejal seperti kertas dan plastik. Antara contoh bahan yang termasuk dalam kategori kertas ialah surat khabar,majalah,buku panduan,sampul surat, kotak kertas,kertas warna dan sebagainya. Manakala, bagi kategori plastik pula seperti botol minuman ringan, bekas makanan,botol kicap,beg plastik, botol minuman air mineral dan lain-lain. Melalui penerapan dan pembudayaan kitar semula (3R-Reduce,Reuse,Recycle) dan pengasingan sisa pepejal ini diharapkan penduduk akan menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber baru yang dapat digunakan sebagai bahan baru. Hal ini secara tidak langsung dapat memastikan sumber-sumber alam semula jadi diuruskan secara bijak demi kebaikan generasi masa hadapan.

 

Rajah 4: Tong kitar semula

Penilaian semula undang-undang dan peraturan

Menurut Seow (2004) langkah yang terbaik dalam pengurusan sisa pepejal dalam aspek perundangan adalah melalui penilaian semula undang-undang dan peraturan. Hal ini dapat memastikan organisasi yang terlibat dapat disusun berdasarkan kepada kuasa dan skop tugas yang diberikan. Selain itu, mengenakan tindakan denda sebanyak RM 1000 kepada penduduk yang membuang sampah seperti di bawah Seksyen 73 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menyebabkan penduduk berfikir sebelum membuang sisa di merata-rata tempat. Pengenalpastian dalam penambahbaikan pengurusan sisa tersebut, pengawalseliaan dan pelaksanaan bagi kerangka undang-undang yang ada haruslah dilaksanakan dan diperkuatkuasakan dengan tegas.( Ukpong & Udofia (2011). Jelaslah bahawa, undang-undang dan peraturan mengurangkan masalah lambakan sisa pepejal.

Kempen mesra alam

Mengadakan maklumat pencemaran alam sekitar melalui kempen kesedaran alam sekitar dengan mendorong individu melakukan tindakan “mesra alam”. Kemudahan yang disediakan oleh pihak berwajib dapat mendorong individu melakukan sesuatu perkara. Contohnya, pengguna yang tidak menggunakan beg plastik diberikan rebat tunai. Kaedah seperti ini dikenali sebagai peneguhan positif dari segi psikologi. Kaedah seperti ini mendorong individu mengulangi tingkah laku berulang-ulang. Usaha ini perlu dijalankan secara berterusan dan dinilai secara holistik akan keberkesanannya dan penambahbaikan boleh dilakukan untuk memastikan maklumat tercapai. Langkah yang melibatkan kesedaran (kempen), pendidikan, pembiayaan yang secukupnya dan penyediaan kemudahan yang baik (Mbeng et al. 2012)

Kesimpulanya, masalah pengurusan sisa akan mengancam kehidupan manusia, haiwan dan alam sekitar sekiranya sisa tidak diurus dengan cara yang baik. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu dalam usaha mengatasi masalah pengurusan sisa di Kampung Pengkalan. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan harus melaksanakannya dengan sempurna dalam menjamin kesejahteraan hidup masa kini serta kehidupan generasi akan datang. Langkah-langkah seperti menyediakan lebih tong kitar semula, penilaian semula undang-undang dan peraturan serta kempen mesra alam dan langkah lain-lain perlu diteruskan.

 

Rujukan

Abdul Rashid Ahmad, Hasnah Ali (2001) Municipal solid waste reduction: Material flow analysis.    In: Chamhuri Siwar, Hasnah Ali, Abd Rashid Ahmad, Mohd Zahir Abdul Hamid (eds) Dasar memperbaiki pengurusan sisa pepejal perbandaran, pp, 107-116. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Hasnah Ali, Dody Dermawan, Noraziah Ali, Maznah Ibrahim & Sarifah Yaacob (2012) Mayarakat dan    amalan pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti: Kes isi rumah wanita di Bandar Baru Bangi. Jurnal Masyarakat Ruang dan Alam Sekitar, 5(64-75)

Imoh E. Ukpong dan Emmanuel P. Udofia (2011) Domestic Solid Waste Management in a Rapidly Growing Nigerian City of Uyo. Journal of human ecology. 36(3): 229-235.

Lawrence O. M beng, Paul S. Phillips & Roy Fairweather (2012) Devoloping Sustainable Waste Management Practice: Application of Q Methodology to Construct New Strategy Component in Limbe-Cameroon. DOI:10.2174/1876400200902010027 

Suhaila Shahrul Annuar (2019) Rerieved 16 Jun 2019 from

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/574909/rakyat-mal aysia-hasil-37890-tan-sisa-setiap-hari


GENGA THAVI A/P PACHIMUTHU

D20192091291

KUMP B

1 comment:

  1. Penulis : GENGA THAVI A/P PACHIMUTHU
    No Matriks: Dxxxxx091291
    Kumpulan: B

    ReplyDelete