Sunday, December 19, 2021

KESAN PENDATANG ASING TERHADAP KOMUNITI PENDUDUK DI KAMPUNG BUKIT NAGA, SHAH ALAM, SELANGOR.


Kemasukan pendatang asing di negara Malaysia merupakan satu isu yang sering dibincangkan dalam kalangan penduduk tempatan. Peningkatan jumlah kemasukan pendatang asing ke Malaysia telah bermula dari tahun 80-an sehingga kini. Migrasi bermaksud perpindahan manusia melangkaui sesuatu sempadan yang dibahagikan kepada dua jenis, iaitu migrasi dalaman dan migrasi antarabangsa. Menurut Laporan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua pada tahun ini yang dikeluarkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, statistik menunjukkan komposisi penduduk bukan warganegara menurun kepada 8.2 peratus iaitu seramai 2.69 juta pendatang asing daripada 8.9 peratus pada suku tahun kedua 2020. Migrasi pendatang asing ke Malaysia atau mana – mana negara membangun dan berkembang maju adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan dan kehendak asasi manusia demi kelangsungan hidup. Namun begitu, kesan – kesan migrasi pendatang asing yang tidak terkawal ini boleh menjejaskan komuniti penduduk di Kampung Bukit Naga, Shah Alam, Selangor.

Kampung Bukit Naga telah mula dibuka pada tahun 1916 dan sudah melebihi usia 100 tahun pada 2016 yang lalu. Pada mulanya, kampung ini merupakan salah satu tanah jajahan di bawah Pejabat Tanah Daerah Klang (PTDK). Namun, apabila pembangunan di negeri Selangor semakin pesat, bandaraya Shah Alam dijadikan sebagai ibu negeri Selangor. Bagi mewujudkan sebuah bandaraya, syarat jumlah penduduk sesuatu kawasan tersebut tidak kurang daripada 500K penduduk. Justeru itu, Kampung Bukit Naga yang menjadi sempadan antara Klang dan Shah Alam yang terletak di Batu 6, Kampung Jawa, Klang telah menjadi sebahagian dari kawasan bandaraya Shah Alam. Justeru itu, Kampung Bukit Naga telah diklasifikasikan Seksyen 32, Shah Alam dengan keluasan kampung adalah 21 km persegi.

Kedatangan pendatang asing yang tidak terkawal boleh mendatangkan banyak masalah kepada semua pihak termasuk komuniti dan penduduk di Kampung Bukit Naga. Antara kesan – kesan pendatang asing ialah peluang pekerjaan penduduk tempatan tersekat. Penduduk di Kampung Bukit Naga terdiri daripada individu – individu yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti pekerja kerajaan, pekerja swasta, pekerja kilang, peniaga dan sebagainya. Di sekitar kawasan kampung ini, terdapat beberapa kilang – kilang serta gudang penyimpanan barang yang berhampiran dengan kawasan perumahan penduduk seperti Power Metal Technologies (PMT), Kilang alat elektrik JOVEN, Kilang Gardenia, PKT Logistic Group dan sebagainya. Melalui pandangan mata kasar, kawasan kilang yang dibangunkan ini mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Namun begitu, sangkaan ini meleset sama sekali apabila pekerja – pekerja kilang dan gudang kebanyakkannya turut dipenuhi oleh warga asing dan bukan warga tempatan. Melalui hasil pemerhatian, Rajah 1, Rajah 2 dan Rajah 3 merupakan kilang PMT, Gardenia, dan gudang penyimpanan logistik yang mengambil pekerja warga asing untuk ditempatkan di bahagian produksi atau pembuatan barangan bagi meneruskan penjanaan ekonomi terhadap sektor tersebut. Berdasarkan temu bual melalui responden (Aiman, 20 tahun) yang merupakan salah seorang pekerja di kilang Gardenia. Beliau mengatakan bahawa kilang Gardenia ada membuat pengambilan kerja bagi pekerja tempatan seperti pemandu lori gardenia, bahagian pengurusan dan operator. Namun tenaga pekerja warga asing turut digunakan dalam membantu pengoperasian kilang. Kebanyakkan warga tempatan yang mempunyai lesen lori Good Driver License (GDL) akan bekerja sebagai pemandu lori Gardenia kerana habuan gaji yang lebih lumayan. 
Rajah 1. Kilang Power Metal Technologies (PMT).
                                       

Rajah 2. Kilang Gardenia Seksyen 32. 


Rajah 3. Gudang PKT. 

Bukan sahaja bahagian produksi kilang telah dihujani oleh warga asing, malah bidang pekerjaan seperti perniagaan, pembinaan, pembantu dan keselamatan juga turut dibanjiri oleh warga – warga asing yang terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Indonesia dan Pakistan. Berdasarkan kepada pemerhatian yang dijalankan, bidang pekerjaan ini bergantung kepada kelompok satu bangsa tersebut. Kebanyakkan warganegara Bangladesh yang menetap di sini, mereka akan bekerja di sektor perkilangan, logistik, tukang cuci kereta dan sebagainya. Manakala warganegara Indonesia pula mereka akan membuka perniagaan sendiri seperti kedai runcit, menjual buah – buahan dan makanan di gerai tepi jalan. Ada juga warganegara Indonesia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan atau tukang rumah. Rajah 4, merupakan salah satu kedai runcit Acheh yang terdapat di sekitar Kampung Bukit Naga.  

Rajah 4. Kedai runcit Acheh. 

Di sebabkan bidang – bidang pekerjaan sebegini telah dipenuhi oleh warga asing. Maka, masyarakat setempat mula memandang serong terhadap pekerjaan tersebut dan berasa tidak selesa untuk bekerja di bawah satu bumbung bersama warga asing. Oleh itu, peluang pekerjaan yang sepatutnya diberikan kepada penduduk tempatan juga di rebut oleh warga – warga asing kerana mereka tidak memilih kerja. Berdasarkan tinjauan yang dijalankan terhadap salah seorang pemilik kedai makan (Cik Yah, 44 tahun) seperti Rajah 5 di bawah, beliau berpendapat bahawa para peniaga kedai makan lebih gemar menggajikan pembantu kedai warganegara Indonesia dalam membantu urusan niaga di kedai kerana pekerja asing tidak meminta kadar bayaran gaji yang tinggi tidak seperti pekerja tempatan yang menginginkan gaji mereka dibayar mengikut sijil atau kelayakan yang diperoleh. 

Rajah 5. Pemilik kedai makan masakan Kelantan.  

   Selain itu, kesan pendatang asing yang tidak terkawal dalam sesebuah komuniti akan mendatangkan masalah perumahan kepada penduduk kampung. Hal ini kerana, apabila warga asing mula memenuhi sesuatu kawasan, mereka akan mula membina kawasan penempatan secara haram bagi tujuan tempat tinggal seperti rumah setinggan bergantung kepada keluasan tanah yang dijumpai. Berdasarkan kepada kawasan kajian, pendatang asing warganegara Indonesia yang bekerja sebagai tukang rumah dan berkemahiran membina dan membaiki rumah mudah membuka penempatan sendiri dengan membina rumah setinggan di kawasan tanah penduduk.

Rumah setinggan yang dibina ini didiami oleh warga Indonesia yang berasal dari Jawa. Rajah 6 menunjukkan kawasan rumah setinggan yang didiami oleh beberapa keluarga Indonesia yang bekerja sebagai tukang rumah di sekitar kampung.  Dengan wujudnya penampatan rumah setinggan, isu pembetungan dan masalah mendapatkan bekalan air bersih mula timbul. Ini kerana kawasan rumah yang dibina secara haram ini tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan selain tapak pembinaan yang dibina tidak terancang dan mencemarkan imej sesuatu kawasan. 

Rajah 6. Rumah setinggan warga Indonesia. 

Bukan itu sahaja, di sekitar kawasan penempatan penduduk ini juga terdapat asrama pekerja kilang warga Bangladesh dan perkampungan rumah sewa warga indoensia. Asrama ini terletak tidak jauh dari kilang – kilang tempat warga asing ini bekerja. Kebanyakkan warga asing yang bekerja di sekitar kawasan kampung ini menggunakan basikal sebagai kemudahan mobiliti mereka untuk bergerak. Pun begitu, lain pula cerita bagi warganegara Indonesia, kebanyakkan mereka mempunyai kenderaan sendiri sekurang – kurang sebuah kereta atau motor untuk kegunaan harian. Rajah 7 dan 8 menunjukan perkampungan rumah sewa warga Indonesia dan asrama pekerja kilang warga Bangladesh. 

Rajah 7. Rumah sewa warga Indonesia

Rajah 8. Asrama pekerja kilang warga Bangladesh. 

Seterusnya, kedatangan pendatang asing ini juga boleh mengancam keselamatan, kesihatan dan sosial masyarakat. Menurut Rusniah et. ul. (2014), pendatang asing merupakan salah satu elemen ancaman keselamatan yang perlu diberikan perhatian sejak selepas Perang Dingin. Migrasi antarabangsa dapat memberikan kesan kepada keselamatan antarabangsa apabila lambakan pendatang asing yang tidak dikawal mengakibatkan tahap keselamatan negara diancam dengan pelbagai bentuk ancaman keselamatan yang baharu seperti hak asasi manusia, konflik etnik, sosial dan budaya, demografi, ekonomi dan lain-lain Zaim Ahmad et. al, (2015).

Jika dilihat dari aspek keselamatan dan dikaitkan dengan situasi pendatang asing di Kampung Bukit Naga, kebanjiran pendatang asing dalam kalangan penduduk di sini membuatkan penduduk tempatan berasa tidak senang, takut dan terancam untuk keluar bersendirian walaupun hanya ke kedai runcit lebih – lebih lagi kanak – kanak atau remaja perempuan. Hal ini kerana, para peniaga dan pekerja kedai runcit di sekitar kawasan kampung merupakan warganegara Indonesia yang berasal dari Acheh. Pengalaman saya sendiri sewaktu membeli di kedai runcit Acheh, pekerja kedai suka mengacau pembeli muda golongan wanita menyebabkan saya berasa tidak selesa. Bukan itu sahaja, pada setiap hari Jumaat iaitu hari pasar malam. Kebanyakkan pengunjung yang datang membeli di pasar malam merupakan warga asing yang tinggal di kampung ini dan kawasan berhampiran. Apabila terlalu ramai warga asing, maka penduduk merasakan keselamatan mereka terancam menyebabkan jumlah bilangan penduduk tempatan mengunjungi Pasar Malam Bukit Naga semakin berkurang.

Apabila kependudukan warga asing di sesuatu kawasan bertambah, maka kemungkinan kadar jenayah juga meningkat. Berdasarkan Laporan Statistik Jenayah 2019 dan 2020 di Malaysia yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Bilangan kemasukan banduan sabitan pada 2020 terdiri daripada 63.0 peratus warganegara dan 37.0 peratus bukan warganegara. Komposisi mengikut etnik pula terdiri daripada Bumiputera (69.7%), India (11.5%), Lain-lain (10.4%) dan Cina (8.4%). 

Rajah 9. Kemasukan banduan sabitan mengikut etnik, Malaysia 2019 dan 2020.  

Akhir sekali, kesan pendatang asing juga mempengaruhi dari aspek kesihatan merangkumi individu dan penduduk setempat. Umum mengetahui, dunia kini sedang dilanda virus Covid-19 dan negara Malaysia tidak terkecuali menerima ancaman dari virus tersebut di samping masih bertungkus-lumus mengawal penyebaran wabak COVID-19. Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sidang media tempoh hari pada tahun 2020, penduduk kampung telah digemparkan dengan satu berita yang mengejutkan apabila wujud kluster tempat kerja yang dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 13 Disember 2020 melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan. Sehingga 22 Disember 2020, sejumlah 190 individu telah disaring, di mana 58 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Berdasarkan info yang diperoleh daripada warga penduduk, Kluster Bukit Naga ini melibatkan warga asing kerana faktor pengudaraan dan keluasan kawasan kilang yang tidak mematuhi penjarakan sosial seperti yang telah digariskan dalam Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bukan itu sahaja, kawasan penempatan tinggal warga asing yang sempit dan bersesak juga menjadi faktor penyebaran virus ini dengan kadar segera. Rentetan itu, warga tempatan juga berasa takut dan mengambil langkah berhati – hati serta sentiasa mematuhi SOP sepanjang menjalankan aktiviti harian kerana bimbang akan virus COVID-19 yang tidak diketahui rupa bentuk dan tidak juga kelihatan melalui pandangan mata kasar. Justeru itu, kependudukan warga asing dalam komuniti penduduk sedikit sebanyak mempengaruhi tahap kesihatan warga tempatan. Rajah 10 dibawah menunjukkan perincian Kluster Bukit Naga.

Rajah 10. Perincian kluster Covid-19 Bukit Naga. 

Kesimpulannya, kedatangan pendatang asing di Kampung Bukit Naga memberi banyak kesan negatif kepada penduduk tempatan seperti yang telah dinyatakan di atas. Kesan – kesan negatif ini boleh dibendung sekiranya semua pihak terutama sekali pihak kerjaaan dan pihak berkuasa mengambil serius terhadap isu pendatang asing yang saban hari mempunyai peningkatan pertambahan jumlah kependudukan warga asing di Malaysia.  Sikap masyarakat tempatan, yang mudah menerima mesra kemasukan pendatang asing dan kebergantungan tenaga buruh asing dalam sektor-sektor tertentu menjadi penyumbang kepada kebanjiran masyarakat migrasi pendatang asing. Sekiranya kita berada di kawasan berkaitan pada waktu tersebut, pemandangan ini seolah-olah menggambarkan kita berada di negara 'mereka'. Oleh itu, langkah yang proaktif perlu diambil oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan bagi membasmi dan membuat penelitian semula status pekerja asing yang tinggal di Malaysia secara haram ataupun secara sah.



RUJUKAN
 

BH Online. (2021). Belajar taktik, strategi berniaga warga asing. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2020/09/727734/belajar-taktik-strategi-berniaga-warga-asing

BH Online. (2021). Bilangan warga asing di Malaysia menurun. Diperoleh daripada  https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/849925/bilangan-warga-asing-di-malaysia-menurun

COVID-19 Malaysia Updates. (2020). Diperoleh daripada https://covid-19.moh.gov.my/sorotan/122020/lapan-8-kluster-baharu-dilaporkan-hari-ini-22122020

Itutor. (2021). Kesan kemasukan pendatang asing dan cara mengawalnya. Diperoleh daripada https://www.ipendidikan.my/kesan-kemasukan-pendatang-asing.html

Jabatan Perangkaaan Malaysia. (2021).  Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2021. Diperoleh daripada https://newss.statistics.gov.my/newssportalx/ep/epFreeDownloadContentSearch.seam?cid=1181427

Rusniah Ahrnad, Mohamed Naiem Ajis & Saadon Awang. (2014). Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin Di Malaysia Dari Aspek Sosial Dan Perundangan. Universiti Utara Malaysia - 26 Kanun (2) Disember 2014.

Za' im Ahmad, Sezali Md. Darit, Kamarudin Ngah & Jamaludin Mustaffa. (2015). Satu tinjauan - isu dan masalah pendatang asing dalam aspek keselamatan awam di Malaysia. Diperoleh daripada http://repo.uum.edu.my/13739/


Penulis: Fazlinaishah binti Mohamad Kamarulzaman 

No. Matrik: D20182085837

Kumpulan: A


No comments:

Post a Comment