Wednesday, December 8, 2021

Geografi Penduduk: Masalah Pencemaran Bunyi di Bandar Tanjong Malim


Pada era pandemik yang melanda dunia ini, pencemaran bunyi masih kurang diberikan keutamaan berbanding dengan pencemaran yang lain. Semua pihak telah sedar dan membuka mata apabila pencemaran ini telah menjadi hal yang serius dan sering terjadi di bandar-bandar besar akibat kemajuan dan perkembangan ekonomi yang pesat di bandar tersebut. Secara umumnya bunyi adalah gelombang yang akan diserap oleh telinga manusia manakala kebisingan pula merujuk kepada gelombang bunyi di tahap yang tinggi serta perlu dihindari kerana merupakan pencemaran bunyi. Kebisingan adalah merupakan satu elemen gangguan mental yang kini dialami oleh manusia di dunia (Shamsudin, 1995). Telinga manusia adalah sangat sensitif sehingga membolehkan gegendang telinga mengesan bunyi akibat perubahan dalam gelombang udara di persekitarannya (Mulholland & Attenbrough, 1981). Contohnya, bunyi bising trafik yang keterlaluan boleh menjejaskan psikologi mahupun fisiologi warga bandar. Hal ini kerana, masalah pencemaran bunyi bising trafik ini akan mengganggu ketenteraman, pembelajaran, kesihatan dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di antara masyarakat di bandar.

          Bunyi boleh menjadi sesuatu yang aman, indah dan menenangkan jiwa bagi kehidupan manusia jika bunyi yang dikeluarkan memberi ketenangan seperti bunyi alunan muzik yang lembut. Walau bagaimanapun, bunyi juga boleh mengganggu ketenteraman manusia jika kebisingan melanda yang menyebabkan pencemaran bunyi. Pencemaran bunyi yang berlaku di persekitaran akan mengganggu kehidupan seharian masyarakat. Hal ini terjadi kerana bunyi yang mengandungi tahap getaran yang tinggi atau dikenali sebagai kebisingan boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan manusia. Justeru, kajian kes telah dilaksanakan bagi mengkaji masalah pencemaran bunyi di bandar Tanjong Malim kesan daripada perbandaran di sini.






Rajah 1 Kawasan cerapan kajian di bandar Tanjong Malim

 

Rajah 2 Pekan Tanjong Malim


Bandar Tanjong Malim terletak di selatan negeri Perak yang berhampiran dengan sempadan negeri Selangor dan ia juga terletak kira-kira 70 km di utara Kuala Lumpur. Tanjung Malim terletak di sebelah utara Sungai Bernam di mana sungai ini menjadi garis sempadan antara negeri Perak dan Selangor. Tanjung Malim terletak di laluan utama dan menjadi penghubung antara Ipoh dan Kuala Lumpur sekiranya tidak menggunakan lebuh raya. Dengan berlatar belakangkan Banjaran Titiwangsa dan kedudukan kawasan pekannya di pinggir Sungai Bernam telah menjadikan pekan Tanjong Malim sebuah pekan pintu masuk ke Negeri Perak.


Rajah 3 Trafik di persimpangan Tanjong Malim

 

Peningkatan jumlah pengguna kenderaan di jalan raya di bandar ini disebabkan oleh peningkatan bilangan penduduk setiap tahun. Oleh itu, bilangan kapasiti penduduk yang meningkat ini akan menambah jumlah kenderaan, tempat tinggal dan peluang pekerjaan di mana hal ini akan meningkatkan kadar pencemaran bunyi bising trafik. Pencemaran bunyi bising dari kenderaan jalan raya merupakan isu kedua yang banyak menerima aduan dari masyarakat selepas isu kualiti udara (Mohd Jailani, 2000). Masalah kesesakan lalu lintas yang timbul akan menyebabkan kebisingan, iaitu daripada hon kereta dan bunyi enjin kenderaan berat, terutamanya yang telah usang dan berenjin diesel. Masalah ditambah dengan kenderaan awam seperti teksi dan bas yang tidak mempunyai alat penyerap bunyi yang berfungsi dengan efisien. Tahap penerimaan bunyi bising trafik yang melampau akan mewujudkan implikasi yang berbeza terhadap seseorang individu sama ada seseorang itu menyukai atau tidak bergantung pada tahap penerimaan pendengaran seseorang individu tersebut (Hamidi, 2008).


         Rajah 4 Pusat perindustrian kereta nasional (PROTON)

 

         Daerah Muallim berpotensi menjadi sebuah daerah yang pesat membangun di kawasan selatan Perak. Berasaskan kepada kegiatan ekonomi yang sedia ada dan perancangan industri yang akan dirancangkan seperti industri automobil, pembangunan bersepadu perumahan, komersial dan institusi, perladangan dan perkilangan. Hal ini secara tidak langsung telah menjurus kepada penghasilan bunyi yang kuat dan menyebabkan kebisingan dan membawa kepada pencemaran bunyi di kawasan berdekatan. Proses pembinaan bangunan baharu, infrastruktur, pembinaan jalan raya dan pengubahsuaian struktur tanah seperti pemotongan lereng bukit untuk membuka kawasan perumahan baharu dan jalan raya yang menggunakan jentera berat seperti mesin penggerudi akan mengeluarkan bunyi nyaring dan bising.  Antara punca lain adalah akibat daripada kerja-kerja di tapak pembinaan dan proses pengeluaran daripada kilang. Kesemua ini akan akan menghasilkan bunyi yang bising dan pencemaran yang berlaku. Hal ini kerana bunyi yang kuat dan nyaring telah melebihi had yang ditetapkan bagi pendengaran manusia iaitu 80 desibel.

        Sesetengah individu pula amat gemar membunyikan peralatan hi-fi pada tahap yang tinggi sehingga larut malam.Di bandar besar, kemunculan pusat hiburan yang menggunakan teknologi yang canggih telah menyebabkan peningkatan tahap bunyi di kawasan berhampiran. Pusat dan aktiviti hiburan seperti disko dan konsert lazimnya menggunakan peralatan muzik yang akan mengeluarkan bunyi yang melebihi had pendengaran manusia, iaitu 80 desibel. Mereka yang tinggal berdekatan akan mengalami gangguan daripada keadaan tersebut.  Sifat mementingkan diri bagi sesetengah pihak yang suka membunyikan peralatan hi-fi mereka pada tahap yang tinggi telah mengganggu hidup sesetengah pihak yang tinggal berhampiran mereka.

         

 

      

                                               Rajah 5 Lalu lintas di pekan Tanjong Malim


Secara kesimpulannya, masalah pencemaran bunyi sering berlaku di kawasan bandar terutama di kawasan kajian, bandar Tanjong Malim. Setiap masalah pencemaran akan membawa kesan yang tidak baik kepada alam sekeliling dan mengganggu persekitaran hidup seharian. Bunyi yang kuat akan menjadikan keadaan yang tidak tenang dan tidak selesa malah juga akan menyebabkan masalah yang teruk sehingga boleh kehilangan deria pendengaran dalam jangka masa yang panjang. Oleh itu, perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak dan perlu mencari alternatif dan kaedah bagi menangani masalah pencemaran bunyi ini. Pencemaran bunyi yang dihasilkan oleh alam semulajadi sukar untuk dikawal tetapi terdapat cara untuk mengawal pencemaran bunyi yang dihasilkan oleh manusia. Terdapat dua cara pada ketika ini digunakan untuk mengawal pencemaran bunyi iaitu secara penguatkuasaan undang-undang dan kawalan secara teknikal dan bukan perundangan. Walaupun terdapat cara-cara untuk mengatasinya, namun manusia sendiri perlu sedar tentang kepentingan bunyi kepada kehidupan manusia dan kita perlu bersama-sama berusaha bagi membendungnya. Langkah sewajarnya perlu diambil oleh pihak berkenaan dalam memastikan masyarakat yang dinamik dan persekitaran yang lestari dapat diwujudkan. Oleh yang demikian, semua pihak haruslah mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini secara sistematik dan saintifik tanpa perlu menolak pembangunan dan mengelak daripada menggunakan ciptaan sains dan teknologi.


Rujukan

 

Hamidi Abdul Aziz. (2008). Pencemaran bunyi: teori, sumber, perundangan dan kawalan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Mohd Jailani Mohd Nor. (2000). Isu-isu bunyi dan getaran: Penafsiran parameter-parameter yang digunakan. Dlm. Jamaluddin Md. Jahi (editor), Pengurusan Persekitaran di Malaysia: Isu dan Cabaran. Bangi: Program Pengurusan Persekitaran, Pusat Pengajian Siswazah, UKM.

Mulholland, K. A. & Attenborough, K. (1981). Noise assessment and control. London: Contruction Press.

Shamsudin Rahmat. (1995). Kebisingan trafik dan masalah pengurusannya di Melaka Bandaraya Bersejarah. Latihan Ilmiah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian. Universiti Kebangsaan Malaysia (tidak diterbitkan).

 

Nama: Muhammad Hanafi Bin Md Saad 
Matrik: D20182085834
Kumpulan: A



No comments:

Post a Comment