Monday, December 13, 2021

Aktiviti-aktiviti Ekonomi yang Menyumbang kepada Pencemaran Udara di Sekinchan, Sabak Bernam

Sekinchan merupakan sebuah pekan yang terletak di dalam daerah Sabak Bernam di sebelah pantai barat negeri Selangor Darul Ehsan, Malaysia. Ia dihubungkan dengan jalanraya utama Laluan Persekutuan 5 yang menghubungkan antara pekan Sabak Bernam dengan Tanjung Karang. Sekinchan dalam bahasa Cina bermaksud kampung yang sesuai untuk ladang, tanah dan cuaca sesuai untuk penanaman padi, buah-buahan serta pokok kelapa sawit. Hal ini menjadikan Sekinchan sebagai salah satu kawasan penanaman padi yang utama dan menonjol di Malaysia. Selain menjadi sebuah kawasan penanaman padi yang utama, di Sekinchan juga terdapat sebuah perkampungan nelayan yang kedua terbesar didalam daerah Sabak Bernam. Sekinchan juga dinobat sebagai kawasan pengeluar hasil beras mengikut tan paling tinggi di Malaysia dengan anggaran ia mampu menghasilkan sehingga 13 tan metrik padi sehektar dengan gred bermutu tinggi dimana jumlah ini telah melebihi had minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu sekitar tujuh hingga lapan tan sehektar. Hal ini disebabkan oleh faktor keluasan sawah padi luas, jenis tanah yang subur, sistem pengairan yang baik dan bersistematik, kaedah penanaman yang berdisplin serta penanaman yang teratur. Disebabkan oleh keunikan kawasannya yang menghijau serta berhampiran dengan laut Selat Melaka, ia telah menarik ramai pengunjung untuk datang kesini sehingga Sekinchan diiktiraf sebagai salah satu lokasi pelancongan yang tersohor di negeri Selangor.                        

                         
 Gambar 1: Sawah padi di Sekinchan         Gambar 2: Pantai Redang, Sekinchan
Sumber ekonomi yang utama di kawasan ini bergantung kepada sektor pertanian. Sektor pertanian di Sekinchan khususnya penanaman padi memainkan peranan yang penting kerana ia menjadi penyumbang utama kepada sumber pendapatan penduduk di kawasan ini. Ia juga sebagai pembekal utama makanan dan juga bahan mentah untuk industri berasaskan sumber. Sektor perikanan di Sekinchan merupakan antara sektor penangkapan hasil laut dalam yang utama di Selangor dimana hasil laut ini akan di jual ke luar kawasan lalu menjadikannya sebagai sumber ekonomi kedua terpenting bagi para penduduk di sini terumatanya golongan nelayan. Kerancakan sektor pelancongan di Sekinchan telah menjadinya antara lokasi utama bagi para pengunjung terutamanya dari Kuala Lumpur dan Ipoh yang ingin menjauhkan diri dari kesibukan kota. Perkembangan sektor pelancongan ini telah mendorong peningkatannya sumber ekonomi di kawasan Sekinchan. Disamping itu, dengan adanya sektor industri kecil sederhana (IKS) telah merancakkanya lagi sumber ekonomi di Sekinchan dimana hasil produk IKS seperti aneka kuih muih, kerepek dan sebagainya akan di jual ke seantero Malaysia.

                             
     Gambar 3: Jeti Nelayan di Pantai Redang              Gambar 4: Produk IKS di Agro Bazaar Masri

Namun begitu, terdapat isu berkaitan alam sekitar yang terjadi di Sekinchan dimana berlakunya pencemaran udara yang disebabkan oleh aktiviti-aktiviti ekonomi yang giat dijalankan telah mendatangkan keburukan kepada alam sekitar dan penduduk setempat. Pencemaran udara menurut Wark dan Warner(1901) adalah sebagai kehadiran satu atau lebih bahan pencemar atau gabungannya didalam atmosfera dalam kuantiti tertentu pada suatu jangka waktu yang boleh menyebabkan darurat kepada kehidupan manusia, haiwan atau menganggu suasana kehidupan. Umumnya, pencemaran udara merupakan satu keadaan yang melibatkan sebarang campuran bahan kimia, jirim zarah atau bahan biologi yang dibebaskan ke atmosfera seperti gas karbon dioksida, sulfur dioksida, kloroflorokarbon, bau-bauan, logam toksik seperti plumbum tembaga dan sisa radioaktif.

Gambar 5: Punca pencemaran udara

Antara aktiviti ekonomi di Sekinchan yang menyumbang kepada pencemaran udara adalah aktiviti pertanian. Penggunaan penyembur aerosol atau racun sintetik oleh para petani bagi tujuan menghalau atau mematikan serangga terutamanya di kawasan sawah padi mengandungi gas klorofluorokarbon (CFC) yang akan menyebabkan pencemaran udara apabila racun tersebut tersebar ke kawasan lain. Bukan sahaja penggunaan racun malah pembakaran jerami padi sebagai jalan mudah bagi penyediaan kawasan sebelum penanaman yang bertujuan untuk mengawal penyakit dan perosak serta pengurusan sisa selepas tanaman dituai disamping pada masa yang sama kaedah ini didapati berupaya membunuh patogen tanah dan akan dapat merencatkan percambahan benih rumpai serta padi angin juga menjadi faktor pencemaran udara apabila partikel jelaga ini akan diterbangkan pada jarak yang jauh. Aktivti pembakaran bagi tujuan pertanian ini akan menyebabkan kejadian jerebu di kawasan terjejas sehingga boleh menghalang penglihatan dan menyebabkan kesesakan nafas serta mengganggu proses fotosintesis tumbuhan. Api dari pembakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap yang mencemarkan tetapi ia juga memusnahkan segala fauna dan flora di sekitarnya.

                                                        Gambar 6: Pembarakan jerami padi        Gambar 7: Penggunaan racun di sawah padi

Selain itu, perkembangan ekonomi di kawasan Sekinchan yang turut bergantung kepada industri-industri perkilangan juga telah menyumbang kepada kadar peningkatan pencemaran udara. Menurut Hashim & Suhaily (2005), masalah pencemaran udara mula dirasakan sejak tahun 1970-an lagi apabila berkembangnya proses urbanisasi dan perindustrian. Misalnya kilang elektronik milik Khind Mistral Industries Sdn. Bhd. dan beberapa kilang pemprosesan padi seperti Kilang Beras Rakyat telah membebaskan bahan cemar antaranya nitrogen, sulfur dioksida, hidrokarbon dan karbon dioksida telah membawa kesan sampingan kepada kehidupan dan alam sekitar. Bukan sahaja gas-gas pencemar dilepaskan oleh industri perkilangan, malah habuk-habuk partikel terampai juga mampu mengakibatkan udara tercemar. Di mana gas-gas tersebut boleh merosakkan tisu paru-paru, menghalang fungsi sel hemoglobin dan merosakkan sistem pernafasan manusia. Emphysema, asthma, chronic bronchitis, dan juga kanser paru-paru merupakan bukti pencemaran udara boleh mengakibatkan pembekakkan radang, salur pernafasan mengecil, penyakit paru-paru dan pesakit akan mengalami kesukaran bernafas (Jamaluddin Md. Jahi et.al 2011).

                             
Gambar 8: Kilang Beras Rakyat di Sekinchan         Gambar 9: Pencemaran udara dari kilang

           Walaupun pembangunan menjadi lambang kemodenan sesuatu kawasan, namun ia memberi kesan sampingan kepada berlakunya pencemaran udara. Di Sekinchan sedang giat dibangunkan beberapa buah pusat peranginan misalnya resort, chalet, homestay bagi tujuan pegembangan sector pelancongan serta penambahbaikkan jalan raya bagi kemudahan pengguna serta untuk meningkatkan darjah ketersampaian sesuatu tempat. Hal ini sekaligus telah menyebabkan debu-debu dan zarah terampai dari tapak pembinaan akan naik dan berterbangan di udara terutamanya pada waktu panas dan kering telah menyumbang kepada pencemaran udara dan kesan kepada kesihatan awam. Zarah terampai terdiri daripada 70% zarah karbon, 20% debu tanah dan 10% tidak diketahui puncanya.

                         

                       Gambar 10: Pembinaan jalan raya             Gambar 11: Pembinaan bangunan

            Disebabkan oleh kepesatan pembangunan yang berlaku di Sekinchan maka ia telah meningkatkan penggunaan kenderaan bermotor dikawasan itu, bukan sahaja penggunaan motosikal dan kereta malah penggunaan jentera berat bagi tujuan pembangunan juga semakin banyak. Kajian oleh Awang dan Sutan Sidi (1999) (Haryati Shafii & Nursyikin Miskam 2017), menyatakan masalah pencemaran udara telah meningkat dari tahun 1997 berbanding tahun 1990 yang berpunca daripada pertambahan bilangan kenderaan bermotor, industri, perubahan guna tanah dan urbanisasi. Setiap kenderaan bermotor ini memerlukan tenaga yang banyak untuk bergerak dan perlu melalui proses pembakaran bahan api fosil untuk menghasilkannya, akibatnya ia kan membebaskan gas karbon monoksida, nitrus oksida, hydrokarbon dan habuk-habuk yang akan mencemarkan udara. Hal ini seiring dengan kenyataan Haryati Shafii (2011) dimana kenderaan persendirian seperti motosikal dan kereta akan memberi implikasi yang negatif terhadap penggunaan sumber tenaga, umpamanya fosil yang dibakar oleh enjin kenderaan yang boleh meningkatkan pencemaran udara.

                                  Gambar 12: Pencemaran udara dari kenderaan bermotor 

            Intihannya, Jabatan Alam Sekitar Malaysia perlu memantau kualiti udara secara berterusan dan secara manual bagi mengesan sebarang perubahan dalam status kualiti udara yang boleh memberi kemudaratan kepada kesihatan manusia bahkan apabila keadaan semakin kritikal boleh menjejaskan alam sekitar dan harta benda. Bukan sahaja peranan badan kerajaan, malah sikap individu serta komuniti itu juga memainkan peranan dalam menjaga dan memelihara alam sekitar. O’Rourke (2001) mendapati tindakan komuniti penting dalam memberi tekanan kepada negeri untuk mengambil tindakan terhadap firma yang melakukan pencemaran. Pencemaran udara lebih mudah berlaku berbanding bentuk pencemaran yang lain kerana setiap kegiatan yang dilakukan akan mengubah komposisi udara (Haliza Abd Rahman & Rapeah Suppian 2013). Hal ini bagi menjamin kualiti udara di Sekinchan agar sentiasa bersih serta tidak menjejaskan alam sekitar dan manusia. Menurut Wardhana (1995), udara bersih yang dihidu oleh haiwan dan manusia ialah gas yang tidak kelihatan, tidak berbau, tidak berwarna dan tidak berasa.

 

Disediakan oleh: Wan Sharizanee bt Wan Zainal Abidin

No. matrik: Dxxxxxxx1308

Kumpulan kuliah: C

 

Rujukan

Haryati Shafii, Nursyikin Miskam, Azlina Md Yassin, Seow Tawee & Sharifah Meryam Shareh Musa. (2019). Kajian terhadap kualiti udara di beberapa kawasan luar bandar terpilih di negeri Johor. Jurnal Pelancongan, Perhotelan dan Pengurusan Alam Sekitar, 4(17), 11-27. Diperoleh daripada http://www.jthem.com/PDF/JTHEM-2019-17-12-02.pdf.

Mastura Mahmud & Iza Hadila Ab Llah. (2010). Pencemaran udara di Bukit Rambai, Melaka. Geografia Malaysian Journal of Society and Space, 6(3), 30-39. Diperoleh daripada https://ejournal.ukm.my/gmjss/article/view/20039/6367.

Mohd Hairy Ibrahim, Fauziah Che Leh, Mazlini Adnan & Nur Kalsum Mohd Isa. (2016). Pencemaran habuk di Malaysia: Mengesan taburan konsentrasi PM di pusat bandar, sub bandar dan pinggir bandar di Ipoh, Perak . Journal of  Society and Space, 12(5), 104-114. Diperolehi daripada http://www.ukm.my/geografia/images/upload/11x.geografia-april16-mhi-edam1.pdf.

No comments:

Post a Comment