Saturday, December 25, 2021

Kesan Pembangunan Kawasan Rekreasi Terhadap Produktiviti Penduduk di Baling, Kedah


Dalam melangkah arus globalisasi ini, masyarakat sejagat sibuk berlumba-lumba mengejar kemewahan duniawi lalu mengetepikan amalan gaya hidup sihat khususnya amalan rekreasi. Semakin hari semakin banyak berita tentang kematian yang disebabkan oleh penyakit berpunca daripada amalan gaya hidup tidak sihat. Pada zaman ini, aktiviti rekreasi sangat penting tidak kira tua atau muda. Kesibukan bekerja sebenarnya bukanlah penghalang bagi seseorang untuk melakukan aktiviti rekreasi kerana  aktiviti rekreasi boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana jua, bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Aktiviti rekreasi dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan menyegarkan minda. Menurut Azilah & Raslinda (2006), perkataan Rekreasi berasal daripada perkataan Latin, recreatio yang bermaksud sesuatu yang menyegarkan dan menyembuhkan. Setiap tahun, Kementerian Belia dan Sukan melaksanakan Hari Sukan Negara bermatlamat mewujudkan proses transformasi ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation).



Rajah 1: Objektif Hari Sukan Negara


        Dalam penulisan ini, kawasan kajian yang difokuskan ialah kawasan rekreasi yang terdapat di Baling, Kedah. Jika anda seorang pencinta alam hijau pula pasti anda akan seronok apabila menjejakkan kaki di kawasan ini. Hal ini kerana kawasan ini memiliki banyak perkampungan cantik dan tempat rekreasi yang menarik. kawasan ini juga terkenal dengan kawasan rekreasi semula jadi dengan keindahan alam yang cantik dan menyegarkan. Antara kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan  ialah Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Gunung Baling, Gunung Pulai, Gua Sireh, Lubuk Pedati, Lata Bayu, Padang Awam Baling dan Dusun Tok Wan. Setiap tempat yang dinyatakan mempunyai ciri-ciri dan keistimewaan tersendiri. 



Rajah 2: Air Terjun Lata Bayu sesuai untuk mandian, berkelah 
dan dikelilingi  pemandangan cantik 

        Taman Rekreasi merupakan salah satu destinasi tarikan yang menjadi tumpuan masyarakat di daerah ini tidak kira tua atau muda, bangsa dan agama. Ia merupakan sesuatu tempat di mana masa senggang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti rekreasi. Terdapat pelbagai aktiviti rekreasi yang boleh dilakukan seperti berbasikal, sukan dan aktiviti luaran, aktiviti air, memancing, berkhemah, mendaki, berenang, berjalan-jalan, berjoging dan berkelah. aktiviti-aktiviti tersebut memberi kesan dan faedah yang pelbagai kepada penduduk. Salah satu kesannya ialah mengeratkan hubungan silaturahim.



Mengeratkan hubungan silaturahim 

Malaysia merupakan sebuah negara yang majmuk. Ia terkenal dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam sebuah negara. Bagi mengekalkan keharmonian negara, perpaduan antara kaum perlu dijaga.Jika dilihat dari sudut yang positif, aktiviti rekreasi dapat membantu mengekalkan hubungan baik antara masyarakat dan penduduk melalui pelbagai aktiviti. Hal ini kerana ketika menjalankan aktiviti rekreasi kita dapat berkenalan dengan orang baru dan mengenali antara satu sama lain.  Bagi penduduk kawasan Baling yang mempunyai pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli sudah tentu perhubungan yang baik amat dititikberatkan demi kesejahteraan kehidupan. Melalui pembangunan kawasan rekreasi di daerah ini, masyarakat dapat berkumpul dan melakukan aktiviti bersama-sama. Sebagai contoh, penduduk sering membawa ahli keluarga berkelah dan bersantai di sungai atau lata yang berhampiran dengan kawasan tempat tinggal pada hujung minggu. Apabila ada makanan lebih, mereka akan berkongsi dengan ahli keluarga yang lain dan saling berborak. Dari situ, kita dapat lihat adanya interaksi yang dijalinkan di kawasan tersebut. 




Rajah 3: Berkelah dalam sungai di Rimba Cafe, Baling


Menyihatkan tubuh dari segi fizikal dan mental

Memiliki tubuh badan yang sihat adalah keperluan bagi setiap manusia. Selain daripada mengeratkan silaturahim, pembangunan kawasan rekreasi juga memberi peluang kepada penduduk untuk sering melakukan aktiviti yang menyumbang kepada kecergasan fizikal dan mental. Aktiviti rekreasi dan riadah mampu memberi peningkatan mutu pembangunan fizikal dan mental seseorang individu apabila dapat menikmati keindahan landskap di kawasan rekreasi di samping melakukan aktiviti kesukaan mereka. Menurut Nuramin, Haidaliza & Azlina (2021), kesihatan mental dan fizikal merupakan dua elemen yang saling berkait dalam menjadikan tubuh badan manusia sihat dan cergas. Di kawasan Baling ini, terdapat beberapa kawasan rekreasi yang mempunyai landskap yang cantik serta menyediakan kemudahan sukan dan riadah kepada orang awam. Salah satu aktivti yang menjadi kesukaan masyarakat di sini pada hujung minggu ialah mendaki gunung di Gunung Baling. Ia juga bukan sahaja menyajikan yang cantik seperti matahari terbit dan yang boleh dilihat ketika berada di puncak malah turut menyihatkan tubuh badan. Laluan mencabar di  sepanjang trek mendaki yang mengambil masa 2 jam dapat melatih minda supaya kuat dan tidak berputus asa.


Rajah 4: Pemandangan matahari terbit dari atas Gunung Baling



Mengurangkan masalah sosial, stres dan pengaruh negatif

Tekanan kerja merupakan lumrah bagi para pekerja di Malaysia. Ia boleh menjejaskan produktiviti serta kualiti kerja jika tidak ditangani dengan baik dan berkesan. Pengisian masa lapang dengan aktiviti rekreasi dapat mengurangkan kecenderungan konflik, meningkatkan keyakinan serta mengurangkan tekanan (Rosidah, 2016). Selain daripada memberi kepuasan dan keseronokan, aktiviti rekreasi juga mempunyai banyak nilai. Aktiviti rekreasi dapat menghindari nilai-nilai negatif serta masalah sosial dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, sebarang aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan kerja amat diperlukan bagi individu tersebut bertenang dan menaikkan semula semangat.  Di kawasan Baling, terdapat beberapa kawasan yang diminati oleh golongan remaja iaitu berkayak. Kebiasannya, aktiviti berkayak akan dilakukan secara berkumpulan. Kebanyakan orang akan datang bersama rakan-rakan dan berkayak bersama-sama di sepanjang sungai dari Weng ke Sungai Baling-Ketil. Aktiviti berkayak dapat memberi kepuasan dan keseronokan. Selain itu, ia juga memberi manfaat kepada golongan remaja untuk menyihatkan diri dengan perkara yang berfaedah. 


Rajah 5: Aktviti berkayak di Sungai Baling


Memelihara nilai warisan di kawasan pelancongan Baling

Nilai warisan adalah sumber alam yang dimiliki sejak beratus tahun dan perlu dikekalkan untuk dinikmati pada masa hadapan (Rusmani & Norlizza, 2004). Gua sireh, Baling memiliki tarikan dari nilai warisan tersendiri. Di dalam gua tersebut, terdapat ukiran batu yang menyerupai pelbagai bentuk seperti sireh junjung, kepala naga dan lain-lain. Di dinding gua pula, terdapat pelbagai lukisan yang dilukis oleh orang zaman dahulu. Peninggalan warisan ini menarik perhatian pengunjung terutama generasi baharu yang ingin mengenali sejarah setempat. Di samping datang untuk melihat keistimewaan di gua batu kapur tersebut, para pengunjung dapat berjalan dan bersenam di sepanjang laluan 2 kilometer sehingga ke penghujung gua. 


Rajah 6: Pemandangan dari dalam dan luar Gua Sireh


Meningkatkan ekonomi penduduk setempat

Dari sudut ekonomi, dengan adanya kawasan rekreasi di kawasan Baling ini telah menarik kedatangan pengunjung luar untuk datang ke kawasan Baling. Kedatangan pengunjung ke kawasan ini telah membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan di samping membuka peluang pekerjaan melalui sewaan peralatan, tempat penginapan, khidmat 'tourist guide' dan sebagainya. Hal ini telah menjana ekonomi penduduk dan membuka peluang kepada pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan infrastruktur kawasan rekreasi dan membangunkan lebih banyak kawasan rekreasi serta menambah baik kawasan yang sedia ada agar kawasan Baling ini menjadi satu tempat yang lebih terkenal dan salah satu destinasi pelancongan wajib dalam Malaysia suatu hari nanti.  


Rajah 4: Ulu Legong Hotspring, Baling

        Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong ini sangat tepat untuk mereka yang mencari ketenangan dan jauh dari ibu kota. Di samping mempunyai kemudahan penginapan yang selesa, kolam mandian air panas ini juga berperingkat sesuai untuk semua peringkat umur. Taman Rekreasi ini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai kerana kolam air panas ini di katakan dapat mengubati pelbagai jenis penyakit. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan. Antaranya ialah dewan seminar, taman permainan kanak-kanak, kolam air panas, tempat letak kenderaan, surau, outdoor gym, tandas awam, bilik persalinan, tapak BBQ, medan selera dan banyak lagi. Pusat Rekreasi ini juga meyediakan udara yang segar dan nyaman serta jauh dari sebarang pencemaran udara dan alam sekitar. Dengan adanya kawasan ini, penduduk dapat lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan mereka. Homestay yang dibina oleh penduduk di kawasan berdekatan pusat rekreasi ini selalunya penuh pada hujung minggu dan cuti sekolah.  

        Kesimpulannya, pembangunan kawasan rekreasi telah membawa perubahan positif dalam kehidupan penduduk. Dengan melakukan aktiviti rekreasi, masa lapang penduduk terisi dengan perkara berfaedah di samping meningkatkan kesihatan mental dan fizikal. Aktiviti rekreasi juga mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk. Ekonomi penduduk setempat pula dapat meningkat dengan kedatangan pengunjung ke kawasan rekreasi. Selain itu, penduduk setempat perlu berbangga kerana mempunyai kawasan rekreasi yang mempunyai nilai warisan dan keunikan tersendiri. Kita dapat melihat bahawa ketiadaan kawasan rekreasi awam menyebabkan   penduduk   sekitar   sukar untuk melakukam aktiviti  riadah  bersama  keluarga,  jiran  tetangga,  dan  rakan-rakan. Oleh yang demikian, kawasan-kawasan rekreasi yang terdapat di sekitar Baling ini mesti terus dipelihara oleh semua pihak agar dapat memberi manfaat yang berterusan kepada penduduk dan menjadi salah satu tarikan destinasi pelancongan  serta membangunkan ekonomi di kawasan ini.

RUJUKAN

Kamus DewanEdisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa ceta.4., tahun 2017.

Kolam air Panas Ulu Legong Tumpuan orang Ramai Di baling, Kedah. (31 Oktober, 2018). Tempat Menarik. https://www.tempatmenarik.my/kolam-air-panas-ulu-legong-tempat-menarik-di-baling-kedah/

Pitcher TJ, Hollingworth C (2002) Recreational Fisheries: Ecological Economic and Social Evaluation. Blackwell Science, Oxford.

Rosidah Ramli. (2016). Faktor yang mendorong tekanan kerja di kalangan pekerja sokongan di pusat perubatan universiti kebangsaan malaysiaJournal on Technical and Vocational Education1(1), 2. http://upikpolimas.edu.my/ojs/index.php/JTVE/article/view/1

Rusmani dan Siti Norliza (2004) Nilai ekonomi rekreasi pinggir pantai. In: Seminar Sumberjaya Pinggir Pantai dan Pelancongan: Isu dan Cabaran, 20-21 Disember 2004, Bukit Merah Laketown Resort, Perak. Tidak diterbitkan


Penulis: Nur 'Aisyah Binti Mat Latfee

No. Matrik: Dxxxxxx85818

Kumpulan: A

No comments:

Post a Comment