Sunday, December 26, 2021

MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI KAMPUNG SINARON TENGAH, KENINGAU, SABAH.

1.0  Pengenalan

Menjelang abad yang ke 21, apabila kita semakin membangun dan masyarakat kita semakin maju, kita dapat lihat bahawa tanah dan tapak bumi ini telah menjadi mangsa dalam arus pemodenan ini. Isu pencemaran alam sekitar yang berlaku seperti pencemaran air, udara dan darat sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat. Namun Masalah pembuangan sampah adalah isu yang paling hangat diperkatakan. Sememangnya masalah pencemaran sampah sudah lama wujud dan tidak asing lagi di Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia mengurus sampah sarap mereka dengan baik. Mereka lebih gemar membuang sampah di merata tempat. Tindakan mereka ini telah mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada alam sekitar dan juga masyarakat. Masalah pembuangan sampah ini sangat jelas berlaku di kampung Sinaron.

Kampung Sinaron merupakan sebuah kampung Kecil yang terletak di pedalaman bandar keningau, Sabah. Penduduk kampung Sinaron tidaklah begitu ramai dan hanya kira-kira 70 buah rumah sahaja. 

 

  

Gambar 1: Kampung Sinaron

Sumber: Google Map

 


2.0 Masalah pembuangan sampah  di Kampung Sinaron, Keningau.

Masalah pembuangan sampah di Kampung Sinaron, Keningau akan di bincangkan dengan membahagikan kepada tiga bahagian iaitu faktor, kesan dan langkah mengatasi masalah pembuangan sampah di Kampung Sinaron Keningau.

 

2.1 Faktor

Faktor utama berlakunya masalah pembuangan sampah di Kampung Sinaron ialah sikap masyarakat dan tahap kesedaran masyarakat masih rendah terhadap isu alam sekitar. Sikap masyarakat merupakan antara punca utama berlakunya masalah pembuangan sisa pepejal ini. Penyertaan penduduk kampung Sinaron dalam aspek berkaitan dengan alam sekitar  adalah pada tahap yang rendah. Kebanyakkan penduduk masih tidak menyedari tentang kepentingan kitar semula walaupun telah disediakan tong kitar semula di kawasan perumahan. Situasi ini sama dengan pendapat Zaini Sakawi (2017), yang menegaskan bahawa kurangnya penyertaan masyarakat, komitmen, kesedaran sivik dan tahap pendidikan yang rendah terhadap isu alam sekitar menyebabkan isu sampah masih belum dapat diselesaikan.Penduduk kawasan perumahan Sinaron ini sepatutnya perlu sedar mengambil inisiatif untuk sentiasa peka terhadap isu alam sekitar dan seharusnya tidak menggunakan bahan yang tidak boleh dikitar semula. Dalam hal ini, ada penduduk yang tidak mempunyai nilai tanggungjawab, membuang sampah ke sungai, sawah padi, longkang-longkang, hutan dan kawasan lapang yang lain yang tidak sepatutnya dibuang. Ada juga yang membuang sampah di luar tong sampah dan bukannya dalam tong sampah.

Seterusnya, faktor yang menyumbang kepada masalah pembuangan sampah di Kampung Sinaron, Keningau ialah pertambahan penduduk. Semakin meningkat penduduk, semakin meningkat lah sampah yang dihasilkan. Ini selari dengan pendapat Abdul Rashid & Hasnah, dalam Hasnah Ali, Dody Dermawan, Noraziah Ali, Maznah Ibrahim dan Sarifah Yaacob (2012) yang menegaskan bahawa kuantiti sampah yang dihasilkan setanding dengan jumlah penduduk yang menduduki sesuatu kawasan. Ini kerana sebanyak 215 kilogram sampah dibuang oleh setiap isi rumah setiap tahun dan jumlahnya akan meningkat selari dengan peningkatan jumlah penduduk (Tan, 2016).

Faktor yang seterusnya adalah faktor Kebudayaan. Setiap kali musim perayaan di Kampung Sinaron seperti perayaan krismas, kaamatan, hari raya dan sebagainya, terdapat pelbagai bungkusan dapat dilihat. Kertas, botol, tin, kaca, plastik dan bungkusan hiasan dengan jumlah yang banyak dapat diperhatikan semasa musim perayaan. Hal ini telah menyumbang kepada masalah pembuangan sampah di kampung sinaron. 

 


Gambar 2: Sampah dibuang dimerata-rata

 

2.2 Kesan masalah pembuangan sampah di Kampung Sinaron, Keningau, sabah.

Masalah pembuangan sampah di kampung sinaron, Keningau Sabah jelas memberi kesan negatif. Antara kesan yang dikenal pasti termasuklah   masalah pembuangan sampah akan menjejaskan kesihatan masyarakat sekeliling alam sekitar serta memberi impak kepada negara kita . Sisa-sisa pembuangan sampah boleh membawa pelbagai penyakit seperti demam denggi, keracunan makanan dan sebagai. Misalnya, pembuangan sampah di dalam air boleh menyebabkan nyamuk Aedes membiak di dalam air dan boleh menyebabkan penyakit demam denggi kepada orang sekeliling serta boleh membawa maut. Selain daripada itu, memberi kesan visual yang negatif. Ianya juga boleh menjejaskan imej sesuatu kawasan itu dan memberikan gambaran bahawa penduduk di kawasan itu tidak pembersih walaupun hanya disebabkan oleh sebahagian daripada masyarakat sahaja.

Di samping itu masalah pembuangan sampah di kampung sinaron menyebabkan pencemaran udara yang menjejaskan keselesaan  penduduk setempat. Perkara ini berlaku disebabkan bau yang busuk terhasil daripada sampah sarap ini akan menyebabkan wujudnya pencemaran bau dan seterusnya menyebabkan pencemaran udara berlaku. Sampah sarap yang dibuang merata-rata atau tidak diurus dengan baik akan berbau busuk serta menyebabkan serangga seperti  nyamuk Aedes dan lalat membiak di situ dan menjadikan tempat itu sebagai tempat mencari makanan. Ini akan menyebabkan tempat pembuangan sampah semakin kotor dan busuk. Selain itu pembakaran sampah juga turut menyebabkan pencemaran udara. Maka bauan dan kotoran akan menjejaskan kehidupan penduduk kampung sinaron.

Gambar 3:  Pembakaran sampah

 

2.3 Langkah mengatasi masalah pembuangan sampah di kampung Sinaron

Langkah pertama yang perlu diambil ialah perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik. Masyarakat perlulah mempraktikkan program 3R dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai Program Pengurangan, Penggunaan semula dan Kitar Semula. Pengurangan ialah usaha mengurangkan penggunaan sumber-sumber bahan yang terhad. Ianya bermaksud masyarakat haruslah mengurangkan pembelian dan penggunaan barang-barang baru. Penggunaan Semula pula ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan yang tidak terpakai ataupun buangan dengan mengubah fungsi bahan tersebut ataupun menggunakan secara terus tanpa membeli barang baru. Akhir sekali, Kitar Semula dimana kita akan mengasingkan dan menghantar benda-benda yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas, botol dan lain-lain supaya boleh dikitar semula dan menjimatkan bahan sumber. Hal ini seterusnya dapat mengurangkan sampah sarap oleh  penduduk kampung Sinaron.

Langkah yang seterusnya ialah peranan oleh pihak Sekolah. Antara langkah dan cara yang pihak sekolah boleh lakukan ialah dengan mengadakan kem kesedaran untuk memupuk sifat cinta terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar. Mata pelajaran seperti Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan juga dapat menerapkan semangat cinta terhadap alam sekitar secara langsung kepada pelajar contohnya dengan memberikan tugasan-tugasan yang berkaitan dengan isu pembuangan sampah dan penjagaan alam sekitar. Dengan ini secara tidak langsung, ia dapat memberi kesedaran kepada para pelajar dan dengan wujudnya kesedaran ini, mereka akan berusaha untuk mengubah sikap yang tidak bertanggungjawab dalam penjagaan alam sekitar dan akan berusaha untuk tidak membuang sampah merata-rata tempat lagi. misalnya. Aktiviti kokurikulum di sekolah seperti penubuhan Kelab Alam Sekitar juga dapat membantu dalam menangani masalah pembuangan sampah.

 

Selain itu, langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah pembuangan sampah adalah dengan menambah baik sistem pengurusan pembuangan sampah dan menambah jumlah bilangan tong sampah di tempat awam. Dengan menambah jumlah tong sampah yang ada, tiada lagi alasan untuk penduduk kampung Sinaron membuang sampah dimerata-rata tempat dengan alasan membuang sampah merata-rata akibat kekurangan jumlah tong sampah di tempat awam seperti tong sampah cepat penuh, jadi terpaksa membuang di tepi tong sampah yang telah penuh. Penambahan tong-tong sampah kitar semula juga perlu ditingkatkan untuk membantu menangani masalah pembuangan sampah di kampung Sinaron. Hal ini jelas dapat mengatasi masalah pembuangan sampah di merata-rata.

 

3.0  Kesimpulan

 

Kesimpulanya, masalah pembuangan sampah di kampung Sinaron disebabkan faktor sikap masyarakat dan tahap kesedaran masyarakat masih rendah terhadap isu alam sekitar, faktor pertambahan penduduk dan faktor kebudayaan. Masalah ini telah memberi kesan negatif yang jelas kepada penduduk kampung Sinaron itu sendiri. Kesan-kesan tersebut ialah menjejaskan kesihatan masyarakat dan menyebabkan pencemaran udara. Antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di kampung Sinaron ialah perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik. Penduduk kampung perlulah mempraktikkan program 3R dalam kehidupan seharian, peranan oleh pihak sekolah dan menambah baik sistem pengurusan pembuangan sampah dan menambah jumlah bilangan tong sampah di tempat awam. 

 


RUJUKAN

Farah Shazwani Ali. (Sinar Harian, 2019). Pembakaran Terbuka: Jangan Ambil Ringan. Diperoleh             daripada https://www.sinarharian.com.my/article/17049/EDISI/Terengganu   /Pembakaran-terbuka-         Jangan-ambil-ringan.

Farah Shazwani Ali. (Sinar Harian, 2019). Pembakaran Terbuka: Jangan Ambil Ringan.     Diperoleh           daripada https://www.sinarharian.com.my/article/17049/EDISI/Terengganu   /Pembakaran-terbuka          Jangan-ambil-ringan.

Haryati Shafii. (2020). Kemerosotan kualiti alam sekitar jejaskan keselamatan dan  kesejahteraan hidup        masyarakat bandar. Bahan diakses pada 15 Disember 2021, diperoleh daripada                                       https://news.uthm.edu.my/ms/2020/03/kemerosotan-kualiti-alam sekitar-jejaskan-keselamatan-                dan- kesejahteraan-hidup-masyarakat-bandar.

Iskandar Shah Mohamed. (Kosmo, 2021). 10,000 Penduduk Terancam Kesihatan Akibat  Pembakaran       Terbuka. Diperoleh daripada https://www.kosmo.com.my/2021/10/20/10000-penduduk-terancam-          kesihatan-akibat pembakaran-terbuka/.

Mary Victoria Dass. (Harian Metro, 2021). 6 Tahun Hidu Udara Tercemar Setiap Hari.      Diperoleh            daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/12/784669/6-tahun       hidu-udara-tercemar          setiap-hari.

Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah Longgokan Sampah yang Berlaku                               Kawasan Perumahan Berteres Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. Ijazah Sarjana.               Universiti  Teknologi Malaysia. Diperoleh daripada     https://core.ac.uk/download/pdf/42921122 .pdf.

Norhanizan Hamd(2017). Kesan Pembuangan Sampah Merata-rata. Diperolehi daripada                                 https://www.academia.edu/36578079/KESAN_PEMBUANGAN_SAMPAH_MERT

Sandy Mark Luna. (Utusan Borneo, 2017). Pembuangan Sampah Secara Sembarangan Terus                        Berleluasa. Diperoleh daripada https://www.utusanborneo.com.my/2017/03/02/                                         pembuangan-sampah-secara-sembarangan-terus-berleluasa.

Suhaila Shahrul Annuar. (Berita Harian, 2019). Rakyat Malaysia Hasil 37,890 Tan Sisa      Setiap Hari.         Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/574909/ rakyat-                        malaysia-       hasil           37890-tan-sisa-setiap-hari.

Zaini Sakawi, Sharifah Mastura Syed Abdullah, Othman Jaafar, Mastura Mahmud, Lukman Ismail               & Mohd Rozaimi Ariffin. (2012). Persepsi Penerima Sensitif ke Atas Pencemaran Bau dari Tapak         Pelupusan Secara Terbuka. Journal of Social Sciences       and Humanities, 7(1), 284-293. Diperoleh     daripada            https://www.researchgate.net/publication.

Disediakan oleh :Esther Sinsang

No matriks: D20192091294

Kumpulan : A

No comments:

Post a Comment