AKTIVITI PERLOMBONGAN BAUKSIT MEMBERI KESAN NEGATIF KEPADA PENDUDUK KUANTAN, PAHANG.
PENGENALAN
Bandar Kuantan yang terletak di bahagian Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan menjadi ibu negeri Pahang Darul Makmur. Kuantan menjadi pusat tarikan pelancong kerana terkenal dengan banggunan ikonik dan keindahan semulajadinya. Selain itu, bandar Kuantan juga menjadi pusat perlombongan bauksit yang utama dan terbesar di Malaysia. Perlombongan adalah salah satu aktiviti ekonomi utama dalam pembangunan negara sejak dahulu lagi. Tambahan pula, peningkatan permintaan bijih bauksit dari dalam dan luar negara merancakkan lagi pengeluaran sumber alam ini (Hafizz, 2016).Sektor perlombongan boleh diklasifikasikan dalam kategori dalam pengeluaran dan penggunaan sumber tidak boleh diperbaharui atau non-renewable resources dan memberi pelbagai kesan negatif kepada penduduk dan alam sekitar.
Peta 1 menunjukkan tiga kawasan utama perlombongan bauksit di Kuantan.
Peta 2 menunjukkan kawasan Bukit Goh yang berada di Blok B kawasan perlombongan bauksit.
Bauksit adalah hasil galian yang terbentuk hasil dari kesan pemendapan dan pemampatan batu batuan selama berjuta tahun. Bauksit ini digunakan dalam industri penghasilan seramik, penghasilan jentera mesin, industri pembungkusan makanan dalam tin, pembinaan bangunan dan penghasilan badan kapal terbang. Selain itu, perlombongan bauksit ini dimajukan kerana bauksit ini mempunyai nilai yang tinggi untuk dieksport ke negara China. Berdasarkan kadar eksport bauksit, dianggarkan purata harga bagi 1 tan bauksit bernilai RM128, tetapi kemungkinan nilai itu lebih tinggi kerana harga bauksit ini boleh mencecah ASD40 (RM171) bagi satu tan untuk bauksit gred tinggi manakala bagi gred rendah harganya sekitar ASD25 (RM107). Hal ini menjadikan penduduk di Kuantan, khususnya penduduk di Bukit Goh gelap mata dengan wang yang banyak. Sehingga ada di antara penduduk sanggup membenarkan tanaman di ladang kelapa sawit mereka dicabut dan dirosakkan untuk melombong bauksit.
Kesan Negatif
Perlombongan Bauksit memberi pelbagai kesan negatif kepada alam sekitar, penduduk dan ekosistem di sekitar kawasan Kuantan. Kesan utama yang kita dapat lihat adalah pencemaran udara yang berlaku akibat tanah dan sisa bauksit ini yang berterbangan sehingga menukarkan bandar Kuantan menjadi merah. Udara yang dipenuhi debu bauksit merah ini boleh menyebabkan penduduk mengalami masalah pedih hidung, batuk-batuk, sakit mata, kulit kemerahan dan mengelupas. Jika penduduk di sekitar terdedah dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih teruk terutamanya bagi seseorang yang mempunyai penyakit kronik.
Rajah 1 menunjukkan fenomena Kuantan Berwarna Merah
Selain itu, debu yang berterbangan di sekitar bandar Kuantan ini juga menyebabkan warna tanah, jalan, sungai dan laut menjadi kemarahan seperti di gambar 1. Hal ini disebabkan kehadiran Ferum Oksida dalam debu bauksit itu. Ianya boleh membahayakan kesihatan masyarakat jika terdedah melalui sistem pernafasan dalam jangka masa panjang ianya. Hal ini kerana Ferum boleh menyebabkan berlakunya himpunan ferum dalam tisu hati seterusnya menjejaskan fungsi sistem hati. Keadaan ini lebih teruk bagi pengidap penyakit talasemia dan hemofilia atau mereka yang mengalami pembengkakan hati dan limpa. Lebih mengeruhkan keadaan debu hal ini juga boleh menyebabkan peluang untuk mendapat penyakit kanser berkaitan pernafasan menjadi lebih tinggi. Kesimpulannya, debu dari bauksit ini berbahaya kepada masyarakat yang tinggal di Kuantan.
Seterusnya, dari segi pengangkutan jalan raya, debu bauksit yang berwarna merah ini menyebabkan kadar penglihatan pemandu menjadi terhad. Kehadiran lori mengangkut bauksit semakin banyak di jalan raya dan boleh membahayakan pemandu lain terutamanya penunggang motosikal. Berdasarkan maklum balas dari penduduk di Bukit Goh mendapati kadar kemalangan meningkat dari hari biasa. Kabanyakkan jalan-jalan yang digunakan oleh lori bauksit menjadi rosak, berlubang dan kotor. Berdasarkan maklumat di atas jelaslah bahawa perlombongan bauksit ini merosakkan kemudahan awam dan membahayakan keselamatan masyarakat setempat.
Bauksit yang berada di Kuantan adalah bersifat longgokan sisa, yang bermaksud bauksit ini hanya berada di bahagian permukaan tanah. Kaedah perlombongan yang digunakan adalah dengan cara menarah bukit sehingga ke paras batuan dasar. Seandainya kawasan perlombongan bauksit ini terus ditarah akan mengakibatkan kawasan itu gersang dan kering. Hal ini demikian akan menjadikan tanah bekas perlombongan tidak lagi sesuai untuk aktiviti pertanian dan perladangan yang sebelum ini terkenal dengan tanah perladangan kelapa sawit.
Rajah 2 menunjukkan keadaan sungai di Kuantan.
Perlombongan bauksit ini turut memberi impak yang buruk kepada ekosistem akuatik dan sumber perikanan di sekitar kawasan Kuantan. Berdasarkan gambar di atas dapat dilihat bahawa air laut dan sungai telah bertukar warna menjadi warna kemerahan akibat bijih bauksit yang dibawa oleh air hujan ketika musim tengkujuh. Sumber perikanan akan musnah, banyak spesies ikan akan mati dan ekosistem akuatik juga akan musnah. Lebih memburukkan keadaan para nelayan akan kehilangan sumber pendapatan seharian mereka akibat air sungai dan laut yang tercemar.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan di Sungai Balok dan sungai-sungai berdekatan Bukit Goh mendapati kehadiran logam berat di dalam badan ikan dan air sungai. Antara logam berat yang boleh didapati dalam sampel ikan dan air sungai adalah Kromium, Merkuri, Aluminium, Besi, Manganese, Zink, Kadmium dan Arsenik (Khairul Nizam, 2017). Logam berat ini sangat bahaya kepada hidupan akuatik kerana boleh membawa kepada penyakit dan kepupusan. Seterusnya, para nelayan akan menangkap ikan dan menjualnya di pasar. Ikan yang tercemar itu kemudian akan dibeli dan dimakan oleh penduduk. Penduduk yang memakan ikan yang tercemar dengan logam berat untuk jangka masa yang lama boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser dan penyakit kronik lain. Sehubungan itu, pihak Jabatan Perikanan Malaysia hendaklah melaksanakan pemantauan terhadap tahap pencemaran logam dan kadar perubahan dalam biodiversiti ikan di sungai berdekatan kawasan perlombongan bauksit.
Perlombongan bauksit di bandar Kuantan telah menjadi punca pendapatan baru bagi ramai orang terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah yang memerlukan. Walau bagaimanapun, pelan tindakan yang bertanggungjawab perlu diambil oleh pihak berkuasa dalam mengawal perlombongan bijih bauksit ini membahayakan kesihatan penduduk dan mengancam ekosistem hidupan akuatik. Pengawal pemeriksa juga perlu tegas menguatkuasakan peraturan keselamatan dan kesihatan bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Bagi mengatasi masalah akibat aktiviti perlombongan, kerajaan negeri, kementerian air. Tanah dan sumber asli telah mewujudkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang. Ini bertujuan untuk menambah baik operasi perlombongan dan mengekang masalah pencemaran alam bertambah buruk di Kuantan. Dokumen SOP Pengurusan Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit di Negeri Pahang ini disediakan bagi mencapai keseimbangan antara kelestarian alam sekitar, kemampanan industri dan kesejahteraan rakyat. Selain itu, SOP ini juga bermatlamat untuk menggalakkan perlombongan secara mampan supaya kemajuan industri dapat terus berkembang dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan Dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang yang teratur, pencemaran terhadap sumber bekalan air Negeri Pahang dapat dikawal untuk mengelakkan berlakunya penutupan loji rawatan air dan gangguan bekalan air. Empat loji rawatan air yang berdekatan dengan kawasan perlombongan bauksit adalah Loji Rawatan Air Bukit Goh, Loji Rawatan Air Bukit Sagu, Loji Rawatan Air Bukit Ubi dan Loji Rawatan Air Semambu. Pemaju pelombong hendaklah mematuhi SOP yang dikeluarkan untuk mengurangkan ancaman terhadap kesejahteraan dan kesihatan penduduk awam akibat aktiviti perlombongan yang dijalankan.
Berikutan banyak kemalangan jalan raya yang berlaku akibat pengangkutan bauksit seperti kemalangan maut yang melibatkan seorang guru akibat rempuhan tayar lori bauksit yang tercabut di Jalan Pintasan, Kuantan pada tahun 2015. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang akan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, kes-kes kesalahan jalan raya terutamanya yang melibatkan nyawa supaya kadar kemalangan dikurangkan demi kesejahteraan pengguna dan masyarakat.
NAMA PENULIS: NURUL NAJIHA BINTI ZAIM
NO MATRIK:D20181083525
KUMPULAN A
Rujukan
Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli. (2019). Prosedur Operasi Standard (Sop) Aktiviti Perlombongan Dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang, dari https://www.ketsa.gov.my/ms-my/pustakamedia/Penerbitan/Prosedur%20Operasi%20Standard%20(SOP)%20Aktiviti%20Perlombongan%20Dan%20Pengeksportan%20Bauksit%20Negeri%20Pahang.pdf
Muhammad Hafizz Musa. (2016). Perceptions Of Residents in Felda Bukit Goh, Kuantan on The Environmental Impact of Bauxite Mining, dari https://core.ac.uk/download/pdf/199241959.pdf
Khairul Nizam Mat Amin (2017). The Effect of Bauxite Mining on Water Quality Of Sungai Mabuk At Bukit Goh, Kuantan. dari https://core.ac.uk/download/pdf/199242372.pdf
No comments:
Post a Comment