1.0 Pengenalan
Bumi merupakan sebuah planet yang
dilihat berwarna kebiruan dari angkasa. Warna kebiruan ini merupakan suatu
unsur alam semula jadi yang dikenali sebagai air. Menurut Norshahida Akma Alias
dan Wan Nor Azilawanie (2019), dianggarkan sebanyak 70 peratus sumber air
meliputi permukaan bumi. Dalam hal ini, air merupakan komponen penting yang
diperlukan oleh manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan untuk meneruskan
kelansungan hidup, bukan itu sahaja air diperlukan oleh manusia untuk tujuan
pertanian, industri, permintaan bekalan air bersih dan sebagainya. Antara
sumber air ialah sungai semula jadi dan sumber air hujan adalah punca utama
takungan air sungai. Air tersebut mengalir dari kawasan tanah tinggi dengan
kuantiti yang banyak dan sangat laju telah berupaya memenuhi segala ruangan
yang ada di sungai tersebut (Ang, 2015).
Dalam pada itu, sungai merupakan sumber alam yang dikurniakan oleh Ilahi dan
salah satu warisan dunia yang
paling indah dan sangat berharga yang tiada tandingannya. Sejak berabad-abad
lamanya, sebanyak 0.0002% daripada jumlah air di bumi ini adalah air sungai
yang mampu menampung keperluan air kepada semua manusia dan organisma hidup
yang lain (Ahmad Firdaus Kamaruddin et al., 2015). Sungai amat penting kepada
manusia, bahkan sejak zaman paleolitik, manusia zaman purba ini telah
mendirikan penempatan mereka di tepi-tepi sungai kerana dapat menggunakan air
sungai tersebut untuk bercucuk tanam dan mencari sumber protien. Bukan itu
sahaja, sungai juga sangat berharga kepada manusia kerana sungai dapat membekalkan
air bersih untuk digunakan dalam rutin harian, sebagai saliran pengairan
tanaman di ladang-ladang, dan sebagai pengangkutan di beberapa negeri seperti
di Sabah dan Sarawak.
Namun begitu, kebersihan,
keindahan dan kualiti air sungai di negara ini kian merosot disebabkan oleh pencemaran. Menurut Kasnoon (2013), terdapat lima sungai
yang dikenal pasti paling tercemar di Malaysia iaitu Sungai Pinang dan Sungai
Juru di Pulau Pinang, Sungai Klang dan Sungai Penchala di Kuala Lumpur, dan
Sungai Segget di Johor Bahru. Menurutnya lagi, kegiatan pembuangan sampah dari
kawasan perumahan di sepanjang sungai, tepi tasik dan laut, aktiviti kilang
memproses getah dan minyak kelapa sawit merupakan antara punca utama pencemaran
sungai berlaku. Dalam hal ini, salah satu sungai yang perlu diberikan perhatian
ialah Sungai Bil. Ini kerana sungai tersebut bakal tercemar disebabkan oleh
aktiviti manusia iaitu membuang sampah di sekitar sungai tersebut.
2.0 Lokasi Kajian - Sungai Bil
Kajian ini telah dijalankan di sekitar kawasan Sungai Bil, Slim River Perak. Sungai Bil menjadi salah satu tempat yang menarik untuk dikunjungi. Ini kerana kedinginan bayu dan kesejukan air terjun yang mengalir dari kaki Banjaran Titiwangsa ke kawasan rekreasi dan perkelahan Sungai Bil menjadikan kawasan terbabit sentiasa menjadi tumpuan orang ramai. Bahkan, keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara di sekeliling kawasan terbabit mewujudkan suasana yang aman dan sering kali menjadi sasaran pengembara untuk meneroka sepuasnya. Orang ramai juga dapat menikmati dan menyaksikan keindahan alam sambil melakukan aktiviti rekreasi dengan keluarga dan sahabat handai. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah mandi-manda, berkelah, bbq, memancing, berkhemah dan sebagainya.
Rajah 1: Lokasi Sungai Bil
Rajah 2: Papan tanda selamat datang ke Sungai Bil.
Selain itu, jarak antara Sungai Bil dan Tanjung Malim ialah kira-kira 18.7 km. Jarak antara Sungai Bil dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI kampus Sultan Azlan Shah pula ialah kira-kira 15.6 km. Sungai Bil menjadi tarikan kepada pelajar UPSI kerana jarak antara sungai tersebut dan kolej kediaman boleh dikatakan hampir dan masa perjalanan yang diambil tidaklah begitu lama, iaitu kira-kira 17 minit dengan menaiki kereta. Tujuan lokasi ini dipilih adalah untuk mengkaji tentang masalah pembuangan sampah di sekitar sungai tersebut.
3.0 Soal Selidik Mengenai Pembuangan
Sampah di Sungai Bil
Pembuangan sampah di sekitar Sungai Bil
adalah daripada segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab. Tanpa
berfikir panjang, pengunjung tersebut membuang sampah yang telah dihasilkan
oleh mereka di tepi-tepi sungai tersebut. Satu soal selidik mengenai pembuangan
sampah di Sungai Bil telah dijalankan. Populasi bagi soal selidik tersebut ialah
pelajar UPSI dan sampel pula ialah seramai 40 orang pelajar UPSI. Kaedah pengumpulan data adalah dengan
menggunakan Google Form. Melalui soal selidik yang telah dijalankan,
sejumlah 87.5% menyatakan bahawa mereka pernah terjumpa sampah sarap di sekitar
Sungai Bil yang ditinggalkan oleh pengunjung lain manakala selebihnya iaitu 12.5%
adalah jumlah yang tidak pernah jumpa sampah sarap di sekitar sungai tersebut.
Soal selidik ini diteruskan lagi dengan menanyakan jenis sampah sarap yang mereka pernah jumpa di Sungai Bil. Antara jenis sampah sarap ialah plastik sampah (90%), seterusnya sisa makanan (72.5%), bekas plastik atau polisterin (80%), pakaian yang ditinggalkan oleh pengunjung lain (12.5%) dan 2.5% bagi minyak dalam air. Kesemua jenis sampah yang disenaraikan oleh pelajar dalam rajah 4 pernah dijumpai oleh pelajar UPSI dan menimbulkan ketidakselesaan kepada para pengunjung seperti orang awam dan pelajar UPSI sendiri.
Rajah 4: Jenis sampah yang dijumpai di Sungai Bil
4.0 Faktor
Pembuangan Sampah di Sungai Bil
Antara punca utama sungai tercemar ialah
pembuangan sampah sarap ke dalam sungai oleh individu atau pihak yang tidak
bertanggungjawab (Nur Syuhada Mustakim, Muhammad Wafi Ramli & Chan, 2019). Hakikatnya,
masih terdapat individu yang mengambil jalan mudah dengan membuang sampah yang
telah dihasilkan ke dalam atau di tepi-tepi sungai. Contohnya, setelah
pengunjung melakukan aktivit rekreasi seperti berkelah dan bbq di sekitar
sungai, mereka akan membuang atau meninggalkan sampah yang telah dihasilkan
oleh mereka di tepi-tepi sungai. Antara jenis sampah yang sering dijumpai di
sekitar sungai ialah plastik sampah, sisa makanan, pinggan, gelas, dan sudu
plastik serta pakaian. Tindakan tersebut dalam kalangan pengunjung menyebabkan
masalah kepada alam sekitar, termasuklah masalah pembuangan sampah dan
pencemaran sungai. Hal ini berlaku kerana sikap dan tingkah laku masyarakat
yang kurang bertanggungjawab telah menyumbang kepada perubahan kualiti alam
sekitar (Jamilah Ahmad, Hasrina Mustafa, Hamidah Abd Hamid, & Juliana Abdul
Wahab, 2011). Banyak kajian
merumuskan penyebab utama berlakunya masalah alam sekitar adalah tingkah laku
manusia (Erten, 2008).
Di samping itu, tahap
pengetahuan yang rendah juga merupakan faktor berlakunya pembuangan sampah di
sekitar Sungai Bil. Ini kerana kebanyakkan masyarakat Malaysia pernah
berhadapan dengan isu alam sekitar namun mereka tidak dapat mengaitkan masalah
alam sekitar yang berlaku dengan pengetahuan am yang dimiliki. Jadi ini
menyumbang kepada tahap pengetahuan yang sederhana (Tamby, Lilia, &
Thiagarajan, 2010). Masyarakat yang mempunyai tahap pengetahuan sedemikian akan
sering melakukan pencemaran kerana mereka tidak dapat berfikir dengan panjang
dan tidak tahu apa akan terjadi sekiranya sampah dibuang begitu sahaja di
sekitar sungai. Sekiranya sampah dibiarkan di tepi-tepi sungai, sampah tersebut
mungkin akan ditiup angin kencang atau dibawa arus sungai apabila paras sungai
meningkat pada waktu hujan. Bukan itu sahaja, Sekiranya hujan, air daripada
sampah sarap boleh mengalir ke dalam aliran sungai yang berdekatan dan juga
boleh meresap ke dalam tanah sehingga mencemarkan sumber air bawah tanah. Dalam
pada itu, tahap kesedaran dan semangat cinta alam sekitar yang rendah dalam
kalangan pengunjung juga merupakan faktor berlakunya pembuangan sampah di
sekitar sungai. Ini kerana golongan tersebut tidak kisah untuk membuang sampah
di sekitar sungai kerana mereka tidak peduli akan alam sekitar. Oleh itu,
pendidikan alam sekitar sangatlah penting untuk dipelajari oleh pelajar pada
zaman sekarang supaya mereka lebih berpengetahuan mengenai alam sekitar dan
dapat memupuk semangat serta cinta akan alam sekitar.
5.0 Kesan Pembuangan Sampah di Sungai
Bil
Apabila berlakunya fenomena sebegini
iaitu pembuangan sampah di sekitar sungai, maka sudah pasti akan ada kesannya
terhadap beberapa aspek. Pertama, pembuangan sampah di sekitar Sungai Bil boleh
menyebabkan sungai tercemar dan memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia,
terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai tersebut. Menurut
Nurain Ma’arof dan Ang (2015), pncemaran sungai bukan sahaja mengganggu
ekosistem yang akhirnya menjejaskan hidupan air, malah ianya juga boleh
menjejaskan kualiti hidup manusia melalui penyebaran penyakit yang berbahaya. Hal
ini kerana apabila sumber air sungai telah tercemar dengan sampah sarap, lebih
mudah untuk penduduk memperoleh pelbagai jenis penyakit sekiranya meminum atau
menggunakan air tersebut. Contohnya seperti cirit-birit, demam kepialu, kolera
dan bermacam-macam lagi. Semua ini berisiko untuk berlaku jika sumber air telah
dicemari dengan bakteria, virus serta organisma parasit.
Seterusnya, pembuangan
sampah di sekitar Sungai Bil juga boleh menjejaskan keindahan alam sekitar. Sungai
tersebut merupakan tempat istimewa yang menjadi tarikan kepada pengunjung
tempatan termasuklah pelajar UPSI dan penduduk setempat. Namun, jika
sampah-sarap yang kotor, berbau dan jijik itu memenuhi kawasan ini, semestinya
keindahan alam itu akan terkubur dengan begitu sahaja. Dalam pada itu, kesan
yang dapat dilihat adalah boleh mewujudkan persekitaran
kotor di sekitar sungai. Ianya juga akan menimbulkan ketidakselesaan kepada
para pengunjung dan orang awam lalu mereka akan terus melabel bahawa penduduk yang
tinggal di sekitar Sungai Bil tidak cakna akan kebersihan alam sekitar. Di samping itu, sungai bukan
sahaja sumber air yang amat penting kepada kehidupan, malah sungai juga mampu
mewujudkan persekitaran yang baik kepada manusia, terutamanya penduduk setempat
kerana memiliki udara yang nyaman dan pemandangan yang cantik. Namun, keindahan
persekitaran sungai itu terjejas disebabkan oleh pencemaran sungai akibat
daripada aktiviti pembuangan sampah di sekitar sungai.
Penduduk yang tinggal di
sekitar Sungai Bil akan berdepan dengan udara yang berbau busuk dalam kehidupan
seharian mereka jika masalah pembuangan sampah berlarutan. Pencemaran sungai
membawa kepada punca wujudnya udara yang berbau busuk.
Hal ini berpunca daripada aktiviti pembuangan sampah sarap di sekitar sungai
yang dilakukan oleh segelintir pengunjung yang datang berekreasi di sungai
tersebut. Hujah ini dikukuhkan lagi dengan hasil kajian Nur Syuhada Mustakim et
al. (2019), kesan pencemaran sungai ialah udara berbau busuk merupakan kesan
yang tertinggi dengan mencatatkan seramai 86 responden (86%) yang menanda YA.
Bagi kesan kedua yang tertinggi ialah persekitaran kotor dengan mencatatkan
seramai 66 orang responden (66.0%) yang menanda YA. Bagi kesan yang ketiga
tertinggi ialah ancaman binatang buas/liar dengan mencatatkan seramai 46 orang
responden (46.0%) yang menanda YA. Oleh itu, aktiviti pembuangan sampah di
sekitar Sungai Bil mengakibatkan pencemaran sungai, bahkan memberi kesan buruk
kepada tahap kesihatan penduduk dan keindahan alam sekitar, mewujudkan
persekitaran kotor, udara yang berbau busuk dan ancaman binatang liar.
6.0 Peutup
Secara kesimpulannya, Sugai Bil
merupakan sumber alam yang perlulah dipelihara dan dijaga dengan baik.
Keindahan sungai tersebut menjadi tarikan kepada pengunjung tempatan
termasuklah pelajar UPSI. Terdapa banyak aktiviti yang boleh dilakukan di
sekitar sungai tersebut. Namun, tahap kesedaran dan semangat cinta alam sekitar
yang rendah, sikap ambil mudah serta tidak bertanggungjawab dalam kalangan
pengunjung mengakibatkan berlakunya masalah pembuangan sampah di sekitar Sungai
Bil. Sampah sarap yang terkumpul di sekitar sungai tersebut boleh membawa
kepada pencemaran sungai, bahkan memberi kesan buruk kepada penduduk yang
tinggal di kawasan tersebut. Oleh itu, Langkah yang sewajarnya perlulah diambil
bagi menangani masalah pembuangan sampah di sekitar Sungai Bil.
Rujukan
Alias, N. A., & Tun Ismail, W. N. A. (2019). ANALISIS PENGETAHUAN, SIKAP DAN TINGKAH LAKU KOMUNITI TEBING SUNGAI TERENGGANU, MALAYSIA. Asian People Journal (APJ), 2(2), 105-117. Diperoleh daripada https://doi.org/10.37231/apj.2019.2.2.132
Ang,
K. H. (2015). Kualiti sumber air di Malaysia: Satu analisis. Malaysian Journal
of Society and Space, 11(6), 98–108. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/9195/
Erten,
S. (2008) Insight to Ecocentric, Antrhropocentric and Antipathetic Attitudes
towards Environment in Diverse Cultures. Eurasian Journal of Educational
Research, 33, 141-156.
Jamilah Ahmad, Hasrina Mustafa, Hamidah Abd Hamid, & Juliana Abdul Wahab. (2011). Pengetahuan, Sikap dan Amalan Masyarakat Malaysia terhadap Isu Alam Sekitar. Akademika, 81(3), 103–115. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/3654/
Kamaruddin, A. F., Toriman, M. E., Juahir, H., Md Zain, S., Abdul Rahman, M. N., Kamarudin, M. K. A., & Azid, A. (2015). SPATIAL CHARACTERIZATION AND IDENTIFICATION SOURCES OF POLLUTION USING MULTIVARIATE ANALYSIS AT TERENGGANU RIVER BASIN, MALAYSIA. Jurnal Teknologi, 77(1). Diperoleh daripada https://doi.org/10.11113/jt.v77.4054
Kasnoon,
K. (2013). 5 sungai dikenal pasti paling tercemar di negara ini. Diperoleh
daripada http://www.astroawani.com
Meerah, T. S. M., Halim, L., & Nadeson, T. (2010). Environmental citizenship: What level of knowledge, attitude, skill and participation the students own? Procedia Social and Behavioral Sciences, 2, 5715–5719. Diperoleh daripada https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2010.03.933
Nurain
Ma’arof, and Ang Kean Hua, (2015) Kualiti air Sungai UTM: satu penilaian awal
berpandukan enam parameter Indeks Kualiti Air. Geografia: Malaysian Journal of
Society and Space, 11 (1). pp. 107-115. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/8893/
Nur
Syuhada Mustakim, Wafi Ramli, M., & Chan, N. W. (2019). Kesedaran komuniti
terhadap isu pencemaran sungai di Sungai Pinang, Pulau Pinang. Malaysian
Journal of Society and Space, 15(3), 28–39. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/335329384_Kesedaran_komuniti_terhadap_isu_pencemaran_sungai_di_Sungai_Pinang_Pulau_Pinang
D20182085827
Kumpulan A
No comments:
Post a Comment