Monday, December 27, 2021

Sumbangan Sumber Alam Terhadap Kegiatan Ekonomi Penduduk di Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan.

Sumbangan Sumber Alam Terhadap Kegiatan Ekonomi Penduduk di Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan.

Oleh: Siti Junaidah binti Mat Hatta 

D20191087865 

Kumpulan B

Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

Pengenalan

Sumber alam atau alam sekitar merupakan satu khazanah yang bernilai buat kehidupan di bumi. Manusia dan alam sekitar saling bergantung bagi menjalankan kehidupan dalam kitaran yang sama. Terdapat dua konsep yang menerangkan kebergantungan alam sekitar dengan manusia. Konsep Environmental Determinism dan Environmental Possibilism adalah dua konsep yang mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang saling berinteraksi antara manusia dan alam sekitar. Namun begitu, setiap daripada konsep ini mempunyai makna yang berbeza. Konsep Environmental Determinism ialah kepercayaan ahli geografi bahawa alam semula jadi mempengaruhi dan menentukan segala tingkah laku serta sifat fizikal manusia. (Chan Ngai Weng et. al., 1993). Konsep ini diperkenalkan oleh Freidrich Ratzel sekitar kurun ke-20 kemudiannya diteruskan oleh Ellen Churchil Semple dan Griffith Taylor. Menurut Abdul Malik 2012, tokoh-tokoh geografi ini percaya bahawa dalam konsep Environmental Determinism sebenarnya alam sekitar adalah unsur yang aktif mempengaruhi manusia kerana manusia tidak berupaya untuk mengubah alam sekitar dan sebaliknya manusia perlu menurut perubahan yang dilakukan oleh alam sekitar.

Pemahaman bagi konsep Environmental Possibilism pula adalah berbeza dengan pemahaman Environmental DeterminismEnvironmental Possibilism adalah satu pandangan yang mengutamakan pengaruh dominan manusia terhadap alam sekitar iaitu bagaimana cara manusia menyesuaikan diri dengan alam sekitar serta kemampuan manusia untuk mengubah unsur-unsur alam sekitar (Chan Ngai Weng et.al., 1993). Konsep ini diperkenalkan oleh Vidal de la Blache dan Isaiah Bowman dimana mereka berpendapat bahawa manusia adalah unsur yang aktif dan alam sekitar adalah unsur yang pasif. Dengan adanya kemudahan teknologi pada era ini ia mampu mencipta perubahan kepada alam sekitar dan manusia yang mengawal alam sekitar bagi mendepani kekangan yang sedia ada. Kedua-dua konsep ini merupakan konsep yang berbeza tetapi mempunyai saling kebergantungan di satu-satu kawasan. Oleh itu, dalam penulisan ini sumber alam yang akan dibincangkan ialah pengaruh sungai kepada kegiatan ekonomi penduduk di Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan.

Sungai Pergau merupakan sungai utama yang terdapat di Kampung Batu Melintang. Sungai ini telah menjadi satu elemen yang sebati dengan pekerjaan penduduk setempat sejak dari zaman dahulu lagi. Konsep Environmental Determinism juga dapat menjelaskan bagaimana konsep ini diaplikasikan dalam kehidupan penduduk di sini. Sungai menjadi sumber alam sekitar yang aktif dan telah mencorakkan jenis kegiatan ekonomi penduduk di sini iaitu melalui aktiviti perlombongan emas dan pasir sungai. Manakala konsep Environmental Possibilism pula, penduduk menggunakan teknologi untuk meningkatkan hasil pengeluaran bagi mendapatkan hasil pendapatan yang lebih tinggi.

 

Sumbangan Sungai Pergau terhadap aktiviti ekonomi penduduk.

a) Perlombongan emas

Perlombongan emas merupakan antara kegiatan ekonomi penduduk di Kampung Batu Melintang. Aktiviti perlombongan emas sudah bermula sejak era 80-an lagi dan masih lagi diteruskan oleh penduduk setempat. Terdapat pelbagai faktor yang menjadikan kegiatan ekonomi ini masih diteruskan disini, antaranya ialah faktor kedudukan Kampung Batu Melintang merupakan kawasan Jalur Tengah. Jalur Tengah merupakan kawasan yang telah diklasifikasikan terdapat emas. Bijih emas ditemui dalam Jalur Tengah bermula dari Jeli di sempadan Kelantan-Thailand, menganjur ke selatan melalui Sokor dan Pulai di Kelantan, melalui Raub di Pahang dan berakhir di kaki Gunung Ledang, Johor (Mahat Sibon, 2013). Perkara ini menunjukan kawasan Jeli terutamanya Kampung Batu Melintang kaya dengan hasil mineral iaitu emas berikutan kampung ini adalah sempadan bagi negeri Kelantan-Thailand. Manakala, menurut artikel Bumi Kelantan: Kaya dengan Sumber Mineral (2019):

"Perlombongan emas di Malaysia hanya terhad di kawasan yang dikenali sebagai Jalur Tengah yang terbentang dari tanah tinggi Batu Melintang, Jeli sehingga Gunung Ledang di Johor. Terdapat juga lima lombong emas di Jeli. Emas yang dijumpai mengikut pengiraan standard, emas 24K dengan peratusan ketulenan 99.99 peratus."

 

Rajah 1: Kedudukan emas berdasarkan Jalur Barat, Jalur Tengah bagi Semenanjung, Malaysia

Kedudukan Kampung Batu Melintang yang strategik dengan kawasan emas menjadikan Sungai Pergau antara sungai yang dilombong oleh penduduk. Terdapat pelbagai teknik dan kaedah yang digunakan oleh penduduk disini. Antara teknik yang digunakan ialah teknik mendulang. Teknik mendulang merupakan antara teknik yang lama yang sudah digunakan oleh penduduk dari tahun ketahun. Teknik ini biasanya digunakan bagi penduduk yang hanya untuk mengambil sempel kandungan emas di satu-satu kawasan. Biasanya penduduk akan mendulang terlebih dahulu dalam beberapa hari bagi memastikan kawasan sungai yang dicari mempunyai emas. Setelah kawasan yang didulang mempunyai emas, mereka akan menggunakan jentera seperti mesen korek dan pengepam pasir sungai serta penapis khusus untuk menyedut pasir yang mengandungi emas di dasar sungai. Namun tidak dinafikan juga, terdapat penduduk yang menggunakan teknik mendulang sepenuhnya berikutan kekurangan modal untuk membeli peralatan moden.

Hasil emas seperti butiran emas yang diperoleh akan dileburkan menggunakan suhu yang tinggi bagi tujuan membentuk ketulan emas. Ketulan emas yang siap dilebur akan ditambang dan seterusnya akan dijual kepada pembeli emas yang terdiri dari kedai-kedai emas atau peraih yang menjadi orang tengah dalam pembelian emas tulen ini. Oleh itu, daripada sumber alam seperti sungai ini, ia telah memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Batu Melintang dan sekaligus menjadi pendapatan kepada mereka.

 Rajah 2: Penduduk menggunakan teknik mendulang

Rajah 3: Butiran emas

 

Rajah 4: Ketulan emas setelah dilebur oleh seorang penduduk.


Rajah 5: Mesen pam emas

b) Perlombongan Pasir 

Selain perlombongan emas, perlombongan pasir juga merupakan antara pekerjaan yang diusahakan oleh beberapa penduduk di Kampung Batu Melintang. Faktor yang mendorong kehadiran aktiviti perlombongan pasir sungai antaranya ialah sumber seperti pasir mudah diperolehi penduduk serta permintaan yang tinggi terhadap pasir sungai. Umum mengetahui pasir sungai adalah bahan asas yang penting dalam aktiviti pembinaan bangunan. Perniagaan yang dijalankan oleh penduduk mampu menampung permintaan di seluruh daerah Jeli. Kegiatan ekonomi menjual pasir sungai di Kampung ini bukan berskala besar tetapi cukup memenuhi permintaan pasir sungai dari masa ke masa. Penggunaan mesin dan teknologi moden menjadikan aktiviti ekonomi ini dapat beroperasi dengan baik dan mampu memenuhi permintaan pelanggan. Mesin sedut serta mesin korek adalah antara alat yang digunakan bagi mempercepatkan pekerjaan penduduk yang menjalankan perniagaan ini. Oleh itu, Sungai Pergau merupakan medium yang menjadi sumber alam yang telah dimanfaatkan oleh penduduk Kampung Batu Melintang bagi menjalankan kegiatan ekonomi mereka.

 


Rajah 6: Aktiviti mengorek di sekitar sungai.

 Penutup

Kesimpulannya, sungai merupakan antara elemen alam sekitar yang banyak memberi manfaat kepada penduduk di sekitarnya. Penduduk di Kampung Batu Melintang semestinya antara penduduk yang memanfaatkan adanya sungai di kawasan penempatan mereka. Kegiatan ekonomi seperti melombong emas dan pasir sungai antara aktiviti yang giat dijalankan oleh penduduk bagi dijadikan sebagai sumber pendapatan mereka. Kebijaksanaan penduduk yang memanfaatkan sumber alam ini adalah satu revolusi dalam pemikiran penduduk. Kegiatan ekonomi yang berasaskan sumber alam merupakan satu kegiatan ekonomi yang mampu memberikan keuntungan kepada penduduk berikutan mereka hanya perlu menyediakan alatan moden untuk mendapatkan hasil lebih banyak dan tenaga mereka berbanding kegiatan ekonomi seperti perniagaan yang memerlukan tapak niaga, sumber tenaga yang banyak dan sebagainya. Dapat kita lihat bagaimana sumber alam yang berbeza memberi pengaruh kepada jenis kegiatan ekonomi penduduk setempat. Misalnya, penduduk di pinggir pantai mereka dikurniakan sumber alam seperti laut, maka kebanyakan pekerjaan penduduk di pinggir pantai adalah nelayan, peniaga makanan laut dan sebagainya. Begitu juga dengan penduduk di kawasan sungai, mereka juga akan menjalankan kegiatan selari dengan sumber alam berdekatan mereka seperti kegiatan melombong emas dan pasir sungai sama seperti penduduk di Kampung Batu Melintang jalankan. Oleh itu, jelaslah bahawa sumber alam mampu memberi pengaruh dan sumbangan kepada jenis pekerjaan manusia atau penduduk di satu-satu kawasan.

 

Rujukan

Chan Ngai Weng et.al., 1993. Pengantar Geografi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.                 Diambil daripada

https://www.researchgate.net/publication/343689871_CHAN_ET_AL_1993_PE

NGANTAR_GEOGRAFI_BOOK

 

Mahat Sibon, Habibah Jamil, Mohd Rozi Umor et.all.(2013). Sumber Permineralan emas dan bijih             timah di Jalur Barat Semenanjung Malaysia: Bukti dari kajian geokimia dan mineral berat. Universti     Kebangsaan Malaysia. Bulletin of the Geological of Malaysia, Vol 59, pp 53-58.

 

A. Ubaidillah Alias (2019, Mac). Bumi Kelantan: Kaya Sumber Mineral. Berita

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan. Diambil daripada

https://s.docworkspace.com/d/AElZSQqbq880io_i0p2nFA

No comments:

Post a Comment