Monday, December 27, 2021

MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI KAMPUNG SUNGAI KERTAS, GOMBAK, SELANGOR.

 

MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI KAMPUNG SUNGAI KERTAS, GOMBAK, SELANGOR.

Oleh: Nur Amirah Rasyidah Haris

Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

Pada abad ke-21, telah banyak pembangunan dan kemajuan sosial yang kian kita kecapi ekoran peningkatan populasi masyarakat dunia kini yang semakin meningkat secara eksponen berikutan peningkatan taraf hidup, kemudahan kesihatan, keperluan harian serta prasarana kehidupan yang semakin selesa. Namun begitu, perkara yang membimbangkan ialah apabila bumi yang kita diami ini telah menjadi mangsa arus kemodenan ini. Isu-isu pencemaran alam sekitar yang acap kali berlaku seperti pencemaran air, pencemaran udara, pencemaran bau dan pencemaran tanah telah sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat. Tidak usah kita berpandang jauh, baru-baru ini negara kita sendiri iaitu negara Malaysia telah dikejutkan dengan isu banjir teruk yang berlaku di Semenanjung Malaysia pada Disember 2021. Negeri yang terjejas teruk ialah negeri Selangor diikuti dengan Pahang dan beberapa kawasan di negeri Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka.

Sikap manusia yang terlalu memandang enteng berkaitan isu bencana alam ini telah menyebabkan manusia alpa dengan hukum alam yang mengundang kepada musibah seperti banjir besar yang tidak terduga terjadi di kawasan yang tidak pernah terkesan banjir sebelum ini sehingga ramai yang menjadi korban kesan daripada bencana alam ini. Sikap manusia baik dalam kalangan pentadbiran, pengurusan mahupun masyarakat yang sering mengambil mudah fenomena bencana alam yang berlaku dan hanya menganggap bencana alam hanya terjadi disebabkan oleh perubahan iklim semata-mata sedikit sebanyak telah melumpuhkan ekonomi masyarakat yang baru ingin membangun selepas dunia dilanda pandemik Covid-19. ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’ adalah peribahasa yang paling bersesuaian buat masa ini untuk menggambarkan betapa peritnya kesan dan impilikasi yang perlu dipikul oleh setiap daripada individu yang terkena musibah banjir ini. Seperti yang telah diperkatakan, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan masalah bencana alam ini berlaku dan apabila dikupas dengan lebih mendalam faktor penyebab berlakunya isu banjir ini ialah disebabkan oleh perkara asas yang tidak dipatuhi seperti  perancangan guna tanah apabila kurang pertimbangan terhadap kelulusan dan syarat pembinaan di kawasan dataran banjir serta sudah dibangunkan seperti yang diperkatakan oleh Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo dalam akhbar Utusan Online terbitan 20 Disember 2021 ketika mengulas isu berkaitan banjir besar di Selangor baru-baru ini di Petaling Jaya.

 

Rajah 1: Musibah banjir yang melanda negeri Selangor baru-baru ini.

Sumber: Utusan Malaysia Online (Disember 2021).

Rajah 2: Semakan Info Banjir Terkini & Kejadian Bencana di Seluruh Negara yang Dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (Ndcc) Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri

 

Seterusnya, dalam artikel ini bukanlah hendak membincangkan isu banjir namun terdapat perkaitan isu semasa yang sedang berlaku dengan tajuk artikel ini. Berbalik semula kepada tajuk artikel ini, fenomena alam yang terjadi ini tidak lain tidak bukan berpunca daripada sikap manusia itu sendiri yang tamak dan rakus dalam menerokai alam tanpa memikirkan baik buruk dan kesan kepada alam sekitar serta diri sendiri yang akan menerima dampaknya. Isu yang terdekat yang boleh diambil daripada kawasan kejiranan atau kawasan persekitaran saya ialah isu pembuangan sampah haram di Kampung Sungai Kertas yang terletak di daerah Gombak, negeri Selangor. Latar belakang secara ringkas berkaitan Kampung Sungai Kertas ialah merupakan sebuah kampung yang pada asalnya merupakan kawasan kebun sayur dan ternakan yang diusahakan oleh kaum Cina yang dibuka pada tahun 1979 yang pada mulanya merupakan sebuah kawasan setinggan dan perpindahan penduduk adalah berperingkat-peringkat. Setelah kemudahan seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya ditambah baik, pertambahan penduduk telah meningkat dari semasa ke semasa sebagaimana sekarang sehingga terdapat banyak kilang di kawasan berhampiran yang menjadi antara punca pendapatan penduduk kampung ini. Penduduk di Kampung Sungai Kertas majoritinya didiami oleh kaum Melayu dan mempunyai sungai yang menghubungkan kampung sekitarnya iaitu Kampung Nakhoda, Kampung Sungai Tua dan Kampung Laksamana membentuk Sungai Batu.

 

Rajah 3

Rajah 4

Rajah 3 dan Rajah 4: Peta Lokasi Kampung Sungai Kertas, Gombak, Selangor.

 

Isu Tapak Pelupusan Sampah di Kampung Sungai Kertas bukanlah satu perkara baharu. Isu ini telah berlaku sejak tahun 2008 lagi iaitu kira-kira 13 tahun yang lepas hingga kini yang seolah-olah tidak berpenghujung. Terdapat pengelola sampah haram yang beroperasi di Kampung Sungai Kertas ini yang menjadikan tanah kosong sebagai tempat pembuangan pelbagai jenis sampah demi meraih keuntungan. Meskipun terdapat pantauan dan amaran yang telah diberikan oleh pihak berkuasa tetapi masih terdapat lagi lori-lori yang ‘curi-curi’ masuk untuk membuang sampah. Dipercayai bahawa pengelola sampah akan mendapat bayaran daripada setiap lori yang membuang sampah ke tempat tersebut. Hal ini sememangnya amat menguntungkan pihak lori yang tidak perlu berfikir di mana mereka perlu membuang sampah dan pihak pengelola mendapat wang hasil habuan daripada membenarkan pembuangan sampah tersebut. Bayaran yang dikenakan oleh pihak pengelola untuk membuang sampah di tempat tersebut lebih murah berbanding tempat pelupusan sampah yang sememangnya menggalakkan aktiviti haram tersebut. Implikasi daripada aktiviti tersebut dirasai oleh penduduk setempat di mana apabila terlalu banyak longgokan sampah yang diterima oleh pemilik tanah dan pengelola sampah, mereka mencari jalan pintas untuk ‘melenyapkan’ sampah-sampah tersebut dengan membakarnya tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan mereka. Hal ini telah berlaku ketika kebakaran timbunan sampah setinggi 91.4 meter di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada awal September tahun 2009 dan sememangnya mempunyai kaitan dengan pengurusan sampah yang tidak efektif seperti yang dilaporkan oleh Syed Azwan Syed Ali dalam akhbar MStar Online (Disember 2009).

 

Rajah 5

 

Rajah 6

Rajah 5 dan Rajah 6: Keratan Akhbar Metro, 7 Disember 2009 Berkaitan Tapak Pelupusan Sampah di Kampung Sungai Kertas

 

Aktiviti haram berkaitan pelupusan sampah ini adalah berpunca tidak lain tidak bukan daripada masalah peningkatan populasi penduduk seperti yang telah dibicarakan sebelum ini yang seterusnya membawa kepada pembangunan yang pesat untuk memenuhi kehendak dan keperluan manusia yang akhirnya menuntut kepada pengurusan sistem pelupusan sisa pepejal domestik dengan efektif. Dianggarkan 14 juta tan sampah setahun akan dikutip menjelang 2022 berdasarkan kepada trend pungutan sampah setiap hari di seluruh negara yang merekodkan peningkatan sejak 2012 sehingga tahun lalu. Peningkatan ini akan terus berlaku ekoran kepada petunjuk pertambahan populasi penduduk iaitu 1.8 peratus. Memetik daripada wawancara Pengarah Institut Lautan dan Sains Bumi, Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sumiani Yusoff berkata, anggaran penjanaan sisa pepejal di negara ini pada tahun lalu (2020) adalah 38,081 tan sehari dan angka itu terus meningkat pada tahun ini iaitu kutipan 38,699 tan sehari (tahun 2021). Menurutnya lagi, masalah pembuangan sampah ini amat membimbangkan apabila jumlah tapak pelupusan sanitari dengan fasiliti kawalan pencemaran di negara ini adalah jauh lebih kecil daripada jumlah tapak pelupusan bukan sanitari dan tapak pelupusan sanitari baru kesemuanya terpaksa dibina di kawasan luar bandar sehingga menyebabkan kos penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan bandar akan meningkat, begitu juga dengan pelepasan gas rumah hijau serta penggunaan tenaga yang banyak untuk penghantaran sisa pepejal dari kawasan bandar ke tapak pelupusan (Harian Metro, Julai 2021).

 

Rajah 7: Infografik Data Penjanaan Kutipan Sampah 2012-2022 dan Data Pelupusan Sampah Mengikut Negeri

Sumber: Harian Metro terbitan Julai 2021

 

Rajah 8: Statistik Kutipan Sampah Bagi Tempoh Lima Tahun (2017-2021) dan Carta Aliran Pengurusan Sisa Pepejal di Malaysia

Sumber: Harian Metro terbitan Julai 2021

 

            Oleh hal yang demikian, kesimpulan yang dapat dibuat daripada hasil wawancara yang telah dilakukan oleh Harian Metro pada Julai tahun ini jelas menunjukkan alasan mengapa masalah tapak pelupusan haram di Kampung Sungai Kertas ini masih lagi berlaku walaupun isu kebakaran timbunan sampah setinggi 91.4 meter di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Sungai Kertas, Gombak sehingga menyebabkan pandang jarak penduduk setempat menjadi buruk masih lagi tidak membuka mata penceroboh dan pengelola sampah ini. Malah hal yang lebih membimbangkan masyarakat setempat ialah apabila terdapat tempat-tempat baharu yang telah dibuka oleh pengelola sampah haram ini untuk menampung sampah-sampah baharu demi kerakusan nafsu mereka untuk mengaut wang daripada lori-lori yang ingin mengambil jalan mudah untuk membuang sampah di tempat yang lebih dekat dan menjimatkan mereka. Terdapat pelbagai kesan yang dapat dilihat daripada isu kewujudan tapak pelupusan sampah haram ini antaranya ialah masalah pencemaran udara hasil daripada pembakaran terbuka untuk melupuskan sampah-sampah tersebut demi mengurangkan longgokan sampah untuk menempatkan sampah-sampah yang baharu. Kesan daripada pembakaran secara besar-besaran telah menghasilkan gas metana yang tinggi yang boleh memerangkap haba alam atmosfera seperti karbon dioksida dan seterusnya boleh meningkatkan suhu bumi.

            Selain itu, kesan yang seterusnya ialah pencemaran bau hasil daripada sampah-sampah yang terdapat di tapak pelupusan sampah haram ini di mana pelbagai jenis sampah yang dihimpunkan pada masa yang sama tidak kira sama ada sampah domestik yang sememangnya berbau mahupun sampah kering dan besar seperti kayu, besi, plastik yang sukar untuk dilupuskan telah menusuk hidung penduduk setempat. Tambahan lagi, apabila membicarakan kebakaran yang berlaku pada tahun 2009 yang lalu, bukan sahaja mencemarkan udara dan bau malah ia turut mengundang pada masalah kesihatan seperti sesak nafas dan asma yang memaksa penduduk setempat untuk memakai topeng muka kerana terdapat jerebu di kawasan setempat mereka. Kesan buruk daripada masalah tersebut juga telah menyebabkan sekolah di kawasan sekitar seperti Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas dan Sekolah Agama Integrasi Kafa Al-Kahfi terpaksa ditutup sementara ekoran lokasi tapak haram pembuangan sampah tersebut amat berhampiran dengan sekolah dan pembakaran sampah setinggi 91.4 meter itu sememamnya mendatangkan ketidakselesaan para pelajar untuk meneruskan sesi persekolahan dengan suasana udara dan persekitaran yang tidak sihat.

Rajah 9


Rajah 10

 

Rajah 11 

Rajah 9, 10 dan 11: Pembakaran Sampah di Tempat Pelupusan Haram Kampung Sungai Kertas

 

           Seterusnya, dalam mengatasi pelbagai permasalahan, faktor bagi mengurangkan kesan terjadinya masalah tempat pelupusan haram yang semakin membimbangkan masyarakat ini, terdapat pelbagai langkah yang wajar dan perlu diambil oleh pelbagai pihak bagi memastikan jenayah alam ini dapat dibanteras dengan tuntas dan tiada lagi ketakutan pada pelbagai kemungkinan masalah pencemaran yang akan timbul. Langkah pertama ialah pihak perkuasa amnya perlulah lebih mengetatkan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap enakmen-enakmen berkaitan alam. Langkah produktif dan efektif seperti penutupan segera tapak pelupusan sampah haram perlu diambil bagi menamatkan masalah yang sekian lama mengganggu keselesaan penduduk sekitar. Kejadian pada tahun 2009 yang berlaku telah berjaya membuka mata ramai pihak terutamanya pihak berkuasa dalam mengambil tindakan tegas terhadap pesalah yang terbabit dan pihak terbabit berjanji akan menyelesaikan isu tapak pembuangan sampah haram ini diselesaikandengan membersihkan tanah di kawasan itu, menanam pokok dan lain-lain kerja yang berkaitan yang memerlukan tempoh lima tahun untuk pulih namun janji sekadar janji seolah-olah menanam tebu di tepi bibir, kejadian pembakaran sampah masih lagi berulang apabila selang sebulan daripada kejadian September tahun 2009, Kampung Sungai Kertas masih berasap semula dan kini walaupun dilihat isu tapak sampah di kawasan terbabit makin berkurang tetapi warga kampung ini semua sedia maklum bahawa terdapat penerokaan tanah-tanah baru yang dijadikan kawasan tapak pelupusan sampah yang baharu. Diharapkan pihak berkuasa mendengar keluhan warga penduduk dan membuat pantauan lebih kerap serta memasang kamera keselamatan di jalan raya untuk mengawal aktiviti haram ini daripada terus berlaku.

            Dalam pada itu, masyarakat juga perlu dididik tentang peri pentingnya menjaga alam sekitar. Walaupun isu tapak pelupusan sampah haram ini disebabkan oleh pembuangan sampah-sampah daripada lori namun terdapat juga individu dalam kalangan penduduk setempat yang mengambil kesempatan yang sama untuk membuang sampah domestik ke kawasan berkenaan memandangkan lokasi yang tidak jauh daripada kediaman mereka. Individu yang tidak bertanggungjawab ini seolah-olah hilang deria bau dan penglihatan kerana tidak menghiraukan kesan dan akibat daripada perbuatan mereka. Oleh itu, melalui kempen atau didikan secara halus kepada penduduk setempat sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada berlanjutan. Selain itu, bagi mengelakkan masyarakat setempat daripada turut sama menjadi penyumbang kepada pertambahan longgokan sampah di tempat pelupusan tersebut, pihak berkuasa setempat perlulah menyediakan tong sampah besar bagi setiap lot perumahan atau jalan kampung bagi memudahkan penduduk kampung membuang sampah tanpa perlu membuangnya ke tong sampah besar yang terletak agak jauh daripada rumah mereka. Kutipan sampah juga perlu dilaksanakan dengan lebih kerap supaya sampah tidak berlonggok dan seterusnya boleh mengundang haiwan terbiar seperti anjing, kucing dan tikus yang boleh menyebabkan sampah-sampah tersebut bersepah dan seterusnya boleh mengundang kepada penyakit lain.

Kesimpulannya, semua pihak perlulah berganding bahu demi kesejahteraan bersama dalam menyelesaikan isu pembuangan sampah di tapak pelupusan sampah di Kampung Sungai Kertas. Pelbagai langkah boleh dipraktikkan supaya isu yang sama tidak berulang kembali dan menemui titik noktah serta menjamin keselesaan hidup masyarakat setempat khususnya penduduk di Kampung Sungai Kertas. Sikap sesetengah masyarakat moden yang sibuk mengejar fatamorgana hingga mengabaikan pencemaran alam sekitar yang menjadi faktor yang menyebabkan keadaan persekitaran semakin merosot dari semasa ke semasa ini perlulah dikikis daripada setiap individu. Jika keadaan ini dibiarkan, suatu hari nanti akan ada manusia yang akan menerima balasan dan padahnya. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil sebelum nasi menjadi bubur. Jadi, kita perlulah lebih menghargai dan menyayangi ala mini untuk kelangsungan hidup pada masa akan datang.

 

 

RUJUKAN:

Bernama. (Disember 2021). Hujan Luar Biasa, Air Pasang Punca Banjir di Selangor – MB.

Terbitan Harian Metro. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/12/790139/hujan-luar-biasa-air-pasang-punca-banjir-di-selangor-mb

Engku Shariful Azni (Oktober 2021). Selangor Mampu Urus Pembuangan Sampah Haram.

Terbitan Sinar Harian Online. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/168093/EDISI/Selangor-mampu-urus-pembuangan-sampah-haram

Juani Munir Abu Bakar. (Disember 2021). Terlalu Ambil Mudah Bencana Alam, Punca Kita

Alpa. Terbitan Utusan Online. Diperoleh daripada https://www.utusan.com.my/terkini/2021/12/terlalu-ambil-mudah-bencana-alam-punca-kita-alpa/

Muhammad Saufi Hassan, Nor ‘Asyikin Mat Hayin, Muhamaad Razis Ismail dan Nurul Husna

Mahmud. (Julai, 2021). Sampah Makin Banyak. Terbitan harian Metro Online. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/732009/sampah-makin-banyak

Muhammad Saufi Hassan, Nor ‘Asyikin Mat Hayin, Muhamaad Razis Ismail dan Nurul Husna

Mahmud. (Julai, 2021). 14 Juta Tan Sampah Tahun 2022. Terbitan harian Metro Online. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/732770/14-juta-tan-sampah-pada-2022.

Nik Amirulmumin Nik Min. (April, 2019). Tutup Segera Tapak Pelupusan Sampah Haram.

Terbitan Sinar Harian. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/21553/EDISI/Pahang/Tutup-segera-tapak-pelupusan-sampah-haram

Siti Khatijah Zamhari & Christopher Perumal. (2016). Cabaran Dan Strategi Ke Arah

Pembentukan Komuniti Lestari. Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/11086/1/16207-45513-1-PB.pdf

Syed Azwan Syed Ali (2009). Kawasan Pelupusan Sampah Negara Semakin Kritikal?.

Terbitan Mstar Online. Diperoleh daripada https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2009/12/28/kawasan-pelupusan-sampah-negara-semakin-kritikal


Penulis: Nur Amirah Rasyidah binti Haris

No. Matrik: D20182085282

Kumpulan: A

Nama Pensyarah: 

  • Profesor Madya Dr. Hanifah binti Mahat
  • Dr. Kamarul bin Ismail

 

No comments:

Post a Comment