Wednesday, December 22, 2021

 

MASALAH PENGURUSAN SAMPAH SARAP DI TAMAN DAMAI JAYA, PONTIAN JOHOR

Masalah pencemaran sampah sudah lama wujud di negara ini. Banyak pendekatan digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Namun usaha ini masih belum cukup berkesan jika tidak mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Sokongan daripada pelbagai pihak adalah termasuk kerajaan, badan-badan NGO, dan juga masyarakat. Pencemaran sampah dapat ditakrifkan, pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil daripada aktiviti manusia ke atas alam persekitaran yang menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan. Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 memperuntukkan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaankegunaan berfaedah yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma, tumbuhan dan haiwan. Kemajuan di dalam negara telah mengakibatkan aktiviti manusia semakin berada di tahap persaingan yang tinggi. Selain itu, pelbagai barangan serta alatan yang dicipta untuk kegunaan harian manusia. Kesemua penciptaan barangan ini telah memberikan beberapa masalah yang tidak dirancang iaitu pembuangan sampah sarap di sesetengah kawasan termasuk kawasan perumahan. Pencemaran ini boleh mengancam pelbagai kehidupan dan memberi kesan sampingan jangka panjang yang membimbangkan (Abdul Kadir, 1993).

 

     Sampah sarap (municipal solid waste) dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang manfaat dan boleh mendatangkan mudarat jika disimpan. Jadi, selalunya sisa-sisa tersebut dibuang dan dilonggokkan di tempat-tempat pembuangan sampah sama ada menggunakan teknik pembuangan pelupusan atau lain-lain. Sampah boleh dikategorikan kepada dua, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik (Ridwan, 1994). Sampah domestik adalah bahan-bahan buangan yang dibuang dari rumah atau dapur. Contohnya seperti botol, kaca, tin aluminium, beg plastik, kertas, pakaian buruk dan juga sisa makanan. Sampah bukan domestik pula adalah bahan-bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan, pekedai atau pasar dan pejabat. Bahan-bahan buangan ini terdiri daripada pelbagai jenis termasuklah sisa jualan, sisa pembuangan dan sisa daripada proses pengilangan (Abdul Kadir, 1993).

 

 

     Pada era kini di Malaysia, terutamanya kawasan penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram pembuangan sampah setiap hari berbanding 0.8 kilogram oleh penduduk luar bandar. Angka ini terus meningkat dengan pertambahan penduduk dan tahap kehidupan rakyat yang semakin baik. Pembuangan sampah sesuka hati bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan manusia bahkan juga turut mengancam hidupan laut. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu mencari jalan penyelesaiannya dengan secepat mungkin sebelum masalah ini menjadi semakin serius (Berita Harian, 2010).

 

     Rakyat Malaysia sering membuang sampah tidak kira tempat asalkan ada kesempatan. Natijahnya, kita dapat lihat di mana-mana sahaja ada sampah tidak kira di rumah, pejabat, kedai, tepi dan dalam sungai, dan seumpamanya. Hal ini kerana adanya sikap tidak bertanggungjawab dalam sesetengah masyarakat yang membuang sampah di merata-rata tempat. Keadaan ini bukan sahaja mengotorkan alam sekitar dan jika dibiarkan ia akan menyebabkan keadaan sekeliling berbau busuk dan seterusnya menarik perhatian haiwan perosak seperti tikus dan lalat di mana haiwan ini turut merupakan pembawa penyakit seperti Taun. Tambahan pula, takungantakungan air seperti di tempat pembuangan sampah kebiasaannya menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Keadaan ini mendorong kepada penyebaran penyakit deman denggi yang boleh membawa maut kepada manusia (Abu Bakar, 1987).




     Masalah longgokan sampah bukan menjadi isu yang baru hendak diperkenalkan kepada rakyat di negara ini. Malah, isu ini turut berlaku secara global dalam dunia serba canggih pada masa kini. Hasil kajian yang dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kira-kira terdapat lima belas juta kilogram sampah sehari yang dihasilkan di dalam negara ini. Hal ini bermakna dalam tempoh sembilan hari sahaja, sampah yang dihasilkan boleh memenuhi satu ruang tempat pembuangan sampah yang sedia ada. Pada hari ini, negara Malaysia mempunyai 289 tapak pelupusan sampah dan setiap satunya merangkumi keluasan antara 20-150 hektar ekar. Keadaan ini pastinya tidak dapat menampung jumlah sampah yang dihasilkan kerana tapak pelupusan sampah yang sedia ada ini mempunyai kadar kitaran tarikh luput untuk digunakan. Dengan jumlah sampah yang dihasilkan setiap hari adalah tidak menentu, adalah sukar untuk menjangkakan sejauh manakah keberkesanan tapak pelupusan ini boleh digunakan kerana jumlah sampah yang dihasilkan semakin bertambah (Hasnah Ali et al., 2012).

     Salah satu kes longgokan di kawasan perumahan iaitu di Taman Damai Jaya, Pontian, Johor Darul Takzim. Kawasan taman perumhan disitu telah mengalami masalah longgokan sampah di sepanjang Jalan Damai. Masalah ini telah berlaku selama kira-kira dua bulan. Pelbagai jenis sampah telah dibuang dan dilonggokan di tepi jalan di kawasan perumahan terbabit. Masalah longgokan sampah ini telah menjadi semakin meruncing. Tambahan lagi, hasil longgokan sampah ini bukan sahaja menjejaskan pemandangan, tetapi menyebabkan sampah bertaburan di atas jalan raya akibat pembakaran sampah atau digeledah oleh anjing liar.

     Keadaan ini pastinya mengundang bahaya kepada para pengguna jalan raya yang mengunakan jalan tersebut terutamanya pemandu motosikal. Longgokan di susur masuk ke kawasan perumahan itu menimbun sehingga menyukarkan orang ramai melalui kawasan tersebut. Masalah ini juga berlaku akibat ketiadaan penyediaan tong sampah yang disediakan di kawasan perumahan mereka selain ditambah dengan sikap penduduk tempatan yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah dengan membuang sampah ditepi jalan. Keadaan ini dapat dilihat sehingga sampah yang berlonggokan disitu ibarat kawasan pembuangan sampah rasmi. Kesan yang berlaku longgokan sampah ini telah menyebabkan bau busuk yang timbul serta mencemarkan kawasan tepi jalan Damai yang merupakan jalan kedua terpenting untuk ke Bandar Pontian.

 

 







     Hasil daripada perjumpaan dengan penduduk tempatan disitu, kebanyakan penduduk-penduduk di kawasan itu memberi respon yang tidak menyenangi dengan situasi tersebut. Penduduk disitu tidak selesa dengan longgokan sampah yang membukit dan dibiarkan dengan begitu sahaja. Longgokan sampah yang dilakukan oleh beberapa penduduk setempat dan pihak dari luar yang membuang pelbagai jenis sampah secara sesuka hati ini membimbangkan penduduk dikawasan disitu. Hal ini kerana sampah yang dibuang disitu bukan sahaja tidak diangkut oleh pihak bertanggungjawab, malah sampah-sampah ini dilupuskan secara sukarela oleh segelintir penduduk tempatan dengan membakar sahaja.

 

 

     Di samping itu turut dicadangkan beberapa penyelesaian masalah sampah sarap ini juga  iaitu bagi membantu pihak agensi yang benar-benar terbabit secara langsung dalam masalah longgokan sampah ini. Pihak-pihak yang dimaksudkan ini adalah seperti pihak konsesi swasta Sounthern Waste Management (Environment) Sendirian Berhad (SWM) dan Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) untuk menyelesaikan masalah longgokan sampah dikawasan perumahan ini. Hasil kajian ini juga boleh digunakan pihak-pihak lain sebagai rujukan apabila ingin melakukan kajian lanjutan di masa akan datang.

 

     Masyarakat pula mestilah menanamkan kesedaran masyarakat pentingnya tanggungjawab terhadap alam sekitar ini. Peranan dan sikap masyarakat ini penting dalam menjamin kehidupan sejahtera akan datang. Kesedaran alam sekitar ini juga diharapkan dapat memberi impak kepada badan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat awam untuk turut sama berganding bahu mendukung hasrat kerajaan bagi melaksanakan usaha-usaha memulihara alam sekitar. Dengan ini, kita juga boleh mencapai hasrat sebuah masyarakat yang beretika dalam pelbagai aspek seperti rasional membuat keputusan, mempunyai tahap kesedaran yang dibentuk melalui undang-undang dan penyampaian pengetahuan yang betul berkaitan alam sekitar ini.

 

Menurut Zulkifli (2007) sebuah pengurusan sisa pepejal yang baik seharusnya mengikut hierarki seperti berikut:

REDUCE WASTE/ mengurangkan sampah

 

REUSE/ guna semula

 

RECYCLE/ kitar semula

 


TREATMENT

 

LANDFILL

Rajah 1.Hierarki pengurusan sisa pepejal

Rajah 1 menunjukkan bahawa konsep 3R (reduce waste, reuse, recycle) menjadi keutamaan dalam pengurusan sisa pepejal. Bagi konsep reduce waste memerlukan pencarian kaedah yang dapat mengurangkan penjanaan sisa pepejal, konsep reuse lebih kepada mencari cara supaya sumbersumber sisa pepejal boleh diguna semula, konsep recycle diguna pakai untuk mengitar semula sisasisa pepejal melalui proses fisikal, kimia dan biologi, konsep treatment adalah untuk mengenalpasti kaedah rawatan yang sesuai untuk sisa pepejal, manakala landfill adalah tapak pelupusan hanya bagi sisa pepejal yang tidak dapat dikitar semula atau diguna semula setelah dilakukan rawatan.

 

Kesimpulannya, pengurusan sisa pepejal perbandaran yang cekap dan mantap dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan bandar yang selesa menuju kearah pembangunan lestari dan menikmati kualiti hidup yang lebih bermakna.

 

Rujukan

Berita Harian (2010). Kesedaran Kitar Semula. Retrieved October 14, 2015, diperoleh daripada http://www.bharian.com.my/articles/RakyatMalaysiakurangkitarsemula/Info.

Muhammad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah longgokan sampah kawasan perumahan berteres kajian kes: Taman Universiti, Skudai Johor. Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf

N. Lyundon, Hasnah Ali, Nur Dyah Fatikhah Ekowati, Sanep Ahmad & AR Ahmad. (2012). Tingkahlaku isirumah dan pengurusan sisa pepejal kawasan perumahan di Jakarta, Indonesia. Malaysia Journal of Society and Space 8(6). 184-194. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/5610/1/16.geografia-sept%25202012-hasnah-si-ppspp-ed%2520am1.pdf

 PENULIS: NOOR FARAS HANI BINTI M SALLEH HUDDIN

NOMBOR MATRIK: DXXXXXX90894

KUMPULAN KULIAH: KUMPULAN C

No comments:

Post a Comment