Wednesday, December 22, 2021

Tugasan Individu 2: Masalah Pengurusan Sisa domestik dan Sisa Haiwan Ternakan di Kampung Pokok Machang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

MASALAH PENGURUSAN SISA DOMESTIK DAN SISA HAIWAN TERNAKAN  DI KAMPUNG POKOK MACHANG, TASEK GELUGOR, PULAU PINANG.

 

Geografi Penduduk merupakan salah satu cabang geografi manusia yang lebih menjurus ke arah pertumbuhan penduduk, taburan dan ketumpatan bagi sesuatu kawasan. Sebenarnya Geografi penduduk ini sangat berkait rapat dengan demografi penduduk dalam sesuatu kawasan. Oleh itu, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kepadatan sesuatu kawasan yang mana ianya dipengaruhi dengan persekitaran fizikal seperti iklim dan topografi. Pada masa yang sama, faktor tersebut juga boleh dipengaruhi oleh persekitaran sosial, ekonomi, dan politik di sesuatu kawasan. Seperti sedia maklum bahawa pertambahan penduduk saban hari, semakin meningkat dan telah mengakibatkan berlakunya rebakan bandar dan pekan-pekan kecil di kawasan luar bandar.

Pulau Pinang boleh dikatakan sebuah negeri yang agak maju kerana terdapat banyak kawasan-kawasan bandar dan pekan-pekan yang semakin berkembang selari dengan perkembangan sektor ekonomi, politik dan sosial. Pulau Pinang yang hanya berkeluasan kira-kira 301.26 km² di kawasan kepulauan dan 747.8 km² di seberang perai, tetapi memiliki jumlah penduduk seramai 1,350,671 orang setakat tahun 2020.

  Rajah 1:  Laporan Penduduk Daerah dan Pentadbiran, Jabatan Perangkaan Malaysia, 1991.

            Pulau Pinang terbahagi kepada 3 daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, dan Sebarang Perai Selatan. Di Seberang Utara terdapat pekan Tasek Gelugor yang merupakan sebuah kawasan yang semakin maju ekoran daripada berlakunya pertambahan penduduk. Banyak kawasan-kawasan petempatan dan fasiliti-fasiliti mula dibangunkan bagi memudahkan kehidupan sosial penduduk di pekan ini. Di Pekan Tasek Gelugor ini terdapat kawasan-kawasan perumahan baharu, Klinik Kesihatan, Sekolah, Balai Polis, Balai Bomba, Pusat Serenti, Pusat Komersial, KTM (Keretapi Tanah Melayu) dan banyak lagi. Hal ini sudah tentu akan menjadikan pekan Tasek Gelugor menjadi kawasan tumpuan penduduk.

Rajah 2: Peta lokasi Pekan Tasek Gelugor

Walaubagaimanapun, di sebalik meniti perkembangan dan kemajuan yang dicapai di pekan Tasek Gelugor, terdapat beberapa isu yang timbul, dan salah satunya adalah mengenai masalah pengurusan sisa domestik. Pengurusan sisa domestik merupakan antara masalah utama yang di hadapi oleh kebanyakan bandar di negara membangun. Kuantiti sisa domestik yang dijana biasanya setanding dengan jumlah penduduk yang menghuni sesuatu kawasan (Abdul Rashid & Hasnah, 2001). Sisa domestik ialah bahan-bahan buangan yang biasanya dibuang dari kawasan perumahan dan biasanya terdiri daripada bahan pepejal dan juga cecair seperti sisa makanan, plastik, bahan logam, kertas, kaca, minyak buangan, lebihan racun, minyak enjin kenderaan dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan sisa domestik ini berpunca daripada aktiviti harian penduduk di sesuatu kawasan.

Masalah pengurusan sisa domestik ini merupakan perkara lazim bagi masyarakat pada masa kini sehingga mengundang pelbagai pencemaran yang membawa kepada kemerosotan kualiti alam sekitar. Salah satu kawasan yang dapat digariskan di pekan Tasek Gelugor ini ialah di Pokok Machang. Pokok Machang merupakan kawasan petempatan yang bersempadan dengan pekan Pokok Sena. Kawasan petempatan Pokok Machang ini didiami oleh bangsa Melayu, Cina, India dan majoritinya adalah bangsa India. Selain itu, kawasan ini juga mempunyai sebatang sungai yang bernama Sungai Kereh.

Rajah 3: Peta lokasi bagi kawasan Pokok Machang

            Hasil pemerhatian didapati sesetengah penduduk di kawasan persekitaran kawasan Pokok Machang tidak menguruskan sisa domestik mereka dengan baik. Hal ini kerana terdapat banyak longgokan sampah sarap yang dipercayai dibuang oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab yang berkemungkinan tinggal di sekitar kawasan tersebut walhal pihak MBSP telah menyediakan tong sampah besar untuk penduduk di sekitar kawasan tersebut. Longgokan sampah tersebut dapat dilihat di sepanjang jalan Sungai Kereh. Longgokan sampah tersebut bukan sekadar mencacatkan pemandangan malah ianya menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Banyak anjing-anjing liar berkeliaran di kawasan tersebut dan lebih parah lagi longgokan sampah tersebut telah mengundang vektor-vektor bawaan penyakit seperti lalat dan nyamuk. Keadaan ini sebenarnya mendatangkan risiko penyakit terhadap penduduk yang tinggal di kawasan persekitaran Pokok Machang.

Rajah 4 : Longgokan sampah di Jalan Sungai Kereh

            Sehubungan dengan itu, terdapat juga dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut mengalirkan sisa domestik yang berbentuk cecair secara terus ke dalam sungai. Mereka berpendapat bahawa dengan cara tersebut ianya lebih memudahkan lagi pihak mereka dan tidak perlu membina sistem takungan air buangan dikawasan perumahan mereka. Keadaan ini sebenarnya sedikit sebanyak akan menyumbang kepada kemerosotan kualiti air dan sekali gus memberi ancaman yang buruk terhadap kehidupan akuatik di dalam sungai  tersebut.

Selain meninjau masalah pengurusan sisa domestik, penduduk di sini juga kebanyakannya menjalankan aktiviti ternakan haiwan ruminan seperti lembu dan kambing. Keadaan petempatan yang dikelilingi dengan ladang kelapa sawit telah memberi kesempatan buat mereka untuk menternak haiwan ternakan dalam skala yang yang lebih besar. Pada siang hari, kebiasaannya para perternak akan membebaskan haiwan mereka  di sekitar kawasan sungai dan ladang kelapa sawit. Pada sebelah petang hari pula, ternakan akan dikurung semula dikandang. Kaedah seperti ini dikatakan mampu mengurangkan kos kerana tidak perlu mengeluarkan modal yang tinggi untuk membeli makanan haiwan ternakan (konsentrat) dalam jumlah yang lebih besar. Namun di sebalik kesempatan yang diambil, para penternak lebih cenderung dengan membakar najis haiwan ternakan mereka berbanding mengumpulkannya untuk dijadikan sebagai baja organik untuk tanaman. Keadaan ini sudah pasti akan menyumbang kepada berlakunya pencemaran udara dimana hasil pembakaran tersebut menyebabkan berlakunya pembebasan gas-gas tercemar.

Dalam pada masa yang sama terdapat juga para penternak yang sewenang-wenangnya mengalirkan sisa najis ternakan ke dalam sungai. Kampung Selamat merupakan salah satu kawasan yang terdapat di Tasek Gelugor yang mana kawasan tersebut merupakan kawasan perindustrian dan Industri Kecil Sederhana yang kebanyakannya diusahakan oleh golongan berbangsa Cina. Antara perkara yang paling tidak menyenangkan bagi semua pihak adalah mereka juga menjalankan aktiviti penternakan khinzir. Menurut sumber akhbar Berita Harian 2021 yang dikeluar pada Februari lalu, difahamkan terdapat 77 kandang membabitkan 135,000 ekor khonzir di kawasan penternakan di Tingkat Selamat 1 hingga 11 kampung berkenaan yang dikatakan sudah beroperasi sejak tahun 1980-an. Lebih parah lagi mereka tanpa rasa bersalah mengalirkan najis ternakan khinzir ke Sungai Kereh, sehinggakan warna air sungai tersebut telah berubah warna kehitaman dan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Tindakan mereka juga telah menimbulkan pelbagai reaksi oleh penduduk tempatan, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan berhampiran dengan Sungai Kereh. Pelbagai tindakan yang telah diambil oleh penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut, namun permasalahan masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini.

Rajah 5 : Pencemaran sisa najis ternakan khinzir di Sungai Kereh.

Pengurusan sisa domestik dan sisa najis ternakan yang tidak terancang, sudah tentu akan memberi kesan negatif terhadap persekitaran fizikal dan manusia. Sebagai contoh, pembuangan dan pengaliran sisa domestik ke dalam sungai, sudah tentu akan mengakibatkan berlakunya pencemaran air dimana kualiti air akan tercemar seterusnya kehidupan akuatik di dalamnya pula diancam kepupusan. Sebagai contoh kesan terhadap persekitaran manusia pula, ialah masyarakat setempat tidak dapat memanfaatkan sumber yang telah tercemar sebagai sumber kegunaan harian, misalnya sumber air bersih dari sungai. Dalam pada itu, masyarakat setempat juga tidak dapat menjalankan aktiviti penangkapan ikan untuk menyara kehidupan seharian mereka kerana bimbang air sungai telah dicemari dengan najis ternakan seperti khinzir dan sebagainnya yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada mereka.

            Dapat kita simpulkan bahawa apabila semakin banyak kawasan petempatan diwujudkan, maka banyaklah pencemaran-pencemaran yang akan berlaku. Akan tetapi perkara ini sebenarnya masih lagi boleh dikawal kerana ia hanya bergantung kepada sikap seseorang individu itu sendiri. Mereka yang bertanggungjawab akan lebih memikirkan kepentingan terhadap alam sekitar dan masyarakat di sekeliling mereka. Berbalik kepada konteks  masalah pengurusan sisa domestik dan sisa ternakan di Pokok Machang, diharapkan agar pihak PBT dan masyarakat yang sedar akan hal ini dapat bertindak dengan segera agar permasalahan tidak berpanjangan sehingga memberi kesan yang lebih buruk terhadap kualiti persekitaran fizikal dan juga manusia. Antara langkah yang disyorkan adalah dengan mengamalkan budaya kitar semula, tidak menggunakan beg plastik ketika membeli belah, memperbanyakkan lagi kempen kesedaran, dan mewujudkan pertubuhan berkonsepkan kelestarian alam bagi memulihkan keadaan alam sekitar yang telah tercemar. Walau bagaimanapun, masyarakat setempat wajarlah berganding bahu antara satu sama lain dan memainkan peranan masing-masing bagi mengekalkan kelestarian persekitaran fizikal dan juga manusia.

Rujukan

Abdul Rashid Ahmad, Hasnah Ali (2001) Municipal solid waste reduction; Material flow

analysis. In: Chamhuri Siwar, Hasnah Ali, Abd Rashid Ahmad, Mohd. Zahir Abdul

Hamid (eds) Dasar memperbaiki pengurusan sisa pepejal perbandaran, pp. 107-116.

Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Berita Harian (2021). Najis Babi Punca Pencemaran Sungai Kereh.

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/02/782901/najis-babi-punca-pencemaran-sungai-kereh

Majlis Bandaraya Seberang Perai (2021). Statistik Penduduk Pulau Pinang.

https://www.mbsp.gov.my/index.php/ms/mengenai-mpsp/maklumat-am/kependudukan

 NAMA PENULIS: MUHAMMAD FARID DANIAL BIN JA'AFAR

NO. MATRIK: DXXXXXX91310

KUMPULAN: A

No comments:

Post a Comment