Monday, December 27, 2021

KESAN PEMBANGUNAN GUNA TANAH KEPADA PENDUDUK KG PUTERA JAYA, SETIU.

 

KESAN PEMBANGUNAN GUNA TANAH KEPADA PENDUDUK

KG. PUTERA JAYA, SETIU

 

Nama: Nur Amira Nasuha binti Mohd Hanapi

No. Matrik: D20182086624

Kumpulan Kuliah: B

 

 

1.0      1.0  PENGENALAN

Mendepani arus pemodenan yang kian memuncak, pelbagai usaha merangkumi seluruh aspek kehidupan telah dirangka dan diperkenalkan bagi mempastikan negara Malaysia berada seiringan dengan negara-negara maju di dunia. Oleh yang demikian, menurut Fazni Mat Ariffin (2020), pelbagai inisiatif yang telah dijalankan dan ianya bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan ekonomi, malahan bidang politik, pentadbiran, sains teknologi serta sosial juga turut menjadi fokus utama kerajaan dalam membangunkan negara. Penekanan terhadap pembangunan ini bukan sahaja melibatkan kawasan-kawasan bandar, malahan kawasan luar bandar juga turut mengalami pembaharuan dan pembangunan ekonomi yang pesat. Pembangunan komuniti bagi masyarakat luar bandar di Malaysia bukan lagi sesuatu isu yang baru, bahkan ianya menjadi sebahagian daripada pengisian dasar-dasar pembangunan negara (Noraniza Yusoff et al.,2011). Hal ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi juga giat dilaksanakan yang melibatkan kawasan-kawasan luar bandar di negara ini.

            Antara salah satu pembangunan yang seringkali dilihat adalah pembangunan guna tanah yang melibatkan penerokaan dilakukan keatas tanah-tanah bagi membangunkan kemudahan infrastruktur, kawasan-kawasan petempatan baru dan juga untuk aktiviti pertanian mahupun perindustrian. Menurut Arno Sisun et al. (2017), pembangunan guna tanah merupakan aktiviti yang sering dilakukan oleh setiap negara-negara membangun di seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Hal ini disebabkan aktiviti penggunaan tanah atau pembukaan kawasan tanah banyak memberikan pulangan yang besar dan menguntungkan kepada negara, khususnya dalam sektor ekonomi, industri pelancongan, pembangunan infrastruktur serta pengekstrakan hasil-hasil hutan. Pembangunan guna tanah ini tidak dinafikan memberikan kesan yang positif kepada manusia, walaubagaimanapun, sekiranya aktiviti ini dijalankan tanpa kawalan dan berterusan ianya sedikit sebanyak akan meninggalkan kesan yang negatif kepada biodiversiti dan masyrakat di kawasan itu sendiri.

            Oleh yang demikian, satu pemerhatian telah dijalankan di Kampung Putera Jaya Setiu, Terengganu bagi mengenalpasti dan melihat sejauhmana pembangunan guna tanah yang giat dijalankan mampu memberi kesan kepada penduduk, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan juga kawasan sekitarnya. Kampung Putera Jaya (Rajah 1) ini merupakan salah satu kampung yang terdapat dalam daerah Setiu, Terengganu dan ianya juga merupakan salah satu kampung yang mempunyai bentuk fizikal yang berbukit-bukau. Pembangunan guna tanah di kampung ini sedang giat dijalankan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dimana ianya melibatkan aktiviti yang dijalankan oleh penduduk tempatan serta beberapa pihak tertentu. Terdapat beberapa faktor yang melibatkan pembangunan guna tanah di kawasan ini, antaranya adalah aktiviti pembangunan infrastruktur, pembangunan kawasan-kawasan perumahan dan persendirian dan juga aktiviti pertanian. Justeru itu, penulisan ini bertujuan untuk membincangkan beberapa kesan yang boleh dilihat melalui aktiviti pembangunan guna tanah yang giat dijalankan di Kg Putera Jaya, Setiu serta beberapa langkah yang sesuai untuk membendung masalah pembangunan guna tanah yang dijalankan dikawasan ini. 

Rajah 1 Kg Putera Jaya, Setiu Terengganu

Sumber: Google Maps

1.0          2.0     KESAN GUNA TANAH DI KG. PUTERA JAYA, SETIU.

2.1          Hakisan Tanah

          Pembangunan serta penggunaan tanah yang berterusan boleh menyebabkan perubahan asal tanah serta fungsinya yang secara tidak langsung akan memberikan impak negatif kepada penduduk, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan juga elemen-elemen lain yang berada dalam kawasan tersebut, Penggunaan tanah boleh mengakibatkan perubahan fungsi dari masa ke masa, sesuai dengan tujuan pembangunan (Yusri Othman et al., 2010). Dalam pada itu, Nur Hakimah Asnawi dan Lam Kuok Choy (2016) berpendapat bahawa perubahan guna tanah merupakan salah satu isu yang kritikal oleh kerana kesan daripada aktiviti tersebut mampu memberikan kesan yang besar kepada biodiversiti dan kehidupan manusia. Tambahnya lagi, aktiviti ini bukan sahaja menjadi penyumbang dalam pembangunan sesebuah kawasan, malahan aktiviti pembangunan guna tanah juga sedikit sebanyak impak yang negatif kepada persekitaran fizikal dan manusia di sesebuah kawasan yang terlibat.

          Sebagai contoh, antara kesan pembangunan guna tanah yang boleh dilihat di Kg. Putera Jaya Setiu, dimana aktiviti aktiviti yang dijalankan sedikit sebanyak telah menimbulkan beberapa pencemaran yang boleh menjejaskan kehidupan seharian masyarakat dan juga kawasan sekitarnya. Pembangunan guna tanah yang dilakukan sejak beberapa bulan yang lalu, iaitu sekitar bulan Ogos sehingga Disember 2021 telah meninggalkan kesan terutama sekali dalam perubahan struktur tanah. Hal ini kerana, terdapat beberapa kawasan baru di kampung ini sedang giat dibangunkan dan didirikan beberapa buah rumah dan kebanyakkan rumah tersebut terletak berdekatan atau di kawasan tanah tinggi dan berbukit. Justeru itu, bagi meratakan kawasan tersebut, kebanyakkan pemaju akan menggunakan tanah di kawasan rumah berkenaan. Kesannya, ada bahagian tanah yang dilihat mulai terhakis dan runtuh disebabkan guna tanah yang berterusan (Rajah 2).

 

Rajah 2 Hakisan tanah 

            Sementara itu, pembangunan kawasan-kawasan perumahan juga telah mengakibatkan penebangan hutan dan pokok-pokok secara berterusan dilakukan (Rajah 3 &4). Hal ini sedikit sebanyak menjadi penyumbang utama terjadinya hakisan tanah di beberapa kawasan di kampung ini. Menurut Ahmad Ismail (2016), penebangan hutan atau penerokaan terhadap sumber hutan ini akan menyebabkan akar-akar tidak dapat mencengkam tanah yang berada di bawah permukaan bumi, dimana ianya akan menjadikan struktur tanah di kawasan berkenaan menjadi longgar. Tambahnya lagi, keadaan atau kejadian hakisan tanah ini akan menjadi lebih teruk sekiranya kawasan berkenaan dilanda hujan yang berterusan. Dalam kes di Kampung Putera Jaya ini, pembangunan guna tanah yang dilakukan banyak melibatkan aktiviti penebangan pokok-pokok dikawasan berhampiran dan melalui pemerhatian, apabila hujan turun, hakisan tanah ini kerap kali berlaku. Hal ini demikian kerana struktur tanah menjadi lembut dan licin, dimana ianya akan bergerak dan mengalir bersama air hujan. Impaknya, berlaku tanah runtuh dan hakisan tanah berskala kecil yang sekaligus dapat merosakkan ekosistem di kawasan hutan berkenaan. 

Rajah 3 & 4 Aktiviti penebangan hutan dan pokok

2.2         Pencemaran Alam Sekitar dan Pencemaran Bunyi

          Rentetan daripada hakisan tanah yang berlaku, pembangunan guna tanah juga sedikit sebanyak telah menyebabkan berlakunya beberapa pencemaran alam sekitar. Salah satunya adalah menyebabkan sumber air seperti kawasan-kawasan sungai dan kolam yang terdapat dikawasan ini tercemar dengan lumpur-lumpur dan pasir. Menurut Wan Adi Yusoff et al. (2015), pencemaran sungai yang disebabkan oleh hakisan dan aliran lumpur yang berlebihan akan menyebabkan mendapan sedimen yang lama-kelamaan akan mengakibatkan kawasan takungan air atau sungai menjadi semakin cetek. Di kawasan kampung ini, terdapat beberapa kawasan takungan air seperti kolam-kolam kecil yang dahulunya menjadi tempat penduduk tempatan mengambil air sekiranya terputus bekalan air. Namun begitu, oleh kerana banyak pembangunan kawasan-kawasan perumahan dan infrastruktur, kawasan takungan air tersebut menjadi semakin cetek ada ada diantaranya sudah tiada kerana dipenuhi lumpur dan pasir.

          Dalam pada itu juga, pencemaran bunyi merupakan antara kesan yang boleh dilihat daripada aktiviti pembangunan guna tanah yang dijalankan di Kg Putera Jaya, Setiu. Hal ini disebabkan oleh penggunaan jentera-jentera (Rajah 5) dan juga lori-lori yang masuk dikawasan berkenaan yang sedikit sebanyak menyumbang kepada pencemaran bunyi yang berlaku. Kebanyakkan penebangan atau penerokaan tanah yang berskala besar akan menggunakan jentera berat bagi memudahkan urusan tersebut dilakukan. Namun begitu, pemaju-pemaju yang menjalankan pembangunan perumahan contohnya, akan melakukan aktiviti tersebut dalam tempoh yang sangat lama dan panjang dalam satu-satu masa. Tidak cukup dengan itu, terdapat beberapa lori yang masuk untuk membantu kegiatan yang dijalankan dalam masa yang sama. Hal ini justeru menyumbang kepada pencemaran bunyi di Kg. Putera Jaya.

          Pencemaran bunyi bising sememangnya tidak dapat dielakkan bagi kawasan yang sedang membangun (Nur Shazwanie Rosehan & Azlan Abas, 2019). Melalui pernyataan tersebut, ianya jelas menggambarkan bahawa kawasan-kawasan yang membangun kebiasaanya akan berdepan dengan masalah pencemaran bunyi. Namun begitu, pencemaran bunyi yang disebabkan oleh pembangunan guna tanah ini sedikit sebanyak menyebabkan ketidakselesaan buat penduduk di kampung ini dan disebabkan kawasan kampung ini merupakan tempat yang tidak begitu besar, keadaan ini justeru membuatkan bunyi yang dihasilkan menjadi bingit dan sangat tidak selesa. Sementara itu, asap daripada lori-lori juga merupakan kesan yang perlu ditadah oleh masyarakat sekitar apabila pembangunan-pembangunan yang giat dijalankan di kawasan tersebut. Kesannya, pembangunan ini sedikit sebanyak mengheret alam sekitar dan juga manusia kepada pencemaran alam sekitar dan pencemaran bunyi. 

Rajah 5 Antara jentera yang digunakan dalam aktiviti pembangunan 

guna tanah di Kg. Putera Jaya

2.3         Aktiviti Penduduk Terganggu

          Sementara itu, pembangunan guna tanah telah menyebabkan pasir dan tanah yang terhakis akan memenuhi longkang-longkan dan juga jalan-jalan yang berhampiran. Sebagai contoh, jalan di Lorong 3/6 Kampung Putera Jaya (Rajah 6) seringkali mengalami dan berdepan dengan isu tersebut. Tambahan lagi, terdapat segelintir penduduk yang mengadu jalan di kawasan rumah mereka sering dipenuhi dengan pasir dan air sehingga menyebabkan mereka terganggu dengan keadaan tersebut. Dalam pada itu juga, pasir-pasir yang ada diatas jalan raya juga menyebabkan penunggang motorsikal dan basikal mengalami kemalangan kecil akibat jalan yang licin. Justeru itu, pembangunan guna tanah ini bukan sahaja menyebabkan gangguan kepada struktur tanah, bahkan ia sedikit sebanyak membahayakan penunggang seperti motorsikal dan basikal yang menggunakan laluan berkenaan. Dalam pada itu juga, pembangunan guna tanah yang giat dijalankan semenjak beberapa bulan ini juga menyebabkan tanah di kawasan mendap atau lecak. Tanah merah yang lembap (Rajah 7) menyebabkan laluan menjadi kotor dan penuh dengan lumpur-lumpur. Menjelang musim hujan, kebanyakkan laluan yang dipenuhi dengan tanah berkenaan sukar dilalui oleh penduduk sekitar dan hal ini sedikit sebanyak menyebabkan aktiviti penduduk terganggu. 

Rajah 6 Laluan berpasir

Rajah 7 Jalan dipenuhi tanah merah dan lumpur tebal

2.4          Gangguan Bekalan Air

          Selain daripada itu, antara kelemahan daripada pembangunan guna tanah dan juga pembangunan-pembangunan yang dilakukan oleh pemaju dikawasan kampung ini telah mengakibatkan gangguan bekalan air dalam satu-satu tempoh yang panjang. Hal ini kerana, terdapat dua kawasan tangka air besar yang terdapat di kawasan ini. Menurut temuramah yang dilakukan bersama dengan beberapa orang penduduk secara rawak, mereka mengatakan bahawa sekiranya terdapat pembaikkian yang berlaku, air akan ditutup dan ianya sedikit sebanyak menyebabkan bekalan air harian mereka terganggu. Kesannya, aktiviti seharian mereka, khususnya di rumah akan sedikit terganggu dan tergendala berikutan masalah bekalan air yang dihadapi. Justeru itu, pembangunan guna tanah ini bukan sahaja menyebabkan hakisan tanah dan pencemaran yang berlaku, malahan ianya juga menyebabkan gangguan bekalan air secara kerap di Kg Putera Jaya ini. 


1.0          3.0     KESIMPULAN

        Secara kesimpulannya, pembangunan infrastruktur dan pembangunan beberapa kawasan perumahan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan manusia. Pembangunan guna tanah yang meliputi aspek pembangunan rumah, perindustrian, pertanian dan juga perniagaan merupakan aktiviti yang banyak menyumbang kepada sektor ekonomi dan ianya merupakan aktiviti yang menguntungkan. Tambahan lagi, pembangunan guna tanah di Kg Putera Jaya ini tidak dinafikan telah banyak memberikan manfaat kepada penduduk tempatan dari segi pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sebagainya. Meskipun begitu, pembangunan guna tanah ini telah memberikan impak yang negatif berbanding positif. Hal ini kerana, semasa pembangunan yang dijalankan, terdapat beberapa kesan yang telah dibincangkan, iaitu bermula dengan masalah hakisan tanah yang berlaku, masalah pencemaran alam sekitar dan bunyi, aktiviti penduduk terganggu dan akhir sekali gangguan bekalan air. Menurut pemerhatian yang dilakukan, pembangunan-pembangunan yang dijalankan di kawasan kampung ini sebenarnya sedikit sebanyak menjejaskan ekosistem di kawasan berkenaan. Oleh yang demikian, pembangunan guna tanah di mana-mana kawasan sekalipun hendaklah dilakukan secara bertahap dan berskala supaya ekosistem dan elemen-elemen yang terdapat dikawasan berkenaan dapat dipelihara daripada terus dirobek secara berterusan. Tuntasnya, semua pihak hendaklah bersama-sama berganding bahu dan menggembleng tenaga bagi memastikan ekosistem dan sumber-sumber yang terdapat di muka bumi ini terpelihara daripada ketamakan dan kerakusan yang melampau.

 

2.0         4.0     RUJUKAN

Ahmad Ismail. (Julai 25, 2016). Elakkan kerosakan muka bumi. Utusan Malaysia. Diakses http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/48636/1/Atasi%20hakisan%20tanah%20Masalah%20cuaca%20dan%20bencana%20alam%20boleh%20jejaskan%20pengurusan%20tanah.pdf, 21 Disember 2021.

Arno Sisun et al. (2017). Kesan aktiviti pembangunan tanah terhadap kawasan punca pengambilan air di Cameron Highlands (Impacts of land development activities on water intake areas of Cameron Highlands). Geografia-Malaysian Journal of Society and Space, 11(6).

Fazni Mat Ariffin (Februari 8, 2020). Mendepani kemajuan negara melalui pembangunan sosial. Berita Harian Online. Diakses https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/02/653722/mendepani-kemajuan-negara-melalui-pembangunan-sosial, 24 Disember 2021.

Hamidi Ismail et al. Implikasi pembangunan gunatanah terhadap pencemaran sungai di Majlis Daerah Kubang Pasu, Kedah. Laporan Penyelidikan.

Nur Hakimah Asnawi & Choy, L. K. (2016). Analisis perubahan guna tanah dan litupan bumi di Gombak, Selangor menggunakan data penderiaan jauh. Sains Malaysiana, 45(12), 1869-1877.

Nur Shazwanie Rosehan & Azlan Abas. (2019). Pencemaran Bunyi Bising Trafik di Bandar Batu Pahat, Johor (Traffic Noise Pollution in Batu Pahat, Johor). Akademika, 89(2).

Noraniza Yusoff et al. (2011). Impak pembangunan infrastruktur ke atas pembangunan komuniti penduduk di Daerah Pendang dan Kubang Pasu, Kedah Darul Aman, Malaysia. Journal of Governance and Development, 7, 17.

Wan Adi Yusoff et al. (2015). Kajian Penerokaan Tanah dan Perubahan Kualiti Air di Tanah Tinggi Lojing, Kelantan, Malaysia. Malaysian Journal of Analytical Sciences19(5), 951-959.



No comments:

Post a Comment