Thursday, December 23, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: ISU KESESAKAN LALU LINTAS DI PEKAN PARIT BUNTAR, PERAK.

 


Parit Buntar merupakan sebuah pekan yang terdapat di daerah Kerian, Perak. Pengkaji telah menetap di Parit Buntar sejak tahun 2013 iaitu selama 9 tahun. Parit Buntar terletak di utara negeri Perak dan pekan ini bersempadan dengan dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah. Ketiga-tiga negeri ini telah dipisahkan oleh Sungai Kerian. Sejarah nama pekan Parit Buntar ini berasal daripada seorang lelaki yang bernama Tok Buntar. Tok Buntar merupakan seorang yang banyak berjasa dan sentiasa membantu penduduk setempat. Beliau juga telah membina parit dari Sungai Kerian untuk membekalkan sumber air untuk aktiviti pertanian sawah padi. Parit tersebut pada asalnya diberi nama Parit Tok Buntar dan seterusnya dikenali sebagai Parit Buntar.


Gambar 1: Peta Parit Buntar

Gambar 2: Menara Jam Parit Buntar

Isu utama yang dilihat di Pekan Parit Buntar ini ialah isu kesesakan lalu lintas. Hal ini kerana pekan ini merupakan pusat pentadbiran dalam daerah Kerian dan ia selalu menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk setempat tetapi penduduk dari negeri Kedah dan Pulau Pinang juga. Terdapat pelbagai kemudahan sosial yang disediakan di pekan ini misalnya seperti sekolah, klinik, hospital, pusat perniagaan, pejabat pos, balai polis, rumah ibadat dan sebagainya. Di samping itu, terdapat dua pekan di Parit Buntar iaitu Pekan Lama Parit Buntar dan Pekan Baru Parit Buntar. Pekan lama Parit Buntar terletak di bahagian pinggiran sungai Kerian manakala pekan baru Parit Buntar terletak berdekatan dengan Hospital Parit Buntar. Pekan Parit Buntar menjadi tumpuan kepada penduduk di Bandar Baharu, Kedah dan Nibong Tebal, Pulau Pinang kerana di kawasan tersebut tidak menyediakan kemudahan-kemudahan sosial yang mencukupi. Misalnya seperti hospital, klinik, perpustakaan dan pusat perniagaan. Oleh itu, penduduk di kawasan tersebut perlu ke pekan Parit Buntar untuk mendapatkan perkhidmatan dan memenuhi keperluan harian mereka. 


   Gambar 3: Peta Pekan Lama Parit Buntar

Gambar 4: Peta Pekan Baru Parit Buntar

    Pekan ini menjadi sesak juga adalah disebabkan oleh faktor pekerjaan. Hal ini kerana terdapat pelbagai peluang pekerjaan yang disediakan di pekan ini. Pekan ini akan mula sesak seawal jam 7.00 pagi. Hal ini kerana, semua penduduk akan mula bergerak ke tempat kerja masing-masing. Terdapat juga sesetengah penduduk yang bekerja di Pulau Pinang dan Kedah. Terdapat satu sahaja jalan utama yang menghubungkan kawasan petempatan ke pekan dan ke negeri seberang. Seterusnya, jalan akan mula sesak pada jam 1.00 petang kerana waktu tersebut merupakan waktu rehat dan akhir sekali waktu kemuncak ialah pada jam 5.00 petang hingga jam 7.00 malam. 


Gambar 5: Keadaan jalan yang sesak


 Gambar 6: Keadaan jalan yang sesak

Gambar 7: Keadaan jalan yang sesak

    Pekan Parit Buntar juga merupakan kawasan perindustrian di mana kilang-kilang dan gudang penyimpanan ini juga menjadi faktor kepada kesesakan lalu lintas di Pekan Parit Buntar. Hal ini kerana, kebanyakan lori-lori kilang dan gudang akan berada di kawasan pekan untuk menghantar barang. Kenderaan juga terpaksa perlahankan kenderaan dan lori-lori juga sentiasa berhenti di tepi jalan. Perkara ini juga menganggu pemandu-pemandu kenderaan lain. Perkara ini juga terjadi kerana tempat parkir kenderaan untuk pekerja kilang dan lori tidak mencukupi. Kesan yang dihadapi oleh penduduk ialah penduduk terpaksa keluar awal dari rumah untuk mengelakkan dari kesesakan lalu lintas. 


Gambar 8: Kilang di Pekan Parit Buntar

Kesimpulan 

    Secara rumusannya, Pekan Parit Buntar sering berhadapan dengan kesesakan lalu lintas disebabkan oleh tumpuan pekerjaan, untuk memenuhi keperluan harian, kawasan perindustrian, pusat pentadbiran dan sebagainya. Kesesakan jalan raya di Pekan Parit Buntar ini boleh dielakkan dengan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan menggunakan pengangkutan awam yang telah disediakan. Penduduk setempat juga perlu memandu dengan berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kemalangan di jalan raya. Oleh itu, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengatasi masalah dan isu ini agar isu ini dapat dibendung pada masa yang akan datang.


Disediakan Oleh: NURUL NAJWA BINTI SAHARIZAN
No.Matrik: D20191089122
Kumpulan Kuliah: 

No comments:

Post a Comment