Sungai Petani merupakan salah satu bandar yang terletak di bahagian barat Kedah dan berada pada latitud dan longitud 5.6436° U, 100.4894° T. Sungai Petani merupakan salah satu bandar besar di Kedah yang sedang mengalami pembangunan dan bandar ini terletak dalam daerah Kuala Muda. Dari segi sejarah Sungai Petani pula, nama bandar ini diambil daripada nama sungai iaitu Sungai Petani yang merupakan anak Sungai Merbok. Nama 'Petani' pula mempunyai kaitan dengan daerah Pattani yang terletak di Thailand dan merupakan salah satu perkataan Sanskrit 'pathini' yang bermaksud 'perempuan yang suci' yang diberikan kepada puteri Merong Maha Wangsa. Ketika Kedah dikenali dengan nama Langkasuka, para pedagang selalu berulang-alik antara Lembah Merbok dan Pattani serta bahagian timur semenanjung melalui jalan darat. Jadi, nama ‘Petani’ mungkin juga diambil dari para pedagang yang pernah berdagang di Lembah Merbok. (Portal Rasmi Majlis Perbandaran Sungai Petani, 2018)
Peta 1 Peta Sungai Petani yang terletak dalam daerah Kuala Muda Yan.
Sumber: https://www.google.com/maps, Sungai Petani
Kemajuan pembangunan di bandar ini telah menyebabkan berlakunya peningkatan populasi penduduk di Sungai Petani. Jabatan Perangkaan Malaysia (2020) menyatakan bahawa terdapat sebanyak 521,200 ribu penduduk di daerah Kuala Muda yang terdiri daripada 331,700 warganegara dan 29,900 bukan warganegara. Bilangan ini menunjukkan bahawa terdapatnya jumlah penduduk yang agak tinggi kerana Sungai Petani juga merupakan bandar di negeri Kedah yang mengalami pembangunan yang pesat selain ibu negerinya iaitu Alor Setar. Peningkatan jumlah populasi penduduk di Sungai Petani telah menggalakkan kemajuan pembangunan berlaku dari segi aspek peningkatan jumlah kawasan perumahan, pusat membeli-belah, industri perkilangan, industri komersial dan juga tidak dikecualikan peningkatan dari segi jumlah restoran terutamanya restoran makanan segera.
Jumlah
restoran makanan segera di Sungai Petani kian meningkat dari hari ke hari. Hal
ini dapat dibuktikan melalui pemerhatian di mana terdapatnya sebanyak 12 buah
cawangan Kentucky Fried Chicken (KFC), dua buah cawangan Mcdonalds,
satu buah Texas Chicken, dan banyak lagi termasuk restoran Starbucks,
Marrybrown, 4Fingers dan banyak lagi. Kewujudan perkhidmatan
penghantaran makanan yang ada seperti Grabfood dan Foodpanda pula
merupakan antara penggalak yang menggalakkan pihak yang terlibat dengan sektor
pembangunan bandar untuk membuka lebih banyak restoran makanan segera demi
keselesaan penduduk. Pembukaan pelbagai jenis restoran makanan segera di
sekitar bandar Sungai Petani ini amat dipengaruhi oleh beberapa faktor
sosioekonomi bandar serta memberi kesan terhadap gaya hidup penduduk di bandar
ini.
![]() |
Gambar 1 Salah satu restoran makanan segera KFC berkonsepkan pandu lalu yang terletak berhampiran kawasan Amanjaya. |
Antara faktor berlakunya
peningkatan restoran makanan segera adalah disebabkan peningkatan kepadatan
penduduk di bandar ini. Permintaan terhadap makanan segera semakin meningkat
disebabkan pertambahan penduduk yang bekerja yang mempunyai pendapatan isi
rumah yang tetap. Hal ini dapat dibuktikan apabila terdapatnya peningkatan dalam
pendapatan isi rumah kasar bulanan purata di daerah Kuala Muda yang mencatatkan
sebanyak RM5,656 pada tahun 2019 berbanding RM4,904 pada tahun 2016. (Jabatan
Perangkaan Malaysia, 2019) Faktor ini berkait rapat dengan kemampuan penduduk atau
kuasa membeli penduduk untuk membeli makanan segera dalam kehidupan seharian
mereka yang mampu menyaingi makanan berkhasiat yang dimasak di rumah. Pembinaan
lebih banyak restoran makanan segera di bandar ini bukan sesuatu yang perlu
dirisaukan oleh pihak perancangan bandar terutamanya dalam aspek kerugian
kerana yakin bahawa kebanyakkan penduduk di sini pasti akan terus menikmati
makanan segera.
![]() |
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020
Selain itu, kesibukan masyarakat yang bekerja di bandar ini menggalakkan lagi pembukaan restoran makanan segera kerana masyarakat lebih gemar untuk membeli makanan seperti ini kerana ia lebih mudah dan cepat untuk disediakan kerana mereka tidak perlu lagi untuk menyediakan makanan setelah pulang dari bekerja. Bukan sahaja pulang dari kerja, malah masyarakat yang bekerja turut beralih kepada makanan segera semasa waktu rehat bekerja kerana tidak mengambil masa yang lama untuk dimakan. Mereka tidak perlu lagi meluangkan masa yang banyak untuk memikirkan apa yang ingin dimakan semasa waktu rehat kerana kedai makanan segera dibuka 24 jam sehari dan hal ini sudah dapat menyelesaikan masalah mereka. Pusat membeli-belah juga mempunyai pelbagai pilihan makanan segera. Asalkan perut lapar boleh pergi sahaja ke kedai makanan segera yang berdekatan.
Di samping
itu, faktor gunaan tanah di bandar Sungai Petani juga memainkan peranan yang
penting dalam peningkatan jumlah restoran makanan segera terutamanya restoran
makanan segera yang mempunyai kemudahan pandu lalu atau drive-thru seperti
KFC, McDonald’s, dan Texas Chicken. Menurut Jabatan
Perancangan Bandar dan Desa (2018), terdapat tanah kosong dengan keluasan
16,466.511 hektar (4.45%) di daerah Kuala Muda yang mempunyai jumlah keluasan
guna tanah sebanyak 369,923.056 hektar. Disebabkan Sungai Petani merupakan
bandar utama yang mempunyai penduduk terpadat di daerah Kuala Muda, kebanyakkan
kemajuan dari segi pembinaan dan kemudahan akan diberi keutamaan di bandar ini.
Sungai Petani mempunyai banyak kawasan lapang yang dapat membuka peluang kepada
pembinaan kawasan perumahan dan juga bangunan-bangunan perniagaan atau
komersial. Pembinaan restoran-restoran makanan segera juga tidak dikecualikan.
Bukan itu sahaja, faktor keempat yang mendorong kepada peningkatan restoran makanan segera di Sungai Petani adalah disebabkan adanya pengaruh dari generasi muda. Tidak dinafikan bahawa terdapat pelbagai jenis iklan makanan segera dan trend di media sosial yang mampu mempengaruhi masyarakat terutamanya generasi muda tidak melepaskan peluang untuk mencuba dan mengikut trend yang tular di sosial media. Iklan makanan segera dikatakan sangat kreatif yang mampu menarik minat masyarakat untuk mencuba. Contoh yang dapat dilihat di bandar Sungai Petani adalah apabila masyarakat di bandar ini berpusu-pusu ke salah satu restoran makanan segera yang terkenal iaitu 4Fingers semasa restoran itu baru sahaja dibuka di pusat membeli-belah Amanjaya Mall. Penduduk di bandar ini semestinya tidak melepaskan peluang masing-masing dalam mencuba makanan di restoran tersebut dan memuat naik gambar di media sosial. Apabila dilihat dari sudut ini, kita dapat simpulkan bahawa pembukaan restoran-restoran makanan segera adalah amat dialu-alukan oleh kebanyakkan penduduk di Sungai Petani.
Walau
bagaimanapun, peningkatan jumlah restoran makanan segera di Sungai Petani turut
membawa beberapa kesan terhadap gaya hidup penduduk di bandar ini. Kesan yang
pertama yang dapat dibuktikan adalah kesan makanan segera terhadap kesihatan
penduduk. Menurut Jabatan Perangkaan
Malaysia (2019), bilangan penerima gaji dan upah bulanan di Kedah bagi
perempuan merekodkan 3.7 peratus iaitu sebanyak 222.2 ribu orang pada tahun
2018 berbanding tahun sebelumnya. Hal ini dapat dikatakan bahawa terdapatnya
peningkatan dalam jumlah wanita yang bekerja.
Peningkatan jumlah wanita bekerjaya menyebabkan semakin kurang makanan
yang dimasak sendiri di rumah. Oleh itu, solusi bagi masalah ini adalah dengan
beralih kepada makanan segera kerana mudah dan cepat disediakan. Namun begitu, kekurangan kandungan khasiat
dalam makanan segera sedikit sebanyak akan memberi impak terhadap kesihatan
wanita itu sendiri terutamanya dalam aspek kesuburan. Berdasarkan Graf 1, pada tahun 2018, kadar
kesuburan jumlah bagi Kedah menurun berbanding tahun 2017 iaitu daripada 2.3
kepada 2.2 bayi bagi setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun. (Jabatan
Perangkaan Malaysia, 2019)
Graf 2 Kadar kesuburan di negeri Kedah bagi wanita berumur 15 hingga 49 tahun pada tahun 2020 hingga 2018
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 2019 |
Selain itu,
pengambilan makanan segera oleh masyarakat juga akan menyebabkan berlakunya
peningkatan risiko penyakit jantung dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan
dewasa. Menurut Thamby (2018), sebanyak 42% daripada biasa pengunjung yang
berkunjung ke restoran makanan segera memakan makanan segera sekerap lebih dua
belas kali setiap bulan. Perkara yang lebih membimbangkan adalah kebiasaanya
restoran makanan segera sering dibina di bandar dan berdekatan dengan kawasan
perumahan atau tempat kerja. Contohnya seperti kawasan perumahan Bandar Laguna
Merbok dan Ambangan Heights yang terletak berdekatan dengan beberapa
restoran makanan segera yang terkenal di Sungai Petani. Hal ini memudahkan masyarakat sekeliling untuk
mendapatkan makanan segera. Pengambilan makanan segera secara kerap ini
merupakan faktor penyumbang kepada obesiti dan penyakit jantung disebabkan
nutrisi makanan segera yang tinggi lemak dan gula yang seterusnya juga akan
menyebabkan penyakit kencing manis. Pada tahun 2018, daerah Kuala Muda
mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu sebanyak 3,232 kematian yang
merangkumi penyakit jantung dan kencing manis. Penyakit jantung iskemia
merupakan sebab kematian yang mencatatkan peratusan tertinggi bagi sebab
kematian yang disahkan secara perubatan iaitu 16.5 peratus. (Jabatan Perangkaan
Malaysia, 2019).
Rajah 4 Statistik sebab kematian yang disahkan secara perubatan di negeri Kedah pada tahun 2018.
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 2019 |
Bukan itu sahaja, peningkatan restoran makanan segera di bandar Sungai Petani juga telah menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan yang mempunyai restoran-restoran makanan segera pandu lalu. Salah satu contoh adalah di kawasan Ambangan Heights dan Bandar Amanjaya di mana kerap berlakunya kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak seperti tengah hari dan waktu petang di mana penduduk yang bekerja pulang dari tempat kerja. Kewujudan restoran makanan segera yang pelbagai jenis ini sedikit sebanyak telah memberi kesan terhadap gaya hidup masyarakat yang sibuk bekerja kerana mereka lebih memilih untuk makan makanan segera kerana ia lebih cepat disediakan walaupun terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas yang agak teruk. Hal ini seterusnya akan menyebabkan wujudnya amalan makan pada lewat malam kerana selepas berjaya mengharungi kesesakan lalu lintas tersebut, mereka akan pulang ke rumah masing-masing pada lewat malam dan makan pada waktu malam. Amalan makan pada waktu malam iaitu pukul tujuh malam ke atas akan meningkatkan risiko seseorang untuk mengalami berat badan obesiti dan menghidap penyakit jantung.
Peningkatan jumlah restoran makanan segera di Sungai Petani bukan sahaja memberi kesan negatif, malah turut memberi kesan positif terhadap penduduk di bandar ini. Antaranya adalah dari segi pembukaan peluang pekerjaan kepada generasi muda yang menetap di bandar ini. Contohnya seperti membuka peluang pekerjaan sebagai pekerja restoran makanan segera serta perkhidmatan penghantaran makanan seperti Foodpanda dan GrabFood. Hal ini akan menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran masyarakat di Sungai Petani kerana generasi-generasi muda dapat mencari punca pendapatan serta menyesuaikan diri dengan gaya hidup sebagai pekerja yang terlibat dengan restoran makanan segera.
Kesimpulannya, peningkatan jumlah restoran makanan segera jelas membawa kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup penduduk di Sungai Petani. Namun, peningkatan jumlah restoran makanan segera yang tidak terkawal akan membawa lebih banyak kesan buruk kepada masyarakat sekeliling berbanding kesan positif. Oleh itu, diharapkan bahawa pihak perancangan bandar dapat mengambil langkah dalam membuat perancangan untuk mengawal pembinaan restoran-restoran makanan segera di Sungai Petani agar dapat mewujudkan penduduk bandar yang kurang begantung kepada makanan segera tetapi sebaliknya mempunyai gaya hidup yang lebih sihat.
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2019). Laporan sosioekonomi
negeri Kedah 2019. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/1_Articles_By_Themes/National%20Accounts/GDPbyState/2020/Laporan_Sosioekonomi_Kedah_2019.pdf
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). Kependudukan negeri
kedah. https://dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202020/DOSM-DOSM-KEDAH-1.2020-Siri-79.pdf
Sejarah nama Sungai Petani. (2018, Februari 17). Portal Rasmi Majlis Perbandaran Sungai
Petani (MPSP). Diperoleh daripada
https://www.mpspk.gov.my/ms/pelancongan/kenali-sungai-petani/sejarah-nama-sungai-petani
Thamby, S. A. (2018). Feasibility of using the ‘spacing
effect’ as part of an interventional strategy to curb overweight and obesity
among young adults in Sungai Petani,
Kedah. http://eprints.usm.my/44179/1/SAM%20AASEER%20THAMBY.pdf
No comments:
Post a Comment