Tuesday, December 21, 2021

MASALAH PENCEMARAN SUNGAI DI KAMPUNG KUBANG BADAK, PASIR MAS KELANTAN

MASALAH PENCEMARAN SUNGAI DI KAMPUNG KUBANG BADAK, PASIR MAS KELANTAN

1. 0 Pengenalan

Masalah pencemaran sungai bukanlah perkara baharu. Sebenarnya masalah ini telah wujud sejak era revolusi perindustrian. Air digunakan sebagai sumber utama kelangsungan hidup dan aktiviti manusia. Oleh itu, masalah pencemaran sungai mula mendapat reaksi daripada masyarakat dunia (Harlida & Nurli, 2012). Isu alam sekitar juga bukanlah perkara asing di negara ini terutamanya isu yang melibatkan pencemaran sungai.

Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, “pencemaran” ditakrifkan sebagai “apa-apa perubahan langsung atau tak langsung kepada sifat fizikal, haba, kimia, atau biologi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan benda berbahaya kepada alam sekeliling, pencemar atau buangan hingga menjejaskan apa-apa kegunaan berfaedah, menyebabkan suatu keadaan yang merbahaya atau mungkin merbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam, atau kepada binatang, burung, hidup-hidupan liar, ikan atau hidupan-hidupan dalam air, atau kepada tumbuh-tumbuhan atau menyebabkan suatu pelanggaran terhadap apa-apa syarat, had atau sekatan yang dikenakan ke atas sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah Akta ini.

Sungai merupakan sumber alam yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Gasim (2013) menyatakan bahawa bumi mengandungi 93% air laut, 2.5% air bawah tanah, 2% lapisan ais, dan kurang daripada 1% air, seperti air sumber alam seperti sungai, tasik, kolam, dan air. Menurut Ismail dan lain-lain (2010), sungai merupakan sumber semula jadi yang penting dan menyumbang kepada kehidupan manusia dan pembangunan negara. Ini kerana sungai merupakan nadi sumber semula jadi, menyediakan air untuk kehidupan, bekalan air pertanian, industri, pengairan, dan tenaga hidro. Wahab dan Yaacob (2012) mentafsirkan pencemaran sungai bermakna perubahan yang berlaku terhadap air sama ada dari segi kualiti, rasa, bau dan lain-lain yang menjejaskan fungsi air sebagai sumber utama kehidupan, seperti minuman kerana akan membahayakan kesihatan dan hidupan jika digunakan.


2.0 Kampung Kubang Badak

Kajian ini telah dijalankan di sekitar kawasan Kampung Kubang Badak, Pasir Mas Kelantan. Kampung Kubang Badak ialah nama bagi mukim dan kampung. Keluasan mukim ini kira-kira 2.5 kilometer persegi dan mukim ini berada di bawah pentadbiran seorang penghulu mukim. Tujuan lokasi ini dipilih adalah untuk mengkaji tentang pencemaran sungai yang terdapat di kawasan tersebut. Banyak maklumat yang dapat dikumpul untuk dianalisis apabila memilih lokasi tersebut untuk menjalankan kajian. Penduduk di kawasan ini juga adalah majoriti bumiputera.


                                                    Rajah 1 : Peta Kampung Kubang Badak

Pada umumnya, setiap sungai di negara telah dikategorikan kepada lima kelas.

 

KELAS I

Bersih untuk terus diminum

KELAS II

Bersih tetapi perlu dirawat sebelum diminum

KELAS III

Tidak bersih dan memerlukan rawatan yang rapi sebelum diminum

KELAS IV

Hanya sesuai untuk pengairan pertanian

KELAS V

Tidak sesuai untuk sebarang kegunaan

Jadual 1 : Klasifikasi Kualiti Sungai

3.0 Punca dan Akibat Pencemaran Sungai di Kampung Kubang Badak

Kajian menunjukkan masyarakat tidak dapat memahami sepenuhnya punca kepada masalah alam sekitar (Howard & Charles Sturt University, 2000). Dalam kes ini, kebanyakan masyarakat mungkin menyedari masalah tersebut, tetapi mereka tidak memahami maklumat berkaitan pencemaran sungai. Kajian yang dijalankan oleh Tamby, Lilia, & Thiagarajan (2010), membuktikan pemahaman dan tahap pengetahuan masyarakat Malaysia masih berada pada tahap yang sederhana tentang isu alam sekitar. Ini membuktikan bahawa dengan tahap pengetahuan yang sederhana masih tidak mampu untuk menyedarkan masyarakat akan masalah yang berlaku. Oleh itu terdapat beberapa punca sungai di kampung Kubang Badak tercemar dan pencemaran ini akan mendatangkan pelbagai kesan negatif.

Berdasarkan pemerhatian pengkaji, pencemaran sungai di Kampung Kubang Badak berpunca daripada penduduk yang tidak bertanggungjawab iaitu mereka yang dianggap tidak mengambil berat tentang kebersihan alam sekitar. Apabila semua sampah domestik dibuang ke dalam parit, ia akan memberi kesan yang buruk kepada sungai kerana ia akan mengalir ke sungai-sungai berhampiran. Selain itu, ia juga disebabkan oleh pemikiran dan sikap penduduk yang kurang mempunyai kesedaran untuk memulihara alam sekitar. Hal ini akan menyebabkan parit dipenuhi sampah dan plastik terapung di permukaan parit. Pernyataan ini disokong oleh kajian lepas menunjukkan bahawa tidak kurang dari 1 juta kilogram buangan sisa di masukkan ke sungai setiap hari akibat daripada kumbahan, industri kelapa sawit dan industri getah (Maheswaran 1982).

 

Rajah 1 : Pembuangan sampah ke dalam parit berhampiran sungai




Penduduk di Kampung Kubang Badak yang menjalankan aktiviti pertanian juga boleh menyebabkan pencemaran sungai. Aktiviti pertanian memerlukan air dan sumber yang mencukupi. Namun terdapat juga beberapa aktiviti pertanian seperti pembajaan berlebihan yang menyebabkan bahan kimia mengalir ke sungai berhampiran. Penggunaan baja dan racun serangga untuk membunuh perosak ini akan mencemarkan ketulenan air sungai.

 

 

 

 

 

                                        Rajah 2 : Aktiviti pertanian

Seterusnya ialah pembuangan sisa minyak dari bengkel kenderaan dan motosikal. Sisa minyak yang tidak diurus dengan baik dan dibuang merata-rata tanpa ada tempat pembuangan khas minyak hitam untuk bengkel kenderaan telah menyumbang kepada pencemaran sungai di Kampung Kubang Badak. Keadaan ini berlaku apabila pada waktu hujan minyak hitam di permukaan tanah akan mengalir ke parit berdekatan dan seterusnya mengalir ke dalam sungai.

 

                                       Rajah 2 : Tumpahan minyak dari bengkel motor

           Kesan pencemaran sungai ini terhadap penduduk di kampung Kubang Badak adalah menjejaskan kesihatan penduduk setempat. Bahan-bahan yang dibuang dalam sungai akan mengurangkan kandungan oksigen di dalam air. Penduduk juga boleh mendapat penyakit atau masalah kesihatan yang teruk jika minum atau menggunakan air yang tercemar. Pencemaran ini boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti cirit-birit, sakit perut dan keracunan makanan. Sampah dan najis yang dibuang ke dalam air juga menggalakkan bakteria untuk terus membiak dan memberi masalah kepada penduduk kampung.

Kesan seterusnya ialah menjadi punca kepada kejadian banjir. Banjir yang kerap berlaku disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut ataupun sungai. Apabila sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut, banjir mudah berlaku dan menyebabkan persekitaran menjadi kotor.

Pencemaran sungai akan menjejaskan hidupan akuatik seperti ikan, serta merosakkan tumbuhan air seperti rumpai. Air yang beracun akan mengurangkan kadar oksigen dalam air dan mengganggu kualiti ekosistem secara keseluruhan. Kepupusan tumbuhan air akan menjejaskan kuantiti spesies ikan dan menjejaskan rantaian makanan yang lain.

 

4.0 Langkah- Langkah mengatasi masalah Pencemaran Sungai di Kampung Lubok Tapah

Dalam usaha mengekalkan tahap pencemaran semasa supaya tidak menjadi lebih teruk maka langkah-langkah yang wajar perlu diambil supaya kadar pencemaran akan dapat dikurangkan dan antara langkah-langkah tersebut ialah menambahkan bilangan tong sampah di pusat pengumpulan sampah. Hasil tinjauan mendapati bahawa di kampung tersebut tidak disediakan tong sampah yang mencukupi menyebabkan sampah sarap berteraburan di merata tempat.

Selain itu, pemasangan perangkap sampah di sepanjang parit-parit utama untuk memerangkap sampah sarap dan juga memudahkan kerja-kerja penyelengaraan. Oleh itu, perangkap sampah perlu dipasang di tempat-tempat yang strategik bertujuan untuk sampah sarah seperti botol dan plastik tidak dibawa terus masuk ke dalam sungai.

Untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan iaitu sekali atau dua kali sebulan. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan sampah sarap menyekat aliran air sekaligus mengurangkan sampah mengalir ke sistem saliran utama sungai.

 

5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, perkembangan dan kemajuan pemodenan telah menyebabkan kemerosotan kualiti dan kuantiti sumber air. Pelbagai aktiviti manusia secara langsung atau tidak langsung telah menyebabkan pelbagai kerosakan kepada sumber air. Hal ini adalah kerana, sumber air merupakan sumber alam semula jadi yang sangat diperlukan oleh semua organisma dan bukan organisma untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kemajuan sains dan teknologi dan serta penerapan konsep pembangunan lestari dalam kehidupan manusia hanya dapat mengurangkan pencemaran air sungai dalam peratusan yang sangat kecil. Namun sikap manusia yang tamak dan mementingkan diri sendiri menyebabkan pencemaran sungai terus berlaku. Oleh itu, didapati bahawa sungai di Kampung Kubang Badak ini telah tercemar dan kawasan ini juga telah kehilangan fungsi sebagai sumber kegunaan air domestik. Penduduk perlu mengambil satu pendekatan dan inisiatif untuk mengurangkan faktor penyumbang pencemaran air, mengkitarkan semula air tercemar, dan mengekalkan kualiti sumber air di kampung tersebut.


RUJUKAN

Ang, K.H. (2015). Kualiti sumber air di Malaysia: Satu analisis. Malaysia Journal of Society and Space. 6(11), 98-108.

Gasim,  M.B.  (2013). Pengurusan  lembangan  sungai  berteraskan  IWRM.  Bangi,  Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Harlida, A. W., & Nurli, Y. (2012). Pencemaran Sungai : Analisis Peruntukan Undang-Undang Di Bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kanun, 24(1), 77–93.

Howard, J., & Charles Sturt University. (2000). Attitudes towards water conservation and salinity in the Albury Region. Johnstone Centre: Albury, N.S.W.: Johnstone Centre, Charles Sturt University, 2000.

Ismail, H., Hussain, S., Rokiah, T.P., & Mariyappan, R. (2010). Sikap  komuniti setinggan tebingan sungai: Pencemaran dan pengurusannya. Jurnal Perspektif, 3(1), 1-12.

Maheswaran, A. 1982. Water Pollution in Malaysia : Problems, Perpective and Control. Dlm Consumer Association of Penang (CAP). Development and Environmental Crisis. Pulau Pinang : CAP.

Tamby, S. M. M., Lilia, H., & Thiagarajan, N. (2010). Environmental citizenship: What level of knowledge, attitude, skill, and participation do the students own? Procedia Social and Behavioral Sciences, 2, 5715–5719. https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2010.03.933

Varoglu, L., Temel, S., & Yılmaz, A. (2018). Knowledge, Attitudes, and Behaviours towards the Environmental Issues: Case of Northern Cyprus. Journal of Mathematics, Science and Technology Education, 14(3), 997–1004. https://doi.org/10.12973/ejmste/81153

United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). (2017). The United  Nations  World Water  Development  Report  2017.  Wastewater:  The  Untapped Resource. Paris, UNESCO Publishing.

Wahab, A.H., & Yaacob, N. (2012). Pencemaran sungai: Analisis peruntukan undang-undang di  bawah  Akta  Kualiti  Alam  Sekeliling  1974.  Kanun  (Jurnal  Undang-Undang Malaysia), 24(1), 77-93. 


Nama : NOR NAJIHAH BINTI AMRAN

No. Matrik : D20192091276

Kumpulan Kuliah : C

No comments:

Post a Comment