Monday, December 27, 2021

MASALAH PENAMBAHBAIKAN JALAN DI PAITAN, BELURAN

1.0 PENGENALAN

Tidak dinafikan bahawa jalan raya merupakan fasiliti yang amat penting untuk kegunaan manusia kerana ia menghubungkan satu kawasan dengan kawasan yang lain. Namun apakah yang akan terjadi jika fasiliti tersebut tidak dapat memberi hasil sesuai fungsinya? Hal ini yang berlaku di Paitan. Paitan merupakan daerah kecil di kawasan luar bandar yang terletak di bawah pentadbiran daerah Beluran Sabah. Paitan mula beroperasi sejak 4 januari 1999 dan mempunyai keluasan 2466 km persegi. Sejak daripada tahun 2015 hingga kini, kawasan ini mengalami masalah jalan raya yang sangat teruk hingga menjejaskan perjalanan keluar masuk penduduk di kawasan tersebut. Walaupun banyak kawasan pedalaman di sabah yang mengalami masalah jalan raya namun kawasan Paitan merupakan kawasan yang sering diperkatakan oleh kerana penduduknya yang agak ramai.

Rajah 1 & 2 keadaan jalan di Paitan

Jalan raya di Paitan ini dinaiktaraf kepada jalan berturap dan siap sepenuhnya pada tahun 2004, namun kerosakan teruk bermula daripada tahun 2015 hingga kini. Jalan ini merupakan jalan utama yang menghubungkan banyak kawasan kampung yang lain seperti, paitan-Kanibongan, Paitan-Jalan Sapi Nangoh. Jalan raya ini walaupun telah dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) namun ketahanan jalan tersebut tidak panjang hal ini kerana ia merupakan laluan utama , banyak kenderaan yang menggunakan jalan tersebut tambahan lagi jalan tersebut sering dilalui oleh kenderaan berat.


2.0 FAKTOR KEROSAKAN TERUK JALAN RAYA

Kerosakan jalan raya yang teruk di Paitan ini disebabkan oleh beberapa perkara iaitu pertama, sikap tak endah pihak berwajib, penduduk di kampung tersebut telah berkali- kali melakukan protes supaya jalan diperbaiki namun pembaikan jalan masih belum berada di tahap memuaskan. Tidak dinafikan bahawa setiap tahun jalan raya akan diperbaiki dan kerja-kerja penyelenggaraan giat dilakukan. Isu kerosakan jalan raya ini menghantui penduduk yang tinggal di Paitan hal ini kerana jalan raya sejauh hampir 40 kilometer antara Paitan menuju ke Kanibongan mengalami kerosakan teruk di pelbagai lokasi.

Rajah 3&4 Protes penduduk kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan 

Dalam memperbaiki jalan.


Kerosakan jalan raya di kawasan Paitan kebanyakan dikorek untuk tujuan pembaikan atau penyelenggaraan , namun jalan yang dikorek terbiar sekian lama dan akhirnya jalan berlubang-lubang berlumpur, dan permukaan dipenuhi air keadaan ini menyulitkan ribuan penduduk di kawasan Paitan yang ingin keluar dan masuk ke kawasan tersebut, selain itu masih terdapat jalan utama yang belum berturap dan menyebabkan ia berlumpur dan berlubang teruk semasa hujan lebat. Tambahan lagi paitan merupakan laluan kenderaan berat yang membawa baja dan kelapa sawit ke kilang kelapa sawit, hampir setiap hari kenderaan berat akan melalui jalan tersebut.

Rajah 5 Penduduk protes dengan menanam pokok di jalan berlubang


3.0 KESAN KEROSAKAN JALAN RAYA KEPADA PENDUDUK


Masyarakat di sini memerlukan kemudahan jalan raya tersebut untuk bergerak keluar masuk kampung untuk membeli keperluan asas di pekan serta mendapatkan rawatan di hospital. Kerosakan jalan raya di sini menyebabkan perjalanan mengambil masa yang lama misalnya, Paitan menuju ke hospital Pitas hanya mengambil masa sejam namun keadaan jalan yang buruk menyebabkan perjalanan mengambil masa 2 jam untuk tiba ia amat memberi risiko kepada pesakit kronik dan ibu mengandung yang memerlukan rawatan segera, terdapat beberapa kes yang berlaku ibu melahirkan anak dalam kenderaan semasa perjalanan ke hospital.Kerosakan jalan raya ini bukan sahaja menyukarkan penduduk malah kerap mengakibatkan kemalangan jalan raya. Hal ini boleh dilihat pada tahun 2019, dua orang lelaki maut ditempat kejadian selepas mengalami kemalangan jalan raya di Paitan. menurut daripada ketua polis daerah Beluran, bekas siasatan awal mendapati lori muatan baja melalui laluan menuruni bukit yang tidak rata dan mengakibatkan lori tersebut hilang kawalan kemudian terbabas. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Paitan dan kawasan lain masih mengalami kemalangan disebabkan oleh keadaan jalan yang berlubang dan tidak rata.

Selain itu jalan raya juga akan mengalami masalah besar terutama sekali semasa musim tengkujuh. Contohnya pada awal tahun ini jalan di Paitan mengalami tanah runtuh hingga mengakibatkan jalan raya terputus dan penduduk tidak dapat keluar daripada kawasan tempat tinggal mereka. Selain itu, kerosakan jalan ini membebankan pengguna jalan raya terutama sekali mereka yang menggunakan kenderaan bersaiz kecil. kebanyakan penduduk di sini berpendapatan rendah atau golongan kurang berkemampuan yakni mereka hanya mampu memiliki kenderaan bersaiz kecil seperti motosikal atau kereta jenis kancil, viva dan sebagainya. Keadaan jalan raya ini mengakibatkan mereka terpaksa mengeluarkan kos untuk memperbaiki komponen kenderaan yang rosak akibat jalan berlubang.

 

Statistik kemalangan jalan raya akibat faktor lubang jalan


Rajah 6&7 jalan ketika musim tengkujuh




4.0 CADANGAN MENGATASI

Kita sedia maklum bahawa masalah jalan berlubang merupakan satu perkara yang sering berlaku di negara kita, namun terdapat beberapa cadangan untuk mengatasi masalah tersebut khusus untuk jalan di Paitan. Pertama sekali pihak berwajib haruslah cakna dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk. Hal ini kerana penduduk telah membuat laporan mengenai jalan rosak setiap masa namun kadangkala pihak berwajib lambat untuk mengambil tindakan. Penyelenggaraan berjadual sangat penting terutamanya kepada jalan yang suda tiba had tempoh untuk diturap atau dibina semula. Selain itu pihak Jabatan Kerja Raya(JKR) haruslah melakukan rondaan berkala dan pemeriksaan rutin serta melakukan penyelenggaraan turapan atau bukan turapan tertakluk kepada kelulusan dan peruntukan kerajaan.

Di samping itu, kadar kemasukan kenderaan berat haruslah dikawal dengan meletakkan papan tanda yang melimitkan berat kenderaan yang boleh melalui jalan tersebut, hal ini kerana kenderaan berat merupakan faktor kerosakan jalan menjadi lebih teruk oleh itu pengawasan daripada pihak bertanggungjawab amat diperlukan.

Kesimpulannya, keadaan jalan di kawasan Paitan masih belum berada di tahap yang memuaskan, namun jalan semakin membaik seiring dengan masa. Pihak penduduk mengharapkan agar kemudahan asas jalan raya diberi tumpuan dan fokus utama dalam pembangunan kerana ketiadaan jalan raya yang lebih sempurna amat memeritkan penduduk dan membebankan rakyat.


RUJUKAN

Kementerian Pengangkutan Malaysia(2020). Kemalangan dan kematian jalan raya di malaysia.

https://www.mot.gov.my/my/land/safety/road-accident-and-facilities

 

Siti Aisyah Samudin (2021). Kaedah harmonisasi dalam penetapan nilai ganti rugi berasaskan diat bagi kes kemalangan jalan raya di Malaysia. Journal of Shariah Law Research 6(2) http://jice.um.edu.my/index.php/JSLR/article/view/33964

 

Asean Road Safety Centre(2021). Kos Kerosakan harta benda akibat kemalangan jalan raya. Institusi Penyelidikan Keselamatan jalan Raya Malaysia https://www.miros.gov
.my/xs/page.php?id=464


Kementerian pengangkutan (2018) Statistik pengangkutan Malaysia.https://www.mot.gov.my/en/Statistik%20Tahunan%20Pengangkutan/Transport%20Statistics%20Malaysia%202018.pdf





NAMA: CLARIE EVVA USOP

NO MATRIK: D20201095339

HGM 3033 (GEOGRAFI PENDUDUK) KUMPULAN B


No comments:

Post a Comment