Sunday, December 26, 2021

Kesan Peningkatan Paras Air Laut Terhadap Penduduk di Kampung Gerigis

 Kesan Peningkatan Paras Air Laut Terhadap Penduduk di Kampung Gerigis


1.0 Pengenalan

Kampung Gerigis merupakan sebuah kampung kecil yang terletak di pinggir bandar Alor Setar. Penduduk di Kampung Gerigis tidaklah sebegitu ramai dimana hanya terdapat 130 lebih buah rumah sahaja di dalam Kampung Gerigis. Apa yang menariknya tentang Kampung Gerigis ini adalah ia dikatakan seakan-akan sebuah pulau bagi penduduk setempat. Hal ini kerana, berdasarkan bentuk geografi kawasan di Kampung Gerigis  yang dikelilingi oleh Sungai Kedah dan juga Sungai Pendang (Rujuk Gambarajah 1) . Selain itu, apa yang menarik di Kampung Gerigis adalah, walaupun ia adalah hanya sebuah kampung yang kecil, akan tetapi ia mempunyai akses jalan masuk yang  besar, masjid yang gah iaitu Masjid Az-Zakiah dan tidak lupa juga di sini mempunyai Sekolah di dalam kampung iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Gerigis. Akses daripada bandaraya Alor Setar hanya mengambil masa sekitar 7-10 minit sahaja.

Gambarajah 1 Menunjukkan Peta Kampung Gerigis


2.0  Sumber Ekonomi di Kampung Gerigis

Bagi penduduk Kampung Gerigis, aktiviti pertanian sawah padi merupakan sumber ekonomi utama di sini. Jika dilihat dari persekitaran di sini (Rujuk Gambarah 2),  persekitaran di Kampung Gerigis ini amatlah sesuai dengan penanaman sawah padi dek kerana sumber air yang mudah (Sungai Kedah, Sungai Pendang, Tali Air). Jenis tanah di sini adalah daripada jenis Aluvium dan amat sesuai untuk aktiviti penanaman sawah padi. Di sini, secara puratanya pesawah akan mempunyai 3 kali musim menuai berbanding zaman lalu di mana hanya satu kali sahaja musim menuai padi. Hal ini kerana, penggunaan baja moden yantg membantu dari segi pertumbuhan padi untuk berlaku dengan cepat dan terancang.

Gambarajah 2 Menunjukkan persekitaran di Kampung Gerigis

Pesawah di sini dibantu dengan bekalan baja, benih oleh kerajaan atau secara khususnya MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda).  Selaras dengan misi Mada, iaitu memajukan kesejahteraan penduduk di kawasan desa, penduduk di Kampung Gerigis akan menerima bantyaun dari segi benih, baja dan racun bagi menggalakkan aktiviti penanaman padi. (sumber Laman Web Rasmi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda)


3.0 Isu

Antara isu yang ingin diutarakan oleh pengkaji adalah mengenai peningkatan paras air laut dan juga paras ketinggian sesetengah kawasan petak padi yang sedia ada. Isu ini berbangkit apabila berlaku musim banjir ataupun taburan hujan yang tinggi di Kedah. Apabila taburan hujan tinggi, paras air laut akan meningkat dan dalam pada masa yang sama paras air di sungai juga akan meningkat. Apabila paras air meningkat, ia akan menenggelamkan dan mengalir ke kawasan yang lebih rendah terutamanya kawasan sawah padi. Apabila sawah padi ditenggelami air, ia berpotensi untuk merosakkan padi dan pihak pembeli tidak akan membeli padi yang telah rosak. Hal ini menyebabkan kerugian kepada para pesawah. Menurut laporan oleh Berita Harian, sebanyak 3000 hektar kawasan sawah padi telah terjejas akibat peningkatan air pada November 2021 yang lalu berdasarkan laporan oleh MADA. Ini termasuk juga di kawasan Kampung Gerigis yang terjejas dan kerugian yang dialami oleh penduduk. Pada November yang lalu, Alor Setar mengalami banjir yang teruk sejak daripada tahun 2010 yang lalu. "Kali ini adalah yang paling buruk setelah banjir tahun 2010 yang lalu" Kata salah seorang Mangsa Banjir di Kampung Gerigis. 

Gambarajah 3 Menunjukkan banjir di Alor Setar.

Banjir bukanlah isu utama yang ditumpukan oleh pengkaji. Walaupun ianya memberikan impak yang besar serta kerugian yang melampau bagi penduduk setempat, namun ia jaranglah berlaku. Isu utama yang ingin diutarakan adalah kesan peningkatan paras air laut terhadap kawasan padi yang rendah. Di Kampung Gerigis, terdapat beberapa kawasan sawah padi yang seringkali dilimpahi air walaupun bukan musim banjir. Ia berpunca oleh taburan hujan yang agak tinggi sedikit daripada biasa dan  mengakibatkan petak padi tersebut ditenggelami. Isu ini berlangsung secara berkala dan agak kerap berlaku. Jadi, sebuah inisiatif haruslah dilaksanakan agar kawasan-kawasan rendah yang sedia ad aini tidak ditenggelami air jika taburan hujan meningat sedikit daripada biasa agar pesawah tidak mengalami kerugian yang berpanjangan. Menurut Ketua Kampung Gerigis, En Razak Abdullah mengatakan "terdapat sebuah kawasan di hujung kampung dimana tanaman padi di situ memang tidak akan menjadi (Tumbuh dengan sempuna) sebab air akan naik jika hujan". Terdapat kira-kira 10 orang pemilik petak sawah yang mengalami masalah yang sama di Kampung Gerigis yang dimana setiap tahun mereka mampu menuai hanya sekali sahaja berbanding penduduk yang lain setahun 3 kali musim menuai. 

Gambarajah 4 Menunjukkan Kawasan Sawah Padi di Kampung Gerigis yang Ditenggelami Air


4.0 Langkah penyelesaian

Sebuah inisiatif harus diambil berat oleh kerajaan setempat supaya pesawah seperti ini tidak akan menanggung kerugian yang melampau dan berulang. Untuk mengelakkan pesawah yang terjejas mengalami kerugian yang besar, pihak kerajaan boleh memberikan insentif atau bantuan dari segi wang ringgit bagi menggantikan kerugian yang dialami para pesawah. Namun, itu hanya akan menyelesaikan masalaha secara sementara sahaja kerana ia lambat laun, para peawah tersebut akan mengalami kerugian yang sama juga. Disebabkan itu, sebuah insiatif yang jauh lebih hebat diperlukan untuk mengatasi masalah ini. Sebagai contoh, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil langkah segera membersihkan saluran Parit Pida 16 Lama di Jerlun bagi menyelenggara saliran yang tersumbat untuk mengelakkan padi petani tenggelam ketika cuaca hujan dan ribut. Kita boleh melakukan perkara yang sama bagi mengatasi masalah yang dialami oleh pesawah di Kampung Gerigis ini.

               Terdapat dua punca yang menyokong isu ini berlaku iaitu kawasan petak padi mereka lebih rendah daripada kawasan petak padi yang lain dan juga sistem saliran yang banyak di kawasan Kampung Gerigis yang menyebabkan jumlah air sentiasa penuh dan melebihi/melimpah. Jadi antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan memperbesarkan lagi saliran supaya air yang melebihi dapat dikawal dan tidak keluar ke arah sawah padi yang rendah. Selain itu, pihak pengurusan kunci air juga harus cakna dengan sistem pengurusan pelepasan air ke sawah padi agar tidak menenggelamkan kawasan sawah padi yang rendah. 

Gambarajah 6 Menunjukkan kunci air bagi mengawal pengaliran air sungai ke kawasan sawah padi di Kampung Gerigis


5.0 Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, terdapat dua faktor yang menyebabkan kebanjiran di kawasan sawah padi yang menyebabkan kawasan padi tenggelam. Yang pertama, punca besar adalah daripada peningkatan paas air laut yang tinggi menyebabkan kelimpahan air di sungai-sungai yang berdekatan dan menbanjiri kawasan penanaman sawah padi. Yang kedua, faktor ketinggian kawasan penanaman sawah padi daripada aras laut yang dimana, semakin rendah kawasan tersebut, semakin tinggi risko untuk petak padi tenggelami air. Justeru, hal ini menyebabkan kerugian bnuat para pesawah padi lebih lebih lagi kepada penduduk di Kampung Gerigis yang dimana ianya merupakan sumber utama pendapatan mereka bagi menampung kelangsungan hidup. Perkara ini berlaku secara berulang dan kerap dan ianya memerlukan penyelesaian agar perkara yang sama tidak akan berulang dan menimbulkan kerugian yang sama setiap tahun. 


Rujukan

MADA, (2021). Laman Web Rasmi Lembaga Kemajuan pertanian Muda (MADA). Diakses pada 25          Disember 2021 daripada https://www.mada.gov.my/?page_id=1597

Berita Harian, (2021) MADA selenggara saliran air elak padi tenggelam. Diakses pada 24                        Disember 2021 daripada https://www.sinarharian.com.my/article/161320/EDISI/MADA-                selenggara-saliran-air-elak-padi-tenggelam

Berita Harian (2021). 2,759 pesawah terjejas akibat banjir di Kedah. Diakses pada 25 Disember                 2021 daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/890304/2759-                            pesawah-terjejas-akibat-banjir-di-kedah


Penulis                 : Azamudden Iman Bin Ab Razak

No Matrik           : D20192091313

Kump. Kuliah     : HGM 3033 (B)












 



No comments:

Post a Comment