Monday, December 20, 2021

KESAN COVID-19 KE ATAS EKONOMI PENDUDUK DI PULAU PANGKOR, PERAK

1.0 Pengenalan

Pulau Pangkor terletak di negeri Perak di pesisiran laut Melaka iaitu pada garis lintang 4o 12’ 50’ Utara dan garis bujur 100o 34’30” Timur dengan keluasan 2,200 hektar ( 22km2 ). Sungguhpun begitu, kini hanya sepuluh peratus sahaja kawasan yang dihuni dan dibangunkan daripada keseluruhan kawasan Pulau Pangkor (termasuk kawasan Pangkor Laut) iaitu sebanyak 236.7 hektar pada tahun 1999 membawa kepada pembangunan masa hadapan dengan unjuran ke arah 650.88 hektar pada tahun 2015. Justeru, kawasan yang boleh dihuni hanyalah sekitar 2.2 km2 hingga 6.5km2 sahaja sehingga lima tahun akan datang. Penduduknya berjumlah kira-kira 170,000 orang pada tahun 2010 dengan nisbah antara kaum Melayu, Cina dan India sebanyak 40:50:10. Penduduk di Pulau Pangkor akan meningkat kepada 8,330 orang manakala penduduk yang datang bekerja seramai 4,664 orang sementara pelancong pula menjangkau angka 1.7 juta orang. Pulau Pangkor merupakan salahsatuzon pelancongan terpenting yang terdapat dalam daerah Manjung di samping zon yang merangkumi Pulau Sembilan dan sepanjang kawasan pesisiran pantai daerah. Pulau Pangkor merupakan sebuah pulau tropika dan memiliki beberapa tempat tarikan pelancong yang menarik. Antaranya ialah Kota Belanda, Batu Bersurat, Pantai puteri Dewi, Pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah. Pulau Pangkor boleh dijelajahi dengan berjalan kaki atau menggunakan kenderaan darat dan sebagainya.

 

Rajah 1. Peta Pulau Pangkor

    Novel coronavirus atau kini dikenali sebagai Covid-19 memberi pelbagai kesan terhadap dunia, negara, penduduk dan sebagainya dari pelbagai perkara seperti politik, ekonomi dan sosial. Ekonomi merupakan satu perkara yang amat terkesan akibat penularan Covid-19 ini. Ianya menyebabkan terjejasnya ekonomi rakyat dari pelbagai lapisan sama ada perkerja atasan mahupun perkerja yang biasa. Covid-19 telah muncul di Malaysia pada 25 Januari 2020 dan berlakunya pertambah kes bilangan positif pada 15 Mac 2020 saban hari. Hal ini menyebabkan berlakunya perintah kawalan pergerakan untuk semua negeri di Malaysia yang berkuatkuasa pada 18 hingga 31 mac 2020 dan telah menyebabkan kesemua sektor pelancongan ditutup atau tergendala buat sementara waktu. Tambahan pula, perintah kawalan pergerakan telah diumumkan untuk Fasa kali kedua dan berikutnya yang menjadikan sektor ekonomi di pelbagai tempat amat terkesan ekoran daripada penutupan yang berlaku hampir selama sebulan.

 

Ini menjadikan rata-rata penduduk atau rakyat tidak mempunyai kewangan yang stabil untuk menampung kehidupan seharian. Penduduk Pulau Pangkor merupakan antara penduduk yang amat terkesan dari segi ekonomi kerana di Pulau Pangkor mereka menjadikan pelancongan dari pelbagai sektor seperti perhotelan, perkhidmatan teksi dan sebagainya sebagai sumber pendapatan atau ekonomi mereka dan ini menjadikan ianya sebagai kesan yang amat teruk. Ini kerana, hampir 80 peratus penduduk Pulau Pangkor mendapatkan sumber pendapatan atau ekonomi kehidupan mereka dari sektor pelancongan. Jadi, penularan Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan memberi kesan ke atas ekonomi penduduk di Pulau Pangkor, Perak.

 

2.0 Kesan Covid-19 ke atas ekonomi penduduk

Pulau Pangkor merupakan satu pulau yang terkenal dengan sektor pelancongan atau kawasan yang menjadi satu tumpuan kepada pengunjung di luar untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai satu destinasi untuk bercuti. Oleh itu, penduduk Pulau Pangkor mengambil kesempatan untuk menjana sumber pendapatan melalui sektor pelancongan ini, ianya juga menjadi sebagai satu perkara yang penting dalam ekonomi penduduk di Pulau Pangkor. Sememangnya di Pulau Pangkor, ekonomi penduduk tertumpu kepada sektor pelancongan seperti perhotelan, kedai makan, perkhidmatan teksi, perkhidmatan di bahagian laut iaitu feri, water sport dan sebagainya. Bermulanya penularan Covid-19 di dunia menyebabkan sektor ekonomi kian terjejas dari semasa ke semasa yang meliputi seluruh negara dan akhirnya berlaku perintah kawalan pergerakan. Ianya melibatkan pelbagai sektor yang terjejas seperti politik, ekonomi dan sosial, akan tetapi kesan yang mendalam dirasai oleh sektor ekonomi. Hal ini menjadikan sumber pendapatan penduduk di Malaysia tidak dapat berjalan seperti biasa dan semakin membimbangkan. Jadi, penduduk Pulau Pangkor yang hanya menumpukan sumber pendapatan atau ekonomi mereka hanya terhadap sektor pelancongan amat memberi kesan yang mendalam dan terjejas dengan teruk di sebabkan Covid-19. Pelbagai sektor yang menjadikan penduduk Pulau Pangkor tidak dapat menjana ekonomi mereka seperti perhotelan, perkhidmatan, perniagaan dan sebagainya.

               

2.1 Sektor perhotelan

    Sektor perhotelan mendapat impak yang negatif yang mana Pulau Pangkor mempunyai lebih dari seratus hotel, chalet dan sebagainya yang menjadikan mereka terputus dari sumber pendapatan. Hal ini kerana, terdapat penduduk Pulau Pangkor yang bekerja di bahagian perhotelan dan mereka amat terkesan dengan covid-19 kerana berlakunya potongan gaji. Peratusan gaji mereka dikurangkan dengan begitu banyak yang disebabkan oleh sektor pelancongan yang ditutup di seluruh negara. Oleh itu, terdapat hotel-hotel yang tidak mampu untuk membayar gaji pekerja dalam kadar yang telah ditetapkan seperti biasa kerana tiada kemasukan pelancong di Pulau Pangkor untuk menginap di hotel. Malah, terdapat juga pekerja yang diberikan cuti secara bergilir-gilir tanpa gaji bagi memastikan kos pengeluaran mereka tidak begitu banyak. Terdapat juga hotel-hotel yang tidak lagi beroperasi seperti sedia kala yang menjadikan ekonomi penduduk di Pulau Pangkor kian membimbangkan serta pembuangan pekerja juga berlaku dalam sektor perhotelan ini. Terdapat juga penduduk yang memberhentikan kerja mereka untuk berkhidmat dalam sektor perhotelan ini kerana potongan gaji yang menyebabkan ekonomi kehidupan mereka kian merungsingkan dan akhirnya memilih untuk bekerja sebagai nelayan.


Rajah 2. Hotel & Chalet di Teluk Nipah

Rajah 3. Hotel di Pasir Bogak


2.2 Sektor pengangkutan

    Selain itu, perkhidmatan teksi juga mendapat kesan yang amat mendalam. Hal ini kerana, perkhidmatan teksi merupakan satu perkhidmatan yang sememangnya difokuskan kepada pelancong. Terdapat juga pemilik-pemilik teksi yang tidak mempunyai pekerjaan atau pencen dan hanya memberi sepenuhnya komitmen terhadap perkhidmatan teksi ini. Apabila covid-19 ini telah merebak ke seluruh Malaysia hingga diisytiharkan perintah kawalan pergerakan, maka, perkhidmatan teksi ini tergendala atau terputusnya sumber pendapatan mereka yang menyebabkan ekonomi bagi setiap penduduk di Pulau Pangkor menurun kerana kadar perintah kawalan pergerakan yang begitu lama. Malah bukan itu sahaja, terdapat juga teksi-teksi yang rosak akibat tidak bergerak dalam kadar masa yang lama. Ini menjadikan ekonomi penduduk di Pulau Pangkor semakin membimbangkan ekoran daripada ratusan teksi yang tidak dapat berjalan seperti biasa. Jadi, mereka tidak dapat menjana pendapatan seperti sedia kala.  

    Seterusnya, feri yang merupakan satu perkhidmatan pengangkutan yang disediakan bagi kemasukan penduduk serta pelancong dari Lumut ke Pulau Pangkor juga mendapat kesan akibat penularan Covid-19 sehingga perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan. Ini menyebabkan peratusan penggunaan perkhidmatan feri bagi pelancong berkurangan dan turun secara mendadak. Perkhidmatan ini hanya memberi fokus kepada penduduk sahaja yang ingin keluar masuk Pulau Pangkor atas urusan yang penting sahaja. Hal ini menjejaskan pendapatan buat penduduk Pulau Pangkor yang berkhidmat bagi pengangkutan feri kerana pendapatan mereka dikurangkan atau potongan gaji bagi beberapa peratus kerana tiada kemasukan pelancong terhadap perkhidmatan feri. Pengangkutan feri tidak dapat menampung kos gaji yang dikeluarkan seperti biasa kerana peratus kemasukan feri tidak meningkat dan semakin menurun setiap hari sehingga tamatnya perintah kawalan pergerakan. Ini menjadikan mereka terpaksa untuk menjalankan potongan gaji tersebut.


Rajah 4. Teksi di Teluk Nipah


2.3 Sektor perniagaan 

    Sektor perniagaan juga antara sektor yang terkesan dengan penularan Covid-19 ini hingga berlakunya perintah kawalan pergerakan. Hal ini kerana, di Pulau Pangkor terdapatnya pelbagai kedai-kedai makanan, gerai-gerai baju, ikan bilis, kedai coklat dan sebagainya. Perniagaan ini hanya menumpukan terhadap pelacongan sahaja. Terdapat juga gerai-gerai makan yang menumpukan terhadap penduduk di kawasan Pulau Pangkor, akan tetapi disebabkan perintah kawalan pergerakan yang diumumkan perdana menteri, ini menjadikan, penduduk pulau pangkor yang menjalankan aktiviti perniagaan mendapat impak yang negatif kerana sumber atau punca pendapatan mereka terjejas. Sumber pendapatan bagi gerai-gerai makanan berkurangan yang disebabkan oleh penduduk tidak dapat keluar seperti biasa dan hanya dapat membeli secara bungkusan sahaja. Ini menjadikan peratusan ekonomi bagi penduduk di Pulau Pangkor semakin menurun dan membimbangkan. Tambahan pula, peniaga-peniaga kedai makan di Teluk Nipah dan pasir Bogak yang menumpukan sepenuhnya pendapatan mereka terhadap pelancongan amat terkesan dengan penularan Covid-19 kerana mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa. Malah, penutupan kedai berlaku dalam tempoh yang agak lama sejak berlakunya perintah kawalan pergerakan ini sehingga tamat dan kes Covid-19 menurun. Akhrinya, ini menjejaskan ekonomi kehidupan rata-rata peniaga di Pulau Pangkor ini. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan kedai runcit yang merupakan pembekal kepada gerai-gerai makan tersebut. Permintaan dan jualan berkurang daripada pemborong dan peniaga. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa, ekonomi penduduk di Pulau Pangkor amat terkesan dan membimbangkan.

 

Rajah 5. Gerai-gerai makanan di Teluk Nipah

Rajah 6. Kedai-kedai makanan di Teluk Nipah

3.0 Penutup

    Covid-19 amat memberi kesan yang mendalam terhadap pelbagai sektor di semua negara atau serata dunia. Perkara yang memberi kesan yang amat ketara ialah dari segi ekonomi yang menyebabkan rakyat atau penduduk di kawasan-kawasan yang semenangnya memfokuskan sumber pendapatan mereka terhadap pelancong. Tamatnya, perintah kawalan pergerakan atau kebenaran untuk merentas negeri merupakan satu kelegaan terhadap penduduk di Pulau Pangkor yang sentiasa menanti kehadiran pelancong agar ekonomi penduduk di Pulau Pangkor dapat pulih kembali seperti sedia kala. Jelas menunjukkan bahawa ianya memberikan kesan yang negatif buat penduduk di Pulau Pangkor ini yang rata-ratanya menjana pendapatan dari sektor pelancongan kerana Pulau Pangkor yang merupakan satu pilihan destinasi pelancongan di Malaysia. Industri pelancongan ini membantu dalam menjana pendapatan tempatan malah negeri dan negara.

 

Rujukan

Datin Rozita Talha, 2020 Kajian Kes Impak Perintah Kawalan Pergerakan Kepada Penduduk Malaysia,  

https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202020/D OSM_BPPD_1-            2020_Siri-17.pdf


Noor Hidayah Tanzizi, 2020, Pulau Pangkor ditutup Sementara Sekat Kemasukan Pelancong, Berita            Harian

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/03/668312/pulau-pangkor-ditut up-sementara-            sekat-kemasukan-pelancong

 

Rosniza Aznie Che Ros, 2011, Persepsi dan Tingkat Kepuasan Pelancong di Pulau pangkor, Fakulti             Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Penulis: Nuraina Syahiida Binti Zakaria

No. Matrik: D20182086149

Kumpula: A

No comments:

Post a Comment