Saturday, December 25, 2021

PEKERJAAN PENDUDUK DALAM PELBAGAI KEGIATAN EKONOMI DI TAMAN SURIA 3, JITRA, KEDAH

1.0 Pengenalan

    Jitra merupakan bandar yang terletak di kawasan Parlimen Kubang PasuKedah Darul Aman. Dalam peta, kedudukan Jitra ialah 6.3° Utara dan 100.4° Timur. Jitra adalah bandar pentadbiran bagi daerah Kubang Pasu. Jitra juga merupakan satu bandaraya maju yang memberikan kemudahan yang lengkap kepada penduduk setempat. Penyediaan prasarana yang mencukupi di kawasan Jitra secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup serta kualiti pendidikan penduduk.  

    Keadaan Jitra yang telah pesat membangun dan menjadi antara daerah paling ramai penduduk dengan pelbagai kegiatan ekonomi dijalankan di kawasan ini. Secara amnya, kegiatan ekonomi di kawasan ini lebih tertumpu kepada kegiatan pertanian, perindustrian atau perkilangan, pendidikan dan keusahawanan. Kedah merupakan antara negeri di mana wujudnya tanah pamah dan terkenal dalam menghasilkan sumber ekonomi dari sektor primer iaitu pertanian. Sektor pertanian menjadi sumber ekonomi utama dalam kalangan penduduk di Taman Suria 3, Jitra, Kedah. Memiliki kawasan serta jenis tanah yang sesuai dan subur membolehkan penduduk Taman Suria 3 mendapatkan hasil daripada sektor pertanian seperti sawah padi. Penduduk yang tinggal di Taman Suria 3 terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Terdapat di antara mereka yang beragama Islam, agama Buddha, agama Hindu malah ada juga beragama Kristian. Penduduk di Taman Suria 3 juga terdiri daripada 1500 orang dimana terdapat 250 buah rumah.

Rajah 1: Peta Taman Suria 3 

2.0 Konsep Kegiatan Ekonomi

    Menurut Kamus Dewan Edisi ke 7, ekonomi adalah ilmu yang mengkaji bagaimana manusia mengagihkan sumber-sumber ekonomi yang terhad bagi memenuhi keperluan dan kehendak manusia yang tidak terhad. Menurut Abdul Rahim (2015), kegiatan ekonomi bermaksud kegiatan manusia yang mendatangkan nilai dan pendapatan. Kegiatan ekonomi juga ditakrifkan sebagai aktiviti-aktiviti yang melibatkan pengeluaran, pengedaran, penggunaan barang-barang dan perkhidmatan di semua peringkat dalam masyarakat yang boleh mendatangkan hasil pendapatan serta menjana sumber kewangan. Kegiatan ekonomi dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor primer, sekunder dan tertier.

    Sektor primer merupakan kegiatan yang mengeluarkan bahan mentah terus daripada sumber semula jadi. Ianya merupakan kegiatan ekonomi terawal wujud di dunia ini dan diusahakan sejak dahulu lagi. Antara jenis kegiatan ekonomi di bawah sektor ini adalah pertanian, perikanan, penternakan, perlombongan dan pembalakan.

    Seterusnya, sektor sekunder adalah aktiviti ekonomi yang berasaskan kepada bahan mentah atau semula jadi. Ianya melibatkan penukaran bahan mentah tersebut kepada barangan siap atau produk untuk digunapakai oleh pengguna. Sektor ini termasuklah jenis kegiatan ekonomi seperti pembuatan atau perindustrian dan juga pembinaan.

    Sektor kegiatan ekonomi juga melibatkan sektor tertier. Sektor tertier didefinisikan sebagai kegiatan ekonomi yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan. Sektor ini juga dikenali sebagai sektor perkhidmatan. Sektor ini mamainkan peranan yang penting dalam memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Contoh kegiatan ekonomi dalam sektor ini adalah pelancongan, pengangkutan, pendidikan, kewangan dan perdagangan.

3.0 Kegiatan Ekonomi Yang Dijalankan Oleh Penduduk Taman Suria 3

    Tumpuan utama kegiatan ekonomi penduduk Taman Suria 3 adalah sektor pertanian. Antaranya ialah penanaman sawah padi. Faktor fizikal seperti bentuk bumi di kawasan Taman Suria 3 iaitu tanah pamah dimana ianya merupakan tanah yang paling sesuai untuk menanam padi dan saliran yang sistematik boleh memberi pendapatan kepada penduduk. Beras yang terhasil daripada sawah padi yang ditanam akan diproses dan dieksport ke luar negara dimana ianya memberi untung kepada banyak pihak. Beras yang dihasilkan juga dapat diproses menjadi tepung beras. Tepung beras merupakan tepung yang diperbuat daripada beras yang digiling halus. Penduduk di Taman Suria 3 juga menggunakan teknologi yang moden dan canggih seperti dron untuk meracun dan mengambil gambar imej tanaman dan imej ini boleh dianalisis untuk mengesan kadar klorofil, kadar kelembapan tanah dan kewujudan serangga perosak. Dengan mengetahui kadar kelembapan tanah, petani dapat mengetahui kadar air yang diperlukan oleh tanaman mereka. Teknologi ini dapat melakukan kerja manual dengan lebih cepat dan tepat. Projek perintis teknologi Pertanian Tepat oleh Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) di kawasan sawah padi di Kedah telah menunjukkan penjimatan penggunaan baja sehingga 25 peratus sehektar dan kos operasi buruh dapat dikurangkan sehingga 50 peratus. Ia juga telah mengoptimumkan pengeluaran hasil padi.

                                              Rajah 2: Sawah padi di Taman Suria 3

                                   Rajah 3: Dron digunakan untuk meracun sawah padi

    Seterusnya, kegiatan ekonomi yang menyumbang ekonomi penduduk Taman Suria 3 ialah industri perindustrian. Perkembangan pembangunan sektor industri yang telah dibangunkan di kawasan tersebut telah menjadi penyumbang kepada ekonomi penduduk di sekitar Taman Suria 3. Perindustrian di Malaysia merupakan sektor sekunder di mana terbahagi kepada dua jenis iaitu industri berasaskan sumber seperti kayu, getah dan kelapa sawit atau industri bukan berasaskan sumber seperti elektronik dan automotif. Di sekitar Taman Suria 3, terdapat meliputi 5 buah kawasan perindustrian dan kilang perindustrian tersebut menjadi pusat pengeluaran barangan tempatan daripada makanan dan barangan konsumer sehingga barangan komponen-komponen senjata dan automotif berteknologi tinggi, elektronik serta komponen-komponen komputer. Kilang di sekitar Taman Suria 3 juga menggunakan teknologi moden contohnya kilang Nichias FGS menggunakan teknologi moden untuk menghasilkan gasket untuk permotoran. Pembukaan kilang baru di sekitar Taman suria 3 memberi peluang pekerjaan dan kadar penggangguran penduduk Taman Suria 3 dapat dikurangkan.

                               Rajah 4: Kilang yang terdapat di sekitar Taman Suria 3

    Selain itu, sektor pendidikan juga menjadi antara kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh penduduk Taman Suria 3. Sektor pendidikan merupakan sektor perkhidmatan yang termasuk dalam sektor tertier bagi jenis kegiatan ekonomi di Malaysia. Selain sekolah rendah dan sekolah menengah, pendidikan peringkat pengajian tinggi menjadi penyumbang utama kepada kegiatan ekonomi sektor ini. Di Jitra, terdapat Institusi Pengajian Tinggi Awam seperti Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Institut Perguruan Darul Aman, Institut Latihan Perindustrian.

            Rajah 5: Institut Perguruan Guru Darulaman yang terdapat di sekitar Taman Suria 3

Rajah 6: Politeknik Sultan Abdul Halim yang terdapat di sekitar Taman Suria 3

    Akhir sekali, keusahawanan juga menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi penduduk Taman Suria 3. Kebanyakkan penduduk di Taman Suria 3 menjalankan perniagaan barangan runcit, restoran dan alat tulis. Terdapat rumah kedai di Taman Suria 3 dan pusat perniagaan sekitar kompleks membeli belah dengan 10 deret kedai berdekatan dengan Taman Suria 3. Mereka menyediakan produk atau perkhidmatan yang diperlukan oleh penduduk. Dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang baik, para penduduk sentiasa mencari kaedah yang lebih baik untuk memaksimakan sumber dan mengurangkan pembaziran. Dengan ini, pengguna akan mendapat produk dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang lebih murah. Usahawan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Peluang pekerjaan wujud kerana setiap perniagaan yang ditubuhkan memerlukan tenaga manusia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan. Pekerjaan yang dilakukan oleh penduduk setempat akan meningkatkan pendapatan penduduk secara keseluruhan. Pendapatan yang diperoleh akan digunakan untuk membeli keperluan mereka. Taraf kehidupan masyarakat akan bertambah baik dan keselesaan masyarakat dapat ditingkatkan.

          Rajah 7: Kedai Rm 2.10 yang menjual barangan keperluan harian di sekitar Taman Suria 3

                              Rajah 8: Kafe yang dibuka oleh penduduk Taman Suria 3

4.0 Faktor Yang Mempengaruhi Kegiatan Ekonomi Penduduk Taman Suria 3

    Secara dasarnya, tedapat dua kategori bagi faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di Malaysia iaitu faktor fizikal ataupun faktor manusia. Faktor fizikal termasuklah bentuk muka bumi, tanih, iklim, bahan mentah dan saliran yang terdapat di kawasan tersebut. Faktor manusia pula adalah seperti dasar kerajaan, infrastruktur, teknologi, pasaran, modal dan juga buruh atau tenaga kerja.

    Bagi kawasan Taman Suria 3, antara faktor utama yang mempengaruhi kegiatan ekonomi adalah bentuk muka bumi. Tanah pamah merupakan jenis bentuk muka bumi yang meliputi hampir keseluruhan negeri Kedah. Oleh sebab itu, ianya amat bersesuaian sekali untuk menjalankan aktiviti pertanian seperti penanaman padi. Selain itu ia juga boleh digunakan untuk membina kilang atau kawasan perindustrian serta pembinaan jalan raya.

    Selain itu, iklim di Jitra juga adalah bersesuaian untuk melaksanakan pelbagai jenis kegiatan ekonomi. Iklim Khatulistiwa dengan purata suhu sekitar 27 darjah celcius dan jumlah hujan tahunan melebihi 2600 mm ini membolehkan kawasan Jitra untuk menjalankan kegiatan ekonomi iaitu pertanian. Penanaman padi juga dipengaruhi oleh saliran yang baik dimana padi sentiasa mendapat air yang secukupnya.

    Dalam pada itu, faktor manusia juga mempengaruhi kegiatan ekonomi penduduk di Taman Suria 3. Antaranya ialah infrastruktur yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Ianya termasuklah kewujudan jaringan pengangkutan yang baik seperti jalan raya yang menghubungkan antara daerah dan juga negeri. Selain itu terdapat juga sistem pengangkutan lain seperti kereta api, kapal terbang mahupun kapal pelabuhan yang memudahkan lagi proses logistik barangan yang dihasilkan di kilang untuk dihantar ke serata tempat bagi tujuan pemasaran. Infrastruktur telekomunikasi negara yang maju turut membantu menyumbang kepada kegiatan ekonomi khususnya sektor keusahawanan. Kelajuan dan capaian internet membolehkan kawasan Jitra untuk diketahui di seluruh negara dan berjaya diketahui orang ramai sebagai contoh terdapat restoran yang sedap dimana restoran tersebut tular di media sosial dan restoran tersebut mendapat sambutan ramai secara tidak langsung ianya akan menambahkan pendapatan penduduk Taman Suria 3.

    Perkembangan teknologi yang maju dan canggih juga turut mempengaruhi kegiatan ekonomi di Jitra. Ini dapat dilihat dalam sektor perindustrian di mana mesin-mesin yang digunakan di kebanyakan kilang-kilang pengeluar adalah moden justeru dapat meningkatkan kualiti produk dan jumlah keluaran di samping mempercepatkan kerja dan juga menjimatkan kos. Selain itu, faktor buruh atau tenaga kerja yang ada di Jitra juga menggalakkan kegiatan ekonomi dalam sektor perindustrian dijalankan di sini. Buruh yang murah dengan tenaga kerja yang mahir dianggap sebagai suatu kelebihan bagi syarikat dari luar negara untuk beroperasi di sini.

    Dasar pendidikan di Malaysia yang menggalakkan atau mengutamakan pendidikan di setiap aspek dan peringkat telah menyebabkan wujudnya beberapa buah institut pengajian tinggi di sekitar kawasan Jitra. Infrastruktur pengangkutan yang lengkap juga memudahkan lagi para pelajar untuk mendaftarkan diri dan seterusnya menuntut di universiti atau kolej di kawasan ini. Begitu juga kemudahan seperti kolej kediaman yang disediakan beserta internet menarik minat orang ramai untuk belajar di sini.

    Natijahnya dapat kita lihat pelbagai faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di sekitar kawasan Jitra tidak kira dari aspek fizikal mahupun aspek manusia.

5.0 Kegiatan Ekonomi Yang Berpotensi Untuk Dimajukan Di Taman Suria 3

    Kegiatan ekonomi yang berpotensi untuk dimajukan bermaksud kegiatan ekonomi sedia ada yang boleh dinaik taraf atau membuka satu kegiatan ekonomi yang baru untuk memenuhi keperluan penduduk atau dapat meningkatkan pendapatan penduduk (Norain, 2017).

    Antara jenis kegiatan ekonomi yang berpotensi untuk dimajukan di Taman Suria 3 adalah penternakan. Oleh kerana bentuk muka bumi di Taman Suria 3 yang sesuai dan juga masih mempunyai kawasan hijau atau tanaman tumbuhan semulajadi, maka aktiviti penternakan seperti lembu, kambing, ayam dan sebagainya boleh dijalankan. Berbeza dengan kawasan yang telah dipenuhi dengan proses pembandaran seperti di Kuala Lumpur, kawasan adalah terhad sekiranya ingin melaksanakan kegiatan ekonomi ini. Sekiranya aktiviti ini dijalankan, akan berlakunya pengurangan import bagi jenis ternakan yang dilakukan justeru menguntungkan penduduk sekitar.

    Seterusnya, sektor pelancongan juga merupakan kegiatan ekonomi yang berpotensi untuk dimajukan. Sektor pelancongan boleh dimajukan dengan cara membina rumah-rumah penginapan di desa untuk memberi suasana desa kepada penduduk bandar. Pengusaha inap desa juga perlu merangka aktiviti-aktiviti yang dapat menarik para pelancong dari segi kebudayaan dan adat resam penduduk setempat. Selain daripada itu, pembinaan kompleks membeli belah dan tempat rekreasi seperti tasik juga dapat menarik perhatian para pelancong untuk datang ke Jitra, Kedah.

    Sektor pengangkutan juga berpotensi dimajukan untuk menjana kegiatan ekonomi penduduk di Taman Suria 3. Masalah pengangkutan awam yang kebiasaannya menjadi beban kepada penduduk setempat dapat diatasi dengan pelabagai cara. Antaranya ialah dengan menyediakan perkhidmatan bas percuma, menyediakan lebih banyak pengangkutan berbayar seperti Grab untuk mengatasi kesesakan jalan raya pada waktu puncak dalam kawasan yang padat dengan penduduk seperti di Jitra.

6.0 Kesimpulan

Rajah 9: Carta Pai menunjukkan jenis-jenis pekerjaan penduduk dalam pelbagai kegiatan ekonomi di Taman Suria 3

    Terdapat empat jenis kegiatan ekonomi utama yang dijalankan oleh penduduk di Taman Suria 3, Jitra, Kedah. Kegiatan ekonomi tersebut adalah pertanian iaitu sebanyak 55% kerana bentuk muka bumi yang sesuai serta iklim yang baik menjadikan sektor pertanian menjadi kegiatan ekonomi utama penduduk Taman Suria 3. Seterusnya, penduduk di Taman Suria 3 kebanyakkannya bekerja dalam sektor perindustrian iaitu sebanyak 20% kerana terdapat banyak kawasan perindustrian telah dibangunkan di kawasan tersebut sehingga lebih kurang 7 kawasan perindustrian. Penduduk juga bekerja dalam sektor pendidikan iaitu sebanyak 15%. Jitra telah menjadi pusat pendidikan tumpuan berikutan kedudukan lokasinya yang strategik yang mudah dicapai dengan jaringan lebuh raya yang menghubungkan antara daerah dan negeri serta infrastruktur yang lengkap seperti kewujudan internet yang pantas. Penduduk juga bekerja dalam sektor keusahawanan kerana terdapat banyak deretan rumah kedai serta pusat perniagaan yang banyak berikutan populasi penduduk Taman Suria 3 sangat banyak. Walaupun terdapat juga kegiatan ekonomi yang lain dijalankan oleh penduduk sekitar tetapi empat kegiatan ini adalah yang paling ketara. Kegiatan-kegiatan ekonomi tersebut telah dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah faktor fizikal dan juga faktor manusia. Faktor fizikal tersebut adalah bentuk muka bumi yang sesuai untuk menjalankan aktiviti seperti tanah pamah untuk pembinaan jalan raya dan kawasan perindustrian serta pertanian tumbuh-tumbuhan. Selain itu iklim dan suhu yang sesuai juga untuk penanaman padi. Infrastruktur yang maju serta tekonologi yang canggih dan moden juga meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk di Taman Suria 3. Walaupun Jitra telah menjadi salah satu bandar yang maju di Kubang Pasu tetapi masih terdapat kegiatan ekonomi yang boleh dimajukan untuk kepentingan penduduk Taman Suria 3. Antaranya aktiviti penternakan, pelancongan dan pengangkutan. Ini penting bagi memastikan sumber semula jadi yang ada di sesebuah tempat digunakan dengan sebaiknya dan dapat memberi keuntungan kepada penduduk. Kerajaan juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan kegiatan ekonomi di Taman Suria 3 berkembang dengan pesat. 

7.0 Rujukan

Abdullah, D. S. (2017, Januari 7). Inovasi Pertanian Tingkatkan Ekonomi Rakyat. Retrieved from https://www.bharian.com.my/kolumnis/2017/01/231311/inovasi-pertanian-tingkat-ekonomi-rakyat-negara

Asri, N. M. (2017). Pembangunan Kewangan Dan Pertumbuhan Sektor-Sektor Ekonomi: Bukti Empirikal Di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia 42, 65-89.

Corlleus, K. (2019, Jun 27). Pengusaha Pelancongan Perlu Lebih Kreatif. Retrieved from https://www.utusanborneo.com.my/2019/06/27/pengusaha-pelancongan-perlu-lebih-kreatif

Idris, R. (2021, Ogos 8). Merancakkan semula sektor ekonomi. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/848889/merancakkan-semula-sektor-ekonomi

Jusoh, N. F. (2015). Perkembangan Dan Cabaran sektor perniagaan sebagai pemangkin. Malaysian Journal of Society and Space , 1-12.

Kassim, S. (2019, Oktober 17). Sistem Pengangkutan Mampan Pacu Pertumbuhan Negara. Retrieved from https://www.sinarharian.com.my/article/52646/BERITA/Nasional/Sistem-pengangkutan-mampan-pacu-pertumbuhan-negara-Dr-Mahathir

Marwah, M. F. (2020, Oktober 26). Dron Untuk Pertanian. Retrieved from https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/10/746248/dron-pintar-inovasi-lonjak-hasil-sektor-pertanian

Nor, A. R. (2015). Buku Teks Geografi Tingkatan 3. Selangor: Cerdik Publications Sdn Bhd.

Osman, R. (2020). Mengembangkan Industri Ternakan. Retrieved from https://www.fama.gov.my/documents/20143/64638/Bab+5+-+Mengembangkan+Industri+Ternakan.pdf/7c0a821d-f06c-1f6b-32fa-a34dd7a093fd

NAMA: NURIN NABILA BINTI AHMAD HELMI

NO MATRIK: D20201093812

KUMPULAN: B

No comments:

Post a Comment