Monday, December 27, 2021

PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM DALAM KALANGAN REMAJA DI KAWASAN GUNONG, BACHOK, KELANTAN

 

1.0 PENDAHULUAN

Penggunaan tumbuhan tradisional setempat telah lama dipraktiskan dalam masyarakat India, China, Eropah dan Amerika Utara. Menurut Richards, (2011) tumbuhan tempatan digunakan samada untuk tujuan perubatan, dalam upacara keagamaan atau tujuan bersosial. Secara tradisinya, daun ketum telah digunakan bagi tujuan perubatan ataupun menjadi amalan dalam aktiviti sosial masyarakat. Perubatan tradisional yang berasaskan ketum adalah digunakan bagi mengubati pelbagai jenis penyakit seperti kecacingan, cirit birit atau digunakan untuk menambahkan tenaga untuk bekerja (Prozialeck, Jateen & Shridhar, 2012). Secara umumnya ketum memberikan manfaat dari sudut perubatan, namun penggunaannya kini kian dilupakan oleh kerana  rawatan atau ubatan-ubatan moden yang wujud dan menjadi pengganti kepada perubatan tradisional.

Penggunaan ketum mula timbul kembali, namun ianya tidak lagi dikenali sebagai tumbuhan herba yang digunakan untuk perubatan dan sebaliknya dikaitkan dengan isu ketagihan dan penyalahgunaannya. Hal ini kerana penyalahgunaan ketum ini semakin bertambah dari semasa ke semasa terutamanya di kawasan Gunong, Bachok, Kelantan. Gunong merupakan salah satu Mukim terbesar yang terletak dalam Jajahan Bachok dan merupakan salah satu tempat yang menyumbang kenaikan isu penyalahgunaan daun ketum yang meningkat setiap tahun dalam Jajahan Bachok.




Rajah 1. Peta Mukim Gunong, Bachok , Kelantan

Isu penyalahgunaan daun ketum ini timbul sejak dahulu lagi, namun ianya semakin berkembang dan berleluasa ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Isu ini bukan sahaja mempengaruhi golongan belia malah mempengaruhi golongan remaja. Hal ini dibuktikan berdasarkan laporan yang dibuat oleh Astro Awani (2018), iaitu terdapat tiga orang pelajar tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah di kawasan Bachok, Kelantan yang meminum ketum dan video perbuatan mereka tular di media sosial kini menjalani proses kaunseling dan intervensi.

Rajah 2. Pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan ketum

Penggunaan daun ketum ini semakin berleluasa dan meningkat di kawasan Bachok dan tiada tanda penurunan penyalahgunaan daun ketum dalam masyarakat yang tinggal di kawasan Bachok terutamanya remaja. Hal ini dibuktikan dimana pada 6 Disember 2021, polis telah menahan 40 individu termasuk lima wanita selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam Ops Bersepadu di sekitar Bachok termasuklah kawasan Gunong.  Menurut ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, individu yang ditahan berusia antara 17 tahun hingga 48 tahun (Kosmo, 2021). Sementara itu juga pihak Agensi Anti Dadah Kelantan juga memaklumkan bahawa golongan remaja yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah sintetik di Kelantan sentiasa bertambah saban hari (Astro Awani,2018)


2.0 PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM

Pokok ketum atau pokok biak atau nama sainstifiknya Mitragyna Speciosa adalah sejenis tumbuhan daripada family Rubiacea yang banyak terdapat di negeri-negeri sebelah utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia . (Nurhafizah & Mazlan, 2014).  Ianya hidup di kawasan bertanah lembab yang mempunyai kandungan humus yang tinggi. Tumbuhan ini tumbuh secara meliar di kawasan-kawasan hutan dan persekitaran kampung. Batang pokok ketum berkayu keras dan bercabang. Manakala ketingian pokok ketum ini boleh mencecah sehingga 25 meter dan garis pusat batang pokok boleh mencecah sehingga 1 meter. Bahagian yang digunakan daripada pokok ketum adalah daunnya sahaja.

Rajah 3. Pokok Ketum

Air daun ketum dihasilkan dengan merebus daun ketum dan air rebusan daun ketum ini dibungkus dalam paket kecil untuk dijual kepada penagih dadah. Proses penghasilan daun ketum yang sering dilakukan oleh golongan belia adalah dengan merebus daun ketum dengan kuantiti yang banyak atau mencampurkan air rebusan ini dengan pelbagai bahan lain untuk dijadikan minuman cocktail yang dikenali sebagai ‘sii koon roi’ atau dikenali sebagai cocktail 4x100. Dalam pembuatan cocktail ketum ini, empat bahan asas yang biasa digunakan ialah air yang direbus bersama 100 helai daun ketum dan dicampurkan bersama coca-cola, ubat batuk dan juga ais kiub (Tanguay, 2011). Campuran ini adalah bertujuan bagi mengurangkan rasa pahit daun ketum tersebut di samping memberi rasa yang lebih sedap dan meningkatkan lagi kesan khayal kepada si peminum. Justeru itu, pengambilan ini dikategorikan sebagai penyalahgunaan daun ketum.

                                                       Rajah 4. Pemprosesan Air Ketum

                                     

                                                    Rajah 5. Pembungkusan Air Ketum


3.0 KESAN KETAGIHAN AIR DAUN KETUM TERHADAP REMAJA

Menurut Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad (2018), fenomena penggunaan air ketum perlu dicegah bagi mengelak golongan remaja terus hanyut dan terjebak dalam gejala penagihan dadah. Pengambilan ketum yang berterusan juga boleh memberi kesan kepada pembelajaran. Hubungan yang signifikan pengambilan air ketum dengan presatasi akedemik dan tingkah laku dimana ia boleh menjadikan seseorang pelajar malas hendak ke sekolah dan tidak memberikan tumpuan semasa dalam kelas. Apabila pelajar meminum air ketum tingkah laku akan berubah seperti bertindak lebih agresif apabila sesuatu barang yang mengkhayalkan tiada dan mempengaruhi rakan sebaya untuk melakukan perkara yang sama. 

Namun, daripada permulaan meminum air ketum perubahan tingkah laku seterusnya menjadi lebih teruk kepada pengambilan bahan-bahan yang lebih mengkhayalkan. Menurut kajian terdahulu juga, remaja yang terlibat dengan ketagihan ketum berkemungkinan besar akan terlibat dengan pil kuda. Apabila remaja terlibat dengan dadah, ianya akan mendorong remaja tersebut untuk melakukan jenayah seperti menjual, mencuri dan merompak demi mendapatkan modal untuk membeli dadah.

Seterusnya, kesan pengambilan ketum ini juga boleh menyebabkan khayal (Euphoria), pening, mengantuk dan muntah. Namun, apabila diambil secara berlebihan dan berterusan akan mengakibatkan kesan buruk samada secara fizikal atau mental seperti ketagihan, bibir dan kulit menjadi kehitaman seperti kesan lebam dan terbakar terutamanya pada kawasan pipi, kulit menjadi kering, mengalami sembelit dan mengalami kesukaran untuk tidur (Insomnia).

 

4.0 UNDANG-UNDANG DALAM MENGAWAL PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM

Daun ketum mengandungi bahan kimia yang aktif iaitu mitragynine dimana ianya merupakan sejenis alkaloid psikoaktif yang dikawal di Malaysia. Mytrogynine ini dikawal dibawah Akta Racun 1952 dibawah peraturan psikotropik dan ianya disenaraikan dalam Jadual Ketiga dalam bahan-bahan Psikotropik. Di dalam daun ketum juga terdapat 24 bahan lain yang terkandung iaitu antaranya ialah ajmalin, cirynanthedine, mitaphylline, paynanthesine, speciophylin dan speciogynine. Menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952, setiap transaksi berkaitan daun tersebut samada mengimport, memiliki, mencampur, menyimpan, menghantar, menjual atau menggunakannya akan menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 30 (3).

Jika seseorang itu didapati memiliki, menjual atau menggunakan daun ketum bagi tujuan perubatan maka ia tidak dikenali sebagai penyalahgunaan tetapi ia masih lagi boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta tersebut. Jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan di bawah Seksyen 30 (5) Aktar Racun 1952, iaitu denda tidak melebih RM10,000 atau 4 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


5.0 KAEDAH MENGATASI PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM DALAM KALANGAN REMAJA

Kaedah penyampaian maklumat yang berkesan dalam mengatasi masalah ini adalah melalui media massa seperti televisyen dan media sosial. Oleh kerana peredaran masa yang semakin moden, penggunaan teknologi media sosial semakin meluas dalam kalangan remaja seperti Facebook, Twitter, Tiktok dan banyak lagi. Platform media sosial memainkan peranan utama dalam memaparkan atau menyediakan rencana iklan tentang bahayanya penyalahgunaan daun ketum.

Selain itu, pihak sekolah dan AADK juga memainkan peranan penting iaitu dengan  menyampaikan maklumat tentang bahayanya air ketum disamping peranan televisyen dalam memaparkan iklan-iklan atau dokumentari mengenai bahayanya penyalahgunaan air daun ketum kepada umum.

Setersunya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mengawal dan mengawasi tindakan dan tingkah laku remaja agar perkara ini boleh dibendung daripada awal. Ibu bapa juga perlulah menjadi contoh teladan yang baik agar remaja tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini. Hal ini kerana, berdasarkan pemerhatian kebanyakan remaja yang terjebak dengan penyalahgunaan daun ketum ini adalah kerana ibu bapa mereka juga terlibat dalam pengambilan dan penjualan air ketum yang menjadi sumber pendapatan keluarga mereka.

 

6.0 PENUTUP

Walaupun berbagai kaedah dan langkah yang diambil oleh pihak yang bertanggungjawab bagi membendung penyalahgunaan daun ketum dalam kalangan remaja, isu ini tidak pernah berkurangan malah semakin meningkat saban tahun kerana isu ini di pandang remeh dan sambil lewa oleh mereka yang bertanggungjawab. Pihak yang berwajib perlu tegas dan menunjukkan penyampaian maklumat secara tepat daripada sumber yang tepat dari masa ke semasa dalam membantu masayarakat terutamanya remaja untuk mengatasi penyalahgunaan daun ketum. Secara keseluruhannya, isu ini perlulah di ambil berat oleh pihak yang berwajib bagi memastikan generasi yang akan datang menjadi generasi yang cemerlang. Remaja merupakan generasi yang akan mencorak masa depan Negara kita.


7.0 RUJUKAN

Richard, JP. (2011). Opium and the British Empire: The Royal Commision of 1895. Diperolehi melalui

pautan : https://www.drugpolicy.org/docuploads/opium_indiapdf.

Chittrakarn, S., Sawangjaroen, K., Prasettho, S. Janchawee, B., & Keawpradub, N. (2012). Quantitative

Analysis of Mytrogynine cocktail using high performance liquid chromatography. Foremsic Science International. 217(1), 81-86

Prozialeck, W. C., Jateen, K,. J, & Shridhar, V. A. (2012). Pharmacology of Kratom : An Emerging                     Botanical Agent With Stimulant, Analgesic and Oploid-Lika Effects. Journal of the American                 Ostheophatic Assiciation, 112(12), 792-799.

Nurhafizah & Mazlan. (2014). Penyalahgunaan Daun Ketum. Portal Rasmi MyHEALTH Kementerian

Kesihatan Malaysia. Diperolehi melalui pautan : http://www.myhealth.gov.my/penyalahgunaan-daun- ketum/

Rohana M.Nawi. (2021). 40 Individu Ditahan Terlibat Kes Dadah, Ketum Di Bachok. Kosmo Online.

Diperolehi melalui pautan : https://www.kosmo.com.my/2021/12/06/40-individu-ditahan-terlibat-kes-dadah-ketum-di-bachok/

Vivi Sumanthi. (2018). Pelajar Perempuan Minum Ketum Kini Jalani Kaunseling Dan Intervensi. Astro

Awani. Diperoleh melalui pautan : https://www.astrowani.com/berita-malaysia/pelajar-perempuan-minum-ketum-kini-jalani-kaunseling-dan-intervensi-172550?amp=1

Fazlina A.Rahim. (2018). Lagi Ramai Pelajar Minum Air Ketum. Harian Metro. Diperolehi melalui pautan :

https://www.hmetro.com.my/amp/mutakhir/2018/09/373661/lagi-ra,ai-pelajar-minum-air-ketum


Disediakan oleh : Alin Naqiah Binti Zakaria

No. Matrik : D20182085876

Kumpulan : B

No comments:

Post a Comment