Monday, December 27, 2021

Himpunan serpihan kayu balak dari hulu Sungai Baleh ke Sungai Rajang: Punca dan Kesan kepada penduduk kawasan Sibu, Sarawak

Sibu merupakan bandar dan bahagian yang terletak di tengah-tengah Sarawak iaitu di antara Sarikei serta Mukah. Pentadbiran bahagian Sibu terbahagi kepada daerah Sibu, Kanowit dan Selangau. Dalam artikel ini, perbincangan akan memfokuskan kepada daerah Sibu khususnya di sekitar pusat bandar. Sibu turut dikenali sebagai bandar pelabuhan terbesar dan juga pusat komersial di Lembangan Rajang (Sarawak Tourism Board, n.d.). Ia terletak di pertemuan antara Sungai Rajang dan Sungai Igan dengan keluasan kira-kira 135.87 kilometer persegi serta jumlah penduduk sebanyak 247, 995 orang berdasarkan data bancian penduduk tahun 2010 (Majlis Perbandaran Sibu, 2019). Selain daripada itu, Sibu turut berperanan sebagai pusat perniagaan, perdagangan dan pengeluar kayu balak utama. Kawasan Sibu ini merangkumi tempat-tempat seperti bandar Sibu, Pasar Sungei Merah, tebing timur Batang Rajang, Pulau Kerto, KM10 Jalan Teku, KM12 Jalan Oya dan KM8 Jalan Salim.

Sumber: Google Maps of Sibu Division

Rajah 1: Lokasi daerah Sibu yang terletak di titik pertemuan antara Sungai Rajang dan Sungai Igan

Sibu mula berkembang menjadi bandar pengeluar balak khususnya semasa industri balak sedang berkembang pada tahun 1940-an hingga 1950-an. Tambahan pula, industri pembalakan dan industri lain berasaskan kayu serta industri asas tani merupakan aktiviti ekonomi utama di Lembangan Rajang. Sibu dikatakan sebagai pengeluar utama balak dari kawasan hutan gunung seperti pokok Meranti (Pakhriazad & Mohd Hasmadi, 2010). Hasil kayu balak berkenaan banyak digunakan ke dalam industri pembuatan perabot. Di Sibu, Rimbunan Hijau merupakan sebuah syarikat pembalakan multinasional yang mengendalikan aktiviti pembalakan secara besar-besaran serta memiliki kilang papan terbesar. Oleh kerana aktiviti pembalakan banyak dijalankan di kawasan pedalaman Song, Belaga, Kapit serta di bahagian hulu sungai, maka kayu balak hanya boleh diangkut melalui jalan sungai ke Sibu. Hal ini dikatakan demikian kerana ia mengambil masa yang lebih singkat berbanding jalan darat. Tambahan pula, jalan darat masih lagi belum dibangunkan sepenuhnya di kawasan Kapit. Antara aktiviti pembalakan paling ketara dapat dilihat di hulu Sungai Baleh. Hasil kayu balak juga lazimnya diangkut dari Sungai Baleh ke Sibu melalui Sungai Rajang.

Sungai Baleh merupakan salah satu anak sungai utama Sungai Rajang di Sarawak, Malaysia. Di sepanjang sungai, terdapat beberapa kem balak di mana aktiviti pembalakan giat dijalankan. Menurut Edward Muol & Gabriel Tonga (2018), Sungai Baleh terletak di bahagian timur bandar Kapit dengan longitud 114° 6' E hingga 114° 35' E dan latitud 1° 25' N hingga 1° 35.6' N. Keseluruhan akses atau darjah ketersampaian ke kawasan Sungai Baleh sehingga ke hulu adalah sangat lemah. Kawasan tersebut dihubungkan dengan laluan balak yang menuju ke kawasan pembalakan utama di Putai.

Sumber: Google Maps of Hulu Baleh

Rajah 2: Lokasi hulu Sungai Baleh

Sungai Rajang pula merupakan sungai terpanjang di Malaysia kira-kira 565 kilometer panjang. Sungai Rajang secara umumnya merupakan sistem saliran utama di tengah-tengah Sarawak yang bermula daripada banjaran gunung Nieuwenhuis, mengalir melalui bahagian tengah Sarawak seterusnya ke Laut China Selatan (Shabdin, 2010). Sungai Rajang dibarisi oleh ratusan kawasan perkampungan, rumah panjang dan termasuklah Sibu, Sarikei, Kanowit serta Kapit. Sungai Rajang diibaratkan seperti mod komunikasi utama bagi semua masyarakat yang tinggal di sepanjangnya. Pada segmen sungai yang berada di atas Belaga dan Kapit di Sungai Baleh merupakan kawasan yang dikira sebagai pedalaman yang masih dipenuhi bukit bukau dan dataran tinggi. Di wilayah yang hampir sepenuhnya bergantung pada pengangkutan sungai, Sungai Rajang boleh dilalui sejauh 130 kilometer dengan menggunakan kapal laut dan 160 kilometer menggunakan kapal cetek seperti sampan yang kemudiannya dapat menembusi kawasan pedalaman (Britannica Encyclopedia, 1998). Selain daripada berperanan sebagai jalan pengangkutan, terdapat aktiviti perdagangan melalui pelabuhan Rajang, pembalakan di hulu sungai serta pengangkutan kayu balak ke Sibu.

Sumber: Google Maps of Rajang River

Rajah 3: Lokasi Sungai Rajang

Aktiviti pembalakan serta pengangkutan kayu balak dari hulu Sungai Baleh telah menimbulkan beberapa kesan buruk kepada Sungai Rajang dan penduduk di sepanjangnya. Antara petempatan di sepanjang Sungai Rajang yang menerima impak paling teruk ialah sekitar bandar Sibu. Misalnya pada tahun 2010, serpihan atau sisa kayu balak telah hanyut dari hulu Sungai Baleh ke hilir Sungai Rajang yang turut melalui bandar Kapit sehingga Sibu. Hanyutan serpihan kayu balak yang menyekat laluan air sungai hampir 100% tersebut telah menjejaskan lokasi Sibu hingga Putai iaitu jarak kira-kira 300 kilometer (Borneo Post, 12 Oktober 2010). Fenomena yang telah mendapat liputan meluas dari pelbagai media akhbar serta berita ini digelar sebagai tsunami kayu balak oleh penduduk tempatan di Sibu. Fenomena tersebut juga dianggap sebagai mimpi ngeri terutama kepada komuniti yang masih bergantung kepada air sungai. Longgokan kayu balak yang serius itu bukan sahaja mengundang kebimbangan, tetapi juga mengundang pelbagai spekulasi mengenai puncanya. 10 tahun kemudian iaitu sekitar bulan Ogos tahun 2021, hulu Sungai Baleh hingga Sungai Rajang sekali lagi dibanjiri longgokan serpihan kayu yang hanyut daripada tapak pembalakan khususnya semasa hujan lebat. Gambar rajah berikut menunjukkan situasi Sungai Rajang yang dipenuhi serpihan kayu balak dari hulu Sungai Baleh.

Sumber: Bernama (23 Ogos, 2021)

Rajah 4: Hanyutan serpihan kayu balak di Sungai Rajang

 

Sumber: Akhbar atas talian Harian Metro (22 Ogos, 2021)

Rajah 5: Situasi longgokan sisa kayu di hulu Sungai Baleh

 

Punca-punca yang mengakibatkan berlakunya himpunan serpihan kayu balak dari hulu Sungai Baleh ke Sungai Rajang

Punca sebenar himpunan serpihan kayu balak dari hulu Sungai Baleh hingga ke Sungai Rajang tersebut dikatakan masih belum dapat dikenal pasti hingga kini. Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, Sibu iaitu Irene Chang mengatakan bahawa siasatan lanjut telah dijalankan dalam peristiwa himpunan serpihan kayu balak pada tahun 2010, namun hasil siasatan didakwa tidak didedahkan sepenuhnya oleh pasukan penyiasat tersebut. Sehingga kini, rata-rata laporan yang diterima menuding jari kepada faktor hujan lebat, tanah runtuh dan ketepuan tanah seperti yang dapat dilihat pada Rajah 6 mengenai proses kejadian bencana itu.

Sumber: Artikel The Rejang River Log jam

Rajah 6: Ramalan kronologi kejadian himpunan serpihan kayu balak dari hulu Sungai Baleh ke Sungai Rajang


Walau bagaimanapun, jika diteliti berkenaan faktor tanah runtuh serta ketepuan tanah, ianya berlaku hasil daripada aktiviti-aktiviti manusia di sekitarnya. Banyak pihak juga telah menimbulkan spekulasi serta saling menuding jari mengenai punca-punca yang menyebabkan fenomena tsunami kayu balak tersebut terjadi. Misalnya, antara punca yang berkemungkinan besar menjadi punca kepada fenomena itu adalah aktiviti pembalakan tidak terkawal, kerja pembinaan tapak empangan dan aktiviti pertanian pindah.

Aktiviti pembalakan di kawasan hulu tidak dinafikan menjadi antara salah satu faktor berlakunya himpunan serpihan kayu balak di Sungai Rajang. Timbalan ketua menteri Sarawak pada ketika itu, Tan Sri James Masing turut menyalahkan sikap tidak bertanggungjawab syarikat pembalakan serta para pembalak haram yang menjalankan aktiviti pembalakan secara berlebihan. Kebanyakan syarikat pembalak menjalankan aktiviti penebangan pokok tanpa mengambil kira kesan terhadap alam sekitar, seterusnya membuang atau meninggalkan sisa-sisa kayu seperti ranting serta batang kayu di tebing sungai. Dalam kejadian himpunan serpihan kayu yang pertama pada tahun 2010, Tan Sri James Masing juga mendakwa bahawa aktiviti pembalakan haram yang aktif dilaksanakan di Sungai Melatai berdekatan Sungai Baleh menjadi punca kepada bencana tersebut (Joseph Tawie, 2010). Beliau turut menyalahkan tindakan pemberian lesen membalak tanpa kawalan kepada syarikat pembalakan. Tambahan pula, hujan lebat selama 2 minggu ketika itu telah menyebabkan tanah menjadi tepu sehingga terjadinya tanah runtuh di kedua-dua tebing Sungai Melatai selanjutnya membawa sekali serpihan kayu balak menyusuri masuk ke Sungai Rajang. Dalam kejadian himpunan serpihan kayu balak yang berlaku baru-baru ini pula dikatakan berpunca daripada aktiviti pembalakan di hulu Sungai Mengiong iaitu anak hulu Sungai Baleh. Kerja-kerja mengekstrak kayu juga telah dilakukan di salah satu alur hulu sungai tersebut. Kawasan-kawasan pembalakan tersebut dipercayai akan ditenggelami air pada 5 tahun akan datang berikutan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh pada tahun 2026. Oleh itu, proses mengekstrak kayu bernilai komersial untuk projek lulusan kerajaan itu giat dilaksanakan (Aubrey, 2021).

Sumber: Artikel akhbar Mongabay News, 26 Ogos 2021

Rajah 7: Kayu balak disusun di tebing hulu Sungai Baleh sebelum diangkut

Di samping itu, Jabatan Perhutanan Sarawak menyatakan bahawa himpunan serpihan kayu balak dari hulu Sungai Baleh hingga Sungai Rajang terjadi hasil daripada kerja-kerja pembersihan tapak Empangan Hidroelektrik Baleh (Goh, 2021). Punca tersebut dikenal pasti melalui pemantauan darat serta pengawasan dari ruang udara oleh Jabatan Perhutanan Sarawak serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Lembaga Sungai Sarawak (SRB) di sekitar kawasan bermulanya hanyutan serpihan kayu balak. Beberapa aktivis alam sekitar turut percaya bahawa penebangan pokok secara besar-besaran telah berlaku di kawasan pembinaan empangan mengakibatkan bahagian pokok yang tidak berguna dibuang ke dalam sungai.

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut dinafikan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menegaskan bahawa aktiviti pembalakan di hulu Sungai Baleh merupakan faktor utama terjadinya fenomena tsunami kayu balak tersebut. SEB juga memaklumkan bahawa tiada kerja pembukaan tanah yang dijalankan di tapak projek sehingga menyebabkan pembuangan sisa pembalakan. Kerja pembersihan tapak empangan itu telah dilaksanakan pada tahun 2018 hingga 2019 di bahagian hilir. Akan tetapi, sisa balak dibuang mengikut prosedur yang betul serta mengikut garis panduan dan pengawasan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar. Tinjauan lanjut juga telah diadakan oleh SEB sendiri untuk mengesan punca himpunan serpihan kayu balak. Hasil tinjauan melalui udara menunjukkan bahawa lebih banyak longgokan kayu balak terletak 1.5 kilometer ke hulu dari pintu masuk terowong penyimpangan di empangan Baleh (Sarawak Energy Berhad, 2021). Oleh itu, SEB membuat kesimpulan bahawa fenomena berkenaan bukan berpunca daripada tapak empangan.

Sumber: Laman Web Rasmi Sarawak Energy Berhad

Rajah 8: Himpunan serpihan kayu balak berdekatan "diversion tunnel' di tapak Empangan Hidroelektrik Baleh

Sumber: Laman Web Rasmi Sarawak Energy Berhad

Rajah 9: Hasil tinjauan punca himpunan serpihan kayu balak menggunakan dron oleh SEB

Jabatan Perhutanan Sarawak juga mengatakan bahawa aktiviti membuka tanah oleh penduduk tempatan di hulu Sungai Baleh untuk tujuan pertanian pindah sebagai antara punca utama kepada himpunan serpihan kayu balak yang hanyut hingga ke Sibu. Hal ini dikatakan demikian kerana pembukaan tanah pertanian biasanya memerlukan kerja-kerja penebangan pokok. Walaupun begitu, kenyataan tersebut ditolak sepenuhnya oleh penduduk tempatan dan Persatuan Kebajikan Nanga Antawau Kapit. Komuniti tersebut mendedahkan bahawa aktiviti pertanian pindah sudah tidak giat dilaksanakan selama bertahun-tahun di bahagian hulu Sungai Baleh hingga ke Batang Baleh. Hal ini dikatakan demikian kerana pertambahan aktiviti pembalakan telah banyak menghalang komuniti tempatan mengamalkan pertanian pindah mereka (Ling, 2021). Komuniti berkenaan turut menyalahkan pihak Jabatan Perhutanan yang gagal untuk membuat kawalan ketat ke atas aktiviti berasaskan kayu balak di sepanjang sungai.

Fenomena serpihan kayu yang hanyut itu juga boleh dikaitkan dengan faktor semula jadi. Longgokan kayu balak boleh dicirikan sebagai fenomena pengumpulan padat ranting, batang pokok atau kepingan kayu besar sama ada di dasar atau tebing sungai. Longgokan kayu balak boleh berlaku apabila pokok-pokok yang terapung tersebut terjerat dengan pokok lain, tersangkut pada batu, serpihan kayu yang besar atau objek lain. Longgokan kayu tersebut akan berlaku secara perlahan-lahan selama beberapa bulan bahkan tahun sehingga ia menjadi padat. Apabila arus air sungai berubah menjadi sangat deras terutamanya ketika hujan lebat, longgokan atau himpunan serpihan kayu balak yang telah lama terbina tersebut akan dihanyutkan dengan serta merta. Sebagai contoh, kejadian himpunan kayu balak yang hanyut di Spirit Lake, Washington berikutan tanah runtuh yang dicetuskan oleh letusan Gunung St. Helens pada tahun 1980. Semasa letusan, berlaku runtuhan cerun yang kemudian bergerak menuruni gunung lalu membawa akar, pokok dan tunggul ke dalam sungai. Hasil daripada letusan itu juga, berlaku aliran lumpur di selatan Sungai Fork Toutle dan di anak Sungai Smith Creek (Cummans, 1980).

 

Kesan himpunan serpihan kayu balak dari hulu Sungai Baleh ke Sungai Rajang kepada penduduk kawasan Sibu

Hampir kesemua bahagian bandar atau petempatan mengalami gangguan bekalan air akibat daripada himpunan serpihan kayu balak di Sungai Rajang yang berlaku sekitar bulan Ogos tahun ini. Penduduk mengalami masalah tekanan air yang amat rendah ataupun tiada bekalan air langsung yang sampai ke kawasan kediaman. Lembaga Air Sibu turut mengesahkan bahawa serpihan kayu balak yang terapung dari hulu Sungai Baleh bersama lumpur itu mengakibatkan kerja-kerja mengekstrak air mentah menjadi sukar. Masalah tersebut juga diikuti dengan loji rawatan air yang hanya dapat berfungsi dalam kapasiti minimum (Dayak Daily, 2021). Aktiviti perniagaan khususnya gerai makanan menjadi terganggu dari segi kerja-kerja membasuh peralatan makan dan memasak serta membersihkan gerai. Oleh itu, kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup sementara menunggu kerja-kerja pembersihan serpihan kayu balak dilakukan oleh pihak berwajib. Penduduk di kebanyakan kawasan kediaman terutamanya yang menetap di rumah pangsa pula tidak mendapat bekalan air sepanjang hari. Penduduk mengalami ketidakselesaan kerana tidak dapat menjalankan rutin kebiasaan seperti mandi serta mencuci. Impak yang dialami penduduk kawasan Sibu kali ini dikatakan lebih teruk berbanding bencana himpunan serpihan kayu balak yang berlaku pada tahun 2010.

Sebahagian besar penduduk Sibu masih lagi bergantung kepada pengangkutan melalui jalan sungai untuk pulang ke perkampungan yang terletak di kawasan pedalaman seperti Belaga dan Song. Oleh sebab laluan Sungai Rajang sehingga ke hulu Sungai Baleh telah disekat oleh longgokan kayu balak yang besar, maka pergerakan melalui jalan sungai adalah amat terhad. Misalnya, penduduk dari Sibu akan menggunakan perkhidmatan bot ekspres atau bot panjang untuk pulang ke rumah panjang di hulu Rajang yang hanya boleh diakses melalui jalan air. Jarak perjalanan adalah kira-kira 130 hingga 300 kilometer yang mengambil masa berjam-jam. Kesan daripada bencana berkenaan, kebanyakan jadual perjalanan bot ekspres pada ketika itu dibatalkan atas faktor keselamatan. Hanya sebilangan kecil bot yang masih beroperasi pada ketika itu.

Sumber: Artikel The Rejang River Log jam

Rajah 10: Laluan bot ekspres yang dipenuhi serpihan kayu balak

 

Sumber: Artikel The Rejang River Log Jam

Rajah 11: Bot ekspres yang bergerak perlahan menelusuri laluan himpunan serpihan kayu balak

Dalam keadaan sungai dipenuhi sisa kayu balak, bot ekspres hanya dapat bergerak dengan amat perlahan dan penuh waspada. Hal ini dikatakan demikian kerana pengemudian bot melalui jalan sungai yang dipenuhi kayu balak jelas sekali amat berbahaya. Ia berisiko mengakibatkan bot karam sekiranya bot berlanggar dengan serpihan kayu balak yang besar. Selain daripada itu, pergerakan bot terhad akibat longgokan kayu mungkin akan menyukarkan situasi kecemasan. Menurut laporan akhbar Borneo Post pada 12 Oktober, 2010, seorang kanak-kanak dari kawasan perkampungan pinggir sungai meninggal dunia kerana ibunya tidak dapat menghantarnya untuk menerima rawatan segera di pusat rawatan Kapit dan Sibu.

Di samping itu, bencana ini turut menjejaskan perkhidmatan feri yang membawa penduduk dari perkampungan seberang bandar Sibu. Perkampungan tersebut dipisahkan daripada bandar Sibu oleh Sungai Rajang. Penduduk dari sana perlu menggunakan feri untuk ke bandar Sibu atas urusan kerja. Urusan penduduk untuk ke tempat kerja sedikit sebanyak tergendala akibat kesukaran mengemudikan feri dalam keadaan sungai dipenuhi serpihan kayu balak. Seterusnya, segelintir penduduk sama ada di kawasan kampung atau bandar Sibu memperoleh punca pendapatan dengan memancing ikan dari Sungai Rajang. Himpunan serpihan kayu balak ini dikatakan juga telah menjejaskan hidupan sungai seterusnya mempengaruhi sumber pendapatan penduduk. Tan Sri James Jemut Masing yang telah melakukan pemantauan terhadap bencana itu pada tahun 2010 menyatakan bahawa banyak ikan-ikan sungai yang ditemui terapung bersama longgokan serpihan kayu balak (Goh, 2021). Ikan-ikan tersebut dipercayai mati akibat kekurangan oksigen berikutan kandungan bahan cemar yang tinggi serta paras oksigen berkurangan kerana permukaan dilitupi himpunan serpihan kayu balak.

 

Kesimpulan

Dapat disimpulkan bahawa punca utama wujudnya bencana himpunan serpihan kayu balak yang hanyut dari Sungai Baleh hingga Sungai Rajang adalah disebabkan oleh aktiviti pembalakan di kawasan hulu. Aktiviti pembalakan tanpa kawalan serta tidak mengikut garis panduan pembuangan sisa kayu balak dengan betul telah menyebabkan serpihan kayu balak terkumpul di bahagian tebing sungai. Seterusnya, longgokan serpihan kayu balak itu akan dihanyutkan akibat arus deras berikutan hujan lebat dan tanah runtuh. Kesan daripada itu, pihak berkuasa tempatan menggesa agar lesen pembalakan ditarik balik dan mengehadkan pemberian lesen bagi syarikat pembalakan lain. Jabatan Perhutanan Sarawak perlu memastikan syarikat pembalakan mengamalkan kaedah RIL(reduce impact logging) bagi meminimumkan impak dengan menebang pokok terpilih sahaja. Ia bagi mengelakkan insiden sama berulang lagi pada masa akan datang. Bencana himpunan serpihan kayu yang memenuhi permukaan hulu Sungai Baleh sehingga Sungai Rajang tidak wajar dipandang ringan kerana ia berisiko mengancam keselamatan komuniti yang menggunakan jalan air serta memudaratkan ekosistem air sungai.


Rujukan

Aubrey, S. (28 Ogos, 2021). Masing: Source of Batang Baleh logjam located at Sungai Mengiong headwaters. Borneo Post. Diperoleh daripada https://www.theborneopost.com/2021/08/28/masing-source-of-batang-baleh-logjam-located-at-sungai-mengiong-headwaters/

Britannica, T. Editors of Encyclopaedia (1998). Rajang River. Encyclopedia Britannica. https://www.britannica.com/place/Rajang-River

Britannica, T. Editors of Encyclopaedia (2012). Sibu. Encyclopedia Britannica. https://www.britannica.com/place/Sibu

Cummans, J. (1980). Mudflows resulting from the May 18, 1980, eruption of Mount St. Helens, Washington. Diperoleh https://pubs.usgs.gov/circ/1981/0850b/report.pdf

Donald, R. (26 Ogos, 2021). Dam builder denies responsibility as log-jam chokes river in Malaysian Borneo. Mongabay News. Diperoleh daripada https://news.mongabay.com/2021/08/dam-builder-denies-responsibility-as-logjam-chokes-river-in-malaysian-borneo/

Edward Muol & Gabriel Tonga Noweg. (2018). The geology of upper Baleh river, Kapit, Sarawak. Borneo Journal of Resource Science and Technology, 8(2), 109-116. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/332017067_The_Geology_of_Upper_Baleh_River_Kapit_Sarawak

Goh, P. P. (26 Ogos, 2021). Logjam in Batang Baleh caused by wood debris from Baleh dam. New Straits Times. Diperoleh daripada https://www.nst.com.my/news/nation/2021/08/721579/logjam-batang-baleh-caused-wood-debris-baleh-dam

Joseph Tawie. (2010). Logjam disaster: Blame in on the rain, not the loggers. Hornbill Unleashed. Diperoleh daripada https://hornbillunleashed.wordpress.com/2010/10/21/10905/

Ling, J. (24 Ogos, 2021). Baleh welfare organisation chides those blaming shifting cultivation for logjam. Borneo Post. Diperoleh daripada https://www.theborneopost.com/2021/08/24/baleh-welfare-organisation-chides-those-blaming-shifting-cultivation-for-logjam/

Logjam causes water supply disruption in Sibu. (23 Ogos, 2021). Dayak Daily. Diperoleh daripada https://dayakdaily.com/logjam-causes-water-supply-disruption-in-sibu/

Logjam triggered by various factors. (9 November, 2010). Borneo Post. Diperoleh daripada https://www.theborneopost.com/2010/11/09/%E2%80%98logjam-triggered-by-various-factors%E2%80%99/

Majlis Perbandaran Sibu. (2019). Lokasi Sibu. Laman Web Rasmi Majlis Perbandaran Sibu. Diperoleh daripada https://smc.gov.my/page-0-180-45-Lokasi-Sibu.html

Many attribute recent logjam at Rajang River to soil erosion at Baleh. (12 Oktober, 2010). Borneo Post. Diperoleh daripada https://www.theborneopost.com/2010/10/12/many-attribute-recent-logjam-at-rajang-river-to-soil-erosion-at-baleh/

Pakhriazad, H. Z. (2010). A study on trend of logs production and export in the state of Sarawak, Malaysia. International Journal of Marketing Studies, 2(1), 92-95. Diperoleh daripada https://www.ccsenet.org/journal/index.php/ijms/article/view/3671

Sarawak Energy Berhad. (2021). Logjam at Baleh river. Laman Web Rasmi Sarawak Energy Berhad. Diperoleh daripada https://www.sarawakenergy.com/media-info/media-releases/2021/media-statement-logjam-at-baleh-river

Sarawak Tourism Board. (n.d.). Sibu and central Sarawak visitor's guide. Diperoleh daripada https://sarawaktourism.com/v2/wp-content/uploads/2019/03/07-GUIDE-SIBU-CENTRAL-v2.pdf

Shabdin Mohd. Long. (2010). Macrofauna of Rajang river, Sarawak, Malaysian Borneo. Journal of Tropical Biology and Conservation, 7, 11-30. Diperoleh daripada https://www.ums.edu.my/ibtpv2/images/publication/JTBC/JTBC-VOL-7/2%20-%20shabdin.pdf


Penulis: Siela Melai Anak Reuteler

No. Matrik: XXXXXXXX1274

Kumpulan: C


No comments:

Post a Comment