Wednesday, December 29, 2021

FAKTOR BANJIR SEMASA MUSIM TENGKUJUH DI KAMPUNG KOTA, KOTA BHARU

Disediakan oleh: Nik Afiq Nik Mohd Zaib

No. Matrik: D20191088294

 

1.0  Pengenalan

Musim tengkujuh adalah satu musim yang sering menjadi mimpi ngeri bagi penduduk di kawasan sekitar Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan atas sebab risiko berlakunya bencana banjir yang kebiasaannya akan melanda di sekitar kawasan tersebut. Tambahan lagi, fenomena banjir ini juga boleh berlaku beberapa kali dalam setahun dan bukan hanya sekali sahaja setiap kali musim tengkujuh melanda yang menambahkan lagi kebimbangan penduduk setempat.  Bukan itu sahaja, keadaan rumah penduduk sekitar yang dahulunya berkonsepkan reka bentuk rumah tradisional telah pun berubah menjadi rumah yang menggunakan reka bentuk moden iaitu tidak lagi mempunyai ruang yang tinggi di bawah rumah. Jadi, perkara ini akan mengakibatkan risiko untuk air banjir memasuki rumah menjadi lebih tinggi dan seterusnya akan merosakkan harta benda di dalam rumah tersebut.

            Di negara Malaysia yang berada di kawasan Khatulistiwa ini, musim tengkujuh adalah disebabkan oleh Angin Monsun Timur Laut yang kebiasaannya akan melanda sekitar bulan November hingga bulan Mac. Hal ini demikian kerana angin monsun ini akan membawa hujan lebat bersama-sama terutamanya bagi negeri-negeri di bahagian pantai timur. Jadi, menurut data daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan minimum yang bakal diterima di negeri-negeri tersebut adalah sekitar 100 hingga 150mm. Oleh sebab yang demikian, musim tersebut juga disebut sebagai musim tengkujuh kerana ianya merupakan musim hujan utama di Malaysia. Dapat disimpulkan bahawa, apabila mendekati penghujung tahun, penduduk di kawasan Kampung Kota ini akan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya sebarang bencana banjir melanda.

 

2.0  Peristiwa Banjir Yang Lepas

Terdapat banyak peristiwa banjir yang telah melanda di sekitar Kampung Kota ini tetapi antara peristiwa yang tidak mungkin pudar daripada ingatan para penduduk setempat ialah peristiwa banjir besar 2014 yang lepas (Rajah 1) (Rajah 2). Hal ini demikian kerana, banyak dalam kalangan penduduk yang terpaksa berpindah keluar daripada rumah mereka dan tinggal di pusat-pusat pemindahan banjir yang dibuka terutamanya di sekolah-sekolah yang berhampiran. Tambahan lagi, rata-rata yang berpindah adalah disebabkan oleh air banjir yang bukan sahaja telah memasuki ke dalam kediaman mereka, malah ketinggian air banjir tersebut adalah berada pada peringkat yang amat berbahaya di sesetengah kawasan. Oleh sebab itu, adalah lebih selamat untuk mereka mengambil barang-barang yang berharga sahaja dan segera berpindah ke tempat pemindahan mangsa banjir. 

Rajah 1: Sekitar kawasan pemindahan mangsa banjir, 2014

Rajah 2: Keadaan di dalam rumah selepas air telah surut, 2014

Seterusnya, jika dilihat pada peristiwa banjir yang paling terkini adalah berlaku pada tahun 2020. Kejadian banjir yang berlaku tersebut adalah disebabkan oleh proses kerpasan dalam bentuk hujan yang turun dengan lebat dan ianya juga berlarutan sehingga beberapa hari lamanya sehinggakan air telah mula bertakung dan membawa kepada fenomena banjir. Namun, dapat dilihat daripada Rajah 3, phenomena banjir yang berlaku hanyalah merupakan bencana banjir yang kecil sahaja dan tidak serius seperti yang berlaku pada tahun 2014 yang lalu. Tambahan lagi, air banjir tersebut juga adalah air yang jernih, hasil daripada takungan air hujan dan keadaan tanah yang tidak dapat menyerap air dengan efisien akibat daripada jumlah air yang banyak sahaja. Oleh sebab yang demikian, walaupun para penduduk masih lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga, namun penduduk di sekitar juga tekah menyuarakan perasaan syukur dan dapat menarik nafas lega buat seketika.

Rajah 3: Keadaan semasa banjir kecil, 2020

1.0  Faktor Banjir

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menjurus kepada berlakunya masalah banjir di sekitar kawasan Kampung Kota, antaranya ialah:

a)     Kadar guna tanah yang meningkat

Jika dibandingkan dengan tempoh masa 15 tahun yang lepas, kawasan Kampung Kota tidak mempunyai kadar guna tanah yang tinggi. Hal ini dapat dibuktikan dengan kaedah pemerhatian bahawa kawasan yang dahulunya merupakan kawasan bercucuk tanah seperti tanaman padi dan juga pokok-pokok getah telah bertukar dan dibangunkan untuk menjadi kawasan perumahan dan juga kawasan perniagaan. Bukan itu sahaja, perkara ini juga telah mendorong berlakunya pembinaan jalan-jalan tar untuk memudahkan urusan perhubungan dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Perkara ini berlaku dengan rancak oleh sebab kawasan ini juga merupakan salah satu kawasan yang terkenal dengan tempat yang berbelanja terutamanya di Pasar Malam Wakaf Che Yeh yang terletak tidak jauh daripada Kampung Kota, kira-kira dalam jarak 5 kilometer sahaja. Oleh sebab itu, dapat dilihat bahawa terdapatnya peningkatan dalam penggunaan kadar guna tanah yang menyebabkan tanah-tanah telah tertutup dengan bahan konkrit ataupun tar jalan.

Oleh sebab yang demikian, isu ini telah membawa kepada masalah larian air yang serius kerana kuantiti air hujan melalui proses kerpasan yang berlaku pada musim tengkujuh adalah berlaku dalam jumlah yang besar. Kawasan yang dahulunya dipenuhi dengan pokok-pokok kini tidak lagi dan perkara ini telah mengubah corak resapan air ke dalam tanah. Air hujan yang turun tidak dapat diserap dan mengakibatkan mudah untuk berlakunya sebarang bencana banjir di kawasan sekitar Kampung Kota ini. Jadi, hasil daripada permasalahan berikut, air hujan tersebut akan bertakung dan jumlahnya yang besar hasil daripada kejadian hujan yang tidak berhenti untuk beberapa hari telah mampu untuk mengakibatkan berlakunya banjir di sekitar kawasan kampung. Oleh itu, jelas bahawa kadar guna tanah yang semakin meningkat telah menjadi satu faktor kepada berlakunya masalah banjir di Kampung Kota.

b)     Kawasan yang rendah & berhampiran dengan Sungai Kelantan

Seterusnya, kawasan Kampung Kota ini juga amat dikenali dengan kawasan tanah yang rendah. Jika hujan turun dengan lebat walaupun dalam tempoh dua hari sahaja, para penduduk telah disuntik dengan rasa bimbang kerana air dapat dilihat bahawa air telah mula bertakung di sekitar kawasan kampung. Tambahan lagi, dapat diperhatikan air akan mula bertakung di dalam kawasan kampung terlebih dahulu berbanding dengan kawasan jalan raya utama dan berbanding kawasan lain. Bukan itu sahaja, perkara ini bertambah buruk dengan kedudukan geografi kampung ini yang berada berhampiran dengan Sungai Kelantan (Rajah 4). Sekiranya jumlah hujan yang turun dalam jumlah yang besar, perkara ini akan mengakibatkan berlakunya limpahan sungai. Oleh sebab itu, air sungai tersebut akan mengalir ke kawasan kampung atas faktor kawasannya yang rendah dan juga berada dekat dengan kawasan sungai. Akhirnya, perkara ini juga telah memaksa penduduk untuk meninggalkan kenderaan mereka seperti kereta di bahu-bahu jalan sahaja untuk mengelakkan daripada kenderaan mereka dimasuki air dan ianya telah membuktikan bahawa kawasan kampung yang rendah serta berada hampir dengan Sungai Kelantan telah menjadi faktor berlakunya banjir.

Rajah 4: Kawasan Kampung Kota

Rajah 4: Kawasan Kampung Kota

c)     Masalah perparitan yang lemah & masalah pembuangan sampah merata tempat

Akhirnya, antara faktor yang kurang diberi penekanan oleh pihak masyarakat dan juga pentadbir kawasan adalah berkaitan dengan masalah perparitan yang lemah. Hal ini dapat diperhatikan dengan jumlah sistem perparitan yang berada dalam keadaan yang amat tidak memuaskan terutamanya bagi para penduduk kampung. Hal ini demikian kerana, penduduk kampung tidak terdedah dengan konsep sistem perparitan yang menyebabkan mereka menggali lubang untuk dijadikan sebagai tangki septik bagi setiap rumah para penduduk. Perkara ini telah menjadi satu norma bagi penduduk untuk mempunyai sistem tangki septik air kumbahan mereka yang sendiri tanpa bergantung kepada sistem perparitan untuk tujuan menguruskan perkara tersebut. Hal ini telah menyebabkan jumlah longkang yang tersedia adalah kurang dan ianya hanya akan digunakan bagi bangunan-bangunan yang dibina berdekatan dengan jalan raya sahaja yang sekaligus menjadi longkang utama bagi kawasan tersebut.

            Jadi, sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab seperti sikap membuang sampah merata tempat telah menambahkan lagi masalah perparitan di sekitar kawasan kampung kerana longkang menjadi salah satu medium yang sering kali mereka gunakan untuk membuang sampah. Sampah-sampah kecil yang dibuang mungkin dianggap tidak memberi kesan kepada longkang yang besar namun, apabila sikap ini telah menjadi satu kebiasaan, maka longkang telah mula dipenuhi dengan sampah. Jadi, apabila tibanya musim tengkujuh, longkang gagal untuk menampung dan mengalirkan air kerana masalah longkang tersumbat hasil mendakan sampah yang dibuang ke dalam longkang tersebut. Bahana daripada perbuatan tersebut, air akan lebih cepat untuk naik dan membanjiri kawasan sekitar yang seterusnya membawa kepada masalah banjir. Tambahan lagi, setiap kali berlakunya banjir, penduduk dapat memperhatikan bahawa semasa gelombang pertama banjir semasa air sedang naik, terdapat banyak sampah yang dibawa bersama air tersebut dan perkara ini telah membuktikan bahawa masalah perparitan dan juga sikap suka membuang sampah merata tempat merupakan faktor berlakunya banjir di Kampung Kota.

 

4.0  Kesan Kepada Penduduk

Bencana banjir sememangnya berupaya untuk memberi satu tamparan yang besar kepada penduduk setempat kerana ianya mampu untuk mendatangkan bukan sahaja kerugian harta benda, malah bencana ini juga mampu untuk meragut nyawa penduduk. Antara kesan yang yang paling besar dapat dilihat ialah daripada segi keselamatan warga tua lantaran kerana ramai antara penduduk kampung yang merupakan individu daripada Generasi Baby Boomer dan juga Generasi X. Perkara ini bertambah buruk apabila melihat kepada sesetengah masyarakat yang tinggal berseorangan atau dengan pasangan mereka sahaja tanpa adanya pemantauan serta bantuan daripada individu lain sekiranya berlaku banjir. Hal ini demikian kerana mereka mungkin tidak berupaya untuk mengemas barang-barang serta dokumen penting di dalam rumah mereka atau berupaya untuk membawa diri ke tempat pemindahan banjir sekiranya arus air serada dalam keadaan yang deras. Jadi, keselamatan warga tua amatlah menjadi salah satu perkara yang perlu dititik beratkan apabila berlakunya banjir.

            Perkara ini juga berkait dengan isu penghijrahan golongan muda di sekitar kawasan Kampung Kota ke bandar untuk memulakan kerjaya mereka ataupun untuk menyambung pelajaran. Oleh sebab yang demikian, perkara ini telah menyumbang kepada berlakunya peningkatan kadar warga tua yang tinggal di kampung tersebut dan begitulah sebaliknya. Jadi, bencana banjir ini akan menyumbang kepada peningkatan tahap tekanan dan juga keresahan bagi semua pihak terutamanya bagi ahli keluarga yang tinggal di perantauan berikut kerana mereka akan risau akan keselamatan ahli keluarga mereka yang lain di kampung. Perkara ini berlaku akibat daripada ketidak upayaan mereka untuk membantu dan hanya bergantung kepada khabar berita daripada ahli keluarga mereka dari semasa ke semasa sahaja tanpa mampu berbuat apa-apa. Bahkan bencana banjir ini juga mampu memberi tekanan dan kerisauan kepada penduduk kampung juga kerana ianya mampu merosakkan harta bende dan mengancam nyawa mereka. Jadi, dapat disimpulkan bahawa, banana banjir ini mampu meningkatkan tahap tekanan dan kerisauan para penduduk kampung dan juga golongan muda yang berhijrah ke bandar.

            Akhirnya, tahap kesihatan para penduduk semasa musim banjir juga amatlah membimbangkan. Hal ini demikian kerana, banjir merupakan satu perkara yang menggembirakan kepada golongan kanak-kanak dan mereka kebiasaannya akan dibiarkan untuk bermain air banjir tersebut. Hal ini mampu mengakibatkan mereka mengalami penyakit demam kerana bermain air tersebut ditambahkan lagi dengan terkena air hujan. Bukan itu sahaja, air banjir itu sendiri juga berupaya mendatangkan penyakit-penyakit lain juga yang berada di dalam kategori penyakit bawaan air seperti boleh mengakibatkan berlakunya demam kepialu (tifoid), hepatitis A, jangkitan usus dan cirit-birit serta muntah akibat keracunan makanan. Jadi, gejala tersebut bukan sahaja boleh berlaku kepada kanak-kanak, namun semua lapisan masyarakat juga berisiko untuk dijangkiti gejala tersebut terutamanya bagi warga tua kerana tahap imunisasi badan mereka adalah sedikit lemah sekiranya dibandingkan dengan golongan muda. Oleh sebab yang demikian, jelas bahawa kejadian banjir mampu untuk mengancam tahap kesihatan para penduduk Kampung Kota.  

 

5.0  Langkah Keselamatan & Kesihatan

Langkah keselamatan adalah satu perkara yang penting dan masyarakat haruslah bijak dalam membuat keputusan dalam hal ini. Antara langkah keselamatan yang paling penting adalah segera berpindah ke tempat yang lebih tinggi atau ke kawasan pemindahan banjir yang telah ditetapkan. Perkara ini kelihatan mudah, namun ramai antara penduduk kawasan gagal untuk membuat keputusan ini pada masa yang tepat sehinggakan mereka tidak mampu lagi untuk keluar daripada kawasan banjir tersebut tanpa ada bantuan daripada pihak luar seperti bantuan bot untuk memindahkan mereka ke tempat yang selamat. Hal ini sering dikaitkan dengan tanggapan segelintir masyarakat bahawa banjir ini adalah perkara biasa dan mereka tidak perlu untuk bersusah payah untuk berpindah oleh kerana air banjir tersebut. Jadi, perkara ini boleh membawa padah kerana paras air adalah tidak dapat dijangka dan ianya berisiko untuk naik lebih daripada paras air banjir yang berlaku pada tahun-tahun yang lepas.

            Seterusnya, daripada segi kesihatan pula, mangsa banjir perlu memastikan bahawa air yang diminum adalah daripada sumber yang bersih dan makanan perlu dimasak dengan sempurna. Dua perkara tersebut adalah sangat penting kerana penjagaan kesihatan tubuh adalah satu perkara yang perlu diberi penekanan kerana kita tidak mahu untuk menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Tambahan lagi, langkah tersebut juga adalah salah satu kaedah untuk memastikan tubuh sentiasa dipenuhi dengan tenaga agar penduduk dapat bersedia sekiranya sebarang kejadian yang berada diluar jangkaan berlaku. Makanan yang tinggi dengan sumber glukosa kompleks perlu diberi penekanan kerana sumber makanan tersebut berupaya untuk membekalkan tenaga kepada tubuh dengan tempoh masa yang panjang. Bukan itu sahaja, sudah semestinya langkah ini adalah untuk memastikan bahawa tiada sebarang kejadian keracunan makanan daripada berlaku tatkala semua sedang berdepan dengan sumber komunikasi, air dan ubat-ubatan yang terhad. Oleh itu, dapat dilihat bahawa kaedah ini perlu diberi penekanan kerana ianya adalah salah satu langkah penjagaan kesihatan yang penting.

 

6.0  Penutup

Untuk menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kejadian banjir adalah satu fenomena yang sangat kerap berlaku di sekitar kawasan Kampung Kota dan ianya bukanlah satu perkara yang baharu bagi kami. Namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa kejadian banjir ini juga masih lagi berupaya untuk memberi satu tamparan yang besar kepada penduduk terutamanya daripada segi persiapan mental dan juga fizikal. Isu ini diharapkan untuk diberi perhatian yang khusus daripada pihak pentadbiran kawasan sehinggalah kepada golongan masyarakat juga untuk mengubah sikap-sikap negatif mereka seperti yang telah diperjelaskan di atas supaya isu banjir ini boleh dibendung. Akhirnya, saya berharap agar mangsa yang terlibat dengan gejala banjir untuk sentiasa menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan juga saling prihatin sesame masyarakat agar kita dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.


 

Rujukan

Hua, A. (2019). Keberkesanan Faktor Dalaman Menghadapi Bencana Banjir Monsun di Kota Bharu, Kelantan. Satu Kajian Kes Berasaskan Persepsi Penduduk. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 4(1), 22 - 28. Diperolehi daripada https://www.msocialsciences.com/index.php/mjssh/article/view/158.

Noremy Md Akhir, Azlinda Azman, Nazirah Hassan & Nur Hafizah Akhir. (2017). Kajian penelitian masalah mangsa bencana banjir Disember 2014 di Kelantan. Special Issue, 3(1), 1-19. Diperolehi daripada https://ejournal.ukm.my/ebangi/article/view/22571/7097.

Nur Balqis Anuar & Sulzakimin Mohamed. (2021). Kesan Pembinaan Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, Kelantan Terhadap Kawasan Petempatan Penduduk (Kesan Banjir Kilat). Research in Management of Technology and Business, 2(1), 668-677. Diperolehi daripada https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmtb/article/view/1711

No comments:

Post a Comment