Monday, December 27, 2021

Isu Banjir Kilat di Pekan Kajang, Kajang Selangor

ISU BANJIR KILAT DI PEKAN KAJANG, KAJANG SELANGOR

Oleh: Zaitul Najihah Binti Mohammed Asri

Universiti Pendidikan Sultan Idris

PENGENALAN

Kajang merupakan mukim yang terletak di dalam daerah Hulu Langat di negeri Selangor yang mempunyai kemudahan perhubungan awam utama iaitu jalan raya dan jalan kereta api. Mukim Kajang terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250 sm dari paras laut. Tanah datar di sekitar Kajang terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai Langat, Sungai Jelok, Sungai Semenyih dan Sungai Chua. Maka, secara tidak langsung kawasan-kawasan ini yang menjadi tempat tumpuan awal yang mula diterokai untuk penempatan dan wujudnya pekan Kajang. Petempatan penduduk di Kajang terdiri daripada beberapa bangsa iaitu Melayu, Cina dan Melayu. Walau bagimanapun, pada awal penubuhannya taburan penduduk adalah berselerak di mana orang Melayu umumnya menetap di kawasan perkampungan, orang Cina pula menetap di sekitar bandar Kajang manakala kawasan ladang pula didiami oleh orang berketurunan India.  

Rajah 1: Lokasi pekan Kajang di dalam peta

Dalam pada itu, Kajang dan kawasan sekitarnya sebelum didatangi peneroka-peneroka dari luar adalah merupakan kawasan kediaman orang-orang asli dari Suku Temuan kerana menurut kenyataan En. Shahabudin Ahmad yang merupakan sejarawan tempatan di dalam laporan info sejarah bagi portal rasmi Majlis Perbandaran Kajang, Kajang telah diterokai pada tahun 1709 oleh orang-orang asli yang berpusat di Klang dan nama Kajang bermaksud anyaman dari tumbuhan mengkuang hutan.yang dilipat kajang dan digunakan sebagai atap rumah. Terdapat beberapa keistimewaan dan peninggalan khazanah warisan yang dimiliki oleh Kajang iaitu Pusat Warisan Kajang yang sudah dibuka sejak tahun 2000 menempatkan 300 artifak, Pejabat Pos dibina pada 1914, Masjid Jamek Kajang ditubuhkan pada 1890-an, Kuil Shen Sze She Yar yang berusia lebih 120 tahun, Bangunan Dato Nazir (Restoran Sate Kajang Haji Samuri), Stadium Kajang dan Muzium Kajang.

Berikut merupakan perbandingan gambar pada awal penubuhan Kajang dan pada masa kini.

 


Dewasa ini, pemesatan kemajuan pembangunan di Kajang terutama di kawasan sekitar pekannya mendatangkan impak yang ketara kepada penduduk sekitar iaitu isu banjir kilat. Menurut Anuar, N. B., & Mohamed, S. (2021), banjir merupakan bencana alam yang berlaku yang menyebabkan kerosakan harta benda, kemusnahan alam sekitar dan kehilangan nyawa yang disebabkan oleh isu-isu seperti sistem saliran tersumbat kerana pembuangan sampah sarap, tidak melakukan proses penyelenggaraan sistem saliran dan sebagainya. Sarabtin M. A. (2016) menyatakan bahawa banjir termasuk banjir kilat dilihat sebagai bencana utama yang disebabkan oleh gabungan faktor semula jadi dan manusia di mana sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang turut mengalami banjir kilat termasuklah jalan Lapangan Terbang Subang. Banjir kilat yang melanda berpunca daripada longkang dan parit tersumbat oleh sampah sarap yang menyebabkan berlakunya takungan air di beberapa kawasan. (My Metro, 2017).

 

 PUNCA BANJIR KILAT

Sejak dekad yang lalu, isu mengenai banjir dan ribut pencemaran telah meningkat di Malaysia. Kejadian ini dikenal pasti sebagai punca utama terhadap gangguan alam sekitar yang telah dibincangkan sejak akhir 1970-an kerana kejadian banjir kilat kini meluas khususnya di Kajang. Kesedaran tentang kepentingan hidrologi, sebagai cabang sains semula jadi telah timbul merangkumi penilaian, pembangunan, penggunaan dan pengurusan sumber air (Chow V.T., Maidment D.R. Maidment & May L.W.,1986 di dalam penulisan Bahrum N.A., & Malek M.A., 2016). Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (2011), Kajang merekodkan kejadian banjir sejak beberapa tahun yang lalu terutamanya pada tahun 2008, 2011 dan 2012. Kajang mengalami banjir kilat yang paling teruk pada Oktober 2008, menenggelamkan hampir dua pertiga daripada bandar dengan aras banjir adalah antara 0.5m hingga 1.5m selepas hujan turun berterusan selama satu jam.

            Pada tahun 2014, hujan lebat telah mengakibatkan paras air di Sungai Jelok melimpah dan alirannya tidak mampu dikawal akibat daripada jaringan sistem longkang yang tidak mampu menampung paras air ataupun tersumbat (Astro Awani, 2014). Hujan lebat di sekitar Kajang menyebabkan paras air naik mendadak kira-kira satu meter dan menjejaskan pekan itu menyebabkan beberapa kawasan termasuk pekan Kajang dan Kampung Sungai Kantan dilanda banjir kilat (Sulaiman S., 2014). Pada tahun 2021 pula, insiden banjir kilat sekali lagi mengakibatkan kawasan-kawasan di Taman Indah, Sungai Chua, Jalan Mendaling, Kajang, Jalan Reko, Taman Sri Indah, Taman Sri Reko, Taman Pasir Emas, Desa Bunga Raya, Taman Kajang Baru dan Sri Kajang dinaiki air setelah hujan lebat berterusan (Abdul Manan N. F., 2021). Justeru itu, banjir kilat yang berlaku berpunca daripada beberapa faktor umumnya dari segi faktor kegiatan aktiviti manusia.

Prof. Madya Dr. Haryati Shafii di dalam kenyataannya dalam akhbar Kosmo pada 1 Disember 2021 mengatakan dasar perancangan guna tanah untuk pembangunan dan penerokaan di kawasan sensitif mengundang kepada bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pencemaran kualiti air. Hal ini dibuktikan lagi apabila pemaju tidak mengambil kira penyediaan kolam tadahan dan perangkap sampah bagi memastikan hanya air mengalir ke dalam sungai. Selain itu, banjir kilat di Kajang pada 2008 terjadi apabila seluas 113 ekar telah digondolkan oleh pemaju Prestige Improvement menyebabkan kehilangan tumbuhan yang berfungsi untuk memperlahankan larian air seterusnya meningkatkan paras air Sungai Jelok (Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor, 2021).

Selain itu, punca aliran Sungai Jelok tersekat dan menyebabkan limpahan air ke kawasan sekitar adalah daripada mendapan pasir dan sampah sarap termasuk kabel elektrik dan kayu yang dibuang (Sulaiman S., 2014). Che Hasan M. et al.,
(2020)
, pembuangan sampah adalah salah satu punca yang menyebabkan sistem saliran tersumbat di mana penduduk setempat memandang enteng dan tidak mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap kesejahteraan alam sekitar. Mereka cenderung untuk membuang sampah sarap ke dalam mana-mana saluran air yang terdekat berbanding membuang sampah sarap tersebut ke tong sampah yang telah disediakan.

Akhir sekali, sistem perparitan dan saliran yang tidak diselenggara dan tidak efisien juga menjadi punca berlakunya masalah banjir kilat di mana peningkatan aras air akan berlaku terutama bagi kawasan pembangunan baharu dan bandar (Mohamad Razip, N. et al., 2021). Faktor ini juga menggambarkan bahawa pembentungan yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah air yang besar dan ia menyebabkan limpahan seterusnya mengakibatkan banjir kilat di sesuatu kawasan. Menurut kenyataan daripada Lee L. T. (2021) dalam portal rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan bahawa perangkap kelodak yang dipasang di kawasan pembinaan juga tidak diselenggara dengan baik dan sempurna malah ada yang langsung tidak diselenggara menyebabkan sedimen dan bahan-bahan lain terkumpul di dalam saluran saliran di kawasan tersebut. Keadaan ini akan menyumbang kepada berlakunya longkang tersumbat dan mengundang banjir kilat apabila hujan turun dengan lebat.

Rajah 2 dan Rajah 3 memaparkan kejadian banjir kilat di Kajang pada 2014 dan 2021

  Rajah 2: Banjir Kilat di Pekan Kajang pada 2014

  Rajah 3: Banjir Kilat di Pekan Kajang pada 2021


IMPAK BANJIR KILAT

Bencana banjir kilat memberikan kesan buruk sama ada terhadap alam sekitar, pembangunan sosial mahupun ekonomi bagi sesuatu kawasan seterusnya menganggu aktiviti harian penduduk setempat. Antara kesan daripada berlakunya banjir kilat ialah dari segi kerosakan harta benda. Banjir kilat bukan sahaja merosakkan harta benda penduduk seperti kenderaan, perkakasan rumah dan barangan kedai malah kerosakan infrastruktur kemudahan awam juga terlibat seperti bekalan air bersih, kerosakan jalan raya dan longkang serta bekalan elektrik. Oleh itu, negara akan mengalami kerugian ekonomi kerana kos yang tinggi juga diperlukan dalam membaik pulih semula kawasan yang telah mengalami banjir kilat (Kementerian Kerja Raya, 2009 di dalam Anuar N. & Mohamed S., 2021).

Seterusnya, kawasan yang mengalami banjir kilat juga berpotensi untuk menjadi habitat kepada pembiakan haiwan berbisa seperti kala jengking, lipan dan ular serta keadaan bagi situasi tersebut juga boleh menyumbang kepada cetusan wabak penyakit   yang   bahaya   dan   boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Sengatan daripada kala jengking boleh menyebabkan anafilaksis iaitu alahan teruk dan boleh membawa maut bagi sesetengah orang. Juga, air banjir bercampur dengan sampah, kotoran dan najis boleh merubah bau air tersebut dan apabila telah berlaku perubahan bau pada air banjir tersebut, maka air banjir tersebut tidak selamat digunakan dan boleh mendatangkan penyakit kepada manusia (Mohd Noor M. I. et al., 2018).

Kesesakan jalan raya pasti akan berlaku sejurus berlakunya banjir kilat. Kesesakan tersebut bukan hanya menyebabkan kenderaan tidak dapat melalui jalan tersebut malah keadaan hujan yang lebat juga turut memberi impak kepada kecekapan pemandu untuk memandu kenderaan mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran yang kurang jelas dan kabur. Menurut Anuar N. B. & Mohamed S.  (2021), sistem pengangkutan akan tergendala di mana kesesakan lalu lintas akan berlaku sehingga mengganggu kelancaran perjalanan kenderaan akibat daripada banjir kilat. Bukan itu sahaja, hujan lebat diiringi angin kencang dan ribut petir juga menyebabkan pokok-pokok sekitar tumbang dan menghalang laluan lalu lintas.

 

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Umumnya, kejadian banjir kilat yang dipengaruhi oleh beberapa faktor mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar, kehidupan sosial manusia serta gangguan ekonomi negara. Justeru itu, beberapa langkah proaktif perlu dilaksanakan oleh pihak tertentu bagi membendung kejadian ini daripada berterusan berlaku. Antara cadangan penambahbaikan bagi mengatasi isu banjir kilat khususnya di Kajang ialah dengan memantapkan sistem saliran dan perparitan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti pihak Majlis Pembandaran perlulah memastikan bahawa sistem perparitan dan longkang yang berada di kawasan kediaman, tempat tinggal penduduk atau sistem saliran di kawasan awam sentiasa dalam keadaan terjaga, bersih dan lancar pengaliran airnya.

Selain itu, sistem amaran banjir boleh dipasang di tempat-tempat atau kawasan yang berpotensi untuk dilanda banjir kilat di mana alat penggera tersebut mampu mengeluarkan isyarat apabila paras air menghampiri indeks yang ditetapkan. Pihak PBT juga boleh menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menaik taraf sistem saliran yang perlu menekankan aspek laluan aliran air, saluran dan pembentung di samping memperluaskan saluran sistem aliran bagi menampung jumlah kuantiti larian air yang banyak sekiranya hujan lebat berterusan berlaku.   Menurut Noor Hayati (2018), pihak   PBT   perlu   sentiasa   melakukan   pemantauan   dan   penyelenggaraan infrastruktur longkang serta sistem perparitan bagi kurangkan risiko berlakunya kejadian banjir kilat.

            Pihak kerajaan juga mempunyai kuasa dalam menetapkan undang-undang serta mengenakan tindakan kepada pelaku yang bersalah terutama kepada mereka yang menyebabkan kejadian banjir kilat berlaku seperti pihak pemaju, syarikat pembalakan, pihak kilang atau mana-mana individu. Kejadian banjir kilat sangat berkait rapat dengan permasalahan sistem saliran yang berpunca daripada pembuangan sampah sarap. Individu berkenaan mengambil langkah mudah dengan membuang sampah sarap ke dalam longkang atau sungai tanpa berfikir implikasi terhadap perbuatan yang dilakukan. Oleh itu, penguatkuasaan tegas perlu diambil bukan hanya untuk menjaga dan memelihara alam sekitar malah kehidupan manusia juga. Walau pun di Malaysia telah mempunyai akta perundangan yang dikhaskan kepada pesalah tertentu namun hal ini masih lagi tidak memberi kesan yang serius kepada diri masyarakat. Mallow M. S. (2019) menegaskan pihak kerajaan perlu memastikan agensi penguatkuasaan mereka memiliki jumlah pegawai penguatkuasa yang mencukupi bagi memudahkan mereka menjalankan segala fungsi dan peranan mereka sebagai sebuah agensi penguatkuasa yang lebih berkesan selain daripada mahir dalam membendung masalah pencemaran yang boleh berlaku dalam negara kita. 

Akhir sekali, kempen kesedaran masyarakat juga memberi sumbangan dalam mengatasi isu banjir kilat. Pendidikan berterusan harus diberikan kepada semua pihak mengenai kepentingan untuk menjaga alam sekitar. Oleh itu, kerjasama daripada pelbagai jenis pihak perlulah ditekankan bagi bersama-sama menangani masalah banjir kilat sama ada melalui aktiviti gotong-royong membersihkan longkang-longkang atau sungai. Kempen kesedaran perlu diperkuatkan kepada komuniti di setiap lapisan umur terutama kepada kanak-kanak sekolah rendah dan menengah dalam menyemai pendedahan pengetahuan mengenai alam sekitar. Selain itu, PBT dan pihak swasta,juga perlu mengadakan lebih banyak program kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan alam sekitar yang melibatkan komuniti bagi mewujudkan keharmonian kehidupan seharian masyarakat.

 

RUMUSAN

Tuntasnya, banjir kilat sememangnya menganggu kehidupan seharian penduduk khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan bandar. Kejadian ini berpunca daripada faktor semula jadi dan juga faktor kegiatan aktiviti manusia. Namun pun begitu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa faktor kegiatan daripada aktiviti manusia merupakan penyumbang utama kepada kejadian banjir kilat di Kajang yang mendatangkan kesan buruk sama ada dari kerosakan harta benda, kesesakan jalan raya dan wabak penyakit. Oleh itu, amatlah penting untuk menitikberatkan aspek alam sekitar sebelum melakukan aktiviti yang tidak sepatutnya seperti pembuangan sampah sarap dan pembangunan dan pembinaan yang melampau. Namun, isu banjir kilat di Kajang khususnya adalah tidak mustahil untuk diatasi sekiranya semua pihak tidak bersikap lepas tangan dan berganding bahu memainkan peranan yang betul serta sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar.


RUJUKAN

Abdul Manan n. F. (2021). Kajang, Hulu Langat Dilanda Banjir Kilat. Sinar Harian. Diperoleh

daripada https://www.sinarharian.com.my/article/92834/EDISI/Selangor-KL/Kajang-Hulu-Langat-dilanda-banjir-kilat

Anuar, N. B., & Mohamed, S. (2021). Kesan Pembinaan Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu,

Kelantan Terhadap Kawasan Petempatan Penduduk (Kesan Banjir Kilat). Research in Management of Technology and Business2(1), 668-677. Diperoleh daripada https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmtb/article/view/1711

Astro Awani. (2014). Hujan Lebat Mula Meresahkan Penduduk Kajang. Awani News. Diperoleh

daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-kilat-mula-resahkan-penduduk-kajang-50654

Bahrum N.A., & Malek M.A. (2016). Hydrological Analysis on Semi-Urban and Urban Areas in

Kajang. International Journal of New Technology and Research (IJNTR)2(1), 58-66. https://d1wqtxts1xzle7.cloudfront.net/43649182/IJNTR02010026-with-cover-page-v2.pdf?Expires=1640576688&Signature=SJxezXA~UgQOyuJUcIdlkAzDYOZHE05-tzQq6hcf1aQoh0~yh3NFOD0FmARqbMSCMw7YAW1XtkGLbBwktr0SSNVtGjrzKCCSFPSIlvnCbPjtENgzvCBObfMYWwBDPtlPyo2Dj1d9GQokmHc2HJBenrWH7ZtiHMR81RAfIP1C9hVccZPv2mvCJoRfTDRO2N6Xa6saGM0OcaTPEwt-A3nYgasiT3cCNGo4QL~A8E18MyL9Bpv6qzkcWnY~YGESNiOUpbfjMm65aw0Ez51n~JQczpebwTk0KdCic4nOf7lrI2oQpOFRxmHVZLXT5khli7DoES-LRXBH7OrMFP2FiIKsNg__&Key-Pair-Id=APKAJLOHF5GGSLRBV4ZA

Banjir Kilat di Kajang. (2021). Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor. Diperoleh daripada

http://dewan.selangor.gov.my/question/banjir-kilat-di-kajang/

Lee L. T. (2021). Pertingkatkan Sistem Perparitan di Lembah Klang. Portal Rasmi Jabatan

Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Diperoleh daripada http://state.water.gov.my/wpkl/index.php/en/component/content/article/200-pertingkatkan-sistem-perparitan-di-lembah-klang

Mazalan R. (2109). Kajang Warisan Sejarah. Berita Harian. Diperoleh daripada

https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/kembara/2019/09/612085/kajang-kaya-warisan-sejarah

Mohamad Razip, N., Shareh Musa, S. M., Zainal, R., Mohd Noh, H., & Kassim, N. (2021). Kajian

Pembinaan Sistem Saliran Mesra Alam di Kawasan Pembinaan Baharu. Research in Management of Technology and Business2(2), 523-538. Diperoleh daripada https://penerbit.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmtb/article/view/4966

Munirah Che Hassan, Sharifah Meryam Shareh Musa, Rozlin Zainal & Narimah Kasim. (2020).

Kajian Permasalahan Pembinaan Sistem Saliran Yang Menjadi Punca Kepada Masalah Banjir Di Kawasan Perumahan. Research in Management of Technology and Business1(1), 588-605. Diperoelh daripada  https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmtb/article/view/553/249

Mutakhir. (2017). Sampah sarappunca longkang tersumbat. My Metro. Diperoleh daripada

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/11/283026/sampah-sarap-punca-longkang-tersumbat

Sarabtin M. A. (2016). Beberapa Kawasan Dilanda Banjir Kilat. Berita Harian. Diperoleh daripada

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2016/08/188052/beberapa-kawasan-dilanda-banjir-kilat

Sulaiman S. (2014). Kajang Dilanda Banjir Kilat. Berita Harian. Diperoleh daripada

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2014/09/8621/kajang-dilanda-banjir-kilat

Tarmiji M. F. A. (2021). Pembangunan Pesat Punca Banjir Kilat di Bandar. Kosmo. Diperoleh

daripada https://www.kosmo.com.my/2021/12/01/pembangunan-pesat-punca-banjir-kilat-di-bandar/

 

Penulis: Zaitul Najihah binti Mohammed Asri

No Matrik: D20182085749

Kumpulah Kuliah: B

Pensyarah: 1. Prof. Madya Dr. Hanifah Binti Mahat

                    2. Dr. Kamarul Bin Ismail

No comments:

Post a Comment