Monday, December 27, 2021

Penerokaan Hutan di Pekan Belaga, Sarawak dan Kesannya Terhadap Penduduk

 

            Hutan merujuk kepada kawasan yang ditumbuhi pokok-pokok secara meliar dan bercampur-campur. Hutan juga merupakan sebuah ekosistem di mana tumbuh-tumbuhan utama seperti pokok yang meliputi bahagian penting dan berfungsi sebagai habitat flora dan fauna. Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan flora dan fauna kerana negara ini terletak dalam lingkaran iklim Khatulistiwa. Namun begitu, penerokaan hutan atau penyahutanan secara tidak terkawal telah berlaku di Malaysia khususnya kawasan yang dikaji iaitu di pekan Belaga. Secara umumnya, penerokaan hutan bermaksud penghapusan hutan secara besar-besaran di mana kawasan hutan tersebut telah ditebang dan dimusnahkan dengan pelbagai cara dan pelbagai tujuan. Oleh itu, pengkaji telah membuat kajian mengenai penerokaan hutan yang berlaku di kawasan pekan Belaga dan sekitarnya.


                                     Pemandangan dari atas kawasan Pekan Belaga


Belaga merupakan antara kawasan yang tidak terkecuali daripada berlakunya penerokaan hutan. Penerokaan hutan secara besar-besaran di kawasan Belaga bertujuan untuk membentuk sebuah kawasan bagi tujuan pembangunan yang kini dikenali sebagai pekan Belaga. Hal ini demikian kerana, kawasan Belaga merupakan antara kawasan yang berpotesi untuk dimajukan. Terdapat beberapa punca penerokaan hutan di kawasan Belaga yang telah dikenal pasti oleh pengkaji. Punca utama yang menyebabkan penerokaan hutan di kawasan pekan Belaga ialah aktiviti pembangunan. Kawasan pekan Belaga yang merupakan hutan tebal telah diteroka untuk tujuan pembangunan. Penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan adalah untuk memberikan keselesaan kepada para penduduk di pekan Belaga. Aktiviti pembangunan termasuklah kawasan perkampungan dan perumahan, klinik, sekolah, pejabat daerah dan sebagainya.



                                   Sekolah Menengah Kebangsaan Belaga



                                                  Klinik Kesihatan Belaga



                                                 Pejabat Daerah Belaga


                                                  

                                             Barisan kedai di pekan Belaga     


    Punca lain yang menyebabkan berlakunya penerokaan hutan di kawasan pekan Belaga dan sekitarnya juga ialah aktiviti pembinaan jalan raya. Penerokaan hutan yang dilakukan di kawasan ini juga adalah bertujuan untuk membina jalan raya bagi memudahkan darjah kesampaian penduduk yang tinggal berdekatan pekan Belaga. Perkara ini akan memudahkan penduduk sekitar untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Pembinaan jalan raya di kawasan Belaga yang melibatkan kos yang sangat tinggi. Hal ini demikian kerana, pembinaan jalan raya di kawasan yang berbukit-bukau dan tanah tinggi seperti di kawasan Belaga agak sukar untuk dilaksanakan dan memerlukan kos yang agak tinggi berbanding pembinaan jalan raya di kawasan yang rata.

 

                                            Projek pembinaan Jalan Jiwa Murni
                                           


                                                       Jalan Jiwa Murni


Kesan Penerokaan Hutan Terhadap Penduduk Kawasan Pekan Belaga

            Penerokaan hutan yang berlaku di kawasan pekan Belaga telah memberikan kesan kepada penduduk yang tinggal di kawasan tersebut. Antara kesan yang dapat dilihat oleh pengkaji ialah, kualiti hidup penduduk di kawasan pekan Belaga terjejas. Kualiti hidup penduduk di kawasan tersebut dikatakan terjejas kerana berlakunya tanah runtuh dan banjir. Tanah runtuh dan banjir yang berlaku telah membataskan pergerakan penduduk untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Tanah runtuh sering terjadi di kawasan Jalan Jiwa Murni iaitu jalan yang menghubungkan penduduk di kawasan Belaga untuk ke pekan Belaga dan tempat lain.

            Tanah runtuh di kawasan Jalan Jiwa Murni berlaku apabila penerokaan hutan atau penyahutanan yang dilakukan oleh manusia telah mendedahkan sebahagian daripada permukaan bumi secara langsung. Ketiadaan akar tumbuhan dan akar pokok akan menyebabkan struktur tanah di kawasan tersebut menjadi semakin longgar khususnya di sebahagian kawasan tanah tinggi sepanjang Jalan Jiwa Murni tersebut. Hal ini menyebabkan daya cengkaman tanah yang berkurang akan memudahkan berlakunya tanah runtuh. Tanah runtuh yang berlaku di sebahagian Jalan Jiwa Murni merupakan antara salah satu bukti utama yang dilihat oleh pengkaji akibat daripada pemusnahan hutan secara besar-besaran.



                                         Tanah runtuh di Jalan Jiwa Murni


        Kesan penerokaan hutan yang kedua terhadap penduduk pula ialah banjir. Pengkaji mendapati bahawa kawasan pekan Belaga merupakan antara kawasan yang turut terlibat dengan banjir khususnya bagi kawasan yang berdekatan dengan pinggir sungai dan anak sungai. Pengkaji mendapati bahawa banjir telah berlaku di kawasan jalan berdekatan dengan Uma Kahei, Belaga. Jalan berdekatan Uma Kahei tersebut telah ditenggelami air. Banjir yang berlaku di kawasan jalan tersebut telah menjejaskan pergerakan penduduk di kawasan pekan Belaga dan kawasan sekitarnya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Penerokaan hutan secara besar-besaran di kawasan berdekatan Pekan Belaga ini menyebabkan banjir mudah berlaku. Hal ini demikian kerana, pembinaan jalan raya ke pekan Belaga telah menjejaskan kawasan tadahan air sehingga menyebabkan air tidak dapat menyusup masuk ke dalam tanah dan mengakibatkan banjir.



Banjir di jalan berdekatan Uma Kahei, Belaga

Kesimpulannya, kemusnahan ekosistem khususnya akibat daripada penerokaan hutan akan memberikan kesan terhadap sosial, ekonomi dan budaya penduduk tempatan khususnya bagi kawasan yang dikaji iaitu pekan Belaga. Namun begitu, kita tetap perlu menyokong mana-mana kemajuan dan pembangunan yang bersifat lestari. Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan pekan Belaga dan sekitarnya perlu memelihara alam sekitar khususnya hutan agar tidak diteroka dengan sewenang-wenangnya dan setiasa terjaga.



Rujukan

Ahadi Iskandar Ismail, Shaharuddin Ahmad, Noorazuan Md. Hashim & Yaakod Mohd Jani. (2011). Kesan penyahutanan ke atas pola suhu dan kelembapan bandingan di Cameron Highlands, Malaysia: Satu analisis awal, Malaysia Journal of Society and Space, 7(3), 56-65). Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/2622/1/7.2011-3-Iskandar_dkk_ukm-melayu-ed-katiman__1_-edited_31.7.pdf

Baizura Ab Ghani, Shukri Sulaiman & Azman Abdullah (2011). Pra-U: Teks STPM Geografi Penggal 2. Kuala Lumpur: Pelangi Sdn. Bhd.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2016). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Penulis: Rozsdyana Julan Anthony Lerang

No. Matrik: D2019xxx7749

Kumpulan: C


No comments:

Post a Comment