1.0 Pengenalan
Pada era kemodenan ini, masalah pembuangan sampah masih lagi berlaku dan masih tidak dapat diatasi dengan baik. Sampah banyak dibuang merata-rata oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pembuangan sampah yang merata-rata akan menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar. Bukan itu sahaja malah pelbagai penyakit akan turut muncul akibat daripada pembuangan sampah yang merata-rata. Ini dapat dilihat di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancongan seperti pantai dan lain-lain lagi. Kunjungan orang ramai di pantai misalnya sering menjadi tempat pembuangan sampah oleh mereka yang tidak mempunyai kesedaran sivik. Secara tidak langsung nama baik tempat tersebut juga akan tercemar akibat daripada tangan yang tidak bertanggungjawab yang membuang sampah merata-rata.
Terdapat beberapa pantai di daerah Besut Terengganu. Namun antara pantai yang terkenal di daerah Besut Terengganu ialah pantai Bukit Keluang yang terletak 4 km dari Pekan Kuala Besut. Pantai Bukit Keluang merupakan sebuah pantai pelancongan yang menghadap laut china selatan yang terletak di daerah Besut, Terengganu. Nama pantai Bukit Keluang diambil sempena dengan bukit keluang yang berada betul-betul bersebelahan dengan pantai tersebut. Pantai Bukit Keluang merupakan satu pusat pelancongan yang ada di daerah Besut, Terengganu dengan terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan. Sebagai contoh ialah aktiviti utama yang wajib dilakukan ialah aktiviti mendaki Bukit Keluang. Ketinggian Bukit Keluang yang tidak terlalu tinggi mengambil masa antara 15 ke 20 minit jika untuk didaki. Selain itu aktiviti lain yang boleh dilakukan ialah mandi pantai, bersiar-siar dengan menaiki bot ke Pulau Rhu yang terletak beberapa minit dari pantai Bukit Keluang dan banyak lagi aktiviti yang disediakan kepada pelancong yang mengunjungi pantai Bukit Keluang.
Kawasan pantai boleh diklasifikasikan sebagai kawasan yang paling pelbagai dan terdedah, seperti bakau dan terumbu karang (Idris, 2017). Menariknya, di antara semua kawasan lain di dunia, kawasan pantai adalah kawasan yang paling banyak dikunjungi oleh pelancong akibat daripada suasana yang tenang dan lautan yang membiru. Justeru, kerajaan bersaing untuk membangunkan kawasan berpotensi dengan memperbanyakkan aktiviti yang dapat menarik lebih ramai pelancong ke pantai. Namun begitu, kehadiran pelancong yang banyak menimbulkan beberapa masalah. Masalah yang utama ialah masalah pembuangan sampah merata-rata. Masalah pembuangan sampah turut berlaku di pantai Bukit Keluang, Besut, Terengganu.
Isu masalah pembuangan sampah tidak asing lagi untuk dibincangkan kerana isu ini merupakan isu yang sering dialami terutamanya di tempat-tempat pelancongan. Kejadian pembuangan sampah di merata-rata masih dapat dilihat berlaku terutamanya di tempat kajian iaitu pantai Bukit keluang. Walaubagaimanapun, sepertimana yang diperhatikan, jenis sampah yang sering dibuang di merata-rata tempat adalah sampah yang terdiri daripada sisa-sisa makanan yang digunakan termasuklah bahan-bahan bungkusan makanan dan minuman yang digunakan oleh pengunjung. Bungkusan makanan dan minuman dibawa masuk oleh pengunjung dari luar dan ada juga yang dibeli di gerai-gerai berhampiran. Sepatutnya pengunjung pantai lebih bersyukur kerana dengan adanya gerai-gerai makanan dan minuman yang berhampiran menyebabkan mereka tidak perlu keluar jauh untuk membeli makanan namun dengan adanya gerai tersebut lagi membuatkan masalah pembuangan sampah semakin menjadi-jadi. Masalah pembuangan sampah di pantai Bukit Keluang ini memuncak pada hujung minggu kerana pada waktu inilah masing-masing ingin membawa keluarga mereka beriadah dan bercuti di pantai. Kebiasaannya setiap hujung minggu, iaitu Jumaat dan Sabtu jumlah pengunjung yang mendaki Bukit Kluang dan berada di pantai Bukit Keluang akan bertambah berkali ganda hingga mencecah ratusan antara 200 hingga 300 orang.
Gambar 3. Sampah di kaki pantai Bukit Keluang
Gambar 4. Sampah di tempat duduk
2.1 Faktor Masalah Pembuangan Sampah di Pantai Bukit Keluang, Besut, Terengganu
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah pembuangan sampah di Pantai Bukit keluang, Besut, Terengganu. Antara faktor yang utama ialah pertambahan jumlah pengunjung pantai tersebut sama ada daripada penduduk tempatan mahupun penduduk luar yang datang mengunjungi pantai tersebut. Sikap yang tidak bertanggungjawab daripada pengunjung yang mengunjungi pantai dengan membuang sampah merata-rata menjadi faktor kepada masalah pembuangan sampah di pantai Bukit Keluang. Ini disebabkan oleh sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan mengambil remeh terhadap pembuangan sampah.
Seterusnya ialah sikap pengunjung yang tidak peduli akan kebersihan alam sekitar walaupun pihak majlis daerah telah meletakkan banyak tong-tong sampah di sekitar pantai. Namun sayangnya, masih ada segelintir yang sanggup meninggalkan sampah yang telah mereka gunakan tanpa inisiatif untuk mengutip kembali sampah mereka ke dalam tong sampah yang disediakan. Bukan itu sahaja, ada juga yang membiarkan sampah yang mereka buang ke dalam tong sampah terkeluar tanpa membuangnya kembali ke dalam tong sampah. Sikap tidak peduli oleh masyarakat inilah yang menyumbang kepada masalah pembuangan sampah di pantai Bukit Keluang. Pihak berkuasa daerah Besut telah menugaskan pekerja mereka untuk memungut sampah pada setiap petang. Namun ianya masih lagi tidak dapat mengatasi masalah pembuangan sampah di pantai Bukit Keluang kerana masih ada pengunjung pada waktu malam membuang sampah merata-rata. Pengunjung menganggap tugas mengutip sampah hanya tanggungjawab pekerja pembersihan. Sekiranya sikap ini masih ada di dalam diri maka masalah pembuangan sampah tidak akan selesai malah boleh menjadi bertambah teruk.
Semua faktor masalah pembuangan sampah berpunca daripada sikap peribadi seseorang itu yang menganggap bahawa masalah pembuangan sampah merupakan hal yang remeh, tidak peduli akan alam sekitar dan sikap tiada kesedaran sivik walaupun telah diletakkan papan-papan amaran melarang pengunjung membuang sampah merata-rata. Jika pengunjung mempunyai rasa tanggungjawab dengan menjaga kebersihan pantai sudah pasti masalah sampah terbiar tidak wujud.
2.2 Kesan Masalah Pembuangan Sampah di Pantai Bukit Keluang, Besut, Terengganu
Masalah pembuangan sampah memberi kesan kepada alam sekitar, tahap kesihatan dan imej baik tempat tersebut. Sampah sarap yang dibuang merata-rata akan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Selain daripada itu keselamatan pengunjung juga tidak selamat ini kerana sampah-sampah yang terdiri daripada benda-benda tajam seperti pecahan kaca dan potongan tin akan menyebabkan kawasan yang dikotori itu berbahaya kepada keselamatan pengunjung. Jenis sampah seperti ini, jika dibiarkan akan menyebabkan keadaan sekeliling berbau busuk dan juga seterusnya menarik tikus dan lalat yang mana merupakan pembawa penyakit. Barang-barang yang dibuang itu juga selalunya terdiri daripada bekas-bekas yang boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Longgokan sampah yang terbiar juga akan menyebabkan banyak haiwan perosak seperti tikus, lipas dan lalat akan berada di kawasan tersebut. Ini akan menyebabkan berlakunya beberapa penyakit yang dibawa oleh haiwan-haiwan tersebut kepada penduduk setempat dan juga pengunjung yang mengunjungi pantai. Sebagai contoh ialah penyakit ialah kencing tikus dan juga cirit-birit.
Berdasarkan laporan Programme Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau dikenali sebagai UNEP menyatakan bahawa diantara mangsa kematian dikalangan hidupan laut seperti: penyu, ikan, burung, ikan lumba-lumba dan anjing laut adalah disebabkan oleh tertelan benda plastik yang dibawa oleh arus laut. Mereka juga telah menganggarkan bahawa di seluruh dunia sebanyak lebih kurang seratus ribu ekor mamalia laut dan penyu mati setiap tahun disebabkan oleh sampah plastik. Sampah yang dibuang di kawasan pantai akan lebih mudah untuk dihanyutkan ke laut berbanding sampah yang ada di kawasan darat.
Selain daripada kesan kepada alam sekitar merupakan salah satu daripada kesan pembuangan sampah di pantai Bukit Keluang. Kesan yang lain ialah kesan visual yang negatif. Ianya boleh menjejaskan imej kawasan itu dan juga boleh memberikan gambaran bahawa penduduk di kawasan itu tidak pembersih walaupun hanya disebabkan oleh sebahagian daripada masyarakat dan pengunjung sahaja, sepertimana peribahasa "sebab nila setitik rosak susu sebelangga". Ini akan mengakibatkan pantai sebagai destinasi pusat pelancongan menjadi tidak menarik dan mengurangkan kadar pelancong yang ingin melawat ke pantai Bukit Keluang. Hal ini bukan sahaja memberi kesan kepada kemerosotan imej pelancongan di kawasan tersebut malah juga menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat di kawasan tersebut.
2.3 Langkah-langkah bagi Mengatasi Masalah Pembuangan Sampah di Pantai Bukit Keluang.
Langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di pantai Bukit Keluang antaranya ialah dengan mengenakan denda kepada pesalah yang membuang sampah merata-rata di pantai Bukit Keluang. Pihak yang bertanggungjawab boleh meletakkan petugas bagi menjaga pantai Bukit keluang dan memberi kuasa menegur dan mendenda kepada sesiapa yang membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Apabila penguatkuasaan undang-undang yang lebih meluas dan kerap dilaksanakan akan menyebabkan pelaku akan berfikir dua kali untuk melakukan perkara tersebut kerana memikirkan risiko yang akan mereka hadapi. Pihak yang berwajib seperti Majlis Daerah juga perlu menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan lebih padu di kawasan tersebut. Sebagaimana yang kita ketahui, di Malaysia mempunyai undang-undang mengenai kesalahan membuang sampah merata-rata dan membuat pencemaran alam sekitar yang boleh menyebabkan pelaku boleh didenda ataupun dipenjara.
Seterusnya ialah dengan menganjurkan aktiviti pembersihan pantai dan mengadakan kempen pengurusan sampah. Penganjuran ini perlulah melibatkan pengunjung pantai sekali. Dengan melakukan aktiviti pembersihan pantai ini ianya dapat meningkatkan kesedaran dan mengingatkan semua pengunjung tentang kepentingan untuk tidak membuang sampah merata-rata. Selain itu, pengujung juga seharusnya mengamalkan guna semula dan kitar semula pembungkusan supaya tidak mencemarkan lautan. Peserta yang menyertai aktiviti dan kempen ini akan mula membuka mata setelah melihat sebelum dan selepas keadaan pantai setelah kempen ini dijalankan. Jika sebelum ini pihak majlis daerah hanya mengutip sampah pada waktu petang sahaja. Mungkin selepas ini pihak yang berkenaan boleh mengubah jadual kutip sampah pada waktu pagi, tengahari dan juga petang. Ini akan dapat mengurangkan longgokan sampah yang berada di dalam tong sampah sehingga terkeluar dari tong sampah.
Akhirnya, semua sedia maklum amat penting pendidikan awal bermula dari rumah. Sekiranya ibu bapa mengambil berat tentang pengurusan sampah di rumah mereka pastinya sikap ini akan dibawa keluar rumah. Namun sekiranya ibu bapa itu sendiri yang gagal dalam pengurusan sampah dan mengambil sikap sambil lewa maka ini akan mempengaruhi sikap keluarga mereka tentang pengurusan sampah. Hasilnya apabila di luar mereka tetap akan membuang sampah merata-rata kerana tiada kesedaran yang diterapkan kepada mereka.
3.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, negara kita berusaha untuk mempromosikan industri pelancongan di negara kita ini. Ianya menjadi amat mendukacita apabila kita melihat kawasan-kawasan riadah seperti pantai-pantai dan taman-taman peranginan dicemari oleh sampah sarap yang disebabkan oleh pengunjung tempat itu sendiri. Saya percaya salah satu daya tarikan kawasan-kawasan seperti ini adalah keadaan keasliannya yang bersih dan segar. Oleh yang demikian jika kawasan tersebut sudah dicemari oleh sampah maka ianya tidak akan begitu menarik lagi dan untuk membersihkan kawasan-kawasan seperti ini tidak mudah sekiranya yang membuang sampah tidak ditegah.
Oleh yang demikian, setiap individu itu perlu mengelakkan daripada membuang sampah dimerata-rata tempat atau ditempat yang bukan dikhaskan. Menjaga kebersihan sesuatu kawasan tersebut adalah penting untuk menjaga kesihatan, keselamatan dan keselesaan bersama. Alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang perlu dijaga dan dipelihara sebaiknya untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Namun begitu, kesedaran tentang penjagaan alam sekitar masih lagi tidak digalas sepenuhnya oleh setiap anggota masyarakat dan masalah pembuangan sampah sarap yang mencemarkan alam masih berlaku. Malaysia telah dianugerahkan dengan ekosistem yang kaya dan pelbagai. Menjadi tanggungjawab dan kewajiban kita untuk melindunginya bagi generasi akan datang.
Rujukan
Idris, H. (2017). Pembangunan mampan pelancongan maritim di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya
3 aktiviti yang buat anda puas hati jika berkunjung ke Bukit Keluang. (2019, March 1). Cempedak Cheese. https://cempedakcheese.com/3-aktiviti-yang-buat-anda-puas-hati-jika-berkunjung-ke-bukit-keluang/
Itutor. (2020, May 4). Langkah Menangani Masalah Pembuangan Sampah. Ipendidikan.my. https://www.ipendidikan.my/langkah-menangani-pembuangan-sampah.html
__________________________________________________________________________
Disediakan Oleh: Nur Fatihah Najihah bt Khalid
No Matrik: D20182085856
Kursus: HGM3033 Geografi Penduduk (kumpulan B)
No comments:
Post a Comment