Sunday, December 26, 2021

Masalah Pengurusan Sisa Domestik di Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak

Nama Pelajar : Madline Mawas Anak Pantau

Nombor Matriks : D20192091287

Kumpulan Kuliah : B

Pengenalan

Pengurusan sisa domestik iaitu sisa pepejal di Malaysia telah diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing sehingga tahun 1998. Kepesatan pembangunan negara yang berterusan turut meningkatkan kuantiti sisa pepejal yang dijana setiap tahun dan telah menyebabkan kos pengurusan sisa pepejal turut meningkat. Keadaan ini amat membebankan sebahagian besar Pihak Berkuasa Tempatan dengan meningkatkan kos kutipan dan pembinaan fasiliti untuk merawat dan melupus sisa pepejal. Pada masa yang sama masyarakat semakin peka ke atas isu-isu alam sekitar menyebabkan masalah sisa pepejal semakin mendapat perhatian umum.

Sisa domestik secara umumnya merujuk kepada bahan-bahan buangan yang dibuang dari kawasan perumahan seperti sisa makanan, plastik, kertas dan juga bahan logam terpakai. Sisa domestik ini terdiri daripada sisa pepejal dan sisa cecair. Sisa domestik dapat dikelaskan kepada bahan organik dan bahan bukan organik. Kebanyakan sisa domestik berpunca daripada aktiviti harian manusia dan juga kejadian bencana alam selebihnya adalah daripada tindak balas semula jadi alam sekitar.

Sisa domestik ini boleh menjejaskan kesihatan manusia dan membawa bencana alam kepada dunia. Bencana alam merupakan suatu peristiwa yang mempunyai kesan besar bagi populasi manusia. Peristiwa bencana alam boleh berupa banjir, gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, ribut kebakaran dan masih banyak lagi. Namun tidak semuanya disebabkan oleh alam. Ada beberapa di antaranya terjadi kerana tindakan mamusia itu sendiri, baik sengaja mahupun tidak sengaja (Ethel Sebastian Daraup, Mohammad Tahir Mapa, Abdul Hair Beddu Asis, Fionna George & Molia Sebi Dinggai, 2020)

Dalam kajian ini, pemerhatian telah dilakukan di tapak pelupusan sisa domestik di Tanjung Kidurong serta mengenalpasti jenis-jenis sisa pepejal yang dihasilkan oleh masyarakat setempat di kawasan petempatan tersebut. Penilaian awal ini akan menjadi pendorong kepada usaha-usaha yang lebih agresif lagi untuk mengenalpasti masalah pembuangan sisa pepejal ini sama ada dalam kalangan penduduk tempatan dan juga para pelancong. Ini disebabkan kadar penghasilan sisa pepejal yang semakin bertambah menyebabkan kemudahan tapak pelupusan sedia ada tidak mampu menampung sampah yang semakin banyak dan mendatangkan masalah lain kepada alam sekitar.

 

Masalah pengurusan sisa domestik di Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak

Masalah pembuangan sisa domestik tidak ada titik noktahnya. Kegiatan harian manusia merupakan punca utama kepada penghasilan dan pembuangan sisa domestik yang terdiri daripada sisa pepejal dan juga sisa cecair tidak kira di mana mereka berada. Masalah pengurusan sisa domestik ini terutamanya sisa pepejal ini akan menjadi bertambah kritikal dan serius jika penghasilan sisa-sisa buangan sampah sarap ini berlaku di kawasan-kawasan rekreasi dan juga kawasan perumahan penduduk. Hal ini kerana, kawasan ini sepatutnya perlu dijaga dan dikekalkan tahap kebersihannya dan keistimewaannya sebagai tempat untuk beriadah, menenangkan fikiran dan juga sebagai tempat tinggal bagi penduduk setempat.

Oleh itu, pengurusan sisa domestik di kawasan Tanjung Kidurong ini perlu diuruskan dengan baik bagi mengelakkan pelbagai masalah yang tidak diingini akan berlaku. Dapatan kajian menunjukkan tapak pelupusan sampah yang sedia ada iaitu di Tanjung Kidurong tidak lagi mampu untuk menampung jumlah sisa domestik terutamanya sisa pepejal yang semakin meningkat di samping ketiadaan insinerator bagi melupuskan sisa-sisa pepejal ini. Hal ini menyebabkan tapak pelupusan sampah ini menjadi semakin teruk dan terjejas.

Masalah sisa pepejal ini telah mengakibatkan berlakunya masalah seperti pencemaran alam sekitar khususnya pencemaran air dan juga bau serta akan memburukkan imej kawasan petempatan Tanjung Kidurong sekiranya pihak luar datang berkunjung mendapati kawasan petempatan ini ditimbuni oleh sampah sarap yang banyak dan tidak terkawal. Oleh itu, langkah untuk disegerakan pengoperasian insinerator perlu dilakukan di samping peranan pendidikan dan kesedaran alam sekitar perlu diberikan orang ramai terutamanya penduduk tempatan agar tidak membuang sampah merata-rata malah mereka perlu melakukan aktiviti kitar semula bahan-bahan dan lain-lain.

Jenis sisa domestik yang terdapat di kawasan kajian ialah bahan buangan bukan organik. Bahan buangan bukan organik ialah sisa yang sukar dilupuskan dan diuraikan. Bahan ini dihasilkan dari sumber organik yang wujud secara semula jadi . Bahan buangan bukan organik terdiri daripada  sisa pepejal dan sisa cecair. Contoh sisa pepejal yang terdapat di kawasan kajian pengkaji adalah tin, plastik, besi buruk, kaca dan sebagainya. Manakala sisa cecair pula ialah minyak masak (Haslinda Mohd Anuar & Harlida Abdul Wahab, 2015).

Masalah pengurusan sisa domestik ini dapat dilihat dari segi pengurusan pembuangan sisa pepejal yang tidak diuruskan dengan baik dan berkesan kerana tidak dilupuskan dalam keadaan yang sempurna. Pembuangan sampah sarap secara terbuka di tapak pelupusan sampah sedia ada telah merosakkan keindahahan alam semula jadi di Tanjung Kidurong kerana telah menjejaskan pemandangan yang tenang dan aman kepada penduduk sekitar yang ingin melakukan aktiviti riadah mereka. Kawasan atau tapak pelupusan sampah yang tidak diuruskan dengan sempurna ini boleh menimbulkan bahaya kepada alam sekitar seperti berlakunya pencemaran air bawah tanah, air sungai dan juga air laut.

Lokasi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal

Lokasi tapak pelupusan sisa pepejal di Tanjung Kidurong ini terletak di Bandar Bintulu, Sarawak. Lokasi tapak pelupusan sisa pepejal ini adalah kira-kira tiga kilometer dari pusat Bandar Bintulu.



Gambar 1 : Tapak Pelupusan Sampah di Tanjung Kidurong

Merujuk pada gambar 1 didapati tapak pelupusan sampah di Tanjung Kidurong ini tidak diuruskan ataupun dilupuskan dengan baik. Jumlah peningkatan pembuangan sisa domestik yang terdiri daripada sisa pepejal mempunyai jumlah kapasiti pembuangan yang banyak. Pelupusan sampah yang dilakukan di Tanjung Kidurong adalah dilakukan secara terbuka. Ketiadaan insinerator untuk melupuskan sampah ini telah menjejaskan lagi keadaan di tapak pelupusan ini.

 

Sisa Pepejal Domestik

Sisa pepejal domestik dikenal pasti sebagai sisa pepejal yang telah dihasilkan oleh sesebuah isi rumah yang dikelaskan mengikut bahan-bahan yang dibuang dari aspek kandungan sisa yang dibuang dan impak yang akan dihasilkan oleh bahan yang dibuang tersebut. Sisa pepejal domestik ini merupakan segala lebihan yang tidak lagi dikehendaki dan dilupuskan kerana sudah rosak dan sebagainya. Sisa pepejal domestik ini juga merupakan sisa pepejal yang dihasilkan oleh isi rumah berdasarkan kepada aktiviti harian isi rumah tersebut. Sisa pepejal domestik ini merangkumi sisa basah dan juga sisa kering misalnya plastik, kertas, tin, sisa makanan dan juga sisa tanaman. Oleh itu, sisa domestik yang dihasilkan oleh sesebuah isi rumah tersebut adalah terdiri daripada kertas, plastik, kaca, bahan logam, kayu dan bahan sisa tananan seperti daun kering, rumput dan lain-lain.

Pengurusan sisa pepejal domestik

                                      Rajah 1 Komponen Pengurusan Sisa Pepejal

                                                  Sumber : PPSPPA 2013

Merujuk kepada rajah 1, menunjukkan bahagian dalam pengurusan sisa pepejal bermula daripada sesebuah isi rumah sehingga ke pelupusan sisa pepejal. Hal ini menunjukkan bahawa, sesebuah pengurusan sisa pepejal merupakan satu pengurusan yang melibatkan pengurusan sisa pepejal bermula daripada bahagian pengasingan, pengutipan dan akhirnya kepada pelupusan samapah di tapak pelupusan.



Rajah 2 Hierarki Pengurusan Sisa Pepejal Semasa

Sumber : PPSPPA 2013

Merujuk rajah 2 yang menunjukkan pengurusan sisa pepejal yang dikenalpasti di negara Malaysia iaitu pengurusuan sisa pepejal yang dijalankan dan pelupusan menjadi pilihan utama dalam pengurusan ini. Pengurangan sisa, guna semula sisa dan kitar semula sisa merupakan langkah yang perlu diberikan perhatian dan pelaksanaanya perlulah dilakukan dengan lebih sistematik. Oleh  itu, pelupusan sisa telah menjadi cara utama bagi menguruskan sisa yang dihasilkan dan adalah lebih mudah kerana tidak terdapat langkah pengurusan yang kompleks.

 

Hasil dan Perbincangan Kajian

Pengurusan sisa pepejal di Tanjung Kidurong ini telah menyebabkan berlakunya pencemaran seperti pencemaran udara, air, bau dan sebagainya. Hal ini kerana, berlakunya pembakaran secara terbuka di tapak pelupusan sampah ini yang akan menyebabkan pencemaran udara. Pencemaran udara ini akan menyebabkan timbulnya asap, habuk dan gas cemar ke ruang atmosfera bumi. Selain itu, aktiviti pengambusan sisa pepejal ke dalam tanah akan menyebabkan berlakunya pencemaran air bawah tanah. Selain berlakunya pencemaran air bawah tanah, keadaan air sungai akan terjejas sama dan berlakunya pencemaran air sungai. Pengurusan tempat pembuangan sisa pepejal yang tidak sistematik dan diurus dengan baik juga akan menyebabkan kualiti air di kawasan Tanjung Kidurong semakin terjejas. Tapak pelupusan sampah di Tanjung Kidurong ini yang berhampiran dengan lembangan saliran yang akan menyebabkan air hujan yang turun di tapak pelupusam ini akan membawa kuman. Terdapat air larian permukaan yang juga akan masuk ke dalam sungai dan terus ke kawasan laut. Hal ini boleh menyebabkan juga wujudnya penyakit merbahaya akibat bawaan air dan vektor pembawa penyakit yang dibawa dari tempat pelupusan sampah tersebut.

Berlakunya, pencemaran air bawah tanah disebabkan air sisa sampah ini dan air tanah ini mengandungi bahan pencemar yang akan masuk ke dalam alur sungai hingga menyebabkan berlakunya masalah pencemaran air sungai dan laut. Permasalahan kawasan tanah yang tidak mencukupi untuk menampung jumlah buangan sisa-sisa domestik ini juga menyebabkan timbunan sampah menjadi lebih banyak. Hal ini memerlukan kawasan tanah yang mencukupi untuk tujuan pelupusan sampah sarap yang semakin bertambah dan kemampuan tapak pelupusan sedia ada telah menjangkau usia penggunaannya (Khairul Baharudin & Sarah Aziz, 2020). Keadaan tapak pelupusan sampah di Tanjung Kidurong ini adalah dilihat sangat daif yang telah menjangkau jangka hayatnya. Seterusnya, masalah pencemaran bau juga berlaku akibat hasil daripada buangan sampah domestik khusunya buangan sisa makananan dari tapak pelupusan sampah. Masalah bau sampah daripada tapak pelupusan sampah secara terbuka ini telah menyebabkan gangguan bau yang sangat busuk kepada kawasan persekitaran Tanjung Kidurong.

 

Langkah Menguruskan Sisa-Sisa Domestik

Langkah Bukan Perundangan

Langkah yang boleh dilakukan bagi menguruskan pelupusan sisa-sisa domestik ini adalah dapat dilihat daripada langkah bukan perundangan. Langkah perundangan ini melibatkan kesedaran masyarakat setempat, kos pembiayaan, teknologi dan kepakaran, peralatan dan kemudahan yang diperlukan. Langkah bukan perundangan ini merupakan langkah yang signifikan kerana telah mengambil kira kawasan kajian. Oleh itu, langkah yang efektif dan efisien perlulah dilakukan dengan kadar segera dan bersifat teknikaliti. Terdapat juga langkah dari aspek kesedaran seperti kempen, pendidikan, pembiayaan yang secukupnya dan penyediaan kemudahan yang baik.

Seterusnya, langkah untuk menjual sisa sebagai bahan terpakai atau dijadikan sebagai fungsi lain-lain. Penjualan fungsi lain ini adalah merangkumi penjualan alatan elektronik yang masih mempunyai nilai dan fungsi. Hal ini bagi memaparkan langkah yang dilakukan sedemikian adalah menggalakkan. Hal ini demikian kerana, penukaran sampah ini kepada wang ataupun barangan lain adalah satu cara yang baik bagi mengurangkan sisa pepejal. Pengurangan sisa yang boleh diguna semula ataupun diubahsuai fungsinya kepada sesuatu yang baru merupakan langkah yang baik kerana perubahan fungsi yang diubah dapat digunakan dalam kehidupan seharian. Misalnya, tayar kereta lama yang tidak lagi digunakan mahupun telah rosak dapat dijadikan sebagai penukaran pasu untuk menanam pokok bunga dan lain-lain.

Akhir sekali, langkah menukarkan sisa kepada tenaga merupakan langkah terbaik bagi dilaksanakan. Penukaran sisa tersebut dengan kadar penghasilan sisa serta keadaan kawasan luar bandar yang masih tiada bekalan elektrik, penukaran sisa kepada tenaga adalah alternatif yang baik. Pembinaan insinerator sangat diperlukan bagi melaksanakan langkah ini. Hal ini kerana melalui pembakaran sisa pepejal maka dapatlah tenaga dihasilkan (Masyitah Md Nujid, Nurjuhanah Juhari & Juliana Martin, 2011).Namun, jika insinerator yang dibina ini tidak diurus dengan baik maka impak buruk akan berlaku kepada alam sekitar. Oleh itu, pembinaan insinerator yang berskala kecil merupakan alternatif yang paling baik.

 Langkah Perundangan

Penilaian semula undang-undang seperti mematuhi undang-undang dengan pelaksananaan penguatkuasaan yang tegas merupakan aspek yang penting dalam memastikan pengurusan dalam sisa pepejal dapat diuruskan dengan lebih efisien dan efektif. Aspek pengurusan sisa pepejal dalam langkah perundangan adalah membuat penilaian semula undang-undang dan peraturan melibatkan penswastaan dalam pengurusan tersebut. Hal ini bagi memastikan badan-badan yang terlibat dapat disusun dan dikelaskan mengikut bidang kuasa dan skop yang telah diagihkan. Seterusnya, mengenalpasti dan menambahbaik pengurusan sisa pepejal ini dari aspek pengawal seliaan dan perlaksanaan bagi merangka undang-undang yang ada perlulah dilaksanakan dan diperkuatkuasakan dengan tegas. Perkara ini amatlah penting bagi memastikan masyarakat setempat dan pihak yang terlibat mengetahui akan garis panduan yang telah ditetapkan. Oleh itu, masyarakat juga perlu mematuhi peraturan yang sedia ada jika ingin mengelakkan pemberian penalti sekiranya gagal mematuhi undang-undang.

6.0 Rumusan

Pengurusan sisa-sisa domestik pepejal yang terdapat di mana-mana kawasan adalah melibatkan elemen dari aspek pengoperasian, pihak pengurusan, masyarakat dan juga badan kerajaan. Hal ini kerana elemen ini merupakan elemen yang asas yang dapat dilihat dan dinilai dalam mana-mana sumber kajian. Perbezaan di antara mana-mana sumber kajian yang telah dijalankan dapat dibezakan daripada aspek pengambilan dan pembahagian data (Zuroni Md Jusoh, Syuhaily Osman, Afida Mastura Muhammad Arif, Roslina Mat Salleh & Nurul Aini A Kadir, 2018). Kesan dan langkah yang diambil dalam mengatasi permasalahan yang berlaku juga perlu disertakan. Oleh itu, sangat penting untuk menilai semula keseluruhan pengurusan sisa pepejal domestik ini terutamanya di bandar. Hal ini akan dapat memberikan gambaran yang jelas secara keseluruhan tentang proses pengurusan sisa. Maka jelaslah, pihak berkuasa perlu menjalankan tanggungjawab dalam melaksanakan pengurusan sisa ini bagi menyedari dan mengakui matlamat penting langkah yang dijalankan adalah untuk mengurangkan pencemaran yang berlaku berpunca dari sisa pepejal domestik.

 

 

 

Rujukan

Ethel Sebastian Daraup, Mohammad Tahir Mapa, Abdul Hair Beddu Asis, Fionna George & Molia Sebi Dinggai. (2020). Pengurusan Sisa Pejal Bandar: Penelitian Ke Atas Kerjasama Swasta Dan Awam Di Kuching, Sarawak. Jurnal Kinabalu Bil26(1), 63-80. https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/ejk/article/download/2761/1817/9604

Haslinda Mohd Anuar & Harlida Abdul Wahab. (2015). Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam: Pengurusan dan Perundangan. Solid Waste Solution Journal1, 1-20. https://www.researchgate.net/publication/319090214_Sisa_Pepejal_dan_Pembersihan_Awam_Pengurusan_dan_Perundangan

Khairul Baharudin & Sarah Aziz. (2020). Menganjak ke Satu Pengurusan Sisa Pepejal Secara Lestari di Kampus UKM Bangi, Selangor: Pertimbangan Awal. Jurnal Personalia Pelajar 2323(2), 155-154. http://www.ukm.my/personalia/wp-content/uploads/2021/02/Artikel-18_Ahmad-Khairul-Safuan_LESTARI.pdf

Masyitah Md Nujid, Nurjuhanah Juhari & Juliana Martin. (2011). Kajian Penjanaan Sisa Pepejal Dan Tahap Kesedaran Penduduk Terhadap Kitar Semula Di Seluruh Negeri Perlis. Jurnal Intelek6(1), 123-129. https://jurnalintelek.uitm.edu.my/index.php/main/article/view/34/18

Zuroni Md Jusoh, Syuhaily Osman, Afida Mastura Muhammad Arif, Roslina Mat Salleh & Nurul Aini A Kadir. (2018). Pola Pembuangan Sisa Pepejal Isi Rumah Di Malaysia. Jurnal Pengguna Malaysia31, 27-38. http://macfea.com.my/wpcontent/uploads/2020/03/JPM-31-Dis-2018-article-3.pdf

 

 

  

No comments:

Post a Comment