Sunday, December 26, 2021

KESAN PANDEMIK COVID-19 TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK DI KAMPUNG LUANTI BARU, KENINGAU, SABAH.

 

Pada 15 dan 16 November 2021, pengkaji telah menjalankan satu kajian lapangan di Kampung Luanti Baru, Keningau, Sabah. Kajian ini adalah bagi memenuhi tugasan kerja kursus HGM3033 Geografi Penduduk. Kampung Luanti Baru merupakan sebuah perkampungan yang terletak di kawasan pedalaman negeri Sabah, iaitu di daerah Keningau. Perjalanan dari lapangan terbang Kota Kinabalu ke Keningau mengambil masa kira-kira 3 jam manakala dari bandar Keningau ke kawasan perkampungan mengambil kira-kira 35 minit masa perjalanan. Kampung Luanti Baru dan pusat bandar Keningau dipisahkan oleh Sungai Pegalan yang merupakan sungai terbesar di daerah tersebut. Oleh hal yang demikian, kawasan perkampungan di sekitar Kampung Luanti Baru disebut sebagai Trans-Pegalan. Walaupun sepanjang masa perjalanan ke Kampung Luanti Baru mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, kawasan ini mempunyai darjah ketersampaian yang tinggi kerana semua kawasan jalan raya adalah bertar. Kegiatan ekonomi utama yang dijalankan  oleh penduduk di Kampung Luanti Baru ialah dalam sektor ekonomi pertama iaitu pertanian. Sebilangan besar masyarakat di Kampung Luanti Baru bergiat dalam aktiviti menoreh getah dan menanam padi sawah. Namun demikian, terdapat juga penduduk kampung yang bekerja sebagai peniaga dan sebagai kakitangan kerajaan serta swasta.


Gambar 1 : Peta Kampung Luanti Baru

Gambar 2 : Kampung Luanti Baru

Tujuan kajian ini dilaksanakan ialah untuk mengenalpasti kesan pandemik covid-19 terhadap sosioekonomi penduduk di Kampung Luanti Baru, Keningau. Pengkaji telah menggunakan dua kaedah kajian untuk memenuhi kehendak tajuk artikel iaitu secara soal selidik dan kaedah pemerhatian. Seperti yang kita sedia maklum, dunia telah dikejutkan dengan wabak penyakit berjangkit yang dikenali sebagai Coronavirus pada akhir tahun 2019. Kemunculan wabak penyakit ini telah banyak mengubah cara hidup masyarakat yang memaksa penduduk dunia sentiasa menjaga penjarakan sosial sebanyak satu meter serta sentiasa memakai penutup muka ketika berada di tempat umum. Secara terperinci, Coronavirus (COVID-19) adalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus corona yang baru ditemui. Kes pertama yang dilaporkan adalah pada Disember 2019 di Wuhan, China. COVID-19 menyerang manusia dalam cara yang berbeza. Simptom-simptom virus ini adalah seperti demam, batuk kering dan keletihan. Bagi warga emas, kanak-kanak dan pengidap penyakit kritikal seperti masalah jantung, diabetes, masalah pernafasan yang kronik, dan kanser adalah berisiko tinggi untuk terkena jangkitan. Simptom serius adalah seperti sukar bernafas atau nafas pendek, sakit dada atau terasa tertekan di bahagian dada dan pergerakan yang terhad. Covid-19 berjangkit melalui tranmisi zarah pernafasan manusia dan sentuhan. Apabila berada dalam jarak yang dekat dengan pesakit yang mempunyai simptom, transmisi zarah akan mudah berlaku apabila mulut dan hidung mereka telah terdedah.

Kemunculan wabak penyakit ini telah memberi pelbagai kesan negatif terutamanya terhadap sosioekonomi penduduk yang terdapat di Kampung Luanti Baru. Hal ini dikatakan demikian kerana, bagi membendung penularan wabak penyakit berjangkit di Malaysia, kerajaan telah mengambil inisiatif seperti menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap semua masyarakat menyebabkan pelbagai kesan negatif berlaku terutama dari aspek pekerjaan dan perniagaan, pendidikan, kesihatan, serta terhadap penduduk itu sendiri.

Melalui kaedah soal selidik yang dijalankan oleh pengkaji menggunakan google form, seramai 28 orang responden yang berumur  20 tahun hingga 50 tahun. Seramai 18 orang perempuan dan10 orang responden lelaki yang telah menjawab soal selidik yang diedarkan.

Rajah 1 : Jantina Responden

Rajah 3 : Status Responden

Sebilangan besar responden yang telah menjawab soal selidik merupakan penduduk di Kampung Luanti Baru yang masih bujang. Manakala responden yang lain sudah berkahwin. Responden yang menjawab soal selidik ialah dalam kalangan penduduk yang mempunyai pekerjaan dalam sektor kerajaan, swasta, bekerja sendiri, tidak mempunyai pekerjaan serta pelajar.

Rajah 2 : Pekerjaan Responden

Rajah 4 : Kesan Pandemik terhadap pekerjaan dan perniagaan. 

Rajah di atas menunjukkan kesan pandemik covid-19 terhadap pekerjaan dan perniagaan penduduk di Kampung Luanti Baru. Seramai 19 orang responden bersetuju bahawa penyebaran wabak penyakit berjangkit tersebut telah menyebabkan mereka hilang pendapatan tetap. Seramai 20 orang (71%) responden telah bersetuju bahawa permintaan terhadap jualan niaga mereka telah berkurang. Seramai 18 orang (64%) telah mengalami pengurangan gaji dan 15 orang (53%) telah hilang pekerjaan. Namun bagi penduduk yang merupakan seorang petani, mereka telah menerima subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan bagi meringankan beban mereka semasa pandemik.

Rajah 5 : Kesan pandemik terhadap pendidikan.

Pandemik covid-19 juga telah memberi kesan terhadap pendidikan penduduk di Kampung Luanti Baru. Seramai 75% responden telah bersetuju bahawa semasa pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan, bahan rujukan pelajar adalah sangat terhad. Seramai 89% responden bersetuju bahawa pelajar kurang berkomunikasi dengan guru semasa pembelajaran diatas talian dijalankan. Kesan positif terhadap pendidikan semasa PKP dijalankan ialah, kebanyakan responden bersetuju bahawa hubungan diantara pelajar dan ibu bapa menjadi erat serta kemahiran penggunaan teknologi dan maklumat dalam kalangan pelajar telah dapat ditingkatkan.

Rajah 6 : Kesan pandemik terhadap kesihatan

Wabak penyakit berjangkit covid-19 jelas telah memberi kesan yang serius terhadap kesihatan penduduk di Kampung Luanti Baru. Selain berisiko menghidapi penyakit tersebut, penduduk juga telah bersetuju bahawa tindakan kerajaan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan responden mengalami tekanan mental dan emosi. Bukan itu sahaja, responden juga telah bersetuju bahawa bekalan makanan dan ubat-ubatan menjadi lebih terhad semasa penduduk diminta untuk berkurung di rumah. Kesan positif yang dapat dilihat terhadap kesihatan penduduk ialah, responden telah mendapat rehat yang mencukupi di rumah. Selain itu, responden telah bersetuju bahawa semasa pandemik covid-19 PKP telah membantu dalam mengurangkan penularan virus covid-19.

Rajah 7 : Kesan pandemik terhadap penduduk

Pandemik covid-19 ini juga telah memberi kesan terhadap penduduk di Kampung Luanti Baru secara individu terutama sekali dalam peningkatan scammer. Melalui soal selidik yang telah dijalankan, seramai 25 orang (89%) telah bersetuju bahawa peningkatan scammer telah meningkat. Hal ini adalah disebabkan oleh keadaan yang mendesak penduduk untuk mencari pendapatan semasa wabak sehingga mereka memilih jalan pintas iaitu menjadi scammer. Selain itu, penderaan dan keganasan rumah tangga dalam kalangan responden ada berlaku semasa pandemik covid-19. Hal ini dapat dibuktikan dengan  sebanyak 10 orang responden bersetuju bahawa penderaan dan keganasan rumah tangga telah berlaku semasa pandemik. Bukan itu sahaja, bantuan PKP juga lambat sampai terutama sekali ke kawasan pedalaman. Seramai 8 orang responden telah bersetuju bahawa kadar jenayah berkurang. Kesan positif menunjukkan bahawa banyak bantuan tunai dan makanan yang diberikan oleh kerajaan dan bukan kerajaan semasa PKP dilaksanakan dengan 22 orang (78%) telah bersetuju dalam soal selidik yang telah diedarkan oleh pengkaji.

            Tuntasnya, pandemik covid-19 yang melanda dunia pada akhir tahun 2019 telah memberi pelbagai kesan negatif mahupun positif terhadap sosioekonomi dan kesihatan penduduk di Kampung Luanti Baru. Walaupun tiada peningkatan ketara bagi kes positif baharu, namun jumlah kumulatif mingguan kes baharu COVID-19 sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020 masih menunjukkan peningkatan. Untuk melihat sama ada kita berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 ataupun tidak, data mingguan kes baharu wabak ini mesti menunjukkan penurunan. Pendamik COVID-19 adalah masalah global. Usaha yang diambil oleh kerajaan disemua negara dalam menanganinya ternyata memberi impak kepada penduduk negara masing-masing. PKP di Malaysia telah menunjukkan kesan positif dan pematuhan rakyat melebihi 95 peratus. Pelanjutan PKP dalam mengekang penularan wabak COVID-19 amat penting dalam memastikan kesihatan penduduk bebas dari jangkitan itu, namun ia akan memberikan impak negatif kepada sosial dan ekonomi penduduk di Kampung Luanti Baru secara keseluruhannya.


RUJUKAN

Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020, Kenyataan Media: Laporan Sosio ekonomi Negeri, diperoleh             daripada https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-                Press_Statement/2021/8%20Ogos/SOSIOEKONOMI%20NEGERI%202020-COMBINE.pdf

Prof. Madya Dr, Charanjit Kaur, 2021, Pandemik Beri Impak Berbeza Mengikut Status Sosial dan             Ekonomi, diperolehi daripada, https://www.bharian.com.my/rencana/lain-                                                lain/2021/07/836013/pandemik-beri-impak-berbeza-mengikut-status-sosial-ekonomi

 

NAMA : MARRYJOY EDUARDO

NOMBOR MATRIK : D20192091307

HGM3033 GEOGRAFI PENDUDUK (B)

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment