Sunday, December 19, 2021

Masalah Obesiti Dalam Kalangan Penduduk Taman Desa Rahmat

Dunia makin bergerak untuk mencapai kemajuan, manusia juga perlu bergerak seiring dengan kemajuan yang diimpikan. Namun kemajuan ini telah memberi beberapa transformasi dalam amalan hidup manusia. Ini dapat dilihat melalui perubahan tahap kesihatan dan kesejahteraan manusia. Di Malaysia contohnya, disebabkan gaya hidup moden, banyak penyakit sedentari yang makin membelenggu penduduk di Malaysia. Antara penyakit sedentari yang begitu sinonim dengan penduduk Malaysia ialah seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan tidak lupa juga, obesiti. 

Obesiti (Obesity) adalah satu masalah kesihatan yang semakin berleluasa bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi di seluruh dunia. Pada masa ini hampir 40% penduduk Malaysia adalah obes dan 1/3 penduduk dunia termasuk dalam kategori yang sama. Obesiti bukan sahaja memberi impak negatif terhadap rupa dan bentuk badan seseorang, tetapi juga mempunyai banyak impak negatif kepada kesihatan seperti meningkatkan risiko strok dan penyakit jantung. Menurut kajian yang tersiar di dalam “Global Obesiti” yang ditulis oleh Thomas J (2000), menyatakan gejala obesiti telah meningkat secara mendadak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.



       Rajah 1: Petikan Akhbar Utusan Malaysia 



    Rajah 2: Statistik Oleh National Health Morbidity 

Dalam penulisan ini, pengkaji telah menjalankan satu kajian di Taman Desa Rahmat, Kota Bharu, Kelantan untuk mengkaji masalah obesiti yang dihadapi oleh penduduk. Taman Desa Rahmat merupakan kawasan perumahan yang terletak di daerah Kota Bharu. Kawasan ini berdekatan dengan bandar dan mempunyai akses yang mudah dengan terdapatnya banyak pusat beli belah dan tempat beriadah. Kajian yang dijalankan adalah menggunakan kaedah temubual bersama penduduk setempat.



 Rajah 3: Peta Lokasi Taman Desa Rahmat 

Antara faktor-faktor yang dikenal pasti  sebagai penyumbang kepada masalah ini termasuklah terdapatnya lambakan kedai makanan segera, pengambilan makanan yang tidak sihat atau tidak seimbang, amalan pemakanan tidak sihat dan faktor keluarga.

Daripada temubual bersama penduduk mendapati kedua ibubapa dan penjaga bekerja sepenuh masa, di mana terdapat kekangan masa dalam pemilihan dan penyediaan makanan yang sihat kepada anak-anak. 

Lambakan kedai makanan segera 

Terdapat lambakan kedai makanan segera yang terdapat di kawasan perumahan ini. Hal ini menyebab kan mereka yang obesiti terjebak ke dalam perangkap pemakanan tidak sihat ini dengan lebih mudah. Faktor harga yang murah dan akses yang mudah bagi mendapatkan makanan tersebut menjadi punca penduduk khususnya kanak-kanak di sini suka membeli makanan segera berbanding makan makanan yang lebih berkhasiat di rumah. Lambakan snek-snek makanan ringan yang tidak berkhasiat juga menjadi punca kepada masalah obesiti ini di mana konsumer utama terdiri daripada kanak-kanak yang lebih gemar kepada makanan segera



                                 Rajah 4: Antara Gerai Yang Terdapat Di Taman Desa Rahmat 

                                                             
                                                                Rajah 5: Gerai Kedua 


                                                                    Rajah 6: Gerai Burger


Pengambilan makanan yang tidak sihat atau tidak seimbang 

Hasil temubual juga mendapati obesiti dalam kalangan mereka adalah disebabkan pengambilan makanan yang berkalori tinggi seperti makanan segera dan makanan manis seperti gula-gula, ayam goreng, minuman berkabohidrat. Kebiasaannya, ibubapa cenderung untuk menyuruh anak mereka membeli goreng pisang pada waktu petang. Justeru, hal itu mendorong mereka untuk turut sama menikmata makanan tanpa mengetahui risiko sekiranya diambil secara berlebihan. Makanan tersebut boleh menyebabkan pengumpulan lemak pada salur darah dan akan meningkatkan paras gula dalam darah.

Amalan Pemakanan Tidak Sihat 

Selain itu, corak pemakanan juga sangat mempengaruhi berlakunya obesiti. Hasil temubual mendapati setelah kewujudan pasar raya dan premis makanan berdekatan yang semakin bertambah, telah membolehkan pilihan makanan yang banyak untuk penduduk. Sekarang ini telah menjadi trend kebanyakkan restoran makanan memanjangkan waktu perniagaan hingga lewat malam atau 24 jam. Ini telah menggalakkan individu mengambil makanan pada waktu lewat malam yang boleh menjejaskan kesihatan. Hal ini adalah sangat tidak baik kerana selepas makan lewat malam, pada waktu yang sepatutnya badan akan berehat setelah seharian berkerja, sebaliknya, perlu mencerna makanan sewaktu tidur, tekanan metabolisme makanan itu akan menyebabkan LES (Lower Esophageal Sphincter) menjadi longgar, yang menyebabkan makanan dan asid perut yang tidak tercerna bergerak kembali ke esofagus.



                                      Rajah 7 : Antara restoran yang beroperasi waktu malam


                                                    Rajah 8: Ilustrasi masalah pencernaan 

Hasil temubual juga mendapati majoriti kanak-kanak mengamalkan pengambilan makanan yang tidak sihat atau tidak seimbang di hadapan televisyen. Pengambilan makanan yang tidak sihat ini akan menyumbang kepada obesiti. Menurut Mayo (2006), “makanan yang kurang berkhasiat seperti makanan ringan diketahui umum mengandungi pelbagai bahan kimia yang boleh menyebabkan penyakit dan pengambilan berlebihan terutama ketika menonton televisyen akan menyumbang kepada obesiti”. Di era ini, kebanyakan kanak-kanak telah menukar tabiat makan mereka daripada makanan berkhasiat kepada makanan segera, makanan snek yang diproses dan minuman yang tinggi dengan kandungan gula. Pengambilan makanan ini sering diambil ketika berada di hadapan televisyen. Contoh makanan tersebut adalah seperti makanan segera dan juga minuman ringan ataupun bergas.


Faktor Keluarga 

Seterusnya, pengkaji juga mendapati faktor keluarga turut menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan penduduk di sini. Hal ini demikian kerana, kesibukan ibu bapa menyebabkan pemilihan makanan yang berkhasiat agak terhad. Ibu bapa yang sibuk cenderung memilih makanan segera sebagai hidangan untuk keluarga disebabkan kekangan masa. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam sesebuah keluarga. Sebagai contoh, majoriti ibubapa menyediakan makanan segera seperti ‘nugget’, ‘maggi’, air ‘3 in 1’ dan sebagainya untuk memudahkan anak-anak berdikari di rumah tanpa menyedari hal itu akan menjejaskan kesihatan anak. Maka, adalah penting untuk mengambil perhatian sekiranya berlaku ketagihan, ibu bapa perlu peka dan mengurangkan pembelian makanan proses sejuk beku seperti nuget atau sosej di rumah dan menukarkannya kepada makanan yang lebih berkhasiat.

Langkah-Langkah menangani obesiti

Prakarsa utama dalam mencegah masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak adalah dengan memastikan mereka mengamalkan pemakanan yang seimbang. Golongan kanak-kanak perlu mendapat bimbingan daripada ibu dan bapa atau guru di sekolah tentang cara pemakanan yang betul dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan yang dipromosikan di media. Pemakanan yang seimbang boleh dirujuk kepada piramid makanan di mana jumlah nutrisi yang terkandung dalam hidangan adalah penting dalam menentukan ianya pada kadar yang cukup atau berlebihan.

Ringkasnya, pengambilan makanan yang berlemak dan tidak berkhasiat tinggi seperti makanan segera serta air berkarbonat hendaklah dielakkan. Tidak dinafikan bahawa makanan segera seperti mee segera dan sosej merupakan kegemaran masyarakat kita namun kita hendaklah mengubah perkara tersebut demi kesihatan yang lebih bermanfaat. Ibarat peribahasa Melayu, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Tegasnya, dengan mengamalkan pemakanan secara seimbang, golongan kanak-kanak ini dapat mengelak daripda masalah obesiti dan penyakit jantung.


Rajah 6: Piramid Makanan Malaysia

Meninjau dari aspek lain, golongan kanak-kanak juga seharusnya melakukan aktiviti bersenam atau bersukan dengan lebih kerap. Hal ini demikian kerana generasi muda hari ini lebih gemar meluangkan masa lapang melayari Internet dan menonton hiburan di media-media elektronik. Situasi ini harus dibendung kerana kita sebenarnya mempunyai infrastruktur yang lengkap dalam gelanggang atau taman rekreasi bagi membolehkan masyarakat awam bersenam atau bersukan. Mereka seharusnya mengambil kesempatan yang ada ini dengan mengisi masa lapang untuk malukan aktiviti riadah seperti bermain badminton atau futsal di gelanggang yang telah disediakan.

Apabila menjelang dewasa, masa untuk bersukan atau beriadah sudah semakin terhad kerana kesibukan dalam hal-hal kerjaya masing-masing. Aktiviti-aktiviti fizikal ini akan membantu untuk membakar kalori atau lemak yang berlebihan serta merembes sisa-sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan kita. Malahan penyertaan dalam aktiviti bersenam dan bersukan memberi pelbagai manfaat lain yang bagus untuk kedua-dua kesihatan fizikal dan mental serta rohani individu yang mengamalkannya.


Rajah 7: Ilustrasi Aktiviti Bersenam Atau Bersukan

Sebagai pelajar berminda kelas pertama, kaedah yang boleh dilaksanakan bagi membendung masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak adalah dengan melakukan pemeriksaan kesihatan. Budaya berjumpa dengan pengamal perubatan pada waktu kita sakit sahaja perlu diubah. Hal ini kerana kebanyakan penyakit boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal sebelum ia menjadi kritikal. Maka, golongan kanak-kanak seharusnya melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik kesihatan yang berdekatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Dengan berjumpa doktor atau pegawai kesihatan, mereka dapat memeriksa tahap kesihatan diri kita serta mencadangkan gaya hidup yang sesuai untuk kita amalkan kerana hanya jauhari mengenal manikam.

Tambahan pula, perkhidmatan kesihatan awam di Malaysia adalah sangat berpatutan dan mudah untuk dikunjungi. Kesempatan ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap ahli masyarakat terutamanya golongan remaja. Izharnya, bimbingan dan panduan daripada orang yang pakar dalam bidang yang kita tidak tahu adalah mustahak supaya kita terhindar daripada perkara yang tidak kita inginkan.

Rajah 8: Ilustrasi melakukan pemeriksaan kesihatan

Kesimpulannya, kajian ini dilakukan adalah bertujuan untuk mengetahui faktor utama berlakunya masalah obesiti dalam kalangan penduduk Taman Desa Rahmat. Hal ini demikian kerana, dengan adanya kajian ini, adalah lebih mudah untuk mencari jalan penyelesaian dalam membendung masalah ini dari terus berleluasa yang boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka khususnya bagi kanak-kanak. Maka,  jelaslah bahawa kita perlu mengamalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat di mana kita perlu mencegah penyakit yang bakal timbul akibat keobesan generasi masa kini dengan menerapkan amalan pemakanan sihat dan berbudaya hidup sihat. 


Rujukan : 

Institute of Public Health (IPH) 2011. National Health and Mornidity Survey 2011 (NHMS  2011).

Sesi Saintifik Persatuan Jantung Amerika 2015 Berita Harian . TriStar Publishing, Inc. 9         November 2015.

Micali N, Field A.E, Treasure J.L, Evans D.M. Adakah gen risiko obesiti dikaitkan dengan         pemakanan pesta di kalangan remaja? Obesiti (Silver Spring) 2015; 23: 1729-36.

World Health Organization. 2018. Fact sheet on overweight and obesity.         www.who.int/mediacentre/factsheets/fs311/en (accessed 4 January 2018).

NAMA : NUR HANNA SYAZLIN BINTI SABKI
NO MATRIK : D*****086506
KUMPULAN : A


No comments:

Post a Comment