Friday, December 10, 2021

GEOGRAFI PENDUDUK: KESAN AKTIVITI PENEROKAAN HUTAN DI BUKIT SEKILAU, KUANTAN, PAHANG.


Gambar 1: Pejabat Hutan Dearah Kuantan

Hutan merupakan sumber yang boleh diperbaharui tetapi memerlukan masa yang amat lama untuk memperbaharuinya. Antara kepentingan hutan ialah sebagai habitat flora dan fauna, penstabilan suhu, pencegahan banjir dan sumber makanan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) menyatakan bahawa hutan dapat didefinisikan sebagai kawasan yang ditumbuhi pokok dan tumbuh-tumbuhan. Hutan Simpan Negeri (HSN) pula merupakan mana-mana tanah (berhutan dan tidak berhutan) yang diwartakan atau disifatkan telah dijadikan sebagai hutan simpan kekal untuk tujuan perhutanan di bawah seksyen 7,8, dan 9 Akta Perhutanan Negara 1984.

Namun begitu, penerokaan hutan sering berlaku pada zaman globalisasi ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) menyatakan bahawa penerokaan hutan membawa makna perbuatan atau hal meneroka hutan. Penerokaan hutan dilakukan bagi membina bangunan, jalan raya dan pembukaan pusat pelancongan. Aktiviti-aktiviti ini membawa pelbagai kesan kepada alam sekitar fizikal dan manusia seperti peningkatan suhu, kemusnahan habitat flora dan fauna dan menyebabkan berlaku banjir kilat.

Pada 06 Desember 2021, pengkaji telah membuat kajian mengenai hutan simpan negeri berhampiran dengan perumahan Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang. Perjalanan ke Bukit Sekilau dari bandar Indera Mahkota mengambil masa kira-kira 21 minit jika berjalan kaki. Namun terdapat perkhidmatan pengangkutan seperti Uber dan Grab untuk pergi ke lokasi tersebut dan hanya mengambil masa sekitar lima hingga sepuluh minit.  Selain itu, masyarakat di sini terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya. Kawasan perumahan ini merupakan kawasan yang strategik untuk petempatan. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat pelbagai kemudahan infrastruktur dan prasarana yang tersedia untuk memudahkan para penduduk. Sebagai contoh, terdapat banyak bangunan kedai dan restoran untuk penduduk mendapatkan sumber makanan. Di samping itu, terdapat sekolah yang berdekatan dan memudahkan para pelajar menuntut ilmu. Tambahan pula, terdapat hospital yang berdekatan bagi memastikan penduduk mudah mendapatkan rawatan secepat mungkin. Pusat bandar juga amat dekat dengan perumahan dan menggalakkan penduduk membeli keperluan harian mereka. Walaubagaimanapun, hutan yang berhampiran Bukit Sekilau telah ditarah atau diterokai dan menimbulkan kesan terhadap persekitaran fizikal dan manusia.



Gambar 2: Perumahan Bukit Sekilau, Kuantan

Aktiviti penerokaan hutan simpan negeri di Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang telah memberikan kesan buruk kepada persekitaran dan manusia. Aktiviti penerokaan hutan simpan negeri telah bermula pada tahun 2016. Hasil pemerhatian mendapati bahawa kesan aktiviti penerokaan hutan simpan negeri mengakibatkan pencemaran udara. Pencemaran udara berlaku akibat daripada aktiviti mengorek dan proses mengangkut tanah oleh jentera berat dan lori. Bahan -bahan pencemar telah bebas di udara yang terdiri daripada gas karbon dioksida, bahan berbau, habuk, debu dan sebagainya malah bahan pencemar tersebut telah mengubah kuantiti, kualiti dan sifat atmosfera dan boleh memberi kesan negatif kepada persekitaran fizikal, tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan dan penduduk berhampiran hutan simpan negeri di Bukit Sekilau. Oleh hal itu, kesan daripada jentera berat dan lori-lori memasuki jalan bagi mengangkut tanah dan kayu-kayu yang besar telah mengakibatkan keadaan jalan mendap dan retak. Penduduk sekitar Bukit Sekilau tiada pilihan dan terpaksa menempuh jalan berlubang-lubang dan rosak kerana jalan tersebut merupakan laluan keluar dari perumahan mereka yang menghubungkan dengan kawasan bandar.

Berdasarkan temu bual dengan responden iaitu Encik Amin yang merupakan wakil penghuni kawasan perumahan sekitar hutan simpan negeri di Bukit Sekilau menyatakan bahawa ramai penduduk sekitar kawasan tersebut risau akan risiko penyakit akibat daripada pencemaran udara. Hal ini dikatakan demikian kerana pencemaran udara merupakan penyebab utama kepada penyakit seperti asma dan batuk kering. Tambahan pula, penyakit berkenaan mampu membawa maut terutamanya kepada golongan kanak-kanak dan warga emas. Secara langsung, penduduk sekitar Bukit Sekilau mengatakan bahawa mereka amat risau akan kesan aktiviti penerokaan hutan simpan negeri ini.



Gambar 3: Kerosakan jalan berlubang

            Selain itu, kesan daripada aktiviti penerokaan hutan telah mengakibatkan berlaku banjir kilat. Hal ini demikian kerana hutan tersebut merupakan kawasan bukit atau tanah tinggi yang merupakan kawasan tadahan air hujan dan tumbuh-tumbuhan bertindak sebagai penghalang titisan air hujan daripada terus ke permukaan tanah melalui proses cegatan silaran dan akar pokok bertindak sebagai agen pengikat serta cengkaman kepada regolit. Walaubagaimanapun, kawasan hutan simpan negeri kini telah ditebang dan digondol menyebabkan air hujan terus turun ke permukaan tanah dan daya ikatan serta ketiadaan cengkaman akar terhadap regolit. Larian air permukaan akan menjadi amat deras dan menyebabkan kawasan sekeliling terdedah kepada banjir kilat.

Berdasarkan temu bual dengan responden iaitu Encik Amin yang merasa bahawa kawasan hutan simpan negeri yang berhampiran dengan kawasan perumahan terdedah kepada bencana alam seperti banjir kilat. Hal ini demikian kerana banjir kilat sering berpunca daripada penerokaan hutan. Tambahan pula, kejadian banjir kilat pernah berlaku di Kuantan dan menyebabkan pelbagai kerosakan yang membawa kepada kerugian yang besar manakala pernah juga berlaku banjir lumpur berskala kecil di kawasan perumahan di Bukit Sekilau akibat daripada mengorek tanah dan menebang pokok. Secara langsung, Encik Amin sebagai wakil penghuni di kawasan perumahan yang berhampiran dengan Kawasan hutan tersebut risau atau bimbang jika banjir kilau atau banjir lumpur berlaku lagi pada tahun ini.

            Seterusnya, aktiviti penerokaan hutan telah mengakibatkan berlaku perubahan landskap. Manusia meneroka sumber hutan untuk mendapatkan sumber kayu balak berharga untuk dijadikan bahan mentah industri memproses kayu, perabot, kayu bergergaji dan kertas serta pembinaan projek perumahan. Penerokaan sumber hutan ini telah menyebabkan tanah tinggi menjadi gondol dan terdedah kepada agen hakisan dan luluhawa. Hal ini demikian kerana perubahan landskap amat jelas dan boleh diperhatikan secara nyata oleh para penduduk setempat. Oleh itu, kesan utama perubahan landskap ini berlaku ialah aktiviti penebangan hutan dan penarahan bukit oleh jentera berat yang berupaya mengubah struktur tanah sesuatu kawasan.



Gambar 4: Visual 3D Bukit Sekilau, Kuantan melalui satelit.

Pada waktu yang sama, kesan aktiviti penerokaan ini juga telah mengakibatkan suhu persekitaran setempat meningkat. Peningkatan suhu sekitar akibat ketiadaan pelindungan yang menghalang pancaran matahari dan lebihan gas karbon dioksida dalam atmosfera. Pengurangan kelembapan udara ekoran daripada fungsinya untuk membebaskan wap-wap air ke udara melalui proses transpirasi sudah hilang atau berkurangan. Udara sekitar menjadi kering dan cuaca menjadi panas. Hutan tidak lagi mampu berfungsi untuk menyederhanakan suhu dengan cara memerangkap bahangan matahari dan membebaskan wap-wap air menerusi proses perpeluhan. Melalui temu bual yang dilakukan kepada beberapa orang penduduk yang berhampiran kawasan hutan simpan negeri di Bukit Sekilau telah menyatakan bahawa suhu persekitaran setempat meningkat akibat penerokaan. Hal ini demikian kerana hutan di kawasan tersebut merupakan pembekal oksigen dan penyerap karbon dioksida serta berfungsi sebagai penstabilan suhu persekitaran. Ketiadaan hutan atau tumbuh-tumbuhan menyebabkan bekalan oksigen berkurangan. Secara langsung, gas karbon dioksida yang dibebaskan oleh manusia atau kenderaan tidak dapat diserap oleh tumbuh-tumbuhan dan menyebabkan suhu persekitaran meningkat secara mendadak.

Di samping itu, kesan penerokaan hutan juga telah menyebabkan sebahagian hutan simpan negeri telah mengalami kemusnahan habitat flora dan fauna. Aktiviti penerokaan ini akan memusnahkan sesuatu habitat dan spesies haiwan dalam sesuatu jangka masa tertentu. Penerokaan hutan yang keterlaluan menyebabkan kepupusan spesies pokok seperti pokok meranti, cengal, dan balau. Oleh itu, kemusnahan spesies haiwan-haiwan tertentu mengganggu siratan makanan, keseimbangan populasi spesies asal terganggu, kurang kemampuan untuk mencari pasang yang bertujuan pembiakan serta berlakunya penghijrahan spesies akibat kemusnahan habitat semula jadi mereka iaitu hutan. Berdasarkan temu bual dengan responden iaitu Encik Amin yang merupakan wakil penghuni perumahan yang berhampiran dengan kawasan hutan simpan negeri menyatakan bahawa monyet liar sering berkeliaran di kawasan perumahan bagi mencari sumber makanan.



Gambar 5: Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang.  

Kesimpulannya, kajian ini bertujuan untuk melihat atau mengkaji kesan aktiviti penerokaan Hutan Simpan Negeri di Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang. Aktiviti penerokaan hutan simpan negeri telah mendatangkan pelbagai kesan kepada haiwan, alam sekitar dan penduduk setempat. Pihak berkuasa perlu membuat kajian terlebih perinci sebelum meneroka kawasan hutan simpan negeri tersebut. Oleh itu, pihak berkuasa perlulah melakukan pemuliharaan sumber hutan agar dapat mengekalkan keharmonian alam dan kualiti hidup manusia.



Gambar 6: Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

Kamus Dewan, 2010, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Edisi Keempat, Kuala Lumpur.



Penulis: Fatin Nurnajwa Binti Mohamad Asri

No.Matrik: xxxxxxx91319

Kumpulan C

No comments:

Post a Comment