Sunday, December 26, 2021

KEGIATAN EKONOMI PENDUDUK DI KAMPUNG BARU, SUNGAI SUMUN, PERAK

 

Perak merupakan negeri kedua terbesar pada bahagian Semenanjung Malaysia selepas negeri Pahang. Negeri ini dibahagikan kepada 12 buah pentadbiran daerah yang mana salah satunya adalah daerah Bagan Datuk. Daerah ini merupakan daerah yang baru diwartakan oleh Sultan Perak pada awal tahun 2017. Sejak ia diwartakan sebagai satu daerah, pekan kecil ini banyak mengalami proses-proses pembangunan infrastruktur begitu juga pembangunan ekonominya. Di dalam daerah ini, terdapat sebuah mukim yang dikenali sebagai Teluk Bharu dan di dalam mukim ini terdapat sebuah perkampungan kecil yang dikenali sebagai Kampung Baru.

            Sebagaimana namanya, perkampungan ini masih segar dengan tumbuh-tumbuhan hijau yang merimbun baik yang tumbuh secara semulajadi mahupun yang tumbuhan yang ditanam oleh penduduk di situ. Udara yang segar serta kabus yang masih menyelimuti suasana pagi menjadikan kawasan perkampungan ini terasa begitu nyaman dan menenangkan. Struktur dan reka bentuk rumah-rumah di kampung ini juga masih banyak yang mengekalkan elemen tradisional yang menjadikan kayu sebagai elemen utama pembuatannya. Penduduk-penduduk di perkampungan ini juga majoritinya adalah berbangsa Melayu dan segelintir bangsa India yang duduk di kawasan estet di pinggir kampung.

Gambar 1 menunjukkan peta daerah Bagan Datuk dan kedudukan Kampung Baru, Sungai Sumun, Perak di dalam daerah tersebut.

Gambar 2 menunjukkan imej satelit bagi kawasan Kampung Baru.

Rata-rata penduduk di sini mempunyai tanah mereka sendiri. Sebahagian daripada mereka menjadikan tanah tersebut sebagai tapak untuk membina rumah dan sebahagian yang lain mengerjakan tanah tersebut dengan hasil-hasil tanaman. Biarpun kehidupan penduduk di sini tidak sebegitu mewah penduduk yang tinggal di kawasan pekan atau bandar, namun kehidupan di sini tidak lah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Aktiviti sosial dan ekonomi di Kampung Baru ini berjalan seperti masyarakat-masyarakat di petempatan lain.

            Kegiatan ekonomi dapat didefiniskan sebagai kegiatan manusia yang mendatangkan nilai atau pendapatan (Abdul Rahim Md Nor, 2004). Ekonomi utama di Malaysia dapat dipecahkan kepada tiga sektor iaitu sektor primer, sekunder dan tertier. Aktiviti-aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh penduduk di Kampung Baru ini adalah aktiviti ekonomi pada sektor primer seperti pertanian, perladangan, perniagaan, penternakan dan juga industri asas tani. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini banyak menjadi punca pendapatan bagi penduduk di sini dimana hasil-hasilnya ada yang dijual kepada peraih dan ada juga yang dijual kepada kilang-kilang seperti kelapa sawit dan kelapa.

            Aktiviti pertanian yang banyak dijalankan di sini banyak diusahakan sendiri oleh penduduk kampung ini atau tuan tanah yang berkenaan. Sesetengah penduduk yang mempunyai kawasan atau tanah pertanian yang besar untuk diusahakan mengupah orang lain sebagai pekerja untuk mengerjakan tanaman mereka. Antara tanaman yang ditanam oleh penduduk di sini sebagai hasil pendapatan mereka adalah seperti tanaman pisang, kelapa, kelapa sawit, ubi kayu dan sayur-sayuran kampung seperti cili, kacang bendi, kacang panjang dan terung. Jika diperhatikan, jenis tanaman yang banyak ditanam oleh penduduk kampung di sini sebagai sumber ekonomi mereka kebanyakannya adalah kelapa dan juga kelapa sawit. Hal ini kerana daerah Bagan Datuk sememangnya terkenal dengan tanaman tersebut. Menurut Khairi Ariffin , Ramli Saadon dan Tuan Waheda Tuan Chik (2019), daerah Hilir Perak lebih dikenali dengan kegiatan pertanian berbanding perlombongan. Pada era kolonial, Daerah Hilir Perak juga disifatkan sebagai pusat pertanian di samping daerah Kerian. Tanaman komersial di Hilir Perak terdiri daripada getah, kelapa sawit, kelapa, tebu dan koko. Jadi, jelaslah di sini mengapa tanaman kelapa dan kelapa sawit banyak ditanam oleh penduduk di sini.


Gambar 3
 
Gambar 4
Gambar 3 dan 4 menunjukkan salah sebuah kebun penduduk kampung yang ditanam dengan tanaman kelapa dan kelapa sawit.
 

            Pendapatan penduduk kampung rata-ratanya diperoleh melalui hasil tanaman mereka. Melalui tanaman kelapa dan kelapa sawit, buah-buah kelapa dan kelapa sawit yang dihasilkan oleh tanaman para penduduk kampung inj dijual secara terus kepada kilang pemprosesan. Di sini, para penduduk memperoleh hasil pendapatan sebanyak RM2 bagi setiap biji kelapa dan harga bagi kelapa sawit pula boleh mencecah sehingga RM1000 bagi setiap tan buah tandan sawit yang dijual. Sesetengah penduduk yang menjual anak benih pokok kelapa mampu untuk memperoleh hasil sebanyak RM30 bagi setiap anak pokok. Harga bagi setiap anak pokok adalah berlainan di setiap tempat namun berdasarkan temu bual yang dijalankan dengan beberapa penduduk kampung yang mengusahakan tanaman kelapa, mereka menjual harga bagi setiap anak pokok pada harga tersebut.

            Kebun-kebun yang ada di kampung ini juga turut meriah dengan tanaman pisang. Rata-rata penduduk mengerjakan tanaman ini bagi memperoleh pendapatan daripada buah yang dijual dan melalui jualan anak pokok pisang. Antara jenis-jenis pisang yang ditanam adalah pisang awak, pisang berangan dan pisang emas. Namun, pisang yang paling banyak ditanam oleh penduduk adalah pisang tanduk. Ini kerana pisang ini mempunyai permintaan yang banyak daripada penduduk kampung sebagai pembeli dan juga orang luar. Pisang ini banyak dijadikan sebagai kerepek. Harga bagi buah pisang tanduk ini adalah sebanyak RM3.50 bagi setiap kilogram. Anak pokok pisang jenis ini pula dijual pada kadar RM1 bagi setiap anak pokok.

Gambar 5 menunjukkan salah sebuah kebun tanaman pisang tanduk yang dimiliki penduduk di kampung ini.
Gambar 6 adalah pisang tanduk yang boleh mencecah harga jualan bagi setiap kilogram sebanyak RM3.50

            Di pinggir jalan masuk ke kampung ini, banyak pokok ubi kayu yang ditanam oleh para penduduk di sini selain ada yang mengusahakan tanaman ini di tanah kebun mereka. Tanaman ini ditanam bukan sahaja sebagai salah satu sumber makanan malah ia juga turut menyumbang kepada ekonomi sesetengah penduduk. Tanaman ubi kayu di kampung ini merupakan salah satu tanaman yang mempunyai permintaan tinggi terutama sekali di kalangan penduduk kampung yang mengusahakan perniagaan berasaskan kerepek. Disebabkan tanaman ini mempunyai tempoh matang yang tidak terlalu lama selepas ditanam iaitu hanya sekitar 9 bulan ke setahun, jadi bekalan hasil tanaman ini tetap ada secara berterusan.  Biarpun pengusaha tanaman ubi kayu ini adalah terdiri daripada penduduk yang berlainan, namun ubi kayu yang ditanam ini dijual pada harga yang sama oleh para penduduk iaitu sebanyak RM1.30 per kilogram.

Gambar 7 menunjukkan tanaman ubi yang ditanam oleh penduduk kampung di pinggir kampung.

            Selain daripada menjalankan kegiatan pertanian sebagai sumber ekonomi, terdapat penduduk yang menjalankan perusahaan penternakan iaitu penternakan kambing sebagai aktiviti kegiatan ekonomi mereka. Kambing-kambing yang diternak diletakkan di kandang yang dibina di atas tanah kebun penduduk tersebut yang terletak berhampiran dengan tanaman kelapa sawit. Pemilihan kawasan untuk menternak kambing ini dibuat di kebun dan berhampiran dengan tanaman kelapa sawit adalah untuk memudahkan penduduk mendapatkan sumber makanan bagi kambing selain untuk mengelakkan daripada mengganggu ketenteraman penduduk. Menurut salah seorang penternak kambing di kampung ini iaitu Encik Maskuri, beliau mengatakan perusahaan penternakan kambing ini telah dijalankan selama 12 tahun dan menurut beliau harga kambing boleh mencecah sehingga RM3000 bagi seekor kambing bergantung kepada berat kambing. Menurut beliau juga, pelanggan yang membeli kambing daripada beliau bukan sahaja terdiri daripada penduduk kampung sendiri malah terdapat juga pelanggan daripada kawasan luar.

Gambar 8 menunjukkan kambing jenis baka Boer yang diternak oleh Encik Maskuri di kandang kambingnya.

          Seterusnya adalah aktiviti perniagaan. Seperti mana yang kita tahu aktiviti perniagaan semestinya menjanjikan satu pulangan yang memuaskan jika diusahakan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Begitulah apa yang dilakukan oleh sebahagian daripada penduduk kampung ini yang turut menjadikan aktiviti perniagaan sebagai kegiatan ekonomi mereka. Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini, ramai penduduk kampung yang mula berjinak-jinak menceburkan diri dalam bidang perniagaan untuk mencari pendapatan kerana rata-rata daripada mereka ini ada yang terpaksa diberhentikan kerja akibat wabak yang telah melanda negara. Kebanyakan mereka mengambil inisiatif menjalankan perniagaan secara dalam talian. Antara jenis perniagaan yang dijalankan adalah seperti perniagaan makanan, menjadi stokis dan agen produk kecantikan dan lain-lain lagi.

            Tidak hanya tertumpu kepada perniagaan secara dalam talian, di kampung ini turut terdapat sebuah perniagaan kedai runcit yang diusahakan oleh salah seorang penduduk kampung. Kedai runcit tersebut dibina berhampiran rumahnya untuk memudahkan pengurusan. Pemilik kedai runcit bernama Puan Hanim ini berkata idea untuk menjalankan perniagaan peruncitan ini bermula sebulan semenjak PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Beliau yang sebelum ini merupakan seorang operator kilang telah diberhentikan kerja dan memilih untuk membuka perniagaan peruncitan ini secara kecil-kecilan. Memandangkan keadaan pada ketika itu yang mengehadkan pergerakan, idea untuk membuka kedai runcit ini selain sebagai sumber pendapatan beliau adalah untuk memudahkan orang-orang kampung untuk mendapatkan barangan keperluan asas tanpa perlu pergi ke kedai di kawasan luar kampung.

Gambar 9

Gambar 10
Gambar 9 dan 10 menunjukkan antara barang-barang keperluan asas yang dijual di kedai runcit Puan Hanim.

            Selain daripada kedai runcit, terdapat penduduk yang turut menjalankan perniagaan gerai makan. Gerai makan ini terletak berhampiran dengan pintu gerbang utama kampung dan terletak di pinggir jalan laluan utama untuk memasuki kampung. Kedudukannya yang strategik menjadikan gerai makan ini menjadi tumpuan bukan hanya penduduk kampung ini malahan juga penduduk kampung yang lain. Kedai makan ini beroperasi pada setiap hari kecuali hari Khamis dan menjalankan perniagaan pada sebelah pagi dan sebelah petang hingga malam. Antara sajian yang disediakan di gerai makan ini adalah seperti roti canai, nasi lemak dan menu-menu sarapan pagi lain pada waktu pagi manakala pada waktu petang hingga malam pula kedai ini menyediakan makanan-makanan melayu panas.

            Dalam satu temu bual yang dijalankan bersama pemilik kedai makan ini iaitu Encik Nazir, beliau dan isteri telah mengusahakan perniagaan ini selama lima tahun. Beliau yang pada asalnya bekerja di luar negeri telah berhenti kerja dan mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Menurut beliau, pada awalnya beliau agak takut untuk membuka perniagaan ini memandangkan beliau tiada pengalaman dalam bidang perniagaan selain takut tidak menerima sambutan, namun usaha tidak mengkhianati hasil. Pada awalnya kedai beliau hanya bermula dengan sebuah kiosk tetapi pada hari ini beliau berjaya membuka sebuah gerai makan yang lebih selesa untuk pelanggannya. Perniagaan ini dijalankan bersama anak-anak dan isteri beliau sebagai sumber pendapatan keluarganya. 

Gambar 11 menunjukkan suasana di gerai makan kepunyaan Encik Nazir.

             Perniagaan seterusnya yang terdapat di kampung ini adalah perniagaan berasaskan industri asas tani iaitu perniagaan kerepek. Antara jenis kerepek yang dijual oleh penduduk yang mengusahakan perniagaan ini adalah kerepek ubi dan kerepek pisang. Perniagaan kerepek ini agak popular di kampung ini kerana terdapat beberapa penduduk yang mengusahakan jenis yang sama. Ketika menemu ramah salah seorang pengusaha kerepek yang memiliki syarikat pemprosesan kerepek Ibu Indah Enterprise iaitu Puan Indasah, beliau berkata, perniagaan ini telah dijalankan selama 23 tahun. Pada awal perniagaan ini dijalankan, bekalan kerepek ini telah dihantar ke stesen-stesen minyak, kedai-kedai makan dan kedai-kedai runcit dan kini perniagaan ini mempunyai pelanggannya yang tersendiri.

Perniagaan yang dijalankan bersama suami serta anak-anak beliau sebagai pembantu ini kini mempunyai pelanggannya yang tersendiri bukan hanya di kalangan penduduk kampung malahan beliau juga turut mempunyai pelanggan di luar daerah dan di luar negeri. Menurut Puan Indasah, perniagaan ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada Jabatan Pertanian. Stok bahan mentah seperti ubi kayu dan pisang dibeli daripada penduduk kampung dan ada juga yang diperoleh melalui hasil tanaman sendiri. Menurut beliau juga, jumlah kerepek yang dijual pada setiap bulan boleh mencecah sehingga 300 kg dan mendapat sambutan sehingga tiga kali ganda apabila menjelang musim perayaan. Kerepek ubi yang dijual oleh Puan Indasah berharga dalam lingkungan RM15 hingga RM16 bagi setiap kilogram mengikut jenis manakala kerepek pisang pula berharga RM24 setiap kilogram.

Gambar 12 menunjukkan kerepek pisang yang dihasilkan oleh Puan Indasah.
 
Gambar 13 menunjukkan kerepek ubi yang dihasilkan oleh Puan Indasah.

            Rata-rata kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh penduduk di Kampung Baru ini adalah kegiatan ekonomi dalam sektor primer dan sekunder. Kegiatan ekonomi dalam sektor primer yang dijalankan oleh penduduk kampung di sini adalah aktiviti pertanian dan penternakan manakala bagi sektor sekunder pula adalah aktiviti perniagaan.



 

Rujukan

Abdul Rahim Md Nor. (2004, Disember 6). Geografi Tingkatan 3. Shah Alam: Cerdik Publications. Retrieved from MYPT3: https://mypt3.com/takrifan-konsep-kegiatan-ekonomi-geografi-pt3

Khairi Ariffin , Ramli Saadon , & Tuan Waheda Tuan Chik . (2019). Perladangan Komersial di Daerah Hilir Perak Pada Era Kolonial British 1900-1957. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies, 46(1), 58-78.

 

 

NAMA: NUR IZYANTI SYAZANI BINTI MOHD BADRON 

NO MATRIKS: D20182085828

KUMPULAN KULIAH: HGM3033 (A)

 

           

No comments:

Post a Comment